June 21, 2012

Wanita dipenjara sehari, denda RM3,000


SHAH ALAM 19 Jun - Seorang bekas pekerja Habib Jewels Sdn. Bhd. dihukum penjara sehari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri wang RM1,320 milik bekas majikannya itu pada Mac lalu.

Majistret Nurul Syahida Zainal turut memerintahkan Ratipah Abdullah, 26, dipenjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Wanita itu bagaimanapun bernasib baik apabila dibebaskan hari ini selepas tunangnya menjelaskan denda tersebut.

Tertuduh didakwa mencuri wang itu di Habib Jewels Sdn. Bhd. di LG 10, aras bawah, Plaza Shah Alam, Jalan Tengku Ampuan Zabedah E9/E, Seksyen 9 di sini pada pukul 12.06 tengah hari, 5 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Md. Nor di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, salah seorang pekerja Habib Jewels memeriksa lebihan kepingan emas dan mendapati tertuduh telah mencurinya dengan membuat satu transaksi yang tidak wujud.

Transaksi itu dibuat menggunakan nama pelanggan yang tidak wujud dengan cara mengeluarkan satu resit kononnya satu loket emas telah dijual dengan harga RM1,320.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat dan tertuduh ditahan untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Ratipah memberi alasan dia bertindak demikian untuk membantu ibunya yang sedang sakit manakala ayahnya pula baru meninggal dunia.

Dia turut memohon hukuman ringan kerana kini tidak bekerja dan benar-benar insaf atas kesilapan yang dilakukannya.

Utusan 21 Jun 2012

0 comments:

Post a Comment