August 13, 2011

Jual senjata api RM500

KUALA LUMPUR: Pelbagai senjata api tiruan, peluru dan pakaian pasukan keselamatan dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Garden House, Petaling Jaya, di sini, petang kelmarin.

Turut ditahan tiga suspek berusia 30-an termasuk seorang wanita dan semua mereka dipercayai pihak yang bertanggungjawab membeli senjata yang menyerupai senjata api asli dari Hong Kong melalui Internet sebelum menjualnya untuk pasaran dalam negara pada harga RM500 hingga RM900 setiap satu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata sepasukan polis dari Unit Risikan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) membuat serbuan ke atas rumah terbabit kira-kira jam 2.15 petang selepas mendapat maklumat kegiatan penjualan senjata api tiruan itu.

Menurutnya, ketika pemeriksaan di sebuah bilik berkunci dalam rumah itu, polis menemui pelbagai senjata api tiruan termasuk empat mesingan, satu raifal, dua shot gun, satu sub mesingan, enam pistol jenis Sig Sauer, Blowback, Glock dan US 9mm, 11 kelopak peluru mesingan dan sebutir peluru berkepala merah.

Semua peralatan itu dianggarkan bernilai lebih RM20,000.

“Hasil siasatan awal, suspek memberitahu semua senjata dan peralatan tiruan itu dibeli melalui perkhidmatan Internet yang berpangkalan di Hong Kong, manakala proses penghantaran dibuat melalui perkhidmatan kurier.

“Bagi mengelakkan senjata tiruan itu dikesan pihak berkuasa, mereka membuat pengisytiharan barangan terbabit sebagai alat ganti kenderaan dan kompressor semburan cat,” katanya di sini, semalam.

Amar Singh berkata, perkembangan seperti ini sangat membimbangkan kerana senjata tiruan berkualiti tinggi itu begitu mudah dibawa masuk melalui perkhidmatan kurier.

“Walaupun senjata itu tiruan, namun model dan penggunaannya menyamai mekanisme senjata asal. Polis khuatir senjata sebegini boleh digunakan untuk melakukan jenayah serius yang boleh mengancam keselamatan awam,” katanya.

Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan direman selain ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki terbabit positif dadah jenis syabu.

myMetro
13 Ogos 2011


Jual senjata guna Facebook

KUALA LUMPUR – Setelah hampir dua tahun menikmati hasil jualan senjata palsu melalui Facebook, dua lelaki dan seorang wanita diberkas di sebuah rumah mewah di Park Ville Garden House, Petaling Jaya, kelmarin.

Mereka sebelum ini bergiat aktif melakukan lebih 100 kali jualan senjata tersebut di seluruh negeri dan berkemungkinan ke negara jiran kerana mereka menggunakan Internet sebagai medium perantara.

Suspek juga dikatakan terlalu meminati bidang ketenteraan dan menghiasi rumah sewa itu termasuk bilik dengan cadar berceloreng tentera, gambar dan peralatan lain.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, bagaimanapun, suspek masing-masing bekerja sebagai ahli perniagaan, 35, jurutera, 32 dan kerani, 30, diberkas dalam serbuan kira-kira jam 2.15 petang kelmarin.

Antara senjata tiruan yang dirampas adalah enam pucuk pistol jenis Sig Sauer, Blowback, Glock dan US 9mm, Machine Gun (4), Shot Gun (2), Rifle (1), serta Submachine Gun (1).

Turut ditemui puluhan peluru, teropong, gari, bannet, bekas peluru dan tiga pasang jaket kegunaan pasukan keselamatan.

“Semua barangan yang dirampas itu didapati dibeli melalui perkhidmatan Internet yang berpangkalan di Hong Kong, manakala proses penghantaran ke dalam negara adalah melalui perkhidmatan kurier.

“Bagi mengelakkan barangan ini dikesan, pembeli iaitu suspek membuat pengisytiharan senjata tiruan itu sebagai alat ganti kenderaan atau kompresor semburan cat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, suspek membeli senjata tiruan itu pada kadar harga RM400 dan menjualnya antara RM900 selaras dengan menggunakan Internet dan laman Facebook.

“Kita sudah memperoleh senarai nama pembeli tersebut.

"Saya minta pembeli itu datang ke balai berhampiran menyerahkan senjata tersebut dengan kadar segera dan membantu siasatan,” katanya.

Amar Singh berkata, biarpun senjata ini tiruan tetapi ia tetap menjadi kesalahan mengikut Sesyen 36 (1) Akta Senjata Api 160 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Sinar Harian
14 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment