December 6, 2011

Empat suspek kes bunuh ditahan

MUAR – Pihak polis berjaya memberkas empat individu yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki pada Mac 2009, lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohd Nasir Ramli berkata, usaha polis menjejaki kesemua suspek selama dua tahun berhasil melalui maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, melalui maklumat itu, polis menahan salah seorang suspek pada 25 November lalu.

“Rentetan penangkapan itu, memudahkan pihak polis melancarkan gerakan untuk memberkas suspek lain yang ditangkap di sekitar Muar di antara 25 November hingga 5 Disember lalu.

“Kesemua suspek adalah lelaki berusia di antara 25 hingga 28 tahun, kini ditahan reman selama seminggu mengikut tarikh tangkapan masing-masing,” katanya dalam sidang media, semalam.

Difahamkan, kesemua suspek merupakan kenalan mangsa dan masing-masing tinggal sekampung di Muar.

Mohamad Nasir berkata, suspek bekerja sebagai jurutera, bekerja sendiri, nelayan dan penganggur.

“Pihak polis masih tidak dapat mengenal pasti motif pembunuhan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 Akta Culik 1961,”katanya.

Katanya lagi, dengan penangkapan kesemua suspek, pihak polis menganggap kes tersebut telah selesai.

Mengimbau kejadian pada Mac 2009 itu, seorang bapa menerima panggilan daripada suspek meminta wang tebusan sebanyak RM1 juta.

Tetapi, selepas tawar menawar, suspek bersetuju untuk menerima wang tebusan RM100,000.

Bagaimanapun, pada 20 Mac tahun yang sama, lima remaja menjumpai sebuah tong berbau busuk dalam sebatang parit di lokasi terpencil di Parit Punggor Darat, kira-kira 2.5 kilometer dari jalan utama.

Tong tersebut mengandungi mayat manusia berusia lingkungan 20-an dan hampir keseluruhan mayat itu dilitupi dengan simen.

Sinar Harian
6 Dis 2011


4 rakan sekampung dalang simen mayat

GAMBAR fail penemuan mayat seorang lelaki yang disimen dalam tong ditemui di Kampung Parit Punggur Darat, Muar.

Suspek mengaku culik, bunuh mangsa dua tahun lalu

MUAR: Misteri pembunuhan anak seorang peniaga yang diculik sebelum dibunuh dan mayatnya disimen dalam tong walaupun keluarganya sudah membayar tebusan RM100,000 dua tahun lalu, berakhir awal pagi semalam berikutan penangkapan empat rakan sekampung mangsa, di Parit Jawa.

Suspek berusia antara 24 hingga 28 tahun terdiri daripada jurutera, nelayan, pekebun serta penganggur itu ditahan polis Muar dalam gerakan sejak 25 November lalu hingga awal pagi semalam.

Empat sahabat itu disyaki mendalangi penculikan dan pembunuhan Koh Wei Seang, 21, yang mayatnya ditemui jam 4.15 petang 21 Mac 2009, selepas disumbat dalam tong dan disimen sebelum dicampak dalam parit di Kampung Parit Punggur Darat, Jalan Sri Tanjung, di sini.

Kejayaan polis menjejaki kumpulan penculik dan pembunuh selepas tiga tahun, bermula dengan penahanan seorang daripada suspek untuk membantu siasatan satu kes lain, sebelum mengaku terbabit dalam pembunuhan kejam itu bersama beberapa rakan termasuk seorang yang sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata berikutan penahanan empat lelaki terbabit, pihaknya percaya kes berjaya diselesaikan dan semua suspek dijangka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas siasatan selesai.

Mereka juga menghadapi siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pada 21 Mac 2009, sekumpulan pelajar yang dalam perjalanan memancing terkejut apabila menemui tong mengandungi mayat yang disimen dalam parit di Parit Punggur Darat. Polis terpaksa menggunakan jengkaut bagi mengeluarkan tong yang biasanya digunakan untuk menyimpan bahan kimia itu berikutan kandungan simen mencapai berat kira-kira 300 kilogram.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Muar yang dipanggil ke Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) pula mengambil masa kira-kira sejam memecahkan tong serta simen berkenaan. Mayat mangsa diletakkan dalam keadaan membongkok dengan lututnya dirapatkan ke dada, manakala hidung dan mulutnya dibungkus dengan plastik.

Ujian DNA kemudian mengesahkan identiti lelaki itu sebagai Koh Wei Seang, iaitu anak seorang ahli perniagaan yang diculik lima hari sebelum mayatnya dijumpai.

Berita Harian
7 Dis 2011


Penculik ahli perniagaan didakwa

FONG Siang dibantu oleh seorang anggota polis ketika hadir ke Mahkamah Majistret Muar semalam.

MUAR – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menculik sehingga menyebabkan mangsanya ditemui mati dalam sebuah tong berisi simen di Parit Punggor Darat di sini pada 21 Mac 2009 lalu.

Tertuduh, Teow Fong Siang, 28, didakwa menculik ahli perniagaan Koh Wei Seang, 21, dengan tujuan mendapatkan wang tebusan sebanyak RM100,000 daripada keluarga mangsa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh seorang penganggur didakwa menculik Wei Seang di hadapan sebuah rumah di Taman Melor, Jalan Jabbar, Parit Jawa di sini pada pukul 2.30 pagi 17 Mac 2009 hingga pukul 10 malam 20 Mac 2009.

Fong Siang didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat.

Pertuduhan kes tersebut dibuat di hadapan Majistret Roslinda Razali dan tertuduh yang bertongkat kerana pernah terlibat dalam kemalangan sebelum itu mengangguk faham bagi pertuduhan itu.

Roslinda menetapkan kes itu disebut semula pada 10 Januari 2012.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor R. Balakrishnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kosmo
10 Dis 2011


Pukul kepala tertuduh

MUAR: “Bagi saya tampar dia. Dapat tampar dua kali pun cukuplah. Hati saya sakit bila anak saya mati,” jerit seorang wanita berusia 50-an berulang kali sebelum dia pengsan ketika tertuduh kes bunuh anaknya dibawa keluar dari bangunan Kompleks Mahkamah Muar di sini, semalam.

Sebelum itu, wanita berkenaan dan anak perempuannya berusia 30-an sempat memukul kepala tertuduh, Teow Fong Siang, sebelum perbuatannya dihalang anggota polis.

Mereka ialah anggota keluarga mangsa culik dan bunuh, Koh Wei Seang, 21, yang disumbat di dalam tong dan disimen sebelum dicampak ke dalam parit di Kampung Parit Punggur Darat, Jalan Sri Tanjung, tiga tahun lalu.

Teow, 28, yang berkerja sebagai pekebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan menculik Koh, yang juga anak lelaki seorang ahli perniagaan pada Mac 2009.

Tertuduh yang juga rakan sekampung mangsa didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

myMetro
10 Dis 2011

0 comments:

Post a Comment