April 26, 2012

Terapung di tali air



PENDANG – Mayat seorang remaja dijumpai terapung di tali air Lembaga Pertanian Muda (Mada) Kampung Alor Besar setelah jatuh bersama motosikalnya ketika dalam perjalanan ke rumah majikannya kira-kira 11 pagi, semalam.

Bapa mangsa, Daud Taib, 43, tidak menyangka keinginan anak, Mohd Suhaimi Mohd Daud, 19, untuk makan kuih bajau petanda dia akan pergi buat selama-lamanya meninggalkan keluarga.

Bapanya berkata, dia tidak sempat berjumpa dengan anak keduanya itu pada pagi kejadian, namun hanya mendengar suaranya sahaja ketika mengejutkan mangsa bangun dari tidur.

“Saya terkejut apabila rakan datang ke rumah memaklumkan dan bergegas pergi ke tempat kejadian.

“Malam sebelum itu, saya juga tidak sempat berjumpa dengannya, kerana dia pulang lewat ke rumah dan pagi ini (semalam), saya hanya mendengar suaranya sahaja,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian anaknya itu kerana hasrat untuk makan kuih bajau ditunaikannya pagi kejadian.

Sementara itu, saksi kejadian, Zamri Ahmad, 45, berkata, dia segera memberhentikan jengkaut yang dipandunya di laluan itu bersama rakan, setelah ternampak sebuah motosikal dalam tali air terbabit.

“Kami dalam perjalanan dari arah Alor Besar ke Kampung Pulai untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan tali air Mada sekitar kawasan itu.

“Kemudian berhenti dan ternampak ada mayat terapung dalam keadaan tertiarap dalam tali air itu dan segera menghubungi polis,” katanya.

Jurucakap polis berkata, pihak polis segera ke tempat kejadian setelah mendapat panggilan orang awam.

"Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat dan mengklasifikasikan kejadian sebagai mati lemas," katanya.

Mayat mangsa dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelam 3 Mukim Besar, Yan kira-kira jam 6 petang, semalam.

Sinar Harian 26 Apr 2012


Penantian majikan berakhir berita kematian

PENDANG – Penantian majikan untuk ke tempat kerja bersama anak buahnya Mohd Suhaimi Mohd Daud, 19, akhirnya terjawab dengan berita kematian arwah yang ditemui mati lemas di Kampung Alor Besar pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, arwah jatuh ke dalam tali air bersama motosikalnya ketika dalam perjalanan ke rumah majikan di Alor Besar untuk bersama-sama ke tempat kerja di Kampung Paya Mengkuang.

Majikan, Bukhari Lebai Chik, 56, berkata, arwah bekerja sebagai pemandu traktor dan pagi kejadian dia bersama anaknya menanti ketibaan arwah untuk ke tempat kerja bersama.

“Selalunya arwah akan sampai pada jam 10 pagi, namun pada hari kejadian kami menunggu lama hingga menyebabkan anak saya menghubungi arwah.

“Arwah menjawab panggilan itu dan memaklumkan dia berada di laluan tali air berkenaan dan dalam perjalanan ke rumah saya,” katanya.

Bukhari berkata, namun dia terkejut dengan berita kematian arwah setelah anaknya keluar ke kedai untuk membeli minyak traktor dan melihat orang ramai di tali air itu.

“Saya segera ke tempat kejadian mendapati mayatnya terapung.

“Arwah seorang pekerja yang pendiam dan baik serta rapat dengan saya,” katanya.

Sinar Harian 26 Apr 2012


Remaja maut jatuh terusan

LEMAS...anggota Jabatan Pertahanan Awam mengangkat jenazah mangsa. Gambar kecil, Mohd Suhaimi.

PENDANG: Seorang remaja dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya maut apabila ditemui orang ramai tertiarap dalam terusan di Kampung Alor Besar, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, motosikal ditunggang Mohd Suhaimi Mohd Daud, 18, dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam terusan berkenaan dan mangsa dipercayai lemas.

Majikan mangsa, Bukhari Lebai Chik, 56, berkata, mangsa selalunya sampai di rumahnya sekitar jam 10 pagi sebelum keluar bekerja di sebuah sawah miliknya bersama seorang anaknya dengan menaiki kereta.

“Saya difahamkan, anak saya sempat menghubungi arwah kira-kira jam 10 pagi bertanyakan lokasinya dan arwah sempat menyatakan dia baru sampai di terusan Kampung Alor Besar, namun tidak muncul walaupun selepas beberapa jam.

“Jarak antara terusan kampung itu dengan rumah saya tidak jauh, sekitar 10 minit perjalanan saja. Namun, anak saya berasa tidak sedap hati kerana arwah tidak pernah lewat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.

Bukhari berkata, dia amat terkejut selepas mendapat tahu Mohd Suhaimi terjatuh ke dalam terusan itu sehingga meragut nyawanya.

Katanya, dia tidak menyangka pertemuan mereka baru-baru ini yang terakhir sebelum kejadian meragut nyawa mangsa.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu selain memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

myMetro 26 Apr 2012


Terkejut gurauan jadi nyata

PENDANG - “Sejak tiga bulan kebelakangan ini, arwah menunjukkan perubahan apabila sering kali memberitahu saya bahawa dia sudah nak mati,” rintih ibu kepada mangsa lemas yang ditemui terapung di tali air setelah jatuh bersama motosikalnya di Pendang, kelmarin.

Ibu mangsa, Mariam Had, 47, berkata, mangsa, Mohd Suhaimi Mohd Daud, 19, sering memberitahunya bahawa dia sudah mahu mati dan enggan bekerja dengan alasan dunia sudah mahu kiamat.

Menurutnya, dia pernah memberitahu anaknya itu bahawa wajahnya kelihatan putih bercahaya dan berseri-seri, namun mangsa membalas bahawa keadaannya itu petanda dia sudah mahu meninggal dunia.

“Saya tegur dia, ‘Mi (Suhaimi) mak tengok muka Mi putih bersih’, dia menjawab ‘Cek (saya) nak mati dah kot’. Ketika itu kami menjenguk saudara di Kubur Panjang, Pendang, seminggu sebelum kejadian ini.

“Saya tidak sedap hati dan setiap kali dia keluar ke tempat kerja, saya berdoa di hadapan pintu memohon kepada ALLAH supaya menjaga keselamatannya,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Gelam 2, di sini, semalam.

Mariam berkata, dia juga tidak menyangka gerak hatinya yang risau sesuatu yang buruk berlaku kepada keluarga mereka menjadi kenyataan ketika dimaklumkan mengenai kematian Mohd Suhaimi oleh suaminya, Mohd Daud Taib.

Katanya, Mohd Suhaimi keluar dari rumah kira-kira jam 8.30 pagi hari kejadian tanpa memberitahunya seperti hari kebiasaannya.

“Selalunya dia akan tarik saya ke hadapan pintu, peluk dan cium saya, dan minta saya lihat dia pergi kerja. Tetapi pada pagi hari kejadian, saya terkejut kerana terdengar motosikalnya dan terus berlari ke muka pintu melihat dia ke tempat kerja tanpa memeluk dan mencium saya.

“Saya tidak sedap hati dan berdoa kepada ALLAH sehingga bapanya pulang memberitahu bahawa arwah ditemui mati terapung di tali air,” katanya.

Mariam berkata, Mohd Suhaimi menghidap penyakit asma dan berkemungkinan mangsa diserang penyakit itu semasa menunggang motosikal ke tempat kerja.

Jenazah Mohd Suhaimi dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Besar kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Sinar Harian 27 Apr 2012



0 comments:

Post a Comment