March 12, 2012

Pesara, pensyarah ditemui mati

Anggota polis mengusung mayat dua beranak ayah dan anak yang dipercayai telah dibunuh di Taman Kinrara 1, Puchong.

PUCHONG: Seorang wanita yang datang dari Segamat, Johor bagi mencari suaminya mendapat berita paling mengejutkan apabila mendapati suami dan anak perempuan tunggalnya mati dipercayai dibunuh di Taman Kinrara 1 di sini, malam tadi.

Mayat dua beranak itu ditemui di dalam dua bilik berasingan selepas sepasukan polis memecah pintu rumah teres setingkat itu, kira-kira jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata mangsa yang berketurunan Portugis itu dikatakan berkunjung ke rumah anak perempuan dan bekerja sebagai pensyarah kolej swasta kira-kira empat hari lalu untuk membawanya pulang ke Segamat.

Katanya, isteri mangsa yang berketurunan Melayu dan berusia dalam lingkungan 50-an itu tidak ikut ke Puchong. Bagaimanapun, dia ada cuba menghubungi lelaki itu dan anaknya sejak beberapa hari lalu tetapi gagal.

“Berikutan gagal menghubungi suami dan anak perempuannya, wanita terbabit membuat laporan kehilangan mereka di balai polis di Segamat sebelum datang ke Puchong.

“Apabila sampai ke rumah anaknya, dia cuba memanggil suami dan anaknya tetapi tiada yang menyahut manakala pintu berkunci menyebabkan dia pergi ke balai polis berdekatan kira-kira jam 9.45 malam tadi untuk meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis membawa isteri mangsa ke tempat kejadian sebelum memecah pintu rumah teres berkenaan.

“Sebaik masuk ke dalam rumah yang tidak ditutup lampu itu, anggota kami menemui mayat lelaki terbabit di atas katil di dalam sebuah bilik manakala mayat anak perempuannya ditemui di atas lantai di bilik lain,” katanya.

Menurutnya, mayat anak perempuan mangsa yang ditemui dalam keadaan terlentang itu masih lengkap bertudung.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, tidak ditemui sebarang kesan kecederaan fizikal pada kedua-dua mangsa dan mayat dua beranak terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Abd Razak berkata, siasatan juga mendapati tiada kesan geledah di rumah berkenaan tetapi dua telefon bimbit milik mangsa dan anak perempuannya hilang.

“Kereta Perodua Kenari milik anak perempuan mangsa juga dipercayai hilang manakala kereta Toyota Camry milik mangsa ditemui diletakkan di luar pagar di depan rumah,” katanya.

Difahamkan, kereta mangsa berada di kawasan rumah itu manakala kereta Perodua Kenari milik anak perempuannya tiada di situ.

Abd Razak berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh yang mana sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum mati mandatori.

myMetro
12 Mac 2012


Dua beranak ditemui mati di rumah di Puchong

KUALA LUMPUR: Dua beranak, dipercayai mangsa pembunuhan sejak empat hari lalu, ditemui di rumah mereka di Taman Kinrara, Puchong, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias, berkata mangsa, lelaki berusia 56 tahun itu dan anak perempuannya berumur 23 tahun, seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian swasta di Lembah Klang, ditemui mati di bilik berasingan di rumah itu pada 9.50 malam.

"Mayat wanita itu dijumpai dalam keadaan terlentang di atas lantai dengan kesan darah di mulut, manakala mayat bapanya ditemui tertiarap di katil dengan beberapa kesan darah," katanya kepada pemberita di tempat kejadian awal pagi ini.

Abdul Razak berkata, motif kejadian masih disiasat dan tidak menolak kemungkinan mangsa disamun sebelum dibunuh berdasarkan kereta milik mangsa jenis Perodua Kenari yang hilang selain dua telefon bimbit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu, seorang pesara syarikat swasta, dan isterinya pulang ke Segamat untuk melawat kebun mereka sebelum mangsa balik ke rumah sendirian untuk membawa anak perempuan mereka pulang ke Segamat.

"Selepas empat hari hilang (tiada berita), si isteri membuat laporan polis di Balai Polis Segamat pagi semalam (Ahad), dan hasil siasatan kita membawa kepada penemuan kedua-dua mayat ini," kata Abdul Razak.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar, 42, berkata beliau sudah lama tidak melihat kelibat mangsa sebelum penemuan mayat mereka malam tadi.

"Mereka lebih suka buat hal masing-masing, sebab itu kami tidak mengetahui yang mangsa sudah dibunuh sejak beberapa hari," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

12 Mac 2012


Kes bunuh pensyarah, bapanya mungkin dilakukan orang dalam

KUALA LUMPUR 12 Mac — Kes pembunuhan dua beranak melibatkan seorang pensyarah dan bapanya yang mayat mereka ditemui di rumah mereka di Taman Kinrara, Puchong, di sini malam tadi, berkemungkinan dilakukan oleh ”orang dalam”.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supt. Abdul Razak Elias berkata, berdasarkan siasatan awal yang dilakukan, polis belum menemui kesan kecederaan seperti kesan tikaman dan kesan pergelutan atau mangsa diserang dengan objek tajam.

Abd Razak berkata, mangsa Zara Eleena Omar Peter, 23, yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah pusat pengajian swasta di Lembah Klang dan bapanya Omar Peter Abdullah, 56, ditemui mati di bilik berasingan di rumah itu pada 9.50 malam tadi.

Beliau berkata, hanya kesan pendarahan dalaman yang dipercayai menyebabkan darah terkeluar daripada mulut pensyarah wanita itu, manakala kesan darah juga ditemui pada bapa wanita itu.

"Kita sudah hantar kedua-dua mayat mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kita masih menunggu laporan forensik untuk mengesahkan sama ada mangsa diracun atau dibunuh dengan cara lain,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati tiada sebarang tanda menunjukkan rumah mangsa disamun dan dipecah masuk.

Kedua-dua mangsa dipercayai mati sejak empat hari lepas di mana mayat Zara Eleena ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai dengan kesan darah di mulut, manakala mayat bapanya ditemui tertiarap di katil dengan beberapa kesan darah ditemui di rumah mereka.— BERNAMA

12 Mac 2012


Penuh misteri

SERDANG: Punca kematian seorang pensyarah kolej swasta dan bapanya yang ditemui dalam bilik berasingan di rumah mereka di Taman Kinrara 1, Puchong menimbulkan tanda tanya selepas polis tidak menemui bukti jenayah atau kecederaan melainkan kesan lelehan darah pada mulut kedua-dua mangsa.

Lebih menghairankan, siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk pada pintu rumah selain keadaan rumah yang tidak digeledah dan barang berharga milik mangsa juga tidak dicuri.

Difahamkan, mayat Zara Eleena Omar Peter, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56, ditemui polis pada jam 9.50 malam kelmarin, dipercayai dibunuh sejak empat hari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa, Normalia Mahmood, 50-an di Segamat, Johor mengenai kehilangan kedua beranak berkenaan sebelum ibunya itu dan anggota polis ke rumah terbabit untuk menjalankan siasatan.

“Zara menghubungi keluarga di kampung dan mengadu sakit sebelum bapanya ke rumah itu untuk membawanya pulang, Khamis lalu. Keluarga itu kerap pulang ke Segamat kerana memiliki kebun buah,” katanya.

Menurutnya, selepas itu, dua beranak terbabit terus gagal dihubungi sehingga mayat mereka ditemui.

“Ibu mangsa membuat laporan polis di Segamat pagi semalam (kelmarin) sebelum pulang ke rumahnya itu.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di situ, ibu mangsa mendapati rumah berkenaan berkunci dan cuba menghubungi mangsa serta suaminya sekali lagi, tetapi kedua-dua talian tidak berjawab.

“Berikutan itu, ibu mangsa pergi ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan sekali lagi kehilangan ahli keluarganya sebelum polis mengiringinya ke rumahnya bagi mengesan mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis memecah masuk sebelum menemui dua mayat itu di dalam dua bilik berasingan.

Katanya, mayat bapa mangsa ditemui tertiarap di atas katil manakala mayat mangsa terlentang di atas lantai dan masih bertudung, malah kedua-duanya berpakaian lengkap.

Anggota forensik yang memeriksa tempat kejadian tidak menemui kesan jenayah pada badan mangsa dan penggeledahan dalam rumah itu.

“Hanya telefon bimbit serta Perodua Kenari milik anak mangsa dipercayai hilang dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, polis masih menunggu keputusan penuh forensik dan Jabatan Kimia bagi mengetahui punca kematian.

myMetro
13 Mac 2012


Mangsa hilang RM6,000

KUALA LUMPUR: “Arwah bukan saja berbudi pekerti baik, malah setahu saya dia tiada musuh kerana sikapnya yang peramah membuatkan dia disenangi orang,” kata teman baik Zara Eleena Omar Peter dikenali sebagai Zack, 30.

Katanya, dia mengenali mangsa ketika melaporkan diri sebagai pensyarah kolej swasta di sini, Ogos lalu dan menjadi rakan baik sekalipun mengajar di sekolah berasingan.

“Dua bulan lalu, Zara kehilangan RM6,000 wang pendapatan yang disimpan dalam akaun miliknya, tetapi enggan membuat laporan polis dan mendakwa ia dicuri individu dikenali,” katanya.

myMetro
13 Mac 2012


Rumah idaman dalam pembinaan

SEGAMAT: “Kami baru menemui Omar dan Normalia yang menjenguk perkembangan pembinaan rumah mereka minggu lalu.

“Tidak sangka ia kali terakhir kami bertemu Omar kerana kami terkejut apabila dimaklumkan dia ditemui meninggal dunia di rumahnya di Taman Kinrara 1, Puchong, Selangor kelmarin,” kata Ketua Kampung Gelang Cincin, Salleh Mohammad, 55, di sini, semalam.

Omar Peter Abdullah, 56, dan anak perempuannya, Zara Eleena, 26, ditemui meninggal dunia di rumah berkenaan pada jam 9.50 malam kelmarin oleh isterinya, Normalia Mahmud, 50..

Mayat dua beranak berkenaan ditemui Normaliah Mahmud, 50, yang juga isteri Omar.

Menurut Salleh, pasangan berkenaan adalah pesara bank di Kuala Lumpur dan sedang membina rumah di kampung itu.

“Mahmud, pesara tentera yang juga bapa Normalia adalah penduduk asal kampung ini dan tapak tanah pembinaan rumah berkenaan adalah pusaka keluarga.

“Setiap hujung minggu, pasangan berkenaan pulang ke sini untuk mengikuti perkembangan pembinaan rumah yang mula dibina sejak beberapa minggu lalu,” katanya.

Menurutnya, rumah batu berkenaan kini 20 peratus siap dan mungkin mengambil masa beberapa minggu lagi sebelum siap sepenuhnya.

Salleh berkata, Omar dan Normalia tidak menetap lama pada hujung minggu kerana menemankan Zara yang tidak mengikut mereka pulang ke kampung.

“Berikutan mereka banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur untuk bekerja, penduduk kampung ini kurang mengikuti perkembangan keluarga berkenaan.

“Jenazah mereka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Keretak di sini,” katanya.

myMetro
13 Mac 2012


Kekasih Zara ditahan

KUMPUL BUKTI...anggota Unit Forensik Selangor membuat siasatan kali kedua di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Zara dan ayahnya.

SERDANG: Seorang lelaki dan rakannya ditahan untuk siasatan berhubung misteri kematian seorang pensyarah kolej swasta, Zara Eleena Omar Peter, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56, yang ditemui dalam bilik berasingan di rumah mereka di Taman Kinrara 1, Puchong, petang kelmarin.

Seorang daripada mereka dipercayai teman lelaki yang juga bekas pelajar pensyarah malang itu ditahan bersama rakan serumahnya di kediaman mereka di Pandan Indah, Ampang, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, suspek yang berusia 18 dan 20-an itu kini direman seminggu bermula semalam dan kes masih diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan sehingga kini, kami masih lagi mengumpulkan lebih banyak maklumat bagi mencari motif dan sebab utama kejadian pembunuhan ini berlaku, namun polis masih belum dapat mengesahkan sama ada kejadian ini bermotifkan dendam, cemburu atau samun.

“Polis juga masih menunggu hasil laporan bedah siasat Jabatan Kimia dan patalogi yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas melawat semula lokasi kejadian bersama Unit Forensik Selangor, petang semalam.

Menurutnya, siasatan kes pembunuhan dua beranak itu turut diperluaskan ke kampung halaman ibu mangsa di Kampung Gelang Cincin, Segamat, Johor bagi mendapatkan gambaran dan maklumat secara menyeluruh selain merujuk fakta serta bahan bukti yang diperoleh di tempat kejadian.

“Setakat ini, telefon bimbit milik kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan kami juga masih mengesan kereta Perodua Kenari milik pensyarah berkenaan. “Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian dan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Nazir Max di talian 013-3007705 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

myMetro
14 Mac 2012


Jenazah dikebumi

SEGAMAT: Jenazah pensyarah kolej swasta, Zara Eleena Omar, 23, dan bapanya, pesara syarikat kewangan, Omar Peter Abdullah, 56, yang ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh di kediaman mereka di Taman Kinrara 1, Puchong, Selangor, selamat dikebumikan selepas Isyak di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Keretak, Kampung Gelang Cincin di sini, malam tadi.

Hampir 200 saudara, sahabat dan penduduk kampung hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada dua beranak berkenaan.

myMetro
14 Mac 2012


Zara tidak hadir mengajar

KUALA LUMPUR: Pensyarah kolej swasta, Zara Eleena Omar Peter, 23, yang ditemui mati bersama bapanya, Omar Peter Abdullah, 56, di rumah mereka di Taman Kinrara 1, Puchong, dekat sini Ahad lalu dilaporkan sudah tidak hadir mengajar di kolej beberapa hari sebelum dia dipercayai hilang.

Difahamkan, pensyarah bahasa Inggeris yang hampir setahun berkhidmat itu, jarang tidak hadir mengajar kecuali cuti sakit, namun minggu lalu, dia gagal menghadiri kelas.

Rakan sekerja dan majikannya turut mengambil pelbagai usaha untuk mengesannya termasuk menghubungi telefon bimbit Zara bagi mengetahui sebab ketidakhadiran ke kolej, namun gagal sebelum dimaklumkan mangsa ditemui mati.

Menurut pengurusan kolej, mereka tidak mengesyaki sebarang kejadian tidak diingini menimpa pensyarah muda berkenaan dan beranggapan mungkin dia mengalami masalah peribadi ataupun sakit, namun tidak menyangka dia bersama bapanya menjadi mangsa pembunuhan.

“Zara bertugas sebagai pengajar Bahasa Inggeris hampir setahun lalu. Dia seorang yang sangat komited terhadap kerja dan antara tenaga pengajar yang disenangi pelajar kolej serta rakan sekerja,” katanya ketika ditemui semalam.

“Bagaimanapun, beberapa hari sebelum ditemui mati, dia tidak hadir ke kolej tanpa memaklumkan sebarang alasan, dipercayai mempunyai masalah peribadi,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut pegawai pengurusan kolej yang tidak mahu mendedahkan nama kerana bimbang menjejaskan siasatan polis, dua lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan sehari selepas penemuan mangsa adalah pelajar kolej berkenaan.

“Kedua-dua pelajar itu antara individu yang rapat dengan mangsa. Bagaimanapun, kami menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

myMetro
15 Mac 2012


Polis Temui Petunjuk Dalam Kes Bunuh Dua Beranak Di Puchong

SHAH ALAM: Polis menemui beberapa petunjuk termasuk penemuan barang kemas bernilai RM100,000 yang dipercayai dapat menyelesaikan kes pembunuhan dua beranak di Puchong Ahad lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata penemuan turut berupa kenderaan milik mangsa, telefon bimbit serta maklumat spesifik yang diperolehi daripada orang ramai.

"Polis sedang mengumpul semua bukti dari segala sudut penyiasatan kes yang dipercayai bermotifkan masalah peribadi antara mangsa dengan seorang daripada suspek.

"Sehingga hari ini, polis telah menahan enam suspek di mana seorang daripadanya dipercayai mempunyai hubungan dengan seorang mangsa iaitu si anak.

"Kesemua mereka ditahan secara berasingan di Ampang dan Cheras. Dua daripada mereka ditahan pada 12 Mac dan empat lagi semalam," katanya dalam sidang media di sini Jumaat.

Mohd Bakri berkata kesemua yang ditahan itu berumur antara 19 dan 23 tahun yang merupakan pelajar kolej swasta di tempat mangsa mengajar.

Pembunuhan itu berlaku pada 11 Mac lalu dengan mayat pensyarah tersebut, Zara Eleena, 23, dan bapanya Omar Peter Abdullah, 56, ditemui mati di rumah mereka di Taman Kinrara.

Zara Eleena ditemui mati di atas lantai di dalam sebuah bilik manakala bapanya ditemui terlentang di atas katil di dalam bilik utama rumah teres setingkat itu.

Semua suspek kini ditahan reman sehingga 22 Mac ini. - BERNAMA

16 Mac 2012


Barang kemas ditemui

SHAH ALAM: Barang kemas yang bernilai RM100,000 milik ibu Zara Eleena Omar Peter, 23, yang dibunuh di rumahnya di Taman Kinrara, Puchong, di sini, turut dilarikan suspek dalam kejadian Ahad lalu.

Polis menemui semula sebahagian barang kemas itu yang dijual di kedai emas di Ampang manakala sebahagiannya tidak dijual kerana barang kemas tiruan.

Polis juga menemui semula kereta Perodua Kenari milik mangsa di Kedah yang dilaporkan hilang pada malam kejadian dan beberapa barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit.

Semua barangan itu ditemui selepas polis menahan enam lelaki berusia 19 tahun hingga 23 tahun yang juga pelajar kolej swasta di Cheras dan Ampang bermula Isnin lalu hingga kelmarin.

Suspek yang ditahan dipercayai pelajar mangsa dan belajar di kolej sama tempat mangsa mengajar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, polis percaya kes pembunuhan berkenaan dapat diselesaikan dengan penahanan semua suspek.

Menurutnya, seorang daripada suspek dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan mangsa dan juga pelajar kolej sama tempat mangsa mengajar.

Mohd Bakri berkata, motif pembunuhan dipercayai masalah peribadi antara mangsa dengan seorang daripada suspek yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.

“Sewaktu kejadian, tiada kesan rumah mangsa dipecah masuk dan ini menunjukkan mangsa mengenali suspek.

“Bagaimanapun bukti giat dikumpul dan daripada bukti yang diperoleh barulah motif sebenar dapat dikenalpasti dan siasatan dapat dilengkapkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

myMetro
17 Mac 2012


Empat Pelajar Kolej Didakwa Bunuh Pensyarah

EMPAT tertuduh termasuk kekasih Zara (baju biru) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA: Empat pelajar kolej swasta didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat terhadap tuduhan membunuh seorang pensyarah dan bapanya.

Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, Mohamad Sharafe Matt Noh, 19, Azizi Aizat Ibrahim, 20, dan Muhamad Safwan Muhamad, 20, didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu terhadap Zara Eleena Omar Peter, 23, di rumah nombor 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, kira-kira 1.30 pagi hingga 2.30 pagi pada 9 Mac lalu.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Omar Peter Abdullah, 56, di tempat yang sama pada kira-kira 11.30 malam, 8 Mac hingga 1.30 pagi, 9 Mac.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dibacakan, kesemua mereka menganggukkan kepala sebagai tanda faham. Tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan 23 April untuk sebutan sebelum kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

23 Mac 2012


Tertuduh diarah periksa mental

PETALING JAYA: Salah seorang tertuduh yang menghadapi tuduhan membunuh pensyarah bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter dan bapanya Omar Peter Abdullah, diperintahkan menjalani pemeriksaan mental oleh Mahkamah Majistret semalam.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid, memerintahkan tertuduh pertama, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan selepas membenarkan permohonan peguamnya, Mohd Rafek Rahem mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Mohd Rafek membuat permohonan bagi memastikan status kesihatan mental anak guamnya ketika kejadian bunuh itu didakwa berlaku. Mahkamah kemudian menetapkan 23 Mei ini bagi sebutan kes sementara menunggu laporan pemeriksaan mental tertuduh pertama, laporan perubatan dan laporan kimia.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Pada 23 Mac lalu, Mohamad Zul Shahril, Mohamad Sharafe Matt Noh, 19, Azizi Aizat Ibrahim, 20 dan Muhamad Safwan Muhamad, 20, kesemuanya pelajar kolej swasta dituduh membunuh Zara Eleena di rumah nombor 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong antara jam 1.30 dan 2.30 pagi 9 Mac lalu.

