April 5, 2011

Derita patah tulang kaki

TAMBUN - Seorang ibu tunggal hiba melihat keadaan anaknya yang memerlukan kos tinggi untuk membuat pembedahan terhadap kaki kanan yang mengalami “disc broken’ di bahagian betis.

N Anjalaidevi, 55, berkata, anaknya , R Thilagavathi, 25, mengalami patah tulang di bahagian kaki kanan ketika berumur dua tahun dan sejak itu, anaknya tidak boleh berjalan dengan sempurna.

Menurutnya, walaupun telah membuat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), pembedahan segera perlu dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mengeluarkan ‘disc’.

“Dengan gaji saya yang kecil sebagai pencuci bangunan, saya tidak mampu untuk membawa anak saya mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur yang diyakini memerlukan kos besar.

“Kini, anak saya terpaksa bergantung kepada ubat yang disediakan pihak hospital untuk menahan sakit,” katanya kepada Sinar Harian di Taman Mewah di sini, semalam.

Keadaan kaki Thilagavathi yang juga merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) semakin kritikal apabila mengalami bengkak dan nanah sehingga menyukarkannya untuk berjalan.

Anjalaidevi berkata, tanpa bantuan mana-mana pihak, agak sukar buat mereka menjalani hidup apatah lagi, dua lagi anaknya tidak dapat bekerja kerana menghidap asma.

“Saya perlu bekerja kuat untuk menanggung mereka, banyak perkara yang perlu diberi keutamaan, rumah yang saya duduki kini bila-bila masa saja akan ditarik oleh pihak bank,” katanya.

Prihatin dengan masalah itu, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Tambun, Mazlan Abd Rahman tampil menghulurkan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan bagi mengurangkan beban yang dialami keluarga berkenaan.

Kata beliau, pihaknya berusaha membantu anaknya mendapatkan dana bagi membolehkan menjalani pembedahan di hospital berkenaan.

“Kita akan menggunakan saluran yang ada untuk terus membawa kes ini ke pengetahuan pihak berwajib untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga ini,” katanya.

orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh berbuat demikian di alamat no.57, Laluan Persahabatan Timur 1, Taman Mewah, Ulu Kinta.

Sinar Harian
5 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment