SEORANG penunggang motosikal merakamkan gambar kereta api yang terbakar setelah sebuah lori tangki minyak di jalan Kota Kinabalu-Putatan dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.
Anggota forensik polis melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca bagaimana sebuah keretapi dilanggar lori tangki minyak dalam kejadian di Kepayan, Kota Kinabalu berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang berlaku petang semalam. Kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang apabila lori tangki yang sedang melintasi trek keretapi tersebut dirempuh oleh keretapi dan punca sebenar kejadian sedang disiasat. Foto BERNAMA
GAMBAR - NORMIMIE DIUN / The Star
KOTA KINABALU 31 Okt. – Hampir 200 penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari sini ke Papar terselamat apabila kenderaan itu merempuh sebuah lori tangki minyak mengakibatkan berlaku kebakaran dan letupan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini petang ini.
Kejadian pukul 5.30 petang itu menyebabkan kesesakan trafik yang teruk apabila jalan hadapan KKIA menghala Putatan terpaksa ditutup pada pukul 6 petang kerana api yang marak.
Difahamkan lori tangki membawa muatan 27,000 liter petrol itu terbakar serta-merta selepas dirempuh, seterusnya berlaku letupan kuat dan asap hitam tebal menjulang setinggi 30 meter.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian malang tersebut dan hanya sembilan orang penumpang dilaporkan cedera.
Beliau berkata, pemandu lori tangki minyak dan pemandu keretapi juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius kerana sempat menyelamatkan diri.
“Lori tangki itu dilaporkan cuba melintas laluan keretapi yang terletak berhampiran jalan besar dekat KKIA bagi menghantar minyak ke sebuah stesen terletak berhampiran dengan laluan keretapi tersebut.
“Namun ia dipercayai tidak sempat melintas dan menyebabkan dirempuh keretapi yang menuju ke Papar,” katanya pada sidang akhbar di sini, malam ini.
Menurut pemandu lori tangki itu yang ingin dikenali sebagai Pouleh Dansun, sebelum kejadian, dia terdengar hon kuat tetapi menyangka ia dibunyikan oleh kenderaan di belakangnya.
“Namun setelah ditoleh ke kiri sebuah kereta api menuju ke arah saya. Saya cuba memecut lori itu untuk melintas laluan keretapi tersebut tetapi gagal.
“Kereta api itu lalu merempuh bahagian belakang lori dan menyebabkan ia terbakar dan meletup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut saksi, penumpang-penumpang dalam kereta api itu berjaya menyelamatkan diri selepas pelanggaran berlaku dengan melarikan diri ke bahagian belakang keretapi.
Mangsa-mangsa yang cedera segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Fauzi berkata, lima kereta bomba dari balai bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Katanya, mereka juga dibantu dengan sebuah kereta tangki air dan dua kereta bomba dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat lapangan terbang itu.
Utusan
1 Nov 2011
Ibu hamil lompat
KOTA KINABALU: Dua ibu termasuk seorang daripadanya sarat mengandung lapan bulan antara ratusan penumpang yang terselamat dalam kejadian kereta api merempuh lori tangki di Kilometer 5, Jalan Kota Kinabalu-Putatan, Petagas, di sini, petang kelmarin.
Menurut Masitah Nila, 28, sebaik rempuhan itu, dia terpaksa menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari gerabak tanpa menghiraukan kandungannya yang berusia lebih lapan bulan.
“Ketika itu, saya dan suami, Wira Juslin duduk di gerabak paling hadapan dan terkejut apabila terdengar pemandu membunyikan hon berkali-kali sebelum membrek cemas, disusuli dentuman kuat.
“Selepas dentuman, saya melihat api mula menjulang di sebelah kanan tingkap kereta api dan keadaan menjadi kelam-kabut.
“Dalam keadaan cemas, suami terjun dulu sebelum mengarahkan saya mengikutinya,” katanya ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, semalam.
Masitah berkata, selepas keluar dan menyelamatkan diri, perutnya terasa sakit sebelum dibawa menaiki ambulans ke HQE untuk rawatan.
“Selepas diperiksa, saya bersyukur kerana bayi dalam kandungan disahkan selamat,” katanya.
Seorang lagi bakal ibu, Dewi Asara Pengiran Mat Sue, 23, mendakwa di gerabak paling belakang dan hampir terhumban ke depan sebaik kereta api melakukan brek kecemasan.
“Saya terkejut kerana selepas lebih 15 minit kereta api itu meninggalkan stesen Tanjug Aru dan melanggar lori minyak, seorang penumpang lelaki memecahkan cermin tingkap dan mengarahkan semua penumpang keluar.
“Saya yang mengandung empat bulan terpaksa berhati-hati ketika kerana bimbang keselamatan janin,” katanya yang mengandung anak pertama.
Katanya, dalam dalam kelam kabut, perutnya beberapa kali dihimpit penumpang lain yang turut berusaha menyelamatkan diri.
“Kebiasaannya, suami akan menjemput saya di pejabat, namun hari itu (kelmarin), dia bekerja lebih masa menyebabkan saya mengambil keputusan menaiki kereta api.
“Saya bersyukur kerana bayi sulung kami selamat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penumpang, Rahimah Rahmah, 42, mendakwa ketika kejadian berada di gerabak belakang dan hanya menyedari sesuatu yang buruk berlaku apabila terdengar bunyi dentuman disusuli letupan kuat.
“Selepas itu, kami semua berebut keluar dan ada penumpang menolak saya sehingga terjatuh menyebabkan kaki kiri saya patah.
“Dalam keadaan kesakitan, saya berjalan ke tempat lebih jauh kerana bimbang kereta api meletup selepas melihat api menjulang tinggi di bahagian depan kereta api,” katanya.
myMetro
2 Nov 2011
No comments:
Post a Comment