Mereka juga menghadapi tuduhan kedua membunuh Omar Peter, 56, pesara syarikat kewangan, di tempat sama antara jam 11.30 malam 8 Mac dan 1.30 pagi keesokan harinya. Seorang daripada tertuduh dipercayai kekasih Zara Eleena.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Berita Harian 24 Apr 2012


Mengaku ikat bapa pensyarah

SHAH ALAM - Seorang mahasiswa mengaku di Mahkamah Tinggi semalam, mengikat kaki bapa pensyarah bahasa Inggerisnya, Omar Peter Abdullah, 56, sebelum mulut dan hidung ditekup menggunakan kemeja T oleh tertuduh lain.

Fadhil Rushdan Rahman, 20, yang menjadi saksi pendakwaan memberitahu dia menggunakan tali dan memakai sarung tangan ketika melakukan perbuatan itu selepas diarahkan tertuduh iaitu rakan baiknya, Mohamad Sharafe Mat Noh, 21, pada malam 9 Mac, dua tahun lalu.

Fadhil Rushdan memberitahu mahkamah dia melihat keadaan Omar Peter seperti meminta pertolongan sebelum badan pesara itu sejuk.

“Mat Rof (Mohamad Sharafe) memeriksa keadaan badan Omar Peter mendapati ia sejuk serta tidak bernafas,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin.

Pelajar jurusan Perbankan Islamic Kolej Antarabangsa Cybernatic Taman Maluri itu juga memberitahu, tertuduh Azizi Aizat Ibrahim, 22, atau dikenali sebagai Boy mengikat tangan lelaki itu dengan tali.

Sebelum itu, dia dan empat tertuduh lain dijemput oleh pensyarah bahasa Inggerisnya, Zara Eleena, 23 ke rumah wanita itu yang terletak di Kinrara, Puchong, Selangor.

Aidatul Azura: Setelah sampai, apa yang berlaku?.

Fadhil Rushdan: Kami iaitu saya, Mat Rof, Boy, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20 atau Shah serta Miss Zara memasuki rumah itu dan nampak bapanya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Aidatul Azura: Selepas itu apa berlaku?

Fadhil Rushdan: Lebih kurang lima minit selepas itu Zara dan Shah keluar untuk mengambil Muhamad Safwan Muhamad, 20, dikenali sebagai Chap dan ustaz di lapangan terbang.

Fadhil Rush dan memberitahu semasa ketiadaan Zara Eleena, mereka bertiga ke dapur selepas bapa pensyarah itu menyuruh mengambil air minuman di dapur.

Selepas keluar dari dapur, Fadhil Rushdan berkata, Boy ke tandas dan keluar dengan memakai sarung tangan serta menekup mulut Omar Peter, sebelum lelaki itu ditarik ke dalam bilik hadapan.

“Mat Rof mengacukan pisau dan menekup mulut serta hidung Omar Peter menggunakan kemeja T yang berada di dalam bilik berkenaan, sementara saya dan Boy diarahkan mengikat kaki serta tangan menggunakan tali,” katanya.

Dia memaklumkan lebih kurang 30 minit selepas itu, Zara Eleena sampai dan mahu berjumpa dengan ayahnya namun dihalang oleh Shah.

“Boy memasuki bilik itu selepas Shah meminta tolong untuk menutup muka Miss Zara yang terbaring menggunakan bantal.

“Ketika terbaring, saya nampak Miss Zara meronta-ronta sebelum tidak bergerak” katanya.

Kesemua tertuduh didakwa membunuh Zara Eleena dan bapanya di rumah nombor 28 Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, di antara jam 11.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sinar Harian 11 Feb 2014


'Saya bodoh kerana percaya dia'

SHAH ALAM - "Saya bodoh kerana mempercayainya," kata Normaliah Mahmood, sambil menangis di dalam kandang saksi, hari ini semasa perbicaraan kes bunuh anaknya, Zara Eleena, 23, dan suaminya, Omar Peter Abdullah, 56.

