January 17, 2012

Sara hidup jual penyapu

SIK — Kegigihan seorang warga emas Siti Hawa Mat Husain, 72, di kampung Bendang Man di sini mencari rezeki dengan membuat penyapu daripada pokok riong pasti menyentuh hati sesiapa sahaja.

Dengan dibantu anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), Mohd Zin Loji, 42, kedua-dua beranak ini terpaksa memasuki kawasan belukar yang terdapat tumbuhan pokok riong untuk mencari bahan membuat penyapu.

Siti Hawa berkata, pokok riong selalunya tumbuh di kawasan berbatu dan berbukit. Ia mudah ditemui di kawasan belukar di sekitar daerah ini.

Menurut Siti Hawa, pokok riong hanya akan mengeluarkan bunga pada awal Januari hingga April sahaja.

"Dalam masa empat bulan ini sahaja bunga riong boleh diambil dan selepas itu batang bunga riong akan menjadi reput,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Siti Hawa berkata, sepanjang empat bulan itu beliau dan anaknya akan mencari serta mengumpul sebanyak mungkin bunga pokok riong untuk dijadikan penyapu.

Menurutnya, bagi menghasilkan penyapu riong ia hanya memerlukan tali plastik untuk mengikatnya.

Katanya, dalam setahun beliau dan anaknya mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 150 batang penyapu dan hasilnya dapat menampung kehidupan mereka dua beranak sepanjang tahun.

Kemahiran warga emas itu membuat penyapu riong menjadi punca rezekinya sejak lima tahun lalu.

Kedaifan hidup dua beranak ini turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantu Mohd Zin dengan bantuan RM300 setiap bulan.

Bagi pengunjung pasar malam pekan Sik, Gulau , Parit Panjang dan pasar minggu pekan Baling dekat sini penyapu riong buatan Siti Hawa yang dijual dengan harga RM7 sebatang menjadi rebutan pengunjung di samping bertujuan membantu mareka.

Ini kerana penyapu riong buatan warga emas dan anaknya itu dibuat begitu kemas. — BERNAMA

17 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment