January 31, 2011

Pembantu Kedai Kopi Ke Tali Gantung Edar Kanabis 13 Tahun Lepas

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pembantu kedai kopi yang didapati bersalah mengedar kanabis 13 tahun lepas.

Hakim Nurmala Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Musa Amanullah, 38, selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Ini adalah kali kedua Mohamed Musa dijatuhi hukuman itu oleh mahkamah tersebut, selepas dia dibicarakan semula terhadap tuduhan mengedar 35,040.5 gram kanabis, di Jalan Akuarium, Gelugor di sini, pada 4 Januari 1998, kira-kira pukul 9.30 malam.

Mohamed Musa yang pertama kali disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu pada 2004, membuat rayuan perbicaraan semula di Mahkamah Rayuan sebelum dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tan Guan Cheng sementara Mohamed Musa diwakili peguam Jagdeep Singh. - BERNAMA

31 Jan 2011

0 comments:

Post a Comment