Normaliah Mahmood, 53, yang menjadi saksi pendakwaan keempat itu memberitahu Mahkamah Tinggi, tertuduh, Shah atau nama sebenarnya, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20 mengatakan terdapat 25 ekor hantu padanya.

"Saya memang takut hantu," katanya sebak.

Wanita itu memberitahu mahkamah, menurut Zara Eleena, Shah yang kononnya seorang ustaz akan mengubatinya.

"Pada waktu itu, saya tidak sihat dan tidak boleh tidur," katanya.

Dia memberitahu, Shah tiba bersama Boy atau nama penuhnya Azizi Aizat Ibrahim,20, serta seorang lagi individu selepas Zara Eleena membuat panggilan telefon dengan menanyakan di mana pelajar itu berada.

Normaliah berkata, Shah memintanya tidur sebagai syarat mengubatinya namun dia tidak dapat melakukannya.

"Saya memang tidak dapat tidur, dan Yaya ( Zara Eleena) ada membuat air Nescafe 3 in 1 untuk saya minum. Suami juga menumpang cawan yang sama," katanya.

Menurutnya, sebelum pulang, Shah menyelongkar rumahnya untuk mencari hantu dan menjumpai hantu di dalam kotak barangan kemasnya.

"Suami angkat barang kemas saya yang disimpan di dalam kerusi kotak dan Shah mengasingkannya.

"Shah asingkan barang kemas yang ada hantu di lantai bilik," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin.

Beliau berkata, sekitar jam 1 pagi 16 Februari 2012, Shah dan rakannya pulang.

Menjelaskan perkara berlaku selepas itu, Normaliah memberitahu dia dan Omar Peter tertidur sekitar jam 3 pagi sehingga jam 2 petang.

Aidatul Azura     : Selepas bangun tersedar dari tidur, apa yang berlaku.

Normaliah          : Saya memberitahu Yaya yang pada waktu itu baru pulang dari tempat kerja bahawa saya tidur.

Aidatul Azura     : Apa reaksi Yaya?

Normaliah          : Yaya bagitahu dia ada bagi ubat tidur pada saya kerana Shah menyuruhnya untuk berubat demikian.

Aidatul Azura     : Ada puan bertanya mengenai hubungan Yaya dan Shah?

Normaliah          : Sehari selepas itu, saya ada bertanyakan berkenaan hal itu dan Yaya mengakui Shah adalah teman lelakinya. Yaya juga meminta pandangan daripada saya memandangkan Shah merupakanpelajarnya.

Bagi menjelaskan hal itu, Normaliah bertanyakan kepada anaknya apa yang Shah lakukan selain belajar.

"Yaya memaklumkan Shah bekerja sebagai penarik kereta dan saya memberitahu penarik kereta adalah bahaya kerana mereka agak kasar Saya juga ada kawan yang bekerja seperti itu dan mereka kasar," katanya.

Terdahulu, Aidatul Azura menyoal Normaliah berkenaan perihal kehilangan kad bank  dan wang milik Zara Eleeena.

Saksi keempat itu memberitahui, pada Januari 2012, Zara Eleena memaklumkannya melalui telefon selepas membuat laporan polis mengenai kehilangan wang dan kad bank itu.

"Saya tertanya-tanya bagaimana duit gaji dan duit yang kami berikan di dalam akaunnya boleh hilang sehingga Omar Peter terpaksa menghantar duit kepadanya pada waktu rehat untuk membeli makanan.

"Yaya sangat ambil berat terhadap barang miliknya. Pergi tandas, duit hilang, pergi mengajar duit hilang. RM10 pun boleh hilang,"katanya.

Normaliah berkata,  Zara Eleena membuat satu lagi laporan polis bersama suaminya selepas mendapati wang tunai RM500 miliknya lesap.

Sebelum ini, pensyarah bahasa Inggeris itu dan bapanya ditemui mati di sebuah rumah di Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, 11 Mac 2012.

Perbicaraan hari kedua itu berlangsung dihadapan Hakim, Datuk Abdul Halim Aman dan akan bersambung pada hari ini.

Sinar Harian 12 Feb 2014



0 comments:

Post a Comment