January 11, 2011

Kanak-kanak 3 tahun mati didera

Nor Aqiulla Razali (gambar kecil) yang pengsan diberi bantuan selepas melihat mayat anaknya, Nordiana Qistina Nurafizan dibawa keluar dari Rumah Mayat Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, semalam. – utusan/Nasirruddin Yazid

JOHOR BAHRU 10 Jan. – Sukar untuk digambarkan betapa seksanya penderitaan ditanggung seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang menjadi mangsa dera di Kampung Sungai Tiram di sini.

Hampir keseluruhan tubuhnya penuh dengan 73 kesan lebam dan luka.

Hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan sahaja sanggup melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak kecil yang tidak berdosa itu.

Berikutan kecederaan itu, kanak- kanak tersebut, Nordiana Qistina Nurafizan, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 pagi semalam di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Bukan hanya Nordiana Qistina, malah adiknya, Danish Irsyad berusia setahun, turut menjadi mangsa kekejaman yang dipercayai dilakukan oleh ibu tirinya. Kanak-kanak itu ini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan tinggal bersama bapanya, Nurafizan Ludin, 29, seorang pekerja kilang manakala ibu tirinya pula seorang suri rumah.

Ibu kandung mangsa, Nor Aquilla Razali, 27, menetap di Pasir Gudang dan bercerai dengan Norafizan sejak setahun lalu.

Nor Aquilla ketika ditemui memberitahu, bekas suaminya itu menghubunginya untuk memaklumkan kematian Nordiana Qistina kira-kira pukul 11 pagi ini.

Wanita itu yang tidak dapat menahan perasaan setelah melihat keadaan mayat anaknya di Bilik Mayat HSI pengsan tiga kali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang serius.

“Punca kematian Nordiana Qistina adalah kerana 73 kesan penderaan di seluruh tubuhnya.

“Melalui bedah siasat, organ dalaman mangsa rosak teruk dan berdarah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata, mangsa dihantar oleh bapanya ke HSI kira-kira pukul 8.25 pagi semalam namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Beliau memberitahu, ibu tiri mangsa sedang dicari dan dia berkemungkinan akan ditahan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia difahamkan, bapa mangsa membuat laporan polis mengatakan anaknya itu meninggal dunia kerana lemas ketika mandi dalam sebuah besen di rumahnya.

Jenazah Nordiana Qistina selamat dikebumikan di kampung datuknya di Felda Tenggaroh, Mersing, kira-kira pukul 5 petang tadi.

Utusan
11 Jan 2011


Penangan kekejaman ibu tiri

NUR DANIA QISTINA mengalami 73 kesan lebam di seluruh badan.

JOHOR BAHRU – Kesengsaraan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang terpaksa menanggung pedih didera dipercayai oleh ibu tirinya sejak tiga bulan lalu berakhir dengan tragedi apabila dia disahkan mati di Kampung Sungai Tiram di sini kelmarin.

Lebih memilukan, kematian Nur Dania Qistina Nurafizan didakwa cuba disembunyikan oleh bapanya yang menghubungi bekas isterinya, Nur Aquilla Razali, 27, mengatakan mangsa mati kerana lemas selepas tertonggeng di dalam baldi di bilik air.

Lelaki itu yang cemas sebaik melihat anaknya tidak bernafas kemudian membawa mangsa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada pukul 8.25 pagi sebelum Nur Dania Qistina disahkan mati 35 minit kemudian.

Namun, bedah siasat mendapati terdapat 73 kesan lebam di seluruh badan Nur Dania termasuk muka, kaki dan badan dipercayai dipukul dengan benda keras atau tangan.

Difahamkan, Nur Dania Qistina bersama kakak, Nur Dania Batrisyah, 5, dan adiknya, Danish Irsyad, 1, dibawa tinggal bersama bapa dan ibu tirinya sejak tiga bulan lalu. Sebelum ini ketiga-tiga beradik itu menetap di rumah datuknya, Razali Ismail, 56, di Mersing, Johor.

Kosmo
11 Jan 2011


Ibu tiri dusta


JOHOR BAHRU: Tujuh puluh tiga kesan cedera pada seluruh tubuh menjadi petunjuk punca kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun akibat didera dan bukan disebabkan lemas seperti didakwa ibu tirinya.

Nur Dania Qistina Nurafizan yang tinggal bersama bapa dan ibu tirinya yang berusia 25 tahun di Kampung Sungai Tiram di sini, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, pagi kelmarin, selepas dibawa ke hospital oleh bapanya yang memberitahu dia lemas dalam baldi.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat dilakukan, pihak hospital mengesyaki punca kematian kanak-kanak itu akibat didera dengan kejam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh berdasarkan laporan bedah siasat yang diterima polis, tengah hari semalam.

SAYU...jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenggaroh 6, semalam.

Menurutnya, laporan menunjukkan mangsa mempunyai 73 kesan penderaan fizikal selain lebam di dada.

“Doktor juga mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana mengalami pendarahan dalaman di paru-paru dan menolak dakwaan ibu tiri mangsa yang menyatakan kanak-kanak itu lemas.

“Dalam laporan, bapa mangsa mendakwa menerima panggilan daripada isterinya pada jam 8.30 pagi ketika berada di tempat kerja dan wanita itu menyatakan anak kedua suaminya hasil perkahwinan pertama lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri dan lemas di dalam baldi.

“Lelaki terbabit membawa mangsa dari rumah mereka di Kampung Sungai Tiram di sini ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, lelaki itu menyatakan anaknya tidak dapat diselamatkan dan hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia di hospital,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Roslan berkata, mengikut laporan bedah siasat, dakwaan ibu tiri mangsa bahawa mangsa lemas tidak benar kerana tiada tanda lemas dikenal pasti sebaliknya ada 73 kesan penderaan dan pendarahan dalaman di paru-paru.

Menurutnya, polis sudah menahan ibu tiri terbabit bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

myMetro
11 Jan 2011


Dilarikan bapa

MERSING: Nur Dania Qistina Nurafizan, 3, yang dipercayai mati akibat didera ibu tirinya, didakwa dilarikan bapanya hampir tiga bulan lalu dan ibu kandungnya juga tidak dibenarkan bertemu mangsa serta dua adiknya yang lain.

“Siapa sangka selepas hampir tiga bulan bekas abang ipar melarang kakak bertemu ketiga-tiga anak kerana masalah rumah tangga, akhirnya kakak (Nur Aquilla, 27) kehilangan seorang cahaya matanya.

“Hatinya luluh kerana meratap jasad kaku Nur Dania dalam keadaan menyayat hati termasuk luka dan lebam di seluruh badan,” kata bapa saudara Nur Dania, Mohd Kamaruzzaman Razali, 25, ketika ditemui di Felda Tenggaroh 6, di sini, semalam.

Kamaruzzaman berkata, keluarganya terkilan dengan nasib menimpa anak kedua daripada tiga beradik selepas dilarikan bapa mereka pada Oktober lalu.

Menurutnya, kakak sulungnya itu terlalu merindui Nur Dania serta kakak mangsa berusia lima tahun dan adik lelaki berusia setahun, selepas ketiga-tiga kanak-kanak itu dilarikan bekas abang iparnya.

myMetro
11 Jan 2011


Kakak, adik turut jadi mangsa

JOHOR BAHRU: Ketiga-tiga beradik termasuk Nur Dania Qistina, 3, yang maut selepas mengalami pendarahan dalaman di paru-paru dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal di rumah ibu tiri mereka di Kampung Sungai Tiram di sini, sejak tiga bulan lalu.

Ia berikutan, kakak mangsa, Nur Diana Batrisha, 5, dan adik lelakinya, Danish Irsyad, berusia setahun, yang kini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) didapati mempunyai kesan penderaan fizikal di anggota badan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa penderaan selepas dilarikan bapanya daripada kediaman datuk dan nenek di Tenggaroh, Mersing.

Menurutnya, biarpun ibu kanak-kanak berkenaan yang bekerja sebagai kerani akaun di Pasir Gudang berusaha mengesan mereka, tempat tinggal bekas suaminya itu dirahsiakan hingga perkara itu mengundang masalah tidak diingini.

“Dua adik-beradik mangsa dapat diselamatkan termasuk anak sulung kini tinggal bersama ibunya, Nur Aquilla Razali, 27.

“Manakala adik bongsu mangsa masih menerima rawatan di HSA berikutan kesan lebam pada muka, belakang telinga dan punggung selain demam ditemani oleh ibu saudaranya.

“Setakat ini, imbasan X-Ray menunjukkan Danish tidak mengalami sebarang kecederaan seperti patah tulang,” katanya.

Robia berkata, pihaknya juga menasihatkan keluarga mangsa supaya membawa anak sulung untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital memandangkan kanak-kanak itu juga didapati mengalami kesan lebam dan bengkak di beberapa anggota badan. “Dari pandangan luaran kedua-dua mereka mempunyai pertumbuhan normal mengikut usia masing-masing...namun kita perlu menunggu laporan perubatan keseluruhan doktor.

“Kedua-dua beradik itu lebih sesuai tinggal bersama ibu kandung mereka selepas ini,” katanya ketika mengunjungi Danish di wad kanak-kanak di HSA di sini, semalam.

Robia bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, T Murukasvary turut melawat keluarga mangsa di Felda Tenggaroh 6, dekat Mersing di sini, pagi semalam dan menyampaikan sejumlah sumbangan wang tunai.

Sementara itu, Aquilla berkata, dia terkilan dengan kejadian menimpa arwah Dania kerana kanak-kanak itu adalah seorang yang mudah mesra dan manja.

Menurutnya, bagi mengelakkan kedua-dua anaknya mengalami nasib sama, dia berusaha menuntut hak penjagaan daripada suaminya di mahkamah secepat mungkin.

myMetro
12 Jan 2011


Bapa, ibu tiri direman hingga Isnin depan

JOHOR BAHRU: Bapa dan ibu tiri kanak-kanak mangsa dera, Nur Dania Qistina, 3, yang meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru selain mempunyai 73 kesan penderaan fizikal ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan polis.

Pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendera.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, polis menahan kedua-dua suspek berusia 30 dan 25 tahun itu di sebuah rumah di Felda Tenggaroh 6, Mersing, kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan reman sehingga 17 Januari bagi membantu siasatan kes kematian Nur Dania dan penderaan ke atas kakak berumur lima tahun dan adik mangsa berusia setahun yang dipercayai turut didera.

myMetro
12 Jan 2011


Satu keluarga mangsa dera

JOHOR BAHRU – “Saya juga pernah menjadi mangsa dera suami sendiri.” Demikian pengakuan Nur Aquilla Razali, 27, ibu kepada Nur Dania Qistina, 3, yang meninggal dunia disyaki didera di Kampung Sungai Tiram di sini Ahad lalu.

Menurut Aquilla, dia telah didera sejak setahun lalu. Ekoran tidak tahan, dia membuat laporan polis tahun awal tahun ini dan kini dalam proses untuk bercerai.

Suaminya dan seorang wanita kini direman sehingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Suami sering menyepak dan menerajang saya sejak setahun lalu. Tidak tahan dengan perbuatannya, saya meminta cerai,” ceritanya ketika ditemui selepas membuat laporan berhubung penderaan anak sulungnya, Nur Dania Batrisha, 5, di Balai Polis Johor Jaya di sini semalam.

Nur Dania Batrisha dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas disyaki turut menjadi mangsa dera. Matanya bengkak dan masih ada kesan darah beku.

Kosmo
12 Jan 2011


Bapa, ibu tiri didakwa bunuh Qistina

JOHOR BAHRU 21 Jan. - Bapa kepada Nor Dania Qistina Norafizan, 3, kanak-kanak malang yang meninggal dunia awal bulan ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bersama isterinya atas tuduhan membunuh mangsa dan mendera dua adik-beradiknya.

Norafizan Ludin, 30, dan Dewi Nadia Alias, 25, yang juga ibu tiri Nor Dania Qistina didakwa membunuh mangsa di rumah beralamat 1284-6, Jalan Tengku Mariam, Batu 17 1/2 Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini di antara pukul 9 pagi pada 8 Januari dan 9 pagi keesokan harinya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Norafizan yang memakai baju kemeja putih dan Dewi Nadia yang berbaju kurung warna sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mendera kakak dan adik mangsa iaitu Nor Dania Batrisha, 5, dan Danish Irsyad, 1, di rumah yang sama dari Oktober tahun lalu hingga Januari ini.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan kedua tersebut.

Majistret Hafizah Johor Ariff Johor menetapkan 21 Februari ini sebutan semula kes bunuh tersebut dan 16 Ogos depan untuk perbicaraan kes dera dua beradik terbabit.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chien manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah juga tidak membenarkan pasangan tersebut diikat jamin kerana kes tersebut adalah kesalahan berat.

Utusan Malaysia pada 11 Januari lalu melaporkan kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dipercayai akibat didera dengan hampir keseluruhan tubuhnya penuh dengan 73 kesan lebam dan luka.

Bedah siasat yang dijalankan juga mendapati organ dalaman mangsa rosak teruk dan berdarah.

Kanak-kanak malang itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 pagi, 9 Januari lalu di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Kakak dan adik mangsa juga dimasukkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat didera namun dibenarkan pulang Isnin lalu selepas lebih seminggu dirawat di sana.

Utusan
22 Jan 2011


Didakwa dera anak sampai mati

JOHOR BAHRU: “Macam mana entah aku kena sedangkan aku selalu bekerja di luar,” kata Norafizan Ludin, 29, ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, pagi semalam selepas dia dan isteri keduanya dituduh membunuh darah dagingnya sendiri, selain mendera dua lagi anak hasil perkahwinan pertama.

Norafizan dan Dewi Nadia Alias, 24, didakwa membunuh Nur Dania Qistina, berusia tiga tahun di rumah beralamat 1284-6, Jalan Tengku Mariam, Batu 17, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram.

Bagi pertuduhan pertama, operator pengeluaran di kilang bersama isterinya itu didakwa melakukan perbuatan terbabit antara 8 Januari 2011, kira-kira jam 9 pagi hingga 9 Januari 2011, sehingga mengakibatkan kematian Nur Dania Qistina.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Hafizah Johor Ariff Johor.

Majistret turut tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chien.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Februari ini bagi membolehkan kedua-dua tertuduh melantik peguam bela.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua yang dilakukan di mahkamah sama, pasangan terbabit mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak berketurunan Melayu, Nor Dania Batrisha Norafizan, empat tahun dan seorang kanak-kanak lelaki Melayu, Danish Irsyad Norafizan, berusia setahun.

Mengikut pertuduhan, pasangan berkenaan yang berpakaian sedondon berwarna putih, didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama bermula pada Oktober 2010 hingga Januari 2011.

Bagi kesalahan itu, tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret menetapkan perbicaraan kes pada 16 Ogos 2011. Nur Dania Qistina meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 9 Januari lalu selepas dipercayai didera ahli keluarga hingga mengalami pendarahan dalam paru-paru selain mempunyai 73 kesan penderaan fizikal pada seluruh badan.

Mangsa, Nur Dania Qistina Nurafizan difahamkan dibawa ke HSI oleh bapanya selepas dia dikatakan ditemui dalam keadaan lemas di dalam baldi.

Bagaimanapun, bedah siasat dijalankan pihak hospital membongkar punca sebenar kematian kanak-kanak itu apabila dia disyaki didera.

myMetro
22 Jan 2011



Bunuh anak: Suami bebas, isteri kekal tuduhan

Dewi Nadia Alias (belakang, kiri) didakwa membunuh dan mendera kanak-kanak berumur tiga tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru. Gambar - Utusan 21 Jan 2011

JOHOR BAHRU - Seorang pekerja kilang terlepas daripada hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini,hari ini memutuskan untuk melepas dan membebaskannya dari tuduhan membunuh anak kandungnya tahun lalu.

Hakim Samsudin Hassan memutuskan untuk membebas dan melepaskan Norafizan Udin, 31, yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dari tuduhan membunuh Nur Dania Qistina Norafizan, 4, selepas pihak pendakwa menerima representasi yang dikemukakan peguam bela.

Samsudin bagaimanapun mengekalkan tuduh ke atas isteri Norafizan, Dewi Nadia Alias, 26.

Norafizan dan Dewi didakwa membunuh Nur Dania di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram disini pada jam 6 hingga 9 pagi, 9 Januari 2011.

Atas kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Norafizan yang diwakili peguam G K Sritharan dan Ramesh Vasen telah mengemukakan representasi yang menyertakan alibi bahawa Norafizan tidak berada di lokasi ketika kejadian kerana keluar bekerja.

Dia yang memakai kemeja-T berkolar berwarna kelabu dan berseluar jeans mengucapkan syukur sambil menekup mukanya tanda syukur selepas mendengar keputusan hakim.

Dewi Nadia yang juga ibu tiri kepada mangsa mengaku tidak bersalah atas tuduhan pindaan yang dibacakan ke atasnya iaitu membunuh Nur Dania.

Samsudin menetapkan 23 hingga 25 Oktober ini bagi perbicaraan.

Dewi Nadia diwakili peguam, Sukhaimi Mashood.

myMetro
20 Sep 2012


Ibu tiri dihukum gantung

DEWI NADIA dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Nur Dania Qistina oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Kematian tragis seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun akibat didera ibu tirinya dua tahun lalu akhirnya terbela apabila wanita warga Indonesia itu dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Dewi Nadia Alias, 26, diarah menjalani hukuman itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Samsudin berkata, keterangan tertuduh tidak konsisten ketika dia memilih untuk membela diri secara bersumpah di dalam kandang saksi.

"Keterangannya melompat-lompat dan tidak konsisten," katanya.

Mengikut pertuduhan, Dewi Nadia didakwa membunuh Nur Dania Qistina, 3, di sebuah rumah di Jalan Tengku Mariam, Batu 7 1/2, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini pada pukul 6 pagi 9 Januari 2011.

Kosmo 23 Mei 2013



1 comment:

  1. memang bodohlah babi sial yang dera kanak-kanak,
    kalau aku memang terajang kat muka babi-babi sial itu...

    ReplyDelete