November 9, 2011

Peniaga, bekas askar dihukum mati

ALOR SETAR 8 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang peniaga dan seorang pesara tentera setelah didapati bersalah mengedar 4,497.3 gram kanabis, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Zainal Nanyan, 48, dan Desar Din, 60, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Zainal yang berkemeja lengan panjang berwarna biru lembut dan rakannya, Desar berkemeja-T biru gelap kelihatan tenang sebaik sahaja menerima keputusan itu.

Mereka dilihat sempat menemui keluarga masing-masing di galeri awam.

Zainal dari Bukit Kayu Hitam dan Desar dari Gurun didakwa secara bersama mengedar ganja tersebut di simpang Jalan Sungai Badak, bersebelahan kedai Tiang Roman/Batu Nesan, Gurun pada pukul 5.45 petang, 21 Mei 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Mohd. Zaki berkata, walaupun kedua-dua tertuduh memberi keterangan secara bersumpah namun pembelaan mereka adalah sesuatu yang diada-adakan yang tidak boleh dipercayai dan diterima oleh mahkamah.

''Pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dan selepas mempertimbangkan keseluruhannya, pihak pendakwaan berjaya buktikan kes terhadap tertuduh. Bagi kesalahan ini satu-satunya hukuman adalah gantung sampai mati,'' kata Mohd Zaki.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd. Yatim, manakala Zainal diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin dan Desar diwakili peguam Mohd. Amir Abdul Rani.

Salehuddin dalam rayuannya memberitahu, anak guamnya mempunyai seorang isteri serta tiga anak dan selepas ditangkap, perniagaan kedai makannya telah ditutup.

''Tertuduh yang merupakan anak tunggal juga menanggung kedua ibu bapanya dan ini merupakan kesalahan pertama,'' katanya.

Mohd. Amir pula merayu, anak guamnya merupakan seorang warganegara yang baik kerana pernah bertugas selama 22 tahun sebagai anggota tentera dan tidak mempunyai rekod lampau.

Katanya, selepas bersara datuk kepada 10 orang cucu itu hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan selain mendapat duit hasil pemberian tiga anaknya.

Utusan
9 Nov 2011

0 comments:

Post a Comment