April 1, 2011

3 maut dalam kemalangan ngeri

BEBERAPA anggota bomba cuba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Gua Musang kelmarin.

GUA MUSANG - Tiga orang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Simpang Paloh Tiga di sini kelmarin.

Kemalangan pada pukul 6.30 petang itu melibatkan sebuah treler, lori kontena dan kereta Perodua Kancil.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandu lori kontena, Muhammad Fathimy Hassan, 29, pemandu kereta, Mat Dahari Yusoff, 35, dan rakannya, Sa'ade Mohd. Noor, 35.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Supritendan Aziz Hasan berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah treler mengangkut kenderaan cuba mengelak lori membawa tong gas yang rosak di laluan tersebut.

Ujarnya, pemandu treler telah memperlahankan kenderaan namun telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Perodua Kancil yang dinaiki Mat Dahari dan Sa'ade.

"Kereta tersebut kemudian terbalik dan telah dirempuh pula oleh sebuah lori kontena dipandu Muhammad Fathimy menyebabkan kereta itu remuk," katanya di sini semalam.

Kosmo
1 Apr 2011


Tiga terbunuh nahas ngeri di Gua Musang

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat dua mangsa yang terperosok di bawah kontena dalam kemalangan di Jalan Gua Musang–Kuala Krai, kelmarin.

Tersepit bawah kontena, leher hampir putus

GUA MUSANG: Dua rakan yang menaiki Perodua Kancil maut terperosok di bawah lori kontena, manakala pemandu kenderaan berat itu hampir putus lehernya selepas terkena besi treler dilanggarnya dalam kemalangan ngeri di Kilometer 47.9 Jalan Gua Musang–Kuala Krai, di sini, kelmarin.

Paling menyayat hati apabila dua mayat tersepit hanya dapat dikeluarkan satu jam kemudian dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Gua Musang.

Dalam kejadian jam 6.30 petang dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Satu itu, mangsa yang meninggal di tempat kejadian ialah pemandu Perodua Kancil yang juga peniaga kedai makan, Mat Dahri Yusoff, 35; rakannya, pengawal keselamatan di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang, Sa’ade Mohd Nor dan pemandu lori kontena, Muhammad Fathimy Hassan, 29.

Kelindan lori kontena , Mohamad Zukhairi Baharom, 23, terselamat selepas tercampak ke dalam longkang.

Ketika kejadian, ketiga-tiga kenderaan itu dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang, kemalangan dipercayai berlaku berikutan pemandu treler itu terkejut dengan tindakan lori di depannya menekan brek secara mengejut.

Berikutan itu, Perodua Kancil dinaiki dua lelaki berkenaan merempuh belakang treler dan terbalik sebelum dirempuh kontena dari arah belakang menyebabkan kenderaan itu terperosok.

Mohamad Zukhairi yang terkejut dengan kejadian itu berkata, dia sedang tidur ketika kemalangan berlaku sebelum tercampak keluar selepas pintu kontena terbuka menyebabkannya terjatuh ke dalam longkang.

“Sebaik tersedar, saya terus bergegas ke arah Muhammad Fathimy dan melihat dia berlumuran darah dan lehernya hampir putus.

“Pilu hati saya apabila melihat rakan baik mati dalam keadaan ngeri, tetapi saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana terselamat dalam kemalangan berkenaan,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di bilik mayat Hospital Gua Musang, semalam.

Mohamad Zukhairi, dia bersama arwah Muhammad Fathimy baru selesai menghantar barang di Kota Bharu pagi kelmarin sebelum bertolak pulang semula ke Kuala Lumpur jam 2 petang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan ngeri itu membabitkan sebuah Perodua Kancil, treler dan lori kontena.

Mayat ketiga-tiga mangsa kemalangan itu dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing awal pagi semalam untuk dikebumikan.

Berita Harian
1 Apr 2011


Bergetar hati isteri


GUA MUSANG: “Saya pelik apabila arwah suami kelihatan tergesa-gesa keluar rumah kira-kira jam 8 pagi sambil memberitahu mahu ke Kuala Krai melalui Jeli.

Sebelum ini, arwah tidak pernah memberitahu arah tujuannya jika keluar rumah, tetapi sentiasa pulang awal, sekurang-kurangnya sebelum jam 4 petang.

“Hari itu (kelmarin), saya berasa tidak sedap hati apabila suami tidak pulang selepas jam 4 petang dan langsung tidak menghubungi saya. Rupa-rupanya arwah maut dalam kemalangan,” kata Wan Rosmah Wan Harun, 29, isteri kepada seorang pengawal keselamatan, Sa’ade Mohd Nor, 38, yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 47.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Satu di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Sa’ade yang menetap di Jalan Kesedar Inn di sini, terbunuh di tempat kejadian selepas kereta Perodua Kancil dipandunya merempuh sebuah treler pengangkut kenderaan sebelum ‘dilenyek’ sebuah lori kontena dari arah belakang.

Kemalangan itu turut mengorbankan rakan Sa’ade, seorang peniaga kedai makan, Mat Dahri Yusoof, 35. Turut maut, pemandu lori kontena dari Pedas, Negeri Sembilan, Muhammad Fathimy Hassan, 29, yang hampir putus kepala.

NGERI...mayat mangsa tersepit dalam kereta.

Difahamkan, kemalangan berlaku selepas pemandu treler pengangkut kenderaan itu membrek kenderaannya secara mengejut selepas menyedari sebuah lori yang sarat muatan tong gas rosak di hadapannya.

Akibatnya, kereta dipandu Sa’ade merempuh treler berkenaan sebelum sebuah lori kontena di belakang merempuh pula kereta Perodua Kancil itu. Pemandu treler tidak cedera, manakala kelindan lori kontena, Mohamad Zukhairi Baharom, 23, juga Pedas, Negeri Sembilan, cedera selepas tercampak keluar.

Wan Rosmah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa suaminya selepas diberitahu rakan suaminya kira-kira jam 9 malam.

“Kini, terpaksalah saya membesarkan tiga anak yang masih kecil,” katanya yang turut memberitahu suaminya sempat menghantar salah seorang anaknya ke sekolah tadika.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kemalangan membabitkan tiga kematian itu.

Katanya, 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang diketuai Pegawai Penjaga, Che Rusli Che Sulaiman mengambil mangsa hampir sejam untuk mengeluarkan dua mayat yang tersepit.

myMetro
1 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment