December 6, 2011

OKU menang hadiah kuiz Sinar

TENGKERA - MENAKJUBKAN! Walaupun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan, namun kekurangan itu tidak menghalang Jusoh Yasim, 57, daripada turut mengambil bahagian dalam Kuiz Menang Sinar Siri A, anjuran akhbar Sinar Harian.

Malah, berkat kesabaran dan bantuan isteri tersayang, Jusoh dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama, sekali gus memenangi wang tunai RM2,000.

Menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang tidak diduga, Jusoh berkata, wang kemenangan itu tepat pada masanya kerana anak bongsunya akan menghadiri majlis konvokesyen di Kolej Yayasan Melaka, minggu depan.

Menurutnya, dengan kemenangan itu, dia sekeluarga dapat meraikan kejayaan anak bongsunya itu menamatkan pengajian di kolej berkenaan.

“Alhamdulillah, dengan wang ini, kami dapat sama-sama hadir menyaksikan majlis konvokesyen anak saya, selain meraikan kejayaannya.

“Dengan wang kemenangan ini juga, saya dapat gunakan membeli barangan untuk kedai basikal yang saya usahakan secara kecil-kecilan di sini,” katanya sewaktu penyerahan hadiah di rumahnya di Rumah Pangsa Al-Ihsan, sebuah kawasan perumahan kendalian Majlis Agama Islam Melaka (Maim) untuk golongan miskin.

Menurutnya, dia tidak menghadapi banyak masalah menjawab soalan kuiz yang dikemukakan kerana sering mengikuti perkemba¬ngan peristiwa semasa, terutama berita yang dipaparkan di dalam akhbar Sinar Harian.

Menurutnya, dia dan isteri adalah pembaca setia Sinar Harian kerana tertarik dengan konsep yang diguna pakai.

“Saya suka Sinar Harian sebab ia bukan macam akhbar lain. Kalau satu-satu isu, terutamanya politik, pendapat kedua pihak pasti ada. Bukan seperti akhbar lain yang sering menggunakan satu pihak sahaja.

“Saya berterima kasih kepada isteri kerana banyak membantu saya dalam kuiz ini. Saya anggap kemenangan ini rezeki buat kami sekeluarga,” katanya.

Hadiah disampaikan oleh Wartawan Kanan Sinar Harian Edisi Melaka/ Negeri Sembilan, M. Jeffri Razli.

Sinar Harian
6 Dis 2011

0 comments:

Post a Comment