October 31, 2011

Impian jadi juruterbang tak kesampaian

KERJAYA sebagai juruterbang sinonim dengan lelaki yang berkarisma 'membelah' awan, beruniform kemas dan segak, sering merantau ke seluruh pelosok dunia serta bergaji lumayan.

Justeru, banyak pemuda yang menyimpan keinginan untuk menjadi juruterbang. Jika bukan juruterbang komersial, pilihan lain yang lebih hebat juga ada iaitu sebagai juruterbang pesawat tentera.

Manakala bagi individu yang tidak layak pula pastinya cemburu melihat gaya hidup golongan ini yang sering dipandang hebat di mata masyarakat.

Namun, untuk menjadi seorang juruterbang bukannya mudah. Yuran pengajiannya sahaja sangat tinggi sementara kelayakan akademik pula haruslah cemerlang.

Itu belum lagi dikira risiko dan cabaran yang perlu ditempuhi. Jadi tidak hairanlah sekiranya ramai penuntut yang gagal memenuhi aspek-aspek tersebut.

Perkara yang sama turut dialami oleh seorang anak muda bernama Johan Jamaludin, 19. Perasaannya begitu teruja selepas melihat tawaran menarik di sebuah akhbar tempatan mengenai kemasukan ke akademi latihan penerbangan di syarikat HM Aerospace Sdn. Bhd. (HM Aerospace).

Tawaran itu dilihatnya sebagai pembuka pintu kepada impiannya untuk menjadi seorang juruterbang komersial yang berjaya.

Tawaran itu menyatakan, syarikat tersebut akan memberikan biasiswa RM30,000 dan menjamin pinjaman pembelajaran sebanyak RM100,000 bagi individu yang berhasrat mendaftar bagi kemasukan April 2010.

Dia yang dibiayai oleh abangnya, Mohd. Farrel, 28, hanya dikehendaki membayar RM10,000 sebagai wang pendahuluan.

Namun selepas membuat pembayaran, remaja itu diberi notis oleh pihak pengurusan HM Aerospace supaya menjelaskan bayaran yuran pembelajaran RM70,000 selepas seminggu menandatangani perjanjian kemasukannya.

Manakala baki RM200,000 pula harus dijelaskan secara ansuran sebanyak empat kali dalam tempoh sembilan bulan berada di akademi tersebut.

Terkejut dan rasa diperdaya, itulah perasaannya apabila mendapati tawaran yang didakwa diberikan sebelum diterima masuk, berbeza dengan apa yang terpaksa ditempuhi.

Dia seterusnya memutuskan untuk tidak meneruskan pengajian di situ dan beberapa kali meminta pihak pengurusan syarikat tersebut memulangkan semula wang RM10,000.

Keengganan syarikat terbabit memberi kerjasama membuatkan abangnya, Mohd. Farrel terpaksa mengheret HM Aerospace ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Tingkat 16, Putra Place, Jalan Putra di ibu negara.

Selepas mendengar tuntutan tersebut baru-baru ini, Presiden TTPM, Mohd. Nasrim Mohd. Salleh memerintahkan HM Aerospace membayar semula RM10,000 kepada penuntut dalam tempoh 14 hari.

Sekiranya syarikat itu gagal mengikut perintah, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Utusan
31 Okt 2011

0 comments:

Post a Comment