May 20, 2011

Pelajar perempuan maut kejar peragut

KANGAR – Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini maut dalam usahanya mengejar peragut yang dikatakan cuba meragut rantai leher perak milik adiknya di Km 10, Jalan Kaki Bukit di Beseri dekat sini malam tadi.

Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, yang mengejar peragut dengan motosikal meninggal di tempat kejadian apabila motosikalnya dikatakan bergesel dengan motosikal peragut sebelum mangsa terpelanting di atas jalan raya dan dilanggar pula oleh sebuah kereta dalam kejadian kira-kira 8 malam itu.

Adiknya, Nur Syaza Naurah, 15, yang membonceng motosikal itu menceritakan kejadian tersebut bermula ketika mereka baru sahaja mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Balai Baru apabila dihampiri oleh seorang penunggang motosikal yang bertanyakan sesuatu tetapi mereka tidak mengendahkanya.

"Pada masa yang sama lelaki itu cuba meragut rantai leher saya tetapi gagal kerana saya sempat menepis tangannya,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Keteri.

Dia berkata kakaknya yang naik berang telah mengejar motosikal peragut itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran motosikal tersebut.

Namun motosikal yang mereka naiki hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya selepas berselisih dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, selepas terjatuh dia sempat bangun menyelamatkan diri tetapi kakaknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan dilanggar pula oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang menyebabkan dia meninggal serta merta di tempat kejadian.

Mayat Nur Syaza Yasmin dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Keteri sebelum solat Jumaat.

Pegawai Turus Trafik Perlis, ASP Rosli Yahaya berkata pihaknya telah menahan dua pemandu kenderaan terbabit.

"Kedua-dua pemandu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun. Salah seorangnya adalah pemandu yang kenderaannya berselisih dengan motosikal mangsa manakala sorang lagi yang melanggar mangsa,” katanya.

Beliau juga berkata polis masih belum pasti sama ada kes tersebut membabitkan kes ragut tetapi masa masa ini kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki yang dikatakan peragut itu belum dapat dikesan. - Bernama

20 Mei 2011


Maut kejar peragut


PADANG BESAR: “Saya tak sangka niat arwah keluar membeli nasi ayam kegemarannya malam semalam (kelmarin) berakhir tragedi memilukan, malah lebih menyedihkan apabila saya tak sempat bercakap seharian dengannya.”

Begitu kata Ruslan Ali, 49, apabila anaknya, Nur Syaza Yasmin, 17, terbunuh akibat digilis sebuah kereta selepas terjatuh dari motosikal diboncengnya ketika cuba mengejar seorang lelaki yang cuba meragut beg duitnya di Jalan Kangar-Padang Besar dekat Balai Baru di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah termasuk pecah kepala manakala adiknya, Nur Syaza Norah, 15, yang menunggang motosikal berkenaan hanya cedera ringan.

USUNG...jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Nur Syaza Yasmin.

Ruslan dari Kampung Bukit Keteri berkata, anak kedua daripada empat beradik itu membonceng motosikal yang ditunggangi adiknya dan keluar dari rumah mereka kira-kira jam 7.30 malam.

Menurutnya, dia dimaklumkan mereka sempat mengisi petrol di stesen minyak berhampiran sebelum membungkus nasi ayam kegemaran arwah yang dibeli di Pekan Balai Baru.

myMetro
21 Mei 2011


Gadis kejar peragut maut

PADANG BESAR 20 Mei - Seorang kakak yang geram terhadap peragut kerana cuba meragut rantai leher adiknya bertindak nekad mengejar suspek dengan motosikal di Jalan Kangar-Padang Besar, di sini malam semalam.

Namun, dalam kejadian pukul 7.45 petang itu, motosikal tersebut hilang kawalan setelah dihimpit suspek lalu melanggar belakang sebuah kenderaan.

Mangsa, Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, kemudian terjatuh dan digilis sebuah kereta sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Nur Syaza Yasmin ialah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Jaafar Hassan, Bukit Keteri.

Dia sedang menuju ke sebuah kedai menjual telefon bimbit selepas mengisi minyak di Beseri apabila seorang remaja lelaki yang menunggang sebuah motosikal menghampirinya.

Remaja itu berpura-pura bertanyakan sesuatu sebelum bertindak cuba meragut rantai adiknya, Nur Syaza Naurah, 15.

Menurut Nur Syaza Naurah, suspek gagal meragut rantai dipakainya yang hanya diperbuat daripada plastik, namun kakaknya yang marah dengan tindakan lelaki itu bertindak mengejarnya.

"Saya membonceng untuk mengecam nombor pendaftaran motosikal suspek. Suspek yang melihat kami mengejarnya telah bertindak menghimpit motosikal kami menyebabkan kakak hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar belakang sebuah kenderaan," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Keteri, di sini hari ini.

Berikutan kejadian itu, katanya, kakaknya tercampak di tengah jalan raya dan tidak sedarkan diri akibat hentakan di kepala, manakala dia sendiri terlantar di bahu jalan.

Katanya, dia cuba membantu kakaknya untuk ke tepi jalan raya, namun sebuah kenderaan dari arah belakang menggilis kakaknya sebelum memecut ke arah Padang Besar.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Deros ketika dihubungi hari ini mengesahkan kemalangan tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.

Jenazah Nur Syaza Yasmin yang dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Keteri, sebelum solat Jumaat, hari ini.

Bapa mangsa, Ruslan Ali, 49, ketika ditemui memberitahu, Nur Syaza Yasmin sebelum ini pernah memberitahu bermimpi memakai pakaian, namun semuanya tidak muat kerana kecil.

Utusan
21 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment