November 30, 2010

Sultan Selangor kurang senang

SHAH ALAM 29 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan segelintir pihak yang berhijrah ke negeri ini, terutamanya orang Melayu sendiri, yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, sama ada institusi raja Melayu masih relevan dan peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Baginda bertitah, tindakan golongan terbabit mempersoalkan perkara-perkara itu adalah bertunjangkan matlamat supaya sistem Raja Berperlembagaan yang ada sekarang disemak dan dikaji semula.

Titah baginda, golongan berkenaan juga telah mengemukakan alasan yang amat tidak tepat untuk merasionalkan matlamat itu kononnya negara telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang sudah tidak bersesuaian.

"Sehingga ada suara lantang daripada orang Melayu sendiri yang meminta perkataan 'Melayu' yang ada pada ungkapan 'Raja-Raja Melayu' hendaklah dihapuskan.

"Beta percaya perbuatan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri ataupun kepentingan politik mereka," titah baginda sewaktu berangkat ke majlis pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin ke-65 itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kepimpinan kanan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa sedih dengan generasi Melayu sekarang yang malu untuk mengakui diri sebagai seorang Melayu.

Justeru baginda melontarkan persoalan adakah mereka tidak mempunyai perasaan bangga dan megah sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan 'Melayu' untuk dikorbankan sehingga lenyap dari dunia ini.

"Cuba kita baca sejarah yang ditulis oleh orang Inggeris yang mana ada tertulis 'Tanah Melayu', 'Negeri-negeri Melayu Bersekutu' dan juga ada menyebut 'Raja-raja Melayu'.

"Ini menunjukkan penulis-penulis Barat ini mengiktiraf akan adanya Melayu yang memulakan sejarah di negara ini," titah baginda.

Mengulas lanjut, baginda menjelaskan titahnya itu bukanlah bertujuan menyalakan api perkauman tetapi untuk menyatakan bahawa semua rakyat Selangor mesti berbangga dengan komposisi penduduk pelbagai keturunan di negeri itu.

Baginda turut menyeru rakyat Selangor supaya memahami sejarah negeri dan negara supaya tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.

"Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu sahaja kerana negeri ini adalah tanah tumpah darah kita dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan," tegas baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bangga dan sukacita kerana kerajaan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib di sekolah namun pada masa sama menegur rakyat Selangor yang dianggapnya kurang membaca buku berkaitannya.

"Beta dapati rakyat beta kurang minat untuk membaca buku sejarah, dalam erti kata lain, rakyat Selangor ini ramai yang buta sejarah.

"Beta berharap rakyat Selangor dapat mengubah sikap untuk membaca lebih banyak buku sejarah berkenaan negara kita dan jangan membuang masa membaca buku-buku atau majalah-majalah yang hanya mengandungi gosip yang tidak memberi manfaat kepada kita," katanya.

Utusan
30 Nov 2010

Pelajar sembunyi atas siling asrama selepas menyamun

KEMAMAN: Seorang pelajar institusi kemahiran dekat sini, gagal memboloskan diri daripada ditahan polis walaupun bersembunyi di atas siling asrama pusat pengajiannya itu sebaik menyedari diserbu pihak berkuasa yang menerima maklumat dia terbabit dalam kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Geliga, di sini, semalam.

Dia yang berusia 20 tahun dikatakan tidak sempat membelanjakan hasil samun bersama rakan subahatnya berikutan pihak berkuasa lebih awal melakukan serbuan yang membawa kepada penemuan pelbagai jenis senjata termasuk pisau dan pistol selain kelengkapan lain dipercayai digunakan dalam kejadian samun yang dilaporkan kira-kira dua jam sebelum itu.

Dalam serbuan sama kira-kira jam 8.30 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki disyaki rakan subahatnya berusia 22 tahun yang tidak bekerja, selain menemui kira-kira RM1,000 dipercayai hasil rompakan disembunyikan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan ketika dihubungi memberitahu, satu sidang akhbar akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini berhubung kejadian berkenaan.

“Saya akan adakan sidang akhbar esok (hari ini). Kes baru saja dilaporkan dan pihak berkuasa masih mengumpul maklumat untuk meneruskan siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro petang semalam.

Difahamkan, penahanan dua individu semalam adalah antara penyelesaian kes terpantas polis Terengganu setakat ini berdasarkan tindakan segera pihak berkuasa itu sejurus menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian samun di kedai berkenaan.

Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu bergegas ke lokasi dan menjalankan gerakan memburu sebelum mereka menerima gambaran awal berkaitan suspek.

Ekoran maklumat itu, polis menyerbu sebuah asrama di Kemaman dan menahan dua individu berusia 20 dan 22 tahun selain rampasan beberapa senjata dan kelengkapan yang disyaki digunakan ketika menyamun.

Harian Metro difahamkan, kejadian bermula kira-kira jam 6 pagi semalam apabila dua lelaki bersenjata dan bertopi keledar serta menutup muka, menyamun kedai serbaneka berkenaan sejurus meluru ke kaunter dan melarikan wang tunai kira-kira RM3,500.

Ketika kejadian, tiga pekerja berada dalam kedai berkenaan, namun kedua-dua suspek itu sempat melarikan diri sebelum orang ramai yang melihat kejadian menghubungi polis.

Sebaik menerima maklumat, anggota bilik gerakan melakukan hebahan segera menyebabkan polis bergegas ke lokasi kejadian dan melakukan soal-siasat dengan lebih pantas sebelum memperoleh gambaran kasar mengenai suspek.

Berdasarkan maklumat itu, satu serbuan dilakukan di asrama itu sebelum menahan dua lelaki dan merampas semula beberapa barangan seperti jaket, resit jualan, peti wang, topeng, sarung tangan, pisau, pistol buatan sendiri serta dua peluru.

myMetro
30 Nov 2010

Hanyut dalam longkang

KUALA LUMPUR: Pantang maut sebelum ajal apabila seorang lelaki terselamat walaupun dia dihanyutkan arus deras selama hampir satu jam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, mangsa yang sedang bercucuk tanam dikatakan terjatuh ke dalam longkang besar di Bukit Indah, Ampang di sini, ketika hujan lebat.

Bagaimanapun, selepas dihanyut arus sejauh hampir satu kilometer, mangsa berusia 50 tahun akhirnya berjaya menyelamatkan diri dari lemas dengan berpaut pada sebatang pokok di dalam longkang sama di Taman Kosas, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Shaari Abdullah berkata, mangsa, S. Rajeshwaran ditemui penduduk Taman Kosas yang kemudian menghubungi bomba jam 2 petang.

“Sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa sedang berpaut pada sebatang pokok dalam keadaan lemah berikutan terpaksa bertahan dari terus dihanyutkan.

“Seramai lima anggota turun ke dalam longkang untuk menyelamatkan mangsa. Ketika itu arus sungai semakin perlahan dan tidak menyukarkan kerja menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, akibat dihanyut arus longkang yang deras, mangsa turut cedera di seluruh anggota badan.

“Mangsa bernasib baik kerana sempat berpaut pada dahan pokok berkenaan kerana mangsa mungkin akan maut jika hujan berterusan atau dihanyutkan ke sungai,” ujarnya.

my Metro
30 Nov 2010

Ditoreh penarik kereta

SUNGAI PETANI: Seorang wanita mengalami detik ngeri apabila terpaksa bergelut dengan beberapa lelaki yang juga penarik kereta yang menceroboh kawasan rumahnya di Taman Petani Jaya, di sini, Sabtu lalu untuk merampas kereta miliknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Norlieza Mohd Isa, 24, cedera di lengan kiri akibat ditoreh dengan pisau serta cedera di beberapa bahagian badan akibat dipukul kumpulan lelaki terbabit.

Menceritakan semula kejadian itu, Norlieza berkata, ketika kejadian dia berseorangan di rumah sewanya manakala rakannya keluar sebelum melihat dua kereta dinaiki enam lelaki berhenti di depan rumah.

“Empat daripada mereka kemudian bertindak membuka pintu pagar yang tidak berkunci sebelum menceroboh ke kawasan rumah serta membuka pintu kereta Proton Wiranya dengan mengumpil menggunakan peralatan tajam.

“Saya cuba menghalang mereka daripada merosakkan kereta sebelum seorang meminta kunci kereta. “Saya enggan memberinya kerana mereka tidak menunjukkan notis penarikan kereta daripada bank,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit turut bertindak kurang ajar apabila menyatakan mahu merampas kereta itu untuk kegunaan mereka dan mahu menjual peralatan kereta itu bagi mendapatkan wang. Malah, mereka turut mencabarnya menghubungi polis apabila dia cuba menghalang perbuatan itu.

Katanya, cubaannya untuk menghalang menyebabkan berlaku pergelutan hingga dia dipukul dan dicederakan sebelum ditolak hingga terjatuh.

“Saya bernasib baik apabila teman serumah tiba-tiba pulang dan segera menghubungi polis menyebabkan kumpulan lelaki itu beredar dan tidak sempat merampas kereta saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.

Menurutnya, dia menghubungi bank berkenaan dan mereka mengakui mengeluarkan notis berkenaan tetapi tidak mengarahkan kumpulan lelaki itu merampas kereta berkenaan dan memintanya membuat laporan polis.

Katanya, kejadian itu kali kedua berlaku apabila kumpulan sama menahannya di Jalan Ibrahim, di sini, pada 9 November lalu.

“Kereta saya tiba-tiba dihalang Proton Waja dinaiki dua lelaki sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam kereta dan mengugut menyerahkan wang jika tidak mahu kereta dirampas. Saya yang ketakutan memberikannya RM100 sebelum mereka beredar.

“Bagaimanapun, setengah jam kemudian ketika di kawasan Kampung Penghulu Him, di sini, dua lagi lelaki dipercayai rakan mereka menghalang kereta saya dan meminta RM2,000. Norlieza berkata, dia yang ketakutan memberikan RM1,500 sebelum baki RM500 diberikan malamnya.

Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan membuka kertas siasatan.

myMetro
30 Nov 2010

Hampir pengsan lihat mayat anak tepi jalan raya

KANGAR: Seorang duda hampir pengsan apabila melihat mayat anak bongsunya berusia enam tahun terbujur kaku di tepi jalan raya selepas dilanggar sebuah lori kuari di Jalan Sungai Batu Pahat, berhampiran Ladang Harum Manis, dekat sini, semalam.

Mangsa, Zaqwan Iskandar Zainuddin, murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Abi, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar kenderaan berat terbabit ketika menunggang basikal seorang diri untuk mencari abangnya, kira-kira jam 11.35 pagi.

Bapa mangsa, Zainudin Mat Said, 41, pekerja kuari di situ, berkata ketika tiba di tempat kejadian, mayat anaknya sudah ditutup dengan daun pisang dan dia terketar-ketar membukanya untuk melihat mayat berkenaan.

“Selepas diangkat daun pisang itu, sah mayat terbabit anak bongsu saya. Ketika itu, saya tidak mampu bersuara dan terdiam sebelum ditenangkan rakan-rakan.

“Darah masih mengalir keluar daripada mulut dan hidung Zaqwan ketika saya tiba di tempat kejadian. “Arwah mungkin mengalami kecederaan dalaman akibat digilis lori kuari berkenaan,” katanya ditemui di rumahnya di Jalan Harumanis Sungai Batu Pahat, dekat sini, semalam.

Katanya, selepas bercerai dengan isteri setahun lalu, Zaqwan yang petah bercakap menjadi teman tidurnya dan kehilangannya begitu dirasai.

“Dia bakal menduduki tahun satu di Sekolah Kebangsaan Abi, Januari depan.

“Buku dan beg sekolahnya untuk persekolahan tahun depan ada dalam simpanan saya di