January 1, 2012

Tujuh remaja lelaki maut dalam kemalangan di Manjung



Maut melayang

KEADAAN kereta MPV Honda Stream yang remuk mengorbankan tujuh nyawa selepas bertembung dengan sebuah treler membawa tong gas di Batu 6 Lekir, Sitiawan, malam kelmarin.


FAKTA KEJADIAN


KEJADIAN : Kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan tong gas LPG dengan dua buah kereta menyebabkan 7 maut, 2 cedera.


LOKASI : Batu 6, Jalan Sitiawan-Lekir, Perak
TARIKH DAN WAKTU : 31 Dis 2011, 11.30 malam


MANGSA-MANGSA YANG MAUT :


1. Mohamad Kamal Tamsuri, 15
2. Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15
3. Mohd Faizal Ahmad Termizi, 15
4. Mohd Shafiq Riduan Yusuf, 16
5. Badrul Isa Sulaiman, 20
6. Mohd Hadi Sulaiman, 17
7. Mohd Hisham Mat Zaki, 23


MANGSA-MANGSA YANG CEDERA :


1. Khairul Faiz Mohd Noor, 17
2. Abdul Rashid Mohd Hisham, 49


Tujuh terbunuh selepas kereta dinaiki 10 rakan rempuh treler sebelum sambut tahun baru

SITIAWAN: Perjalanan pulang 10 rakan sekampung selepas membeli barang keperluan untuk menyambut tahun baru berakhir dengan tragedi apabila tujuh daripadanya, termasuk empat pelajar maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung treler dan sebuah kereta lain di Batu 6 Lekir, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian di ambang Tahun Baru 2012, kira-kira jam 10.30 malam itu turut mengakibatkan pemandu treler cedera parah, manakala tiga lagi penumpang dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki 10 orang itu serta pemandu sebuah lagi kereta jenis Honda Civic, cedera.

Enam mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada dua beradik, Badrul Isa Sulaiman, 19; dan Mohamad Hadi, 17; sepupu mereka, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15 serta Mohamad Kamil Samsuri, 15; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15 dan Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16.

Pemandu Honda Stream, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM) pada jam 8.35 pagi semalam. Pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang dilaporkan parah di muka dan tangan serta masih dirawat di HSM.

Penumpang yang duduk bersebelahan Mohd Hisam di bahagian depan, Khairul Faiz Mohd Noor, 17, serta dua lagi penumpang remaja perempuan yang tidak diketahui identiti mereka serta pemandu kereta Honda Civic dilaporkan cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar.

Mohamad Kamil, Ahmad Faizal, Mohamad Shadan dan Muhammad Shafik Redzuan adalah pelajar Sekolah MenengahKebangsaan Batu 10 Lekir; Mohd Hisam dan Badrul Isa pula bekerja di sebuah kilang di Kampung Acheh, Sitiawan, manakala Mohamad Hadi sepatutnya melaporkan diri mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pagi semalam.

Semua yang terbunuh berasal dari Kampung Batu 15 Lekir kecuali Muhammad Shafik Redzuan dari Kampung Batu 14 Lekir dan Mohd Hisam yang berasal dari Kampung Sungai Mekong, Jeli, Kelantan.

Kemalangan berlaku apabila Honda Stream dari arah Sitiawan memotong beberapa kenderaan dari sebelah kiri sebelum masuk semula ke laluan di depan Honda Civic secara mengejut sehingga hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Teluk Intan.

Pertembungan mengakibatkan bumbung Honda Stream tercabut dan melayang kira-kira 50 meter dari tempat kejadian, manakala kenderaan itu berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga beberapa penumpangnya terpelanting keluar, termasuk seorang yang terjatuh di atas kereta Honda Civic.

Treler pula terbabas ke kanan jalan dan merempuh beberapa gerai buah-buahan di tepi jalan sebelum terperosok ke dalam kebun kelapa sawit.

Keadaan di tempat kemalangan amat mengerikan apabila mayat bergelimpangan di tengah jalan dan ada yang tercampak sehingga ke laluan ladang sawit dengan satu mayat ditemui tanpa kepala dengan otak bersepai, mata tersembul dan isi perut terburai dengan cebisan daging dan otak bertaburan sehingga jarak 50 meter dari tempat kejadian.

Anggota bomba dan penyelamat terpaksa mengutip cebisan daging dan otak serta mencari kepala salah seorang mangsa yang kemudian ditemui tidak jauh dari situ.

Difahamkan, ketika kejadian, penumpang Honda Stream dalam perjalanan balik ke Kampung Batu 15 selepas selesai membeli barang keperluan dan bersiar sekitar Teluk Batik, manakala treler pula dalam perjalanan menghantar tong gas dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pulau Pinang.

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Superintendan Ismail Munajat, berkata semua mayat dibawa ke HSM untuk bedah siasat pagi semalam dengan enam daripada mangsa dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Batu 15 sebelum Asar, manakala jenazah Mohd Hisam dibawa ke Jeli untuk dikebumikan di sana.

“Kejadian berlaku di jalan lurus berturap dan kering, manakala keadaan gelap kerana tiada lampu jalan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Berita Harian
2 Jan 2012


Mayat hancur dirempuh treler


SITIAWAN – Tujuh remaja maut termasuk dua beradik menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas mayat mereka ditemui dalam keadaan beberapa anggota badan hancur apabila kenderaan pelbagai guna (MPV), Honda Stream yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan tong gas di Batu 6, Jalan Lekir-Sitiawan dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 10.30 malam itu menyebabkan Badrul Isa Sulaiman, 19; adiknya, Mohamad Hadi, 17, serta sepupu mereka, Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15, maut. Turut maut ialah tiga rakan sekampung mereka, Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dan Muhamad Shafik Redzuan Yusuf, 16.

Kesemua mereka mati dengan beberapa anggota badan mereka hancur di tempat kejadian.

Pemandu MPV terbabit, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, yang mengalami kecederaan parah di kepala pula meninggal dunia pada pukul 8.35 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi, Hospital Seri Manjung dekat sini.

Tiga lagi penumpang Honda Stream itu, Khairul Faiz Mohd. Noor, 17, dan dua rakan perempuan mereka pula cedera ringan.

Pemandu treler membawa muatan tong gas, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, cedera parah di kepala dan sedang dirawat di hospital sama.

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Komisioner Ismail Munajat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah Mohd. Hisam cuba memotong sebuah kereta Honda Civic yang berada di hadapannya dari arah kiri.

Kosmo
2 Jan 2012


Tragedi menjelang Tahun Baru 2012

Salah sebuah kereta yang terlibat dalam nahas di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Lekir, Seri Manjung, Lumut, semalam.

LUMUT 1 Jan. – Ketika seluruh masyarakat menantikan detik menyambut Tahun Baru 2012, satu nahas ngeri meragut nyawa tujuh remaja termasuk dua beradik berlaku di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Lekir, Seri Manjung malam tadi.

Nahas pada pukul 10.30 malam itu melibatkan dua buah kereta iaitu Honda Stream dan Honda Civic dengan sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG.

Mereka yang maut ialah enam penumpang Honda Stream iaitu Mohamad Kamil Samsuri, 15; Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15; Mohamad Hadi Sulaiman, 17 dan abangnya, Badrul Isa Sulaiman, 19.

Kesemuanya dari Batu 15 Lekir, Sitiawan dekat sini.

Turut terkorban ialah Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dari Kampung Parit Haji Dollah, Sitiawan; Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, dan pemandu kenderaan pelbagai guna itu, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, berasal dari Sungai Mekong, Jeli, Kelantan.

Ketika kejadian, MPV dinaiki 10 penumpang itu dipercayai baru pulang dari membeli peralatan sekolah di Sitiawan sebelum terlibat dalam nahas.

Pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, yang berasal dari Lebuh Padang Tembak, Pulau Pinang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM).

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Supritendan Ismail Munajat berkata, Mohd. Hisam meninggal dunia di HSM pukul 8.35 pagi ini manakala enam penumpang yang lain mati di tempat kejadian.

Seorang lagi penumpang, Khairul Mohd. Noor, 17, dari Batu 15, Lekir yang berada di tempat duduk sebelah pemandu hanya cedera ringan.

“Dua lagi penumpang perempuan MPV itu belum dikenal pasti kerana mereka telah pulang ke rumah dan tidak membuat laporan polis. Salah seorang daripada mereka cedera ringan dan seorang lagi tidak cedera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ismail, kesemua mangsa yang terbunuh mengalami kecederaan serius termasuk pecah dan putus kepala, mata tercabut dan perut terburai.

Menurutnya, nahas berlaku apabila MPV tersebut yang dari arah Sitiawan hilang kawalan ketika cuba memotong kereta Honda Civic di laluan kecemasan.

Katanya, MPV berkenaan kemudian masuk secara mengejut ke laluan hadapan kereta Honda Civic itu lalu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Teluk Intan.

“Ia menyebabkan MPV itu berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga ramai penumpang kenderaan itu tercampak keluar. Seorang terjatuh di atas kereta Honda Civic berkenaan.

“Treler tersebut pula terbabas ke kanan jalan dan merempuh gerai buah-buahan di tepi jalan.

Difahamkan, treler itu dalam perjalanan dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati MPV tersebut dipercayai dipandu laju melebih 120 kilometer sejam berdasarkan keadaan kenderaan yang tercabut bumbung dan tercampak sejauh kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Katanya, keadaan jalan di situ lurus dan tidak hujan sewaktu kejadian. Ia agak gelap kerana tiada lampu jalan.

“Namun demikian kawasan itu sering berlaku kemalangan, mungkin disebabkan terdapat banyak gerai buah-buahan di tepi jalan dan menjadi punca banyak kereta berhenti di lorong kecemasan untuk membeli buah-buahan,” katanya.

Ismail memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan
2 Jan 2012


Bapa pilu hilang dua anak serentak

IPOH 1 Jan. - Tahun 2012 yang membuka tirainya hari ini mengundang rasa pilu kepada Sulaiman Din, 42, apabila kehilangan dua anak lelaki serentak dalam nahas ngeri yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat sini malam tadi.

Dua anak lelaki Sulaiman iaitu Badrul Isa, 19, dan Mohamad Hadi, 17, serta anak angkatnya, Mohd. Hisam, 22, adalah antara tujuh penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream yang maut dalam tragedi itu.

Sulaiman memberitahu, Mohamad Hadi yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 10 di Lekir, sepatutnya melaporkan diri dan menaiki bas di Sitiawan untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hari ini.

"Kemalangan ini sungguh memilukan kami sekeluarga. Ini adalah ketentuan takdir dan saya reda dengan pemergian mereka," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Seri Manjung (HSM) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi, tujuh remaja termasuk dua beradik itu terbunuh apabila MPV yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler ketika kebanyakan rakyat sedang menantikan detik menyambut tahun baru 2012.

Sementara itu, kemalangan tersebut menemukan Sulaiman dengan keluarga kandung Mohd. Hisam yang menjadi anak angkatnya sejak beberapa bulan lalu.

Sulaiman berkata, Mohd. Hisam tinggal dengan keluarganya sejak lima bulan lalu kerana bekerja di tempat yang sama dengan anaknya, Badrul di sebuah syarikat membuat kapal gerudi minyak di sini.

"Sebelum ini, saya tidak pernah berjumpa dan hanya bercakap dalam telefon dengan bapa kandung Mohd. Hisam, Mat Zaki Abd. Rahman. Selepas kejadian ini, barulah kami bersua muka," katanya.

Mat Zaki, 58, pula memberitahu, dia mendapat tahu mengenai kejadian menimpa anaknya pada pukul 12.30 tengah malam tadi dan terus bertolak dari Jeli, Kelantan dan sampai di sini pukul 7 pagi ini.

Katanya, Mohd. Hisam merupakan anak bongsu daripada enam adik beradik dan belajar di Yemen sejak berusia 16 tahun.

"Dia pernah berkahwin tetapi telah bercerai. Hasil perkahwinan itu, dia mempunyai seorang anak berusia setahun," katanya.

Sementara itu, Yusuf Said, 46, bapa kepada seorang lagi mangsa, Muhammad Shafik Redzuan, 16, tidak menyangka keengganan anaknya itu membeli pakaian sekolah baru merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

"Saya suruh dia pergi beli baju sekolah baru kerana sekolah akan bermula tidak lama lagi tetapi dia cakap tidak perlu kerana baju lama masih boleh dipakai," katanya.

Utusan
2 Jan 2012


Meraung lihat jasad dua anak


HANCUR...kenderaan MPV yang dinaiki mangsa.

MANJUNG: “Saya dan isteri hanya mampu meraung bila melihat jasad dua anak kami terbujur kaku berlumuran darah dan ditutup surat khabar,” kata Sulaiman Din, 42, bapa kepada Mohamad Hadi, 17, dan Badrul Isa, 19, yang maut dalam kemalangan meragut tujuh nyawa di sini, malam kelmarin.

Kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki 10 orang termasuk dua beradik itu terbabas dan dirempuh sebuah treler membawa gas memasak di Batu 6, Jalan Sitiawan - Lekir, berhampiran kawasan perumahan Taman Kiara, di sini, jam 10.30 malam.

Selain Mohamad Hadi dan Badrul Isa, empat lagi penumpang kenderaan itu yang terbunuh di tempat kejadian ialah Mohamad Kamil Samsuri, 15; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, dan Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16.

Pemandu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang cedera parah di kepala meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini.

Sulaiman berkata, sejurus tiba di tempat kejadian dia terpaksa memeluk dan menghalang isterinya, Norakmar Osman, 44, daripada menyelak helaian akhbar yang menutupi mayat dua anak mereka kerana tidak sanggup melihat jasad yang tidak lagi sempurna.

“Darah keluar membuak-buak dari kepala anak saya, malah kulit tubuh mereka turut hancur. Saya sendiri tak sanggup melihat mereka selain hanya mampu menangis sehingga jenazah dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM),” katanya.

Kemalangan ngeri itu berlaku ketika semua mangsa baru meraikan sambutan Tahun Baru 2012 di bandar Sitiawan dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 15, Lekir.

Tiga lagi penumpang MPV itu hanya cedera ringan manakala pemandu treler terbabit, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, dari Ayer Itam, Pulau Pinang, cedera di kaki dan kini dirawat di HSM.

Menurut Sulaiman, menambahkan lagi kesedihan dia dan isterinya, dua mangsa yang terbunuh dalam kemalangan itu iaitu Mohamad Shadan dan Mohd Hisam ialah anak saudara dan anak angkat mereka.

“Pada petang sebelum kejadian, dua anak saya ada memberitahu ingin ke Sitiawan bagi menyambut tahun baru. Kami memberi kebenaran kerana tidak mahu menghampakan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, kata Sulaiman, isterinya menghubungi mereka kira-kira jam 10 malam meminta pulang awal kerana Mohamad Hadi perlu berkumpul di Sitiawan bagi menaiki bas mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kedah.

“Ketika isteri saya telefon, mereka mengatakan sudah bersiap sedia untuk pulang. Itulah kata-kata terakhir yang kami dengar kerana sejam telefon mereka sudah tidak dapat dihubungi,” katanya.

myMetro
2 Jan 2012


Hampir terpijak biji mata mangsa

LEKIR: Pegawai penyiasat memeriksa keadaan kereta Honda Stream yang terlibat dalam kemalangan treler di KM6 Jalan Lekir-Teluk Intan dekat Manjung malam tadi. Foto: Muhaizan Yahya (1/1/2012)

MANJUNG: “Saya hampir terpijak biji mata seorang mangsa tercampak di atas jalan, malah ada tali usus mangsa turut terkeluar,” kata seorang pegawai kerajaan yang juga saksi kejadian, Hasni Hashim, 45.

Menurutnya, dia kebetulan berada di restoran berhampiran tergamam apabila mendengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran lori dan kenderaan pelbagai guna, Honda Stream kira-kira 20 meter dari lokasi kedai makan berkenaan.

“Saya yang ketika itu sedang menghirup kopi panas, kelam-kabut melarikan diri selepas melihat treler sarat membawa tong gas itu terbabas dan meluru ke arah kedai makan.

“Treler itu yang meranapkan sebuah gerai keropok lekor di bahu jalan kemudian terperosok ke dalam kebun kelapa sawit terletak di belakang kedai,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas melihat insiden itu sebelum mendapati banyak tubuh remaja lelaki bergelimpangan di atas jalan dan tepi gerai.

“Suasana ketika itu amat mengerikan apabila ada tubuh mangsa yang putus hingga terkeluar isi perut, otak dan mata,” katanya ketika ditemui wartawan di lokasi kejadian.

