June 16, 2012

Kanak-kanak maut tertembak didahi

Muhammad Faris Faizal Noor Hissham yang mati tertembak di dahi kerana menyangka pistol milik datuk saudaranya ialah pistol mainan.

KOTA BHARU 16 Jun - Seorang kanak-kanak yang baru menyambut hari lahirnya ketujuh semalam, maut apabila tertembak diri sendiri ketika bermain pistol datuk saudaranya yang merupakan anggota polis, di rumah nenek mangsa di Ketereh di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam, tembakan tersebut menembusi kepala Muhammad Faris Faisal Norhisham dan turut menyebabkan bapa saudaranya, Helmi Ghazali, 32, cedera parah selepas peluru itu menembusi dada kirinya.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung, Pasir Mas dan anak sulung daripada dua beradik itu dikatakan mengambil pistol datuk saudaranya untuk bermain sebelum tertembak diri sendiri.

Ketika kejadian, rumah tersebut dipenuhi kaum keluarga terdekat kerana baru selesai majlis perkahwinan ibu saudara mangsa, Syakirah Rifa'in, 25.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pistol jenis Walters itu dikatakan disembunyikan di bawah meja bagaimanapun mangsa telah menemuinya dan menyangkakan ia pistol mainan.

"Semasa kejadian berlaku anggota polis berpangkat Koperal berkenaan menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan dan tidak menyangka sama sekali pistol yang disembunyi ditemui mangsa.

''Buat masa ini kita belum mengambil kenyataan daripada anggota polis berkenaan kerana dia dalam keadaan trauma,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jalaluddin berkata, Helmi yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan berada dalam keadaan stabil.

Ibu Muhammad Faris, Fadhilah Rifa'in, 27, berkata, dia menetap di Pasir Mas dan datang ke Ketereh untuk menghadiri majlis perkahwinan Syakirah serta pada masa sama sempat menyambut hari lahir anaknya itu dengan majlis kecil-kecilan.

Katanya, sebelum kejadian, dia berada di luar rumah mengemas meja dan kerusi sementara menanti pemilik khemah datang mengambil barangan yang disewa selepas selesai majlis perkahwinan.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kuat dan sebaik sahaja saya masuk ke dalam rumah, saya lihat anak saya terkulai di di atas lantai.

"Suasana menjadi kelam-kabut apabila seorang lagi ahli keluarga meraung kesakitan akibat luka di dada," katanya yang bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah, Pasir Mas.

Tambahnya, dia reda menerima kejadian itu namun menyifatkan anaknya merupakan seorang yang bijak kerana boleh membaca pada usia lima tahun.

Dalam pada itu, ibu saudara Muhammad Faris, Nor Ain Farhana Yasin, 15, berkata, kejadian berlaku pantas dan dia hanya mendengar bunyi satu das tembakan.

"Sebelum kejadian, saya hendak memasak gulai di dapur dan ketika mula memasak, saya mendengar bunyi satu das tembakan.

"Saya terkejut apabila melihat darah memancut di kepala anak saudara saya. Saya tergamam tak boleh nak kata apa sebelum ahli keluarga lain membantu abang ipar saya (Helmi) dan anak saudara saya," katanya.


Utusan 16 Jun 2012


Kanak-kanak maut tertembak pada hari jadi


Salah seorang ahli keluarga mangsa menunjukkan tempat kejadian. Gambar kecil ialah Mohd Faris Faisal Hisham.

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut selepas tertembak diri sendiri menggunakan pistol, yang disangka pistol mainan, di rumah neneknya di Ketereh di sini  malam tadi sebaik selesai menyambut hari jadinya.

Sementara bapa saudaranya, Helmi Ghazali berumur 31 tahun yang kebetulan berada di belakang mangsa, cedera di bahagian bahu dan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 9 malam apabila mangsa, Mohd Faris Faisal Hisham menjumpai pistol jenis Walter, yang disimpan oleh bapa saudaranya iaitu seorang anggota polis di bawah meja.

"Mangsa yang menyangkakan ia adalah pistol mainan telah melepaskan tembakan dan salah sebutir peluru menembusi dahinya.

"Mohd Faris meninggal dunia sebaik sahaja dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh," kata beliau kepada pemberita pada satu sidang media di sini, hari ini.

Mohd Faris yang baru sahaja menyambut hari lahirnya dikatakan bermain pistol milik bapa saudaranya yang merupakan seorang anggota polis di sebuah negeri lain selepas selesai majlis kenduri ibu saudaranya di sini.

"Kerana menyangkakan pistol itu barang mainan, kanak-kanak itu dipercayai tertembak dengan peluru pistol itu menembusi dahinya sebelum mengenai dada bapa saudaranya," kata beliau.

Jalaluddin berkata, sewaktu kejadian, anggota polis itu sedang menunaikan solat Isyak dan senjata api berkenaan disorokkan dalam laci sebuah meja, namun ditemui mangsa yang menyangkakan ia adalah pistol mainan.

"Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian kerana tertembak," katanya lagi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. Mangsa diklasifikasikan maut mengejut.

Beliau yang menyifatkan insiden itu sebagai kes terpencil berkata, anggota polis itu akan disiasat dan tindakan susulan akan diambil.

Jenazah Mohd Faris, anak sulung daripada dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketereh, petang ini selepas selesai bedah siasat itu dilakukan.

Dalam pada itu, Benama memetik ibu Mohd Faris, Fadhilah Rifa'in, 27, berkata, dia menetap di Pasir Mas dan datang ke Ketereh untuk majlis perkahwinan adiknya.

Katanya, pada masa sama dia sempat menyambut hari lahir anaknya itu secara kecil-kecilan dan sebelum kejadian dia berada di luar rumah untuk mengemas meja dan kerusi sementara menunggu pembekal khemah datang mengambil barangan yang disewa selepas selesai majlis perkahwinan itu.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan saya tidak tahu apa yang berlaku. Sebaik saya masuk ke dalam rumah, saya lihat anak saya terkulai di atas lantai.

"Suasana menjadi kelam-kabut apabila seorang lagi ahli keluarga saya meraung kesakitan akibat luka di dada," katanya dan menambah anaknya itu dibawa ke klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, nenek Muhammad Faris, Norizan Abd Wahab, 46, berkata, selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, dia masuk ke dalam rumah dan melihat Helmi meraung kesakitan, manakala cucunya dalam keadaan kaku.

"Ketika itu, ramai ahli keluarga yang melihat keadaan menantu saya (Helmi) kerana cucu saya diam saja.

 "Saya segera melihat cucu saya dan mengangkatnya ke dalam lori pembekal khemah yang baru tiba untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, ibu saudara Mohd Faris, Nor Ain Farhana Yasin, 15, yang berada di dalam rumah berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya mendengar bunyi satu das tembakan dilepaskan.

Sinar Harian 17 Jun 2012


Tragedi hari lahir


KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia tujuh yang baru beberapa jam diraikan dalam majlis ringkas sempena hari lahirnya, maut selepas tertembak pistol milik bapa saudaranya dalam kejadian di rumah neneknya, di Ketereh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, Muhammad Faris Faizal Noor Hissham dikatakan bermain pistol milik bapa saudaranya, Saufi Abd Wahab, 42, yang juga anggota polis selepas selesai majlis kenduri kahwin ibu saudaranya, Syakirah Rifa’in, 25, sehingga tertembak kepalanya.

Difahamkan, peluru daripada pistol itu menembusi kepalanya dan terkena dada seorang lagi bapa saudaranya, Helmi Ghazali, 32.

Murid tahun satu, Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung, Pasir Mas itu disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh, manakala Helmi yang juga kerani dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Jenazah Muhammad Faris yang juga anak sulung daripada dua beradik dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketereh, petang semalam.

Ibu Muhammad Faris, Fadhilah Rifa’in, 27, berkata, dia menetap di Pasir Mas dan datang ke Ketereh untuk majlis perkahwinan adiknya dan pada masa sama sempat menyambut hari lahir anaknya dengan majlis kecil-kecilan.

Katanya, sebelum kejadian, dia berada di luar rumah mengemas meja dan kerusi sementara menanti pembekal khemah datang mengambil barangan yang disewa selepas selesai majlis perkahwinan adiknya.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat. Sebaik masuk ke rumah, saya lihat anak saya terkulai di di atas lantai.

“Suasana menjadi kelam-kabut apabila seorang lagi ahli keluarga saya meraung kesakitan akibat luka di dada,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HRPZ II, semalam.

Menurutnya, anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, masih terngiang-ngiang keletah anaknya apabila secara tiba-tiba bersolat sambil menjadi imam kepada adik lelakinya berusia lima tahun untuk tempoh tujuh hari berturut-turut, seminggu sebelum kejadian.

“Sambil bersolat, anak saya meletakkan buku panduan solat di depannya sambil membaca beberapa bacaan solat di dalam buku itu.

“Masih terngiang-ngiang juga betapa arwah anak yang baik apabila membentang ‘selimut toto’ setiap kali hendak tidur dan menyediakan pinggan untuk meletakkan makanan setiap kali pulang daripada pasar malam,” katanya sebak.

Fadhilah yang juga guru Yayasan Islam Kelantan dan mengajar di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah di Pasir Mas berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya turut mengungkapkan ayat yang membuatkan dia terharu.

“Anak saya menyebut ‘kalau umi ada masalah, umi bagitahulah’.

“Betapa terharunya saya apabila anak sekecil itu mampu mengungkapkan ayat sedemikian kepada ibunya,” katanya.

Menurutnya, anaknya bijak kerana ketika berusia lima tahun sudah pandai membaca akhbar.

“Pelajarannya juga cemerlang sehingga guru dan guru besar bertanya apa rahsia saya memiliki anak sebijak itu. Apapun, saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

Sementara itu, nenek Muhammad Faris, Norizan Abd Wahab, 46, berkata, selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, dia masuk ke dalam dan dan melihat Helmi meraung kesakitan, manakala cucunya dalam keadaan diam.

myMetro 17 Jun 2012



Tak dibenar bawa senjata api ke rumah

KUALA LUMPUR: Terdapat prosedur ketat yang perlu dipatuhi setiap pegawai dan anggota polis dalam pengendalian senjata api termasuk tidak dibenarkan membawa pulang ke rumah tamat waktu bertugas bagi mengelak sebarang kejadian tembak atau tertembak sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, pegawai atau anggota polis dibenarkan membawa senjata api walaupun di luar waktu tugasan rasmi terutamanya dari Unit Tindakan Khas (UTK), Cawangan Khas dan Narkotik.

Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, prosedur dan peraturan mengenai keselamatan senjata api dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang ada, antaranya mana-mana pegawai dan anggota polis dikehendaki menyerahkan semula senjata api apabila tamat waktu bertugas.

“Memang semua pegawai dan anggota polis tertakluk pada beberapa panduan yang perlu dipatuhi berhubung pengurusan senjata api bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku hingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Pegawai atau anggota polis juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga senjata api mereka dan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

myMetro 19 Jun 2012


Tak sempat serah kad Selamat Hari Bapa

KOTA BHARU: Pemergian Muhammad Faris Faizal, 7, sudah cukup perit untuk diterima oleh ahli keluarganya, namun ia lebih meruntun perasaan apabila kanak-kanak itu tidak sempat menyerahkan sendiri kad ucapan Selamat Hari Bapa yang dilukis sendiri untuk bapanya.

Kad ucapan yang tersimpan dalam beg sekolah murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjung, Pasir Mas itu, hanya ditemui bapanya, Noor Hissham Abdul Aziz, 50, dua hari selepas tragedi berkenaan meragut nyawa anaknya.

Menurut Noor Hissham, dia amat tersentuh apabila diberitahu bahawa anaknya itu sebenarnya mahu menyerahkan sendiri kad ucapan berkenaan.

“Saya diberitahu, dia mahu menyerahkan kad itu dan ibunya juga sudah memujuk beberapa kali untuk melihat apa yang dilukisnya.

“Dua hari selepas kejadian, saya melihat beg sekolahnya dan terjumpa kad ucapan Selamat Hari Bapa.

“Walaupun ia amat ringkas, besar maknanya kepada saya dan kini dia sudah meninggalkan kami semua,” katanya.

Metro Ahad melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh yang baru beberapa jam diraikan dalam majlis ringkas sempena hari lahirnya, maut selepas tertembak pistol milik bapa saudaranya dalam kejadian di rumah neneknya, di Ketereh, di sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, peluru daripada pistol berkenaan menembusi kepalanya dan terkena pula dada seorang lagi bapa saudaranya, Helmi Ghazali, 32.

Tinjauan Harian Metro ke SK Kedai Tanjung semalam, mendapati suasana muram masih menyelubungi rakan mangsa yang menyifatkan Muhammad Faris Faizal sebagai peramah dan pintar.

Rakan karibnya, Aiman Iskandar Iswadi berkata, arwah seorang yang baik dan sentiasa menemaninya untuk bersembahyang.

“Dia sangat pintar dan selalu menjadi rujukan rakan lain di dalam kelas,” katanya.

myMetro 20 Jun 2012


Pistol tiada kesan cap jari mangsa

NOOR HISHAM menunjukkan kad ucapan ‘Saya Sayang Bapa’ sempena Hari Bapa yang ditulis arwah anaknya tiga hari sebelum maut tertembak pistol milik bapa saudara di rumah neneknya di Ketereh, semalam.

Bapa mahu siasatan diteruskan

KOTA BHARU: Bapa kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut tertembak pistol bapa saudaranya pada 15 Jun lalu, terkejut apabila diberitahu polis tiada kesan jari milik anaknya pada pistol terbabit.

Noor Hisham Abdul Aziz, 50, berkata beliau dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, siasatan yang dilakukan mendapati tiada kesan jari milik Muhammad Faris Faizal pada pistol digunakan dalam kejadian itu.

Sehubungan itu, katanya, polis perlu melakukan siasatan lanjut bagi mencari puncanya.

“Saya diberitahu ketika kejadian anak saya bermain dengan dua sepupu dan adik bongsunya. Apa yang saya ingin jelaskan ketika kejadian bukan mangsa seorang saja yang berada di tempat kejadian.

“Walaupun kejadian sudah berlalu saya berharap mangsa tidak dianggap bermain pistol itu berseorangan sehingga tertembak di kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ketereh, di sini, semalam.

Katanya, pihak polis juga sudah menghubunginya bagi menyatakan hasrat bagi membawa tiga saksi ke Pulau Pinang bagi menjalani ujian poligraf.

“Saya sedih dengan kejadian yang berlaku kerana yakin dengan sepenuh hati arwah tidak memegang senjata api terbabit.

“Saya mohon supaya nama anak saya dibersihkan kerana bukan dia yang memegang pistol ketika itu.

Walaupun kejadian itu adalah kemalangan tetapi seboleh-bolehnya biarlah semua orang tahu yang anak saya tidak memegang pistol berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau agak sedih mengenang kejadian itu terutama selepas dua hari kematian anaknya, beliau terjumpa sekeping kad ucapan Selamat Hari Bapa yang dilukis sendiri oleh arwah tersimpan di dalam beg sekolahnya.

Katanya, beliau diberitahu arwah mahu menyerahkan sendiri kad itu kepadanya walaupun ibunya sudah memujuknya beberapa kali untuk melihat kad yang dilukis itu.

“Walaupun kad dilukis itu agak ringkas amat besar maknanya kepada saya tambahan lagi dia kini sudah tiada,” katanya.

Berita Harian 20 Jun 2012


Susulan insiden mati tertembak, 3 kanak-kanak dihantar ke CIC


TANAH MERAH – Tiga kanak-kanak yang menjadi saksi kejadian tertembak diri sendiri di Ketereh, Kota Bharu minggu lalu, dihantar ke Children Interview Center (CIC), Pulau Pinang untuk diambil keterangan lanjut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tiga kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun itu merupakan adik sepupu, rakan dan sepupu rakan mangsa yang merupakan saksi kejadian.

Mereka dihantar ke CIC sejak kelmarin.

“Maklumat kita tidak boleh dedah buat masa sekarang yang pasti polis akan jalankan siasatan secara terperinci dalam semua sudut. Polis juga sedang meneliti bagaimana pistol tersebut diletupkan (diaktifkan) dan berharap keterangan daripada kanak-kanak tersebut dapat membantu,” katanya.

Jalaluddin berkata demikian kepada pemberita pada majlis High Profile Policing, Walk Bout bersama masyarakat di bandar Tanah Merah, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud dan Ketua Jajahan Tanah Merah, Zamri Ismail.

Jalaluddin diminta mengulas kenyataan bapa mangsa, Noor Hisham Abdul Aziz, 50, yang mendapat maklumat polis bahawa tiada kesan jari milik anaknya pada pistol terbabit.

Noor Hisyam berkata, beliau dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, siasatan yang dilakukan mendapati tiada kesan jari milik Muhammad Faris Faizal pada pistol digunakan dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, kes tersebut disiasat mengikut seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian.

“Sebarang tindakan terdapap anggota polis yang juga pemilik pistol berkenaan akan ditentukan selepas selesai siasatan. Kita juga sudah menghantar laporan kepada Ketua Polis Johor untuk tindakan tatatertib selepas ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, masyarakat dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut, Mohd Faris Faisal Hisyam maut selepas tertembak diri sendiri menggunakan pistol yang disangka pistol mainan di rumah neneknya di Ketereh sebaik selesai menyambut hari jadinya.

Dalam kejadian 9 malam itu bapa saudaranya, Helmi Ghazali berumur 31 tahun yang kebetulan berada di belakang mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian bahu.

Kejadian bermula apabila mangsa, Mohd Faris menjumpai pistol jenis Walter, yang disimpan oleh bapa saudaranya yang merupakan seorang anggota polis di bawah meja.

Sinar Harian 22 Jun 2012

0 comments:

Post a Comment