January 17, 2012

Ketua kongsi gelap mati ditembak polis

GEORGE TOWN - Ketua kumpulan kongsi gelap yang dikenali sebagai Geng 08 mati setelah berbalas tembak dengan polis di Paya Terubung, di sini awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner II Zahruddin Abdullah berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, polis peronda mengesan lelaki berusia 52 tahun yang dikehendaki polis itu.

Ketika itu, lelaki terbabit sedang memandu di Jalan Kampung Melayu di sini pada pukul 2.30 pagi, katanya.

Beliau berkata, polis mengekori lelaki berkenaan dan sebaik tiba di lampu isyarat flat Green Garden, dia memecut kenderaannya ke arah Jalan Paya Terubong apabila menyedari sedang diekori.

"Dia melanggar kereta polis sebelum keluar dari kereta dan melarikan diri ke sebuah kawasan kebun durian sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis,” katanya kepada pemberita di sini.

Zahruddin berkata, berdasarkan siasatan, polis mendapati ketua Geng 08 itu berasal dari George Town dan dia dikehendaki polis kerana aktif melakukan jenayah pemerasan di sekitar kawasan Air Itam, di sini. — BERNAMA

17 Jan 2012


Ketua Geng 08 ditembak mati

ANGGOTA polis mengangkat mayat suspek yang mati ditembak polis dalam satu kejadian berbalas tembak di Jalan Paya Terubong, Pulau Pinang, semalam. – UTUSAN/MALINDA ABDUL MALIK

PULAU PINANG 17 Jan. – Seorang penjenayah paling dikehendaki yang juga ketua kumpulan kongsi gelap Geng 08 mati dalam kejadian berbalas tembak di Paya Terubong di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, Chor King Ying @ Ah Jin, 52, mati ditembak dipercayai ketika pulang ke Air Itam di sini untuk menyambut Tahun Baru Cina.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, bertindak atas maklumat orang awam dan risikan, sepasukan polis peronda mengesan suspek yang sedang memandu keretanya di Jalan Kampung Melayu, Air Itam.

“Kita (peronda polis) mengekorinya dari Jalan Kampung Melayu tetapi apabila sedar diekori, suspek terus memecut ke arah Jalan Paya Terubong,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau menambah, peronda polis yang mengejar bertindak memintas keretanya namun suspek bertindak melanggar kenderaan polis lalu keluar dari kereta dan melarikan diri ke sebuah kebun durian.

“Pada masa sama, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis. Sebagai langkah keselamatan, polis terpaksa membalas tembakan menyebabkan suspek mati di tempat kejadian,” ujarnya.

Tambah Zahruddin, suspek yang menggunakan pistol jenis .38 Smith & Wesson dikesan aktif melakukan jenayah peras ugut di sekitar Air Itam.

Utusan
18 Jan 2012


Tersungkur dalam kebun durian

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat King Ying (gambar kecil) mati ditembak di dalam kebun durian di Jalan Paya Terubong, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN - Penglibatan seorang kepala gengster bergelar Geng 08 yang sangat dikehendaki atas jenayah pemerasan yang dilakukannya sejak beberapa tahun lalu berakhir dengan dia mati tersungkur di sebuah kebun durian selepas terkena tembakan polis semalam.

Mayat penjenayah yang digeruni di bandar ini, Chor King Ying @ Ah Jin, 52, ditemui dengan badannya terdapat kesan tembakan di kebun buah berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari jalan utama di Jalan Paya Terubong di sini selepas kejadian berbalas tembak pada pukul 3 pagi itu berlaku.

Difahamkan, selain digeruni orang awam dan penjenayah lain, suspek amat dikehendaki kerana terlibat dalam tujuh kes peras ugut di kawasan kelahirannya di Air Itam di sini sejak beberapa tahun lalu.

Kejadian awal pagi itu berlaku apabila polis yang menjalankan rondaan terserempak dengan suspek yang memandu kereta jenis Kia Rio berwarna biru bersendirian dari Kampung Melayu, Air Itam dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, suspek kemudian memecut keretanya sebaik menyedari dia diekori oleh dua buah kereta peronda hingga ke lampu isyarat dekat Flat Green Garden. Jarak antara dua tempat itu kira-kira lima kilometer.

Kosmo
18 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment