April 19, 2011

Mudah keluar duit KWSP

Pencarum tidak perlu isi borang hanya bawa MyKad dan buku akaun bank

KUALA LUMPUR: Mulai sekarang, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mahu mengeluarkan simpanan mereka pada umur 50 dan 55 tahun serta yang mempunyai simpanan melebihi RM1 juta boleh melakukannya secara mudah dengan hanya membawa kad pengenalan dan buku bank ke agensi itu.

Tanpa perlu mengisi sebarang borang, pencarum boleh membuat pengeluaran di mana-mana kaunter KWSP dan kelulusan akan diberikan serta-merta selepas kelayakan pengeluaran disahkan.

Bagaimanapun, hanya mereka yang memiliki MyKad boleh berbuat demikian, manakala pemegang kad pengenalan polis dan tentera atau yang masih menggunakan kad pengenalan lama, perlu mengikut proses lama dengan mengisi Borang KWSP9 dan mengemukakan salinan kad pengenalan serta salinan akaun buku bank.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol, berkata inisiatif pengeluaran mudah itu diperkenalkan bagi mempercepatkan proses permohonan pengeluaran simpanan yang sebelum ini memerlukan pencarum mengisi borang dan mengemukakan salinan dokumen berkaitan.

“Ia menunjukkan komitmen KWSP yang sentiasa berusaha mempertingkatkan tahap penyampaian perkhidmatan untuk manfaat ahli,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, dengan jumlah pencarum yang semakin meningkat, adalah penting bagi KWSP memastikan penambahbaikan sistem penyampaian melalui teknologi diteruskan.

“Ahli diberi jaminan bahawa data dan maklumat peribadi mereka dilindungi berdasarkan tahap keselamatan yang diwujudkan melalui pensijilan ISO/IEC 27001 yang diterima KWSP selepas mematuhi standard antarabangsa yang ketat untuk pengurusan keselamatan data,” katanya.

Berita Harian
19 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment