November 9, 2011

Suami terbunuh, isteri dan anak cedera parah dalam kemalangan

TAPAH: Suami terbunuh, isteri dan anak cedera parah, manakala empat lagi anak mereka cedera ringan apabila kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan dua buah kenderaan lain di kilometer 315.9 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Roslan Bek Ahmad, berkata mangsa yang cedera parah dan terbunuh dalam kejadian itu adalah penumpang kereta Kharsana Amat, 38.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, isteri mangsa Mukrimah Hamzah, 37, anak lelakinya Mohd Izuddin Shah, 11 cedera parah manakala Azwin Nurain 12, Azrin Najihan, 9, Azrin Najwa,7 dan Mohd Mukhriz Shah, 3 hanya cedera ringan.

Kesemua yang cedera parah dan cedera ringan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, katanya.

Katanya, mereka semua berasal dari Pulau Pinang.

Roslan berkata, ketika kejadian, kereta jenis Perodua Alza yang dipandu Mukrimah, dalam perjalanan dari selatan ke utara dikatakan terlanggar belakang sebuah lori di hadapannya lalu terbabas dan melintang di tengah lebuh raya.

Pada masa yang sama sebuah kereta Proton Waja yang mengekori kereta mangsa gagal mengawal lalu merempuhnya.

Pemandu kereta Proton Waja dan lori tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut pada jam 10.20 malam tadi. - BERNAMA

9 Nov 2011


Rintihan isteri nahas kereta

IPOH: “Saya mahu menatap wajah abang buat kali terakhir,” begitu kata pengurus bank, Mukrimah Hamzah, 37, sambil berlinangan air mata sejurus mengetahui suaminya, Aidi Kharsana Ahmat, 38, terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 315.9 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah, kelmarin.

Permintaan wanita itu menyebabkan suasana di Wad 4B, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bertukar hiba kerana hajat itu tidak dapat ditunaikan ahli keluarganya berikutan keadaan dirinya yang cedera parah.

Dalam kejadian jam 10.20 malam, kereta Perodua Alza dipandu Aidi bersama Mukrimah dan lima anak mereka melanggar belakang sebuah lori menyebabkan ia melintang di laluan paling kanan lebuh raya sebelum kenderaan mereka dirempuh pula sebuah kereta yang gagal mengelak.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan dan kepala manakala Mukrimah serta seorang anak, Mohd Mukhriz Shah, 3, cedera parah. Bagaimanapun empat lagi anak mangsa hanya cedera ringan dan sudah dibenarkan keluar hospital.


Mukrimah patah kaki kiri selain kulit kepalanya terkoyak serta luka di beberapa bahagian badan manakala Mohd Mukhriz patah kaki kanan dan menerima rawatan di HRPB.

“Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku dan sebaik tersedar antara jam 3 hingga 4 pagi tadi (semalam), saya mendapati sudah berada di wad hospital.

“Saya diberitahu suami dirawat di Hospital Tapah manakala lima anak dirawat di sini. Namun, saya hanya tahu suami sudah meninggal dunia tengah hari semalam,” katanya.

Mukrimah yang ditemui wartawan Harian Metro di HRPB jam 2.15 petang semalam berkata, keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sungai Petani, Kedah selepas menyambut Aidiladha di rumah saudara-mara suaminya di Melaka dan Johor.

Katanya, mereka bertolak dari Pontian, Johor jam 11 pagi melalui jalan lama dan singgah di Nilai, Negeri Sembilan untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan.

“Kami sepatutnya pulang ke Kedah kelmarin (Isnin lalu), tetapi abang demam dan batuk. Selepas berbincang, kami memutuskan pulang pagi semalam (kelmarin) bagi membolehkan abang berehat secukupnya,” katanya.

myMetro
10 Nov 2011

0 comments:

Post a Comment