April 26, 2012

Pelajar maut digilis kereta api


Orang ramai melihat mayat mangsa yang terbaring di atas landasan di Genuang dekat Segamat, semalam. - Foto Ahmad Ismail

SEGAMAT: Tindakan seorang pelajar Tingkatan Tiga melintas landasan untuk menyingkatkan perjalanan pulang ke rumah selepas waktu persekolahan, berakhir tragedi apabila digilis kereta api ekspres dekat Genuang di sini, tengah hari semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari ketika pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan, Ahmad Iltizam Khalid, 15, berjalan pulang sendirian ke rumah keluarganya di Jalan West, Bukit Siput.

Mangsa yang juga anak sulung daripada empat beradik itu dipercayai melintas landasan melalui pintasan haram di Kilometer 592 Landasan Segamat dan Genuang itu, yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan sekolahnya.

Tren Ekspres Sinaran yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Woodlands, Singapura, tidak mampu berhenti secara mengejut menyebabkan mangsa dirempuh sebelum diseret sejauh kira-kira 50 meter.

Mangsa cedera parah di kepala, manakala beg berisi bukunya bertaburan di landasan.

Tren turut berhenti berhampiran lokasi kejadian tetapi perlu mengambil jarak kira-kira 800 meter sebelum dapat berhenti sepenuhnya sejurus kemalangan. Tren itu meneruskan perjalanan selepas polis selesai menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata mangsa mati di tempat kejadian sejurus dilanggar kereta api.

“Mangsa sering menggunakan pintasan pada landasan terbabit untuk perjalanan pergi atau balik dari sekolah setiap hari.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk pengebumian,” katanya ketika dihubungi.

Bapa mangsa yang bertugas di Pejabat Tanah Segamat, manakala ibunya seorang suri rumah tidak mampu berkata apa-apa sejurus melihat jasad anak kesayangan mereka mereka terbujur kaku di tengah landasan ketika bergegas ke lokasi kemalangan itu.

Berita Harian 26 Apr 2012


Pelajar sekolah maut dilanggar kereta api

ANGGOTA polis mengawal kawasan seorang pelajar maut akibat digilis kereta api ketika pulang dari Sekolah Menengah Dato' Bentara Dalam, Segamat, Johor, semalam.

SEGAMAT 25 April - Seorang pelajar sekolah menengah maut akibat dilanggar kereta api di laluan utara menghala ke selatan ketika pulang dari sekolah ke rumahnya di Bukit Siput, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang, mangsa, Ahmad Ikltizam Khalid, 15, pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Dato' Bentara Dalam terbunuh ketika cuba melintas landasan kereta api tersebut.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Hanafi Daud berkata, mangsa berjalan kaki pulang ke rumahnya dan dipercayai dia tidak mendengar hon kereta api ketika melintas.

"Mangsa dilanggar dan diseret serta terbunuh di tempat kejadian. Ketika itu mangsa seorang diri dan dia dikatakan menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Utusan 26 Apr 2012


Mangsa pelajar cemerlang

SEGAMAT: Ahmad IItizam Khalid, 15, yang meninggal dunia ketika menyeberangi landasan kereta api di Kilometer 592, Landasan Segamat dan Genuang di sini, semalam disifatkan sebagai pelajar pintar serta aktif di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan.

Guru kelas mangsa, Nurulain Sarji, berusia 30-an berkata, kejadian menimpa IItizam yang pertama membabitkan pelajar sekolah itu.

“Saya terkejut dimaklumkan berkaitan kejadian, IItizam bukan saja memiliki akhlak terpuji malah seorang pelajar cemerlang.

“Iltizam aktif dalam sukan terutama kriket dan pernah mewakili sekolah hingga ke peringkat daerah,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan apabila bapa mangsa yang bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Segamat serta ibunya, dilihat pilu serta longlai sejurus melihat jasad anak kesayangan mereka mereka terbujur kaku di tengah landasan kereta api berkenaan.

Malah, ibu bapa mangsa yang ditemui di lokasi terkejut dengan kejadian yang menimpa anak sulung daripada empat beradik itu.

Bagaimanapun, bapa mangsa hanya mahu dikenali sebagai Khalid, berusia 40-an menyifatkan pemergian mengejut Iltizam sebagai ketentuan Ilahi.

Jenazah Iltizam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jementah selepas solat Asar, semalam.

myMetro 26 Apr 2012



0 comments:

Post a Comment