February 19, 2012

Pekerja kedai aksesori kereta mati dibunuh

SUNGAI PETANI - Mayat seorang pekerja kedai aksesori kereta dipercayai dibunuh ditemui dalam bilik air tempat kerjanya di Taman Cindai di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, Raja Dzulhairi Raja Ali, 19, ditemui dalam keadaan terbaring oleh majikannya pada kira-kira pukul 10 pagi tadi.

"Pemilik kedai yang juga saudara mangsa, tiba kira-kira pukul 10 pagi mendapati kedai yang sepatutnya dibuka pada pukul 8 pagi, tidak dibuka, lalu meneriak memanggil nama Raja Dzulhairi tetapi tidak dijawab.

"Setelah memeriksa, beliau dapati pintu tidak berkunci lalu masuk dan menemui mayat mangsa di dalam bilik air," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menemui tanda pergelutan pada mayat dan yakin Raja Dzulhairi mengenali pembunuhnya yang melemaskan mangsa serta mengambil barangan berharga.

"Motosikal dan komputer riba mangsa juga hilang manakala beberapa aksesori kereta dalam kedai turut dilarikan suspek," katanya yang membuka kertas siasatan kes mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

19 Feb 2012


Pekerja kedai aksesori dibunuh

ANGGOTA polis mengangkat mayat Raja Dzulhairi Raja Ali yang dipercayai mati dibunuh dalam sebuah kedai aksesori kenderaan di Taman Cindai, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 19 Feb. - Seorang pekerja kedai aksesori kenderaan ditemui mati dibunuh dalam keadaan kepalanya terendam dalam bilik air premis berkenaan di Taman Cindai, Jalan Kuala Ketil di sini hari ini.

Mayat Raja Dzulhairi Raja Ali, 19, ditemui pemilik kedai berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, pemilik kedai berusia lingkungan 30-an itu mengesyaki sesuatu apabila mangsa yang merupakan anak saudaranya dan tidur dalam premis itu tidak membuka kedai seperti biasa pagi ini.

"Kebiasaannya kedai dibuka pada pukul 8 pagi. Pemilik kedai itu cuba memanggil anak saudaranya beberapa kali tetapi tidak dijawab.

"Dia kemudian mendapati pintu tidak berkunci. Setelah masuk ke dalam kedai, dia menemui mayat anak saudaranya dalam bilik air," katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Ahmad Zakaria berkata, berdasarkan keterangan pemilik kedai itu, kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa adalah semasa premis itu ditutup pukul 8.30 malam tadi.

"Raja Dzulhairi berasal dari Negeri Sembilan dan sudah dua tahun bekerja di situ dan dia biasanya tidur di dalam kedai," katanya.

Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati, motosikal jenis Yamaha 125 dan komputer riba milik mangsa turut hilang.

"Selain itu, beberapa aksesori kenderaan yang dijual dikesan turut hilang," katanya.

Ahmad Zakaria menambah, mangsa mungkin mengenali suspek memandangkan tiada kesan pecah masuk dan berlaku pergelutan.

"Polis sedang menyiasat motif kejadian dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan mangsa disamun sebelum dibunuh," katanya.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 bagi membantu siasatan.

Utusan
20 Feb 2012


Kepala dalam tong air plastik

SUNGAI PETANI: Akibat perselisihan faham berkaitan motosikal, seorang pekerja mati dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya direndam dalam tong berisi air di bilik air tempat dia bekerja di sebuah kedai aksesori kereta, semalam.

Mayat Raja Zulhairi Raja Ali, 19, ditemui seorang lelaki berusia 30-an, yang juga majikannya ketika datang untuk membuka kedai berkenaan di Taman Cindai, Jalan Kuala Ketil di sini, jam 10 pagi.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Felda Palong 8, Negeri Sembilan bekerja dan tinggal di kedai terbabit sejak dua tahun lalu.

Menurut sumber, ketika mayat Raja Zulhairi ditemui, kedua-dua tangannya dilipat ke dalam baju.

Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul dengan objek keras sebelum kepalanya dimasukkan ke dalam tong plastik berkenaan.

“Kemungkinan berlaku perselisihan faham mengenai motosikal antara mangsa dengan suspek yang dipercayai lebih daripada seorang yang datang ke kedai itu malam sebelum kejadian dan mereka dipercayai terbabit membunuh mangsa,” katanya.

myMetro
20 Feb 2012


Basuh 20 baju putih

JEMPOL: “Minggu lalu, saya sempat membasuh 20 baju lama arwah yang semuanya berwarna putih,” kata Khalijah Kemat, 50, bu Raja Zulhairi Raja Ali, 19, yang mati dibunuh di kedai aksesori kereta tempat dia bekerja di Taman Cindai, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah, semalam.

Menurutnya, anak bongsu daripada empat beradik itu gemar berpakaian putih dan tidak menyangka firasatnya mahu membasuh baju lama Raja Zulhairi berwarna putih bagaikan petanda akan kehilangan anaknya.

“Saya tidak sangka anak dibunuh kejam kerana dia pendiam dan baik. Saya sempat berbual dengannya kira-kira jam 12 tengah malam Jumaat lalu.

“Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam perbualan singkat itu kerana hari sudah lewat malam,” katanya yang ditemui di rumahnya di Felda Palong 8, di sini, semalam.

Menurutnya, Raja Zulhairi bekerja di kedai aksesori kereta milik anak saudaranya sejak dua tahun lalu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Khalijah berkata, dia diberitahu mengenai kematian Raja Zulhairi oleh seorang lagi anaknya, Raja Faizal Raja Ali, 28, kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Luluh hati sebaik mendapat berita itu kerana saya sangat rapat dengannya kami selalu berbual melalui telefon walaupun berjauhan,” katanya.

myMetro
20 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment