October 31, 2011

Budak perempuan mati lemas selepas jatuh dalam parit konkrit

MIRI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun mati lemas setelah terjatuh ke dalam sebuah parit konkrit sedalam empat kaki yang terletak berhampiran sebuah tapak pembinaan di Desa Senadin di sini, Jumaat lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Nana Juastlian merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik, yang mana kedua-dua ibu bapanya berasal dari Indonesia.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa tinggal bersendirian bersama seorang kakak dan adik lelakinya berusia lima tahun, sementara kedua-dua ibu bapanya keluar bekerja di kawasan pembinaan tersebut.

Difahamkan, sekitar jam 10 pagi semalam, mangsa bersama adiknya telah pergi ke tapak pembinaan berkenaan untuk mencari ibu bapanya dan untuk sampai ke situ, mereka perlu menyeberangi parit konkrit itu.
Ketika cuba menyeberangi parit itu, mangsa dikatakan telah terjatuh dan terus tenggelam.

Kejadian itu hanya disedari oleh seorang anak jiran yang kebetulan melintasi kawasan tersebut setelah dimaklumkan oleh adik mangsa dan sejurus itu, budak lelaki terbabit memberitahu ibunya tentang kejadian berkenaan.

Ketika ditemui lewat petang semalam oleh para pekerja di tapak pembinaan tersebut, mangsa disahkan telah meninggal dunia dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Utusan Borneo
31 Okt 2011

0 comments:

Post a Comment