Menurutnya, beberapa penduduk kampung kemudian bertindak menghubungi polis selain menutup tubuh mangsa dengan kertas surat khabar.

Sementara itu, seorang lagi saksi kejadian, Alice Tan, 55, mendakwa dihantui perasaan trauma selepas terpaksa mengutip cebisan mayat mangsa kemalangan yang melekat di gerainya.

Menurutnya, beberapa cebisan anggota badan mangsa turut tercampak ke dalam gerai buah-buahan miliknya, manakala darah mangsa juga turut terpercik mengenai barang perniagaannya.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang pekerja yang menjaga kedai saya pada jam 11 malam kelmarin.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati beberapa mayat bergelimpangan di atas jalan raya selain turut tertiarap di depan kedai,” katanya.

Menurutnya, ada antara mangsa yang turut cedera parah hingga hampir putus kepala selain kehilangan beberapa anggota tubuh penting.

“Pagi tadi (semalam) saya dapati beberapa cebisan daging dipercayai milik mangsa melekat di dinding gerai.

Saya terpaksa mengutip dan mengumpul daging mangsa sebelum diserahkan kepada anggota polis,” katanya.

myMetro
2 Jan 2012


Arwah anak mahu beli alat sekolah

MANJUNG: Hasrat seorang pelajar mahu membeli krim pencuci muka tidak kesampaian apabila mangsa, Ahmad Faizal Ahmad Termizi, 16, turut maut dalam kemalangan ngeri itu.

Ibu mangsa, Siti Khatijah Abd Kader, 47, berkata, anaknya yang menuntut dalam tingkatan tiga ada menyatakan keinginan mahu membeli krim pencuci muka selain peralatan sekolah bagi menyambut sesi baru persekolahan Rabu ini.

Menurutnya, anaknya itu meminta kebenaran untuk ke bandar Manjung bagi membeli perkakas sekolah kira-kira jam 2 petang kelmarin bersama kumpulan rakan karibnya itu.

Dia tidak menyangka sesuatu buruk berlaku hanya sempat memberikan wang sambil meminta anaknya itu pulang awal ke rumah.

“Namun, saya hanya mengetahui kejadian nahas kira-kira jam 11 malam apabila dimaklumkan jiran tetangga ketika ingin tidur.

“Jantung saya hampir gugur apabila dimaklumkan anak saya mati akibat kemalangan ngeri itu,” katanya sambil menitiskan air mata.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga pemandu kereta Honda Civic di belakang kenderaan dinaiki semua mangsa mendakwa tergamam apabila melihat mangsa melayang tercampak di depan matanya.

Saksi itu yang mahu dikenali sebagai Osman, 39, berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Lekir selepas menghadiri jamuan di Teluk Senangin, di sini.

“Sebaik kemalangan berlaku membabitkan MPV di depan mata, saya sempat melihat seorang mangsa melayang jatuh di atas kereta saya,” katanya.

myMetro
2 Jan 2012


‘Arwah tidak mahu pakaian seragam baru’

MANJUNG: “Arwah pernah menolak apabila mahu dibelikan seragam baru. Rupa-rupanya, dia (arwah) sudah tahu dia takkan sempat meneruskan persekolahan tahun ini,” kata Yusuf Said, 46, bapa kepada arwah, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, mangsa kemalangan maut.

Muhammad Shafik Redzuan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh, Lekir, di sini, maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream dinaiki bersama sembilan rakan lain merempuh sebuah treler membawa muatan tong gas.

Yusuf yang juga seorang nelayan berkata, beberapa hari lalu, dia pernah menawarkan pakaian sekolah baru kepada arwah, namun anaknya menolak.

Dia berkata, arwah juga dilihat tidak begitu bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baru tahun ini selain banyak mendiamkan diri.

“Malah, arwah hanya mahu saya membelikannya pakaian sukan baru. Dia (arwah) turut memaklumkan baju seragam sekolahnya yang lama masih elok dan tidak perlu membazir wang untuk membeli yang baru.

“Saya akur dengan permintaan itu, namun tidak menyangka ia petanda arwah pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) di sini, semalam.

Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu kira-kira jam 8 malam kelmarin sebelum dia keluar minum bersama rakan-rakan di Pekan Lekir.

Yusuf berkata, kira-kira jam 12.30 malam, dia mendapat panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan.

“Saya terkejut dan tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kerana arwah tidak meminta izinnya untuk keluar ke mana-mana malam semalam (kelmarin).

“Kebiasaannya, arwah akan memaklumkan kepada saya setiap kali mahu keluar rumah terutama pada waktu malam,” katanya.

myMetro
2 Jan 2012


Tak sempat lepas rindu

MANJUNG: “Kami tidak menyangka akan menyambut kepulangan jenazahnya sedangkan baru semalam (kelmarin), dia memberitahu rindukan kami semua,” kata Mat Zaki Abdul Rahman, 58, bapa kepada arwah Mohd Hisam, 22, mangsa kemalangan yang juga pemandu kenderaan MPV Honda Stream.

Sebelum itu, arwah Mohd Hisam yang juga duda anak satu dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Seri Manjung (HSM) selepas tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota tubuh.

Bagaimanapun, selepas hampir tujuh jam bertarung nyawa, penuntut Universiti Al-Iman, Yaman itu gagal diselamatkan apabila menghembuskan nafas terakhir, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Mat Zaki yang juga seorang ahli perniagaan berkata, dia menerima panggilan daripada arwah dan memaklumkan ingin pulang ke kampung selepas hampir dua bulan bekerja di sebuah kilang di Lumut.

Beliau berkata, dia sekeluarga gembira kerana arwah akhirnya membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman di Kampung Sungai Mekong, Jeli, Kelantan selepas hampir setahun menetap di daerah ini.

“Selepas dia (arwah) berpisah dengan bekas isterinya sejak Februari lalu lalu, arwah menginap sementara bersama ibu angkatnya di Batu 15, Lekir dan bekerja di sebuah kilang.

“Kami pernah mengajaknya supaya pulang ke kampung, namun dia berkeras mahu terus tinggal di Lekir kerana anak lelakinya yang berusia setahun masih tinggal dengan bekas isterinya di kampung itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik HSM di sini semalam.

Katanya, arwah masih mempunyai baki dua tahun pengajian dalam bidang usuluddin di Uinversiti Al -Iman, dan terpaksa menangguhkan pengajian itu buat sementara waktu selepas mendirikan perkahwinan dengan teman sekuliahnya dua tahun lalu.

Mat Zaki berkata, arwah adalah anak bongsu daripada enam beradik dan dia menjadi harapan keluarga, malah sering menjadi imam solat tarawih setiap kali bulan Ramadan.

“Sejak arwah berusia 12 tahun, saya dan isteri, Che Azizah Mat Noor, 54, menghantarnya untuk belajar agama di sebuah sekolah pondok moden di Pasir Mas sebelum menyambung pengajian di Yaman ketika berusia 16 tahun,” katanya.

Mat Zaki berkata, jenazah arwah disembahyangkan di Masjid Batu 14, Lekir bersama enam mangsa lain sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Jeli, Kelantan, untuk dikebumikan.

Sementara itu, Che Azizah berkata, dia turut dimaklumkan ibu angkat Mohd Hisam bahawa arwah menunjukkan perilaku yang pelik sebelum keluar dari rumah pada malam kejadian.

myMetro
2 Jan 2012


MPV crashes into trailer carrying gas cylinders in Manjung

MANJUNG: Seven people, including two brothers, died after the multi-purpose vehicle they were travelling in collided with a trailer carrying gas cylinders.

Manjung traffic chief Asst Supt Ismail Munajat said Mohd Hisam Mat Zaki, 22, was believed to have lost control of the MPV he was driving when overtaking a car, before crashing into the oncoming trailer.

In the 10.30pm incident on Saturday which occurred at Bt 6 Lekir, six people died on the spot while Mohd Hisam succumbed at the Manjung Hospital intensive care unit.

Those who died at the scene were Mohamad Kamil Samsuri, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, and brothers, Badrul Isa Sulaiman, 19, and Mohamad Hadi Sulaiman, 17.

ASP Ismail said trailer driver Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, and Khairul Faiz Mohd Noor, 17, and two other unidentified passengers of the MPV were not seriously hurt.

Wrecked: The fruit stalls that were damaged after the trailer crashed into them in Manjung, Perak. (Inset) From left: Mohamad Shadan, Mohamad Kamil, Muhammad Shafik, Ahmad Faizal, Mohamad Hadi and Badrul Isa.

He said Abdul Rashid was being warded at the Manjung Hospital for head injuries while the rest were given outpatient treatment.

“Our initial investigations showed that Mohd Hisam was ferrying 10 people in the MPV.

“We believe he tried to overtake a car but lost control of his vehicle before colliding with the oncoming trailer,” ASP Ismail said.

He said in an attempt to avoid Mohd Hisam's car, the trailer crashed into several fruit stalls by the roadside.

“The impact of the crash ripped off the roof of the MPV and its passengers were thrown out,” he said.

He added that one of the victims was decapitated while another landed on the other car.

In JOHOR BARU, two friends who were on their way home after New Year celebrations were killed when the car they were travelling in hit a tree at KM42 of the Air Hitam-Johor Baru road at Kulaijaya.

Wong Bee Kee, 18, from Kelapa Sawit, and Ng Zheng Yi, 18, from Bukit Batu, died at the scene.

Kulaijaya OCPD Supt Zulkefly Yahya said the incident occurred while they were heading towards Johor Baru at around 5.30am yesterday.

“The driver lost control of the car and the vehicle crashed into a tree at the road shoulder,” he said. The bodies were sent to the Kulaijaya Hospital for a post-mortem.

The Star
2 Jan 2012


‘Ada hikmah di sebalik nahas’

SITIAWAN: “Saya bagaikan mati hidup kembali apabila terselamat walaupun tujuh rakan maut dalam kemalangan itu. Saya bersyukur kerana beg udara keselamatan menyelamatkan nyawa saya,” luah Khairul Faiz Mohd Noor, 18, salah seorang mangsa yang terselamat dalam nahas ngeri di Batu 6, Jalan Sitiawan-Lekir, di sini, malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, semua mangsa tercampak keluar selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.

Rempuhan kuat menyebabkan tujuh mangsa yang duduk di bahagian belakang MPV berkenaan dikenali Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, Mohamad Hadi Sulaiman, 17, dan Badrul Isa Sulaiman, 19, mangsa mati di lokasi kejadian.

Pemandu kenderaan MPV itu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang luka parah di kepala meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini, selepas menerima rawatan kecemasan.

Menceritakan detik nahas ngeri itu, Khairul Faiz berkata, dia masih lagi trauma dan terkejut dengan peristiwa semalam yang meragut nyawa tujuh rakannya serentak.

“Sebelum kejadian, saya sempat membeli baju untuk dipakai pada hari pendaftaran sebagai pelatih Pusat Giat Mara, Tanjung Tualang, Rabu ini (esok).

“Malah, kami semua begitu bersemangat mahu memulakan sesi baru persekolahan tidak lama lagi,,” katanya yang akan mendaftar sebagai pelatih kimpalan di pusat itu.

“Kemalangan berlaku ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli-belah dan minum bersama-sama,” katanya. Menurutnya, kemalangan berlaku sekelip mata apabila tubuhnya melayang dan tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki.

“Saya berusaha bangkit sebelum melihat Mohd Hisam yang sedang mengerang kesakitan, manakala beberapa rakan lain kaku tidak bernyawa,” katanya, ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menurutnya, Hisam didapati berlumuran darah di kepala dan dalam situasi ‘nyawa-nyawa ikan’.

“Saya cuba menenangkannya dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, namun dia terus tidak sedarkan diri.

“Saya percaya ada hikmah di sebalik kejadian ini. Saya terselamat kerana beg udara keselamatan pada kenderaan itu mengembang secara mendadak sebaik rempuhan berlaku,” katanya yang cedera ringan dan mengalami luka di lutut dan bahu.

myMetro
3 Jan 2012

2 comments:

  1. ada gambar mangsa tak???....mcm gmbr ic ke apa...pleasee...urgent!!!

    ReplyDelete
  2. Salam. Maaf kerana saya lambat membalas mesej saudari Khaiyielitsya. Harap saudari telah pun dapat gambar-gambar yang dicari.

    Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan takziah ke atas keluarga mereka. Al-Fatihah.

    ReplyDelete