June 16, 2012

Jerebu berlarutan ekoran cuaca kering


Ibu kota Kuala Lumpur yang dirakam pada pukul 4 petang semalam hampir hilang dari pandangan akibat jerebu teruk. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

TELOK KEMANG 16 Jun 2012 - Keadaan sekitar pantai perangingan Port Dickson yang berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara sederhana sejak beberapa hari lalu tidak menghalang orang ramai melakukan aktiviti di luar. - UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

KUALA LUMPUR 15 Jun 2012 - Keadaan jerebu yang teruk menenggelamkan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur ketika dirakamkan pada pukul 5.00 petang di sini hari ini. - UTSUAN/ANAS AMIRUL (Pelatih UNISEL)

KUALA LUMPUR 15 Jun - Jerebu melanda negara secara mendadak hari ini sehingga mencatatkan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 di Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Shah Alam dan Cheras.

Seperti kejadian jerebu sebelum ini, ia dikesan akibat asap tebal daripada pembakaran hutan yang dilakukan tanpa kawalan dan pemantauan oleh petani di Sumatera.

Keadaan berjerebu itu dijangka berterusan untuk beberapa hari lagi ekoran cuaca diramal kering terutama di beberapa negeri di utara dan pantai barat Semenanjung.

Menurut jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS), jerebu yang mula dikesan di beberapa stesen di sebelah pantai barat Semenanjung itu didapati berpunca dari kawasan titik panas iaitu pembakaran hutan di wilayah Riau, Sumatera.

Jelasnya, asap jerebu yang berpunca di wilayah itu telah dibawa angin barat daya yang menghala ke arah pantai barat Semenanjung Malaysia.

"Setakat ini, jerebu dikesan berpunca dari sana. Kebakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada jerebu belum dikesan berlaku di negara ini," katanya merujuk kepada laporan kebakaran lebih 100 hektar kawasan tanah gambut di Kuala Langat, Selangor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini hari ini, jurucakap JAS itu menjelaskan, JAS masih belum dapat mengesan punca sebenar kejadian jerebu di kawasan titik panas sama ada ia disebabkan kebakaran hutan atau sebab lain.

Bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia telah meningkat daripada 67 pada 12 Jun lalu kepada 122 titik panas pada 13 Jun. Pada 14 Jun, bilangan titik panas hanya dapat dikesan sebanyak 61 kawasan disebabkan lindungan awan.

Tambahnya, JAS telah mengaktifkan pelan tindakan mencegah pembakaran terbuka di semua negeri serta mempertingkatkan pelaksanaan program pencegahan tanah gambut mudah terbakar bagi mengawal sebarang pembakaran terbuka.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka dan diminta untuk bekerjasama memadamkan kebakaran kecil dan melaporkan kepada pihak bomba sekiranya berlaku kes pembakaran terbuka," ujarnya.

Sementara itu, menurut laman web JAS, sehingga pukul 5 petang ini, bacaan IPU di Cheras bertambah buruk kepada 105 berbanding 91 sebelum ini.

IPU di Pelabuhan Klang dan Shah Alam, masing-masing meningkat kepada 147 dan 120 berbanding 130 dan 106 pagi ini. Bacaan IPU di Kuala Selangor bertambah baik sedikit iaitu 129 berbanding 131 sebelum ini.

Tiga kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah Kuala Selangor (129), Pelabuhan Klang (147) dan Shah Alam (120).

Sementara itu, 34 kawasan merekodkan IPU sederhana dengan bacaan antara 51 dan 100 manakala bilangan kawasan dengan IPU yang baik, menurun kepada 12 berbanding 14 awal hari ini.

Antara kawasan mencatatkan IPU sederhana ialah Petaling Jaya dan Batu Muda, Kuala Lumpur yang masing-masing merekodkan 99, Banting (95), Sri Manjung (92), Tanah Merah (88), Putrajaya (78) dan Perai (74).

Bacaan IPU menunjukkan 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Utusan 16 Jun 2012


Negara dilanda jerebu

KUALA LUMPUR - Kualiti udara di Lembah Klang dan Perak merosot semalam berpunca daripada pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan di sini menjangkakan keadaan berjerebu itu akan berterusan untuk beberapa hari akan datang berikutan cuaca yang diramal kering di beberapa negeri di utara dan pantai barat Semenanjung.

Katanya, laporan imej satelit NOAA-18 yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meterological Centre menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia meningkat sejak Selasa lepas.

Imej satelit itu juga menunjukkan jerebu dibawa angin dari kawasan titik panas di Wilayah Riau, Sumatera Tengah menghala ke pantai barat Semenanjung Malaysia.

Berikutan itu, JAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Kebakaran Terbuka di semua negeri serta mempertingkatkan pelaksanaan prosedur standard operasi Program Pencegahan Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar.

Kosmo 16 Jun 2012


Jerebu: Jabatan Pesakit Luar tingkat operasi


Jerebu yang melanda Lembah Klang mencatatkan IPU tidak sihat di tiga tempat - Gambar Bernama

KUANTAN  - Jabatan Pesakit Luar di hospital kerajaan diminta supaya meningkatkan perkhidmatan dan operasi mereka kerana pesakit yang mempunyai masalah respiratori dan mata dijangka meningkat dalam keadaan cuaca berjerebu sekarang.
 
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, cuaca yang berjerebu kebiasaannya akan memberi kesan kepada pesakit yang mengalami masalah pernafasan dan mata.
 
"Memang kebiasaan apabila cuaca berjerebu, pesakit yang mempunyai masalah pernafasan dan kes respiratori akan meningkat. Justeru Jabatan Pesakit Luar perlu lebih bersedia dengan situasi ini dan memberikan bantuan yang lebih cepat bagi membantu pesakit-pesakit berkenaan," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan ambulans kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
 
Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nooraini Baba.
 
Liow turut menasihati orang ramai khususnya yang mempunyai masalah pernafasan agar mengurangkan aktiviti luar, minum lebih banyak air dan memakai penutup mulut sekiranya berada di luar rumah.
 
"Kita juga sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memantau situasi jerebu dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai Indeks Pencemaran Udara dari semasa ke semasa," katanya.
 
Dalam pada itu, beliau berkata dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kecemasan, Kementerian Kesihatan telah meningkatkan waktu maklum balas untuk setiap kes kecemasan kepada 15 minit daripada 30 minit.
 
Justeru katanya pihaknya akan menambah bilangan ambulans dari 1,861 buah kepada 2,500 buah menjelang tahun depan bagi mencapai hasrat tersebut.
 
"Buat masa ini kita telah menambah sebanyak 300 ambulans di seluruh negara manakala untuk negeri Pahang kita serahkan sebanyak lapan buah ambulans tahun ini," katanya.
 
Dr Nooraini dalam ucapannya berkata ambulans yang diterima itu akan ditempatkan di Klinik Kesihatan (KK) Ulu Gali, Raub; KK Bukit Mendi dan Triang, Bera; KK Padang Rumbia, Pekan; KK Jengka 2, Maran; KK Balok, Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan HTAA, Kuantan. - Bernama

16 Jun 2012



Jerebu: Putrajaya antara 8 kawasan catat IPU tinggi

KUALA LUMPUR - Putrajaya antara lapan kawasan yang mencatat kualiti udara tidak sihat akibat jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 hari ini.

IPU yang dicatat di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 11 pagi tadi ialah 101.

Kawasan lain yang mencatat IPU tertinggi ialah Pelabuhan Klang (142), Petaling Jaya (131), Shah Alam (130), Banting (120), Kuala Selangor (101) di Selangor serta Cheras (133) dan Batu Muda (128) di sini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), www.doe.gov.my, jumlah kawasan yang mencatat kualiti udara tidak sihat meningkat kepada lapan berbanding tujuh kawasan pada 7 pagi ini.

Sebanyak 31 kawasan dari 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS di seluruh negara pula mencatat bacaan IPU sederhana termasuk di Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan 100, manakala 11 lagi kawasan mencatat bacaan IPU baik.

Bacaan IPU 0-50 diklasifikasi sebagai baik, 50-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Kemerosotan kualiti udara yang dialami di Lembah Klang ketika ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia. - Bernama

16 Jun 2012


Jerebu makin teruk
KEADAAN jerebu di sekitar ibu negara mencacatkan pemandangan indah bandaraya Kuala Lumpur. Foto: Rosdan Wahid (15/06/2012)

KUALA LUMPUR: Jerebu yang melanda negara terus berada dalam keadaan buruk apabila lapan kawasan berada pada tahap kualiti udara tidak sihat.

Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga 11 pagi semalam, lapan kawasan berkenaan mencatatkan indeks pencemaran (IPU) melebihi 101, berbanding tujuh kelmarin.

Kawasan terbabit ialah Putrajaya dengan IPU 101, Cheras (133), Batu Muda, Kuala Lumpur (128), Shah Alam (130), Petaling Jaya (131), Pelabuhan Klang (142), Kuala Selangor (101), dan Banting (120).

Menurut jurucakap JAS, keadaan cuaca kering tanpa hujan menyebabkan jerebu semakin teruk, sekali gus meningkatkan jumlah bacaan di beberapa kawasan, terutama di pantai barat Semenanjung yang terletak hampir dengan Indonesia.

Sebanyak 31 kawasan daripada 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS di seluruh negara pula mencatat bacaan IPU sederhana, termasuk di Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan 100, manakala 11 lagi kawasan mencatat bacaan IPU baik.

Bacaan IPU 0 hingga 50 diklasifikasi sebagai baik, 50-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Kemerosotan kualiti udara di negara ketika ini disebabkan kebakaran tanah gambut di Rokan Hilir, Sumatera Timur, Indonesia yang dibawa menerusi tiupan angin.

Sementara itu, rekod Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) menerusi pemantauan daripada imej satelit NOAA-18 menunjukkan 81 titik panas dikesan di Indonesia, manakala 146 titik panas di Kepulauan Borneo (termasuk Sabah dan Sarawak).

Keadaan jerebu yang melanda negara di kesan sejak Selasa lalu apabila rekod JAS menunjukkan kebanyakan kawasan berada tahap sederhana iaitu antara 51 hingga 100 dan menyusut sejak Rabu lalu apabila beberapa kawasan dikesan berada pada tahap tidak sihat.

Sehubungan itu juga, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kes berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau dengan menghubungi Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Mereka yang tinggal di kawasan IPU tidak sihat dinasihat menggunakan alat penutup muka atau mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan menghadapi masalah kesihatan.

myMetro 17 Jun 2012


Kualiti udara terus merosot

Pemandangan sekitar Pulau Pinang kelihatan samar-samar akibat dilanda jerebu, semalam.


GEORGETOWN - Beberapa kawasan di sekitar Pulau Pinang masih lagi dilanda jerebu tahap sederhana yang terus merosot menghampiri tahap tidak sihat dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sekitar 74 hingga 90,  semalam.

Menurut laporan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam, bacaan IPU untuk kawasan Seberang Jaya mencatat peningkatan kepada 90 pada 11 pagi, berbanding 77 pada tempoh masa sama, kelmarin Di kawasan Universiti Sains Malaysia (USM), IPU mencatatkan peningkatan mencatatkan 74 berbanding 67.

Sementara itu, di kawasan Perai walaupun berada di tahap sederhana, kualiti udara terus merosot iaitu 83 pada 11 pagi, berbanding 70 pada 11  pagi, kelmarin.

Berbanding, bacaan IPU sekitar jam 7 pagi semalam mencatatkan kualiti udara turut menghampiri tahap tidak sihat iaitu kawasan Seberang Jaya (88), USM (73) dan Perai (82). Kualiti udara berubah dari semasa ke semasa mengikut keadaan cuaca.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati antara mercu tanda Pulau Pinang seperti Komtar, Jambatan Pulau Pinang, Bukit Bendera dan Jeti Pengkalan Weld mengalami jerebu sederhana dengan jarak penglihatan satu hingga tiga kilometer.

Bacaan IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 301 berbahaya.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan  embakaran terbuka dan bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil, di samping melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat dengan menelefon 999 atau Jabatan Alam Sekitar di  talian bebas, 1-800-88-2727.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga- jaga dengan mengurangkan aktiviti luar dan mengelak melakukan  pembakaran secara terbuka.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pihak melakukan pembakaran terbuka dan industri tidak mengeluarkan asap berlebihan.

Sinar Harian 18 Jun 2012


BUTTERWORTH: Matahari terbenam disebalik jerebu tebal di atas langit Georgetown, Pulau Pinang ketika gambar dirakamkan jam 7 petang di Plaza Tol Bagan Ajam Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di kawasan Seberang Jaya 2, Perai sehingga jam 11 pagi iaitu IPU 103 menurun pada jam 5 petang (94). FOTO Danial Saad (21/06/2012) myMetro





0 comments:

Post a Comment