December 28, 2011

Pekerja Kilang Terbunuh Terjatuh Dalam Mesin Pembancuh Kelapa Sawit

TAIPING: Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam mesin pembancuh kelapa sawit di sebuah kilang di Kampung Padang Gajah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata Suhaimi Mohamad Ariffin, 36, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada seluruh bahagian badan.

Dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi itu, mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam mesin yang masih bergerak ketika mencuci mesin terbabit, katanya kepada pemberita, di sini.

Yusof berkata hanya mangsa berada di dalam kilang ketika itu dan kejadian disedari rakan sekerja mangsa yang berada di luar kilang selepas mendengar jeritannya.

Beliau berkata mayat mangsa dikeluarkan oleh pasukan jabatan bomba dan penyelamat yang digegaskan ke tempat kejadian selepas menerima laporan.

Mayat mangsa dihantar ke Hosptial Taiping untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. - BERNAMA

28 Dis 2011


Maut dalam mesin pengisar

TAIPING – Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam mesin pengisar tandan kelapa sawit di sebuah kilang di Kampung Padang Gajah, di sini semalam.

Lebih malang, mayatnya terpaksa diangkat dan dimasukkan ke dalam beberapa beg plastik kerana keseluru-han badannya hancur.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, mangsa, Shuhaimi Mohamad Ariffin, 38, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada seluruh bahagian badan.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dipercayai telah menutup suis mesin berkenaan untuk dicuci.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba mesin berkenaan bergerak dan menyebabkan mangsa tergelincir lalu jatuh ke dalam mesin tersebut.

“Hanya mangsa berada di dalam kilang ketika kejadian sebelum disedari rakan sekerja mangsa yang berada di luar kilang yang mendengar jeritannya,” katanya.

Yusof berkata, difahamkan seorang pekerja warga Bangladesh cuba memberhentikan mesin untuk menarik mangsa keluar tetapi gagal.

Beliau berkata, mayat mangsa dikeluarkan pasukan jabatan bomba dan penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan.

Difahamkan, anggota bomba mengambil masa satu jam untuk keluarkan mayat mangsa yang hancur dalam mesin berkenaan.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Azimi Mohamad Ariffin, 39, berkata, dia hanya mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa adiknya itu pagi tadi (semalam) selepas dimaklumkan penduduk kampung.

“Saya terus ke tempat kejadian untuk melihat keadaan adik, namun dia tidak dapat diselamatkan kerana mengalami kecederaan parah di seluruh badan,” katanya.

Sinar Harian
29 Dis 2011


Berkecai dikisar mesin

TAIPING: “Saya tak sanggup lihat mayatnya yang berkecai. Muka dan semua tubuhnya termasuk tulang hancur, malah tempurung kepala juga pecah,” kata rakan Suhaimi Mohammad Ariffin, 36, yang maut dalam keadaan ngeri selepas tergelincir ke dalam mesin pengisar tandan kelapa sawit, semalam.

Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 32, berkata kejadian berlaku pada jam 10.20 pagi di kilang kelapa sawit di Kampung Padang Gajah di sini, ketika mangsa melakukan tugas mencuci sisa tandan kelapa sawit pada mesin pengisar berkenaan.

RAGUT NYAWA...mesin pengisar tandan kelapa sawit yang meragut nyawa Suhaimi.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada tidak jauh dari mesin itu sebelum terdengar bunyi kecoh di kawasan mangsa bertugas.

Sejurus bergegas ke situ, Ahmad mendapati empat pekerja warga Nepal sedang mengerumuni mesin pengisar itu yang berfungsi mengasingkan tandan dan buah kelapa sawit sambil memberitahu mangsa terperosok di dalamnya.

“Ketika itu baru saya sedar Suhaimi sudah tidak bernyawa serta bermandi darah di dalam mesin berkenaan. Saya pelik bagaimana kejadian itu boleh berlaku kerana biasanya suis mesin akan ditutup ketika kerja mencuci dilakukan,” katanya.

myMetro
29 Dis 2011


Arwah anak menonong pergi kerja

TAIPING: “Saya terkilan kerana arwah tidak datang bersalam dengan saya seperti kebiasaan dilakukannya sebelum pergi bekerja pagi tadi (semalam),” kata Mohammad Ariffin Ibrahim, bapa kepada seorang pekerja kilang kelapa sawit yang maut selepas terjatuh ke dalam mesin pengisar tandan kelapa sawit di sini, semalam.

Mohammad Ariffin, 74, berkata arwah anaknya, Suhaimi, 36, biasanya akan datang mendekatinya sebelum bersalam dan meminta diri untuk pergi bekerja di kilang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka.

“Bagaimanapun, dia langsung tidak bercakap sepatah pun sebelum keluar dari rumah menunggang motosikal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersusun Padang Gajah, di sini, semalam.

Dalam nada sebak Mohammad Ariffin memberitahu, Suhaimi turut menunjukkan sikap aneh malam kelmarin apabila sengaja membuka televisyen walaupun hujan lebat dan disertai petir.

“Dia sengaja menguatkan bunyi televisyen dan duduk menonton tanpa rasa janggal antara jam 7 hingga 11 malam.

“Ini amat menghairankan saya kerana dia tidak pernah menonton televisyen ketika hujan lebat kerana bimbang keselamatan rumah dan perkakas elektrik,” katanya. Mangsa yang juga anak ke enam daripada tujuh beradik disifatkan sebagai baik dan mengambil berat terhadap keluarga.

Sementara itu, ibu mangsa, Habsah Ali, 62, gagal ditemubual berikutan masih terkejut dengan kejadian berkenaan.

Jenazah mangsa yang dituntut dari Hospital Taiping dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Terjun, di sini, jam 6 petang semalam.

myMetro
29 Dis 2011

0 comments:

Post a Comment