March 31, 2011

Peluru daripada senjata api kaliber .32 - Saksi

TUMPAT 30 Mac - Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa peluru yang digunakan dalam kes tembakan pengawal Istana Negeri Kelantan, Ramli Mohamad pada 1 Mei tahun lalu dilepaskan daripada senjata api berlaras kaliber .32.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pegawai Pemeriksa dan Analisis Forensik Seksyen Balistik Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Kuala Lumpur, Inspektor Amir Abdullah semasa prosiding inkues di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Amir memberitahu, pada pukul 12 tengah hari, 11 Mei tahun lalu, dia telah diserahkan satu botol bertulis nama Ramli Mohamad di bahagian luarnya, yang mengandungi sebutir peluru untuk dianalisis.

''Dalam proses analisis itu, saya rakam imejnya dan masukkan dalam pangkalan data Balistik Malaysia dan melakukan pemeriksaan fizikal ke atas peluru tersebut.

''Saya dapati anak peluru itu berdiameter 7.76 milimeter dan mempunyai anggaran berat 97 grain. Ia sesuai dengan senjata api berlaras kaliber .32,'' katanya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussein.

Inkues itu diadakan bagi menyiasat punca kematian Ramli, 50, yang ditembak lelaki tidak dikenali di Palekbang pada pukul 12.20 tengah malam, 1 Mei tahun lalu, semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertugas di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Dalam keterangannya, Amir menyatakan, dia mempunyai pengalaman menganalisis lebih 80 kes jenayah melibatkan senjata api dan peluru serta telah mengikuti kursus berkaitan di Rusia dan Kanada.

Saksi ke-33 itu juga memberitahu dalam kes tersebut, dia hanya melakukan pemeriksaan terhadap peluru dan tidak melakukan ujian tembakan kerana hanya menerima sebutir peluru.

Terdahulu, pegawai penyiasat asal kes itu, Inspektor Noor Shuhada Hussin dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat memberitahu, dia telah pergi ke tempat kejadian selepas menerima laporan pukul 1 pagi hari kejadian.

Dalam siasatan di tempat kejadian, katanya, dia menemui tiga tompokan darah iaitu pada topi keledar, baju hujan dalam bakul motosikal mangsa dan di atas rumput berhampiran, namun tiada kelongsong peluru dijumpai.

''Keesokannya iaitu pada 2 Mei 2010, saya telah pergi ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bertemu isteri mangsa dan mengambil beberapa barang milik mangsa iaitu sehelai baju kemeja, sehelai seluar panjang, sehelai seluar dalam dan sepasang kasut untuk tujuan siasatan.

''Selepas itu, saya mendapat arahan supaya kes itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Asisten Supritendan Kamarulnizam Alias,'' ujarnya.

Inkues bersambung esok.

Utusan
31 Mac 2011

0 comments:

Post a Comment