June 23, 2011

Minta van jenazah segera

BATU 3 – “Kami anak-anak kariah masjid ingin memohon bantuan daripada mana-mana pihak seperti syarikat korporat untuk menyumbangkan sebuah van jenazah bagi memudahkan urusan pengurusan jenazah,” kata Setiausaha Masjid Batu 3, Basarudin Talib.

Beliau berkata, pihaknya sudah banyak kali memohon kepada beberapa jabatan berkenaan permohonan itu.

“Saya juga ada menghantar permohonan kepada pihak Tabung Haji, pada mulanya kami menerima surat yang mengadakan permohonan kami sudah diterima dan pihak mereka bersetuju memberi sumbangan kepada kami. Namun ia sudah dibekukan berikutan masalah teknikal.

“Selain itu, kami juga ada menghantar permohonan kepada jabatan lain, namun sehingga kini masih belum menerima van berkenaan,” katanya.

Menurutnya, van jenazah amat diperlukan penduduk di kawasan sekitar kerana jarak masjid ke pekan Gurun jauh.

“Tujuan kami memohon van adalah untuk kemudahan penduduk di kawasan sekitar kerana jika berlaku kematian kami terpaksa menyewa van jenazah dari Gurun.

“Setiap kali ada kematian kami terpaksa sewa van dengan harga RM80 dan penduduk terpaksa mengeluarkan wang semata-mata untuk pengangkutan sahaja. Dan jika ada van ia memudahkan penduduk di samping menjimatkan kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung keluarga si mati,” katanya.

Basarudin berkata, sebelum ini pihaknya ada memohon kepada beberapa hospital dalam negeri ini untuk memberikan mereka van yang bakal dilupuskan dan dijadikan sebagai van jenazah.

“Kami mula membuat permohonan pada 2000, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas yang diterima.

“Berikutan itu, saya mohon kepada pihak berkenaan dapat memberikan van untuk kemudahan penduduk,"katanya.

Sinar Harian
22 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment