June 6, 2011

Tangisan didera kekasih ibu

BUTTERWORTH: Jeritan dan tangisan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sejak beberapa bulan lalu membongkar rahsia dia dipercayai mangsa dera teman lelaki ibunya.

Kanak-kanak berkenaan dipercayai menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya berusia 40-an, selepas ibu tunggal berusia 22 tahun itu bercerai dengan pasangannya berusia 25 tahun, beberapa tahun lalu.

Kejadian dera itu berlaku di rumah sewa wanita terbabit di Taman Mesra, Bagan Lallang, dekat sini, yang dipercayai kerap dikunjungi teman lelakinya, sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, kejadian itu mula terbongkar apabila seorang jiran wanita terbabit ternampak teman lelaki ibu tunggal terbabit menarik telinga mangsa masuk ke dalam sebuah kereta, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Menurut sumber, jiran wanita itu yang mengesyaki sesuatu perkara buruk berlaku bertindak menghubungi peronda sukarela sebelum menghubungi polis.

Berikutan itu, sepasukan polis bergegas ke kawasan perumahan berkenaan dan menyoal siasat wanita terbabit dan teman lelakinya.

“Wanita terbabit mendakwa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu anaknya dengan bekas suami yang bekerja di pasar raya.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati ada kecederaan termasuk kesan rotan dipercayai didera pada telinga, mata, badan, tangan serta kaki mangsa,” katanya.

Susulan itu, wanita terbabit dan teman lelakinya ditahan, manakala mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan penahanan pasangan terbabit bagi membantu siasatan.

myMetro
6 Jun 2011


Dera anak kandung

MAK MANDIN - Laporan polis oleh seorang jiran petang kelmarin menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun daripada terus menjadi mangsa dera ibu kandung dan teman lelaki ibunya di Taman Mesra Bagan Lalang di sini,

Sebaik dihantar menjalani rawatan di Hospital Seberang Jaya oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Komuniti Mak Mandin, kanak-kanak itu disahkan menjadi mangsa dera berikutan penemuan pelbagai parut lama dan baru di seluruh badannya.

Ibu kandungnya berusia 25 tahun dan pemandu lori berusia 40an kemudian ditahan untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang mengesahkan kejadian itu berkata, pasangan kekasih itu menyewa rumah berkenaan sejak beberapa bulan lalu bersama mangsa.

“Ibu kandung mangsa dikatakan dalam proses bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang kerani kedai barang pembinaan di Perai dan kini hidup bersama teman lelakinya, pemandu lori di perumahan itu.

“Sebelum ini, jiran pasangan itu sering melihat mangsa dipukul di halaman rumah mereka sama ada oleh ibu kandungnya atau teman lelaki ibunya,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya menerima laporan daripada jiran pasangan itu pada jam 3.30 petang dan segera ke rumah berkenaan sebelum menahan pasangan terbabit bersama kanak-kanak lelaki itu.

“Jiran mangsa membuat laporan polis kerana bimbang apabila tidak mendengar tangisan kanak-kanak lelaki itu sepertimana selalu selepas dia dilihat dipukul oleh teman lelaki ibunya itu pada pagi kelmarin,” katanya.

Zulkifli berkata, berdasarkan pemeriksaan awal oleh pihak hospital, kesan parut lama dan baru yang ditemui pada badan kanak-kanak itu hasil deraan dirotan, dipukul serta dicubit.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 1987 dan pasangan itu direman selama seminggu bermula kelmarin untuk membantu siasatan.

“Kita akan mendakwa pasangan berkenaan selepas mendapat laporan penuh pemeriksaan kesihatan dari hospital dalam masa terdekat,” katanya.

Sinar Harian
7 Jun 2011

1 comment:

  1. Astghfirullah..betol ke ni?JIKA BENAR...Ibu ape ni..anak yg die kandung dan lahirkan dgn susah payah..tp..tah la..susah nk trime pd akal.

    ReplyDelete