May 21, 2011

Maut rempuh besi penghadang

MARANG: Seorang pegawai teknikal sebuah syarikat perkapalan di Kemaman, maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh penghadang jalan di Kilometer 25.5, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, berhampiran Alor Toman, malam kelmarin.

Mangsa, Tengku Azman Tengku Zaibon, 38, berasal dari Kampung Putat, Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami pendarahan dalaman yang teruk di dada akibat tersepit.

Pegawai Kanan Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Zahari Awang Long berkata, sebaik menerima panggilan daripada orang awam, beliau bersama satu jentera dan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian jam 8.55 malam dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tersepit di dalam kereta yang remuk teruk di tempat duduk pemandu.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa lama dengan memotong bumbung kereta itu menggunakan pemotong hidraulik dan pemotong besi untuk mengeluarkan mangsa.

“Apabila sampai kami dapati satu mangsa dalam kereta Mercedes tersepit dan kami membuat kerja menyelamat menggunakan pemotong hidraulik serta peralatan menyelamat lain dan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menyelesaikan kerja berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Marang seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Mohd Zohan Seman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan berkata, punca sebenar masih dalam siasatan.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa keseorangan terbabas ke bahu jalan lalu ketika mengambil satu selekoh lalu merempuh penghadang jalan di sebelah kiri mengakibatkan mangsa tersepit dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk .

“Mayat mangsa kemudiannya dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam) untuk dibawa pulang ke Kelantan,” katanya.

myMetro
21 Mei 2011


Tidak kesampaian jumpa anak isteri

MARANG – Sudah menjadi rutin setiap minggu, seorang penyelia teknikal sebuah syarikat perkapa-lan dari Kemaman, Tengku Azman Tengku Saibon, 38, akan pulang menjenguk isteri dan tiga anaknya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu dengan memandu kereta seorang diri.

Bagaimanapun, suratan takdir sudah menentukan minggu ini adalah minggu terakhir mangsa yang beralamat dari Kampung Putat Pendek, Pasir Mas dapat berbuat demikian selepas bapa tiga anak itu maut dalam kemalangan malam kelmarin.

Kemalangan yang berlaku lebih kurang jam 9 malam di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Alor Tuman di sini, ketika Tengku Azman dalam perjalanan pulang ke Pengkalan Chepa selepas pulang dari kerja.

Sepupu mangsa, Mohd Faisal Mohd Fauzai, 28, berkata, kebiasaannya arwah akan ke rumah isterinya di Pengkalan Chepa untuk bertemu anaknya terlebih dahulu sebelum pergi melawat keluarganya di Kampung Rupek, Pasir Hor pada keesokan harinya.

Menurutnya, sejak bekerja sebagai penyelia teknikal di sebuah syarikat perkapalan di Kemaman lebih kurang setahun lalu arwah tidak pernah terlepas dan pasti akan pulang menjenguk keluarga setiap minggu dengan memandu seorang diri.

“Bagaimanapun semalam, kami semua terkejut dengan kejadian kemalangan yang menimpanya namun kami tetap reda dengan ketentuan Tuhan kerana Tuhan lebih menyayanginya,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Difahamkan, nahas itu dipercayai berlaku apabila kereta Mercedes yang dipandu Tengku Azman gagal dikawal sewaktu mengambil selekoh dan terbabas ke kiri jalan lalu merempuh penghadang jalan ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu .

Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang diketuai Penolong Kanan Penguasaha Bomba, Mohd Zamri Awang Long dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Mohd Zamri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu lebih kurang jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kemalangan tersebut setengah jam kemudian sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira jam 10 malam.

“Kita terpaksa menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa berikutan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta dipandunya merempuh besi pengadang jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi mengesahkan menerima lapo-ran mengenai kejadian kemalangan di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk di dada dan siasatan awal polis mendapati kemala-ngan berlaku tanpa melibatkan pertembungan dengan kenderaan lain.

“Mayatnya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga mangsa pagi semalam,” katanya.

Sinar Harian
21 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment