May 30, 2012

Pengarah IKM parah, anak terbunuh


SUNGAI PETANI: “Arwah bersungguh-sungguh nak ikut ayahnya balik ke Perlis kerana kedua-dua kakaknya juga ikut sekali kerana cuti sekolah. Arwah cuma cakap mak nak ikut ayah dan terus masuk ke dalam kereta.

“Saya tidak melarang kerana arwah ketika itu demam,” kata Zafrina Abdullah, 36, ibu kepada Muhrizah Marzuki, 3, yang maut selepas kereta dipandu bapanya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 90.8, arah utara Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bedong, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Oddesey dipandu bapa mangsa, Marzuki Mohd Radzi, 36, yang juga Pengarah Institut Kemahiran Mara (IKM) Berseri, Perlis, merempuh sebelah kiri belakang sebuah lori balak sebelum kenderaan itu dirempuh sebuah kereta lain yang datang dari belakang.

Mangsa yang cedera parah di kepala, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, manakala bapanya, Marzuki patah kedua-dua kaki.

Sementara itu dua kakak mangsa, Muzfirah, 9, cedera ringan manakala Muslihah, 6, parah di kepala dan masih dirawat di hospital berkenaan.

myMetro 30 Mei 2012


Dilanggar dari arah belakang


SUNGAI PETANI – Tindakan seorang lelaki keluar kenderaan untuk memeriksa kerosakan selepas mengalami kemalangan mengundang padah apabila dia cedera parah manakala seorang anaknya maut selepas dilanggar sebuah kenderaan lain dari arah belakang.

Dalam kejadian ini, Pengarah Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis, Marzuki Mahamad Radzi mengalami patah kaki kiri manakala anak perempuan, Muhrizah, 3, maut dalam kemalangan ketika sedang dalam perjalanan dari Sungai Buloh ke Beseri, Perlis kira-kira jam 6.10 pagi semalam.

Dua lagi anaknya yang turut berada dalam kenderaan, Muslihah, 6, kritikal dan anak perempuan sulungnya, Muzfirah, 9, dilaporkan stabil.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku di kilometer 90.8 Lebuhraya Utara Selatan di mana kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Marzuki bersama tiga anaknya dalam perjalanan untuk pulang ke Perlis.

“Berlaku pelanggaran antara kenderaan MPV dengan sebuah lori yang membawa muatan kayu balak di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan terbabit, Marzuki dikatakan cuba untuk keluar dari kenderaannya bagi melihat kerosakan. Bagaimanapun, sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang gagal untuk mengelak dan terus melanggar MPV terbabit,” katanya.

Akibat kemalangan itu, Muhrizah maut di lokasi kejadian manakala Marzuki mengalami patah kaki dan Muslihah yang mengalami pendarahan di kepala kini masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Anak sulung, Muzfirah menerima rawatan akibat kecederaan di mulut bagaimanapun dibenarkan pulang.

Sementara itu, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat dan jenazah dituntut keluarga lebih kurang jam 1 tengah hari sebelum dibawa pulang ke Kampung Padang Keria, Sanglang, Perlis untuk dikebumikan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan kejadian kemalangan yang berlaku.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 30 Mei 2012



0 comments:

Post a Comment