May 21, 2011

Misteri kehilangan doktor pelatih

JITRA – Seorang doktor pelatih berusia 26 tahun hilang sejak empat hari lalu selepas keluar untuk bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dekat sini pada pagi Isnin lalu.

Dr. Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, sehingga semalam gagal dihubungi dan kehilangannya merupakan satu misteri kerana tidak berlaku sebarang perselisihan faham antara dia dengan keluarga sebelum ini.

Graduan dari Moscow Medical Academy itu menjalani program latihan perubatan di HSB sejak Oktober tahun lalu.

Bapanya, Mohd. Nazri Wan Senik, 54, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan Mohd. Noor Azam ialah ketika menghantarnya ke HSB kira-kira pukul 6.30 pagi Isnin lalu.

Katanya, anaknya pada hari tersebut memakai kemeja berkolar warna kuning air, bertali leher dan berseluar hitam serta mengenakan uniform pegawai perubatan.

“Bagaimanapun, ketika saya menghubunginya pada pukul 7 petang untuk mengambilnya pulang, panggilan telefonnya tidak berjawab menyebabkan saya terpaksa ke HSB kira-kira pukul 9 malam untuk mencarinya.

“Kami pergi ke wad tempat dia bertugas dan dimaklumkan oleh petugas wad berkenaan bahawa dia tidak datang bekerja pada hari tersebut dan usaha mencari di sekitar hospital juga gagal menemuinya,” kata Mohd. Nazri ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Raya di sini semalam.

Kosmo
21 Mei 2011


Doktor hilang selepas ditepuk gadis bertudung merah

NATRAH menunjukkan gambar anaknya yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu.

ALOR SETAR – Kehilangan seorang doktor pelatih, Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, sejak lima hari lalu menjadi bertambah misteri apabila dia pernah hilang sebanyak dua kali bulan ini selepas dipercayai dipukau seorang gadis bertudung merah.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, memberitahu, anaknya menghilangkan diri pada 3 Mei dan 12 Mei lalu selepas keluar bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Katanya, dalam kejadian pada 3 Mei lalu itu, anak sulungnya itu hanya pulang ke rumah dua hari kemudian.

“Dia cerita kepada saya bahawa ada seorang wanita muda bertudung merah berusia lingkungan 20-an menegurnya ketika mahu naik lif di HSB kira-kira pukul 6.30 pagi.

“Wanita itu bertindak menepuk dahi anak saya menyebabkan dia tidak sedar. Dia hanya tersedar di dalam kereta di kompleks beli-belah City Square di Sungai Petani dua hari selepas itu dan hilang sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM500,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, pada 12 Mei lalu, Mohd. Noor Azam sekali lagi hilang ketika berada di kawasan HSB dan pulang ke rumah semula dua hari kemudian.

Kosmo
22 Mei 2011


Doktor hilang dikesan keluarkan wang di tiga lokasi berasingan

JITRA - Kehilangan seorang doktor pelatih Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dekat sini yang masuk hari ke-17 dipercayai akibat dipukau mendapat petunjuk baharu apabila dia dikesan membuat empat transaksi pengeluaran wang melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) baru-baru ini.

Dr. Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, (gambar) dikesan mengeluarkan wang di ATM sebuah bank di Alor Malai, Alor Setar pada 19 Mei lalu diikuti 22 Mei di Kota Bharu, Kelantan dan seterusnya 27 dan 31 Mei di Kuala Terengganu.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, memberitahu, keempat-empat transaksi yang dilakukan dengan pengeluaran wang berjumlah RM2,100 itu menunjukkan anak sulungnya masih berada di negara ini dan selamat.

"Saya hairan bagaimana dia (Mohd. Noor Azam) boleh sampai ke Kuala Terengganu sedangkan dia tidak ada kawan di sana dan mungkin dia dalam keadaan separuh sedar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Raya di sini semalam.

Menurut Natrah, dia dan keluarga amat merindui Mohd. Noor Azam yang hilang tanpa khabar berita sejak 16 Mei lalu dan berharap agar anaknya pulang bagi meneruskan karier sebagai seorang doktor.

Kosmo
3 Jun 2011


Doktor hilang di Kedah, jumpa di Pahang

DOKTOR pelatih Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Dr. Mohd. Noor Azam Mohd Nazri (tengah) yang ditemui di Kuantan, Pahang selepas 26 hari hilang dipercayai akibat dipukau bersama kedua ibu bapanya,Mohd Nazri Wan Senik, 54 dan Natrah Shaari, 52, di rumahnya, Taman Bunga Raya, Jitra, Kedah, 14 Jun. UTUSAN/NORLIDA AKMAR IDROS

KUBANG PASU 14 Jun - Seorang doktor pelatih Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini, yang hilang selama 26 hari, ditemui dalam keadaan selamat di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, Sabtu lalu.

Dr. Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, dari Taman Bunga Raya, Jitra di sini ditemui oleh ketua pengawal keselamatan pusat beli-belah tersebut selepas dikenal pasti sebagai individu yang dilaporkan hilang.

Doktor pelatih berkenaan sebelum itu ditahan oleh pengawal keselamatan kerana tidak mempunyai wang untuk membayar bil sushi sebanyak RM70 di sebuah restoran di pusat beli-belah itu kira-kira pukul 5 petang.

Sewaktu ditemui, Mohd. Noor Azam memakai kemeja-T putih dan berseluar sukan sambil membawa sebuah beg galas mengandungi pakaian yang dipakainya pada hari dia dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, telefon bimbit dan beg kerja berwarna hitam yang mengandungi beberapa dokumen penting tidak ditemui bersamanya.

Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan diberi makan sebelum dijemput pulang oleh ibu bapanya bersama lebih 30 saudara mara kira-kira pukul 4 pagi keesokannya.

Ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di taman berkenaan hari ini, Mohd. Noor Azam memberitahu, dia tidak menyedari apa yang berlaku pada dirinya sepanjang dilaporkan hilang sehingga membawanya ke negeri-negeri di Pantai Timur.

Katanya, dia terkejut apabila diberitahu telah hilang sejak 26 hari lalu kerana berasa seperti baru empat hari hilang.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, dia seperti tidur dan tidak mengetahui bagaimana boleh sampai ke Kelantan, Terengganu dan kemudiannya Kuantan, Pahang.

"Saya tidak tahu apa yang saya makan, di mana saya tidur dan bagaimana solat saya cukup atau tidak sepanjang tempoh 26 hari itu sehingga ditahan di pusat beli-belah berkenaan.

''Apabila saya melihat gambar bakal tunang di dalam dompet, baru saya tersedar dan terus bertanya kepada ketua pengawal keselamatan berkenaan tentang tarikh dan tempat saya berada ketika itu," katanya.

Menurut Mohd. Noor Azam, dia sedih apabila menyedari hari yang dia ditemui semula itu adalah tarikh yang ditetapkan untuk melangsungkan majlis pertunangan dengan rakannya yang juga doktor pelatih di HSB.

Katanya, dia tidak sedarkan diri selepas mendengar suara gadis yang memberi arahan supaya mengikutnya ketika berjalan memasuki bangunan HSB kira-kira pukul 6.30 pagi 16 Mei lalu.

Dakwanya, suara tersebut juga memaklumkan dia hanya akan 'dilepaskan' pada hari pertunangannya iaitu 11 Jun lalu.

''Selepas ini saya akan meneruskan perubatan Islam bagi melindungi daripada gangguan-gangguan seperti ini,'' katanya.

Sementara itu, ibu Mohd. Noor Azam, Natrah Shaari, 52, tidak putus-putus melahirkan rasa syukur kerana penantian dan doanya akhirnya dimakbulkan apabila anaknya itu ditemui dalam keadaan selamat dan sihat.

Katanya, dia sekeluarga tidak mahu menuduh sesiapa atas kejadian yang berlaku sebaliknya menganggap peristiwa tersebut sebagai dugaan dan ketentuan Allah.

''Buat masa ini, Mohd. Noor Azam akan berehat dan menjalani rawatan alternatif sebelum menyambung semula latihan perubatan di HSB manakala majlis pertunangan terpaksa ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kelak," katanya.

Graduan dari Moscow Medical Academy itu dilaporkan pernah hilang dua kali iaitu pada 3 Mei dan 12 Mei lalu selepas keluar bertugas di HSB bagaimanapun pulang ke rumah beberapa hari kemudian.

Utusan
15 Jun 2011


'Saya dengar arahan suara'

Doktor pelatih hilang sejak Mei lalu ditemui selamat di Kuantan

JITRA: Seorang doktor pelatih yang dilaporkan hilang hampir sebulan ditemui selamat di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, Sabtu lalu tetapi tidak dapat menyatakan dengan jelas apa yang berlaku kepadanya.
Dr Mohd Noor Azam Mohd Nazri, 26, berkata di rumah keluarganya di Taman Bunga Raya di sini, semalam, sepanjang dilaporkan hilang, beliau tidak sedar apa yang berlaku sehingga membawanya ke Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Apa yang saya tahu, saya mendengar arahan daripada satu suara yang saya tidak pasti dari mana. Saya rasakan kehilangan saya hanya empat hari saja,” katanya.

Mohd Noor Azam adalah lulusan Akademi Perubatan Moscow dan sedang menjalani latihan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar sejak Oktober tahun lalu. Menceritakan detik beliau ditemui, Mohd Noor Azam berkata beliau ditahan oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kuantan kerana tidak membayar makanan yang dimakannya.

“Ketika ditahan, mereka memeriksa dompet saya untuk memastikan sama ada saya betul-betul tiada wang atau sebaliknya. Ketika membuka dompet saya itu, baru saya berada dalam keadaan sedar.

“Sebaik sedar, saya berasa sangat lapar dan letih. Kaki juga berasa sangat lenguh, mungkin saya berjalan terlalu jauh,” katanya.
Difahamkan, Dr Mohd Noor Azam dilaporkan hilang sejak 16 Mei lalu selepas dihantar ke tempat kerja oleh bapanya.

Katanya, ketika berjalan menuju ke pejabatnya pada hari itu, beliau mendengar suara yang pernah didengarnya sebelum ini dan ketika itulah beliau tidak sedar apa-apa.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, berkata beliau menerima maklumat mengenai penemuan anaknya daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan ketika beliau dan keluarga dalam perjalanan ke Kuantan.

“Kami tergerak hati untuk pergi sendiri mencari Azam di Kuantan selepas diberitahu dia ada mengeluarkan duit di sebuah mesin ATM di sana,” katanya.

Natrah berkata, apabila sampai di IPD Kuantan, beliau melihat anaknya berada dalam keadaan sihat tetapi pakaian yang dipakainya lusuh dan bukan miliknya.

“Beg kerjanya juga tiada bersamanya, sebaliknya dia menggalas sebuah beg mengandungi berus gigi, berus sabut, kain pelikat, kemejanya yang sudah lusuh dan beberapa barang lagi yang bukan miliknya,” katanya.

Sebelum kejadian itu, Mohd Noor Azam pernah hilang dua kali tetapi kehilangannya hanya dua hari saja. – BERNAMA

15 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment