April 26, 2012

Tiga kali banjir sebulan


HALANG...saliran longkang yang dihalang beberapa paip menyebabkan banjir.

KUALA LUMPUR: Nama saja Kampung Segambut Bahagia, namun ia tidak menggambarkan kehidupan bahagia penduduknya apabila kerap berdepan masalah banjir.

Timbalan Pengerusi Masjid Tarbuyyatul Islamiah, Hassan Kassim berkata, dalam tempoh tidak sampai tiga minggu, tiga kejadian banjir kilat berlaku di kampung berkenaan sepanjang bulan ini.

“Ia bukan satu perkara baru kerana ia berlaku sejak beberapa tahun lalu. Setiap kali hujan lebat, rumah kami dinaiki air.

“Sudah banyak kerugian harta benda sehingga kami tidak sanggup membeli perabot dan membiarkan rumah kosong kerana tahu ia rosak jika banjir,” katanya di sini, semalam.

Dianggarkan lebih 200 rumah di kampung berkenaan dinaiki banjir, namun sehingga kini belum ada penyelesaian kekal dilakukan pihak berwajib khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Malah, bantuan daripada DBKL juga jarang diterima. Hanya sekali DBKL memberikan RM300 setiap rumah yang terjejas, itupun beberapa tahun lalu,” katanya.

Difahamkan, antara kawasan yang terjejas teruk ialah Jalan Kelapa Hijau, Kelapa Muda, Kelapa Gading dan Lenggok Kelapa.

Selain itu, Kampung Segambut Tengah mengalami masalah sama. Pengerusi persatuan penduduknya, Razali Mohammad berkata, lebih 12 rumah di situ ditenggelami air setiap kali banjir.

“Semuanya berpunca daripada keadaan longkang yang kecil berhampiran Sungai Keroh berbanding saiz longkang yang besar di bahagian atas.

“Disebabkan aliran air yang banyak, longkang kecil itu tidak mampu mengalirkan air seterusnya menyebabkan air melimpah ke atas Jalan 1/38, berhampiran Wisma Suhati dan di jalan utama Lang Emas.

“Malah, tindakan kontraktor membuat longkang menutupnya dengan tar menyebabkan longkang berkenaan tidak boleh diselenggara dan tersumbat,” katanya.

Namun, hasil pemeriksaan kontraktor pembinaan jejambat dari arah Segambut ke Mont Kiara mendapati beberapa saluran longkang dalam tanah di situ dihalang beberapa utiliti seperti paip air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan saluran gas.

myMetro 26 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment