December 28, 2011

Askar Wataniah Maut Dilanggar Lori

KULIM: Seorang askar wataniah maut setelah motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 26, Jalan Kulim-Baling berhampiran Kawasan Perindustrian Padang Meha, Sungai Karangan, dekat sini, Rabu.

Ketika kejadian kira-kira 11 pagi, mangsa Azlina Rosli, 23, yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob, dekat sini, bersama adiknya Izzati, 19, yang menunggang motosikal lain bersama seorang rakan yang berusia 20 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Soo Son berkata, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan ke arah Pekan Padang Serai apabila kemalangan itu berlaku.

Katanya, ketika Azlina mengambil satu selekoh di situ, dia bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah Padang Serai menyebabkan mangsa terpelanting dari motosikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Chin berkata, Azlina mengalami luka parah di kepala selain luka-luka di bahagian badan dan kaki.

Mayatnya dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. - BERNAMA

28 Dis 2011


Kakak mati atas pangku

KULIM: Hanya laungan ‘kak’ sebanyak dua kali mampu dijeritkan oleh seorang gadis apabila melihat motosikal yang dinaiki kakak angkatnya hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum merempuh sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Padang Serai-Kuala Ketil, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi berhampiran Sungai Karangan itu, mangsa Nor Azliyana Rosle, 23, dari Taman Mutiara, Sungai Kob, dekat sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Lebih memilukan apabila pemegang motosikal Honda Wave yang dinaiki mangsa turut melekat pada bahagian depan sebelah kiri lori terbabit akibat tercabut dipercayai disebabkan rempuhan kuat.

Adik angkat mangsa, Nor Fazlin Idayu Ali, 14, berkata, mereka dalam perjalanan menuju ke Pendang secara berasingan yang mana dia membonceng motosikal ditunggang adik mangsa, Nor Azri Izati, 16, manakala arwah menunggang sendirian.

Menurutnya, ketika berada di kawasan Sungai Karangan menuju ke arah Padang Serai, arwah berada di hadapannya pada jarak kira-kira 50 meter.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami berdua terkejut apabila secara tiba-tiba motosikal ditunggangi arwah terus memasuki laluan bertentangan.

“Terkejut dengan kejadian itu, kami menjerit ke arah arwah selepas melihat sebuah lori kecil berada di laluan bertentangan dan dalam sekelip mata saja terdengar bunyi dentuman apabila motosikal arwah bertembung dengan lori,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Menurutnya, akibat daripada pertembungan itu, arwah terpelanting di bahu jalan bersama dengan motosikalnya.

Katanya, dalam keadaan panik, mereka memberhentikan motosikal lalu terus mendapatkan arwah yang ketika itu berada dalam keadaan nazak.

“Kami terus memangku arwah dan ketika itu dia sudah tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala. Orang ramai yang turut berada di tempat kejadian menghubungi ambulans, namun arwah disahkan sudah meninggal dunia sebaik ambulans tiba.

“Kejadian ini membuatkan kami rasa begitu sedih kerana pagi tadi (semalam) dan semalam (kelmarin) sebelum bertolak ke Pendang, kami bertiga sempat bergurau senda seperti biasa dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Arwah seorang yang baik dan juga aktif dalam aktiviti pasukan sukarela beruniform apabila menyertai Askar Wataniah dan pasukan Rela. Kini kami sudah kehilangannya buat selama-lamanya dalam sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 11 pagi sebelum sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

myMetro
29 Dis 2011

0 comments:

Post a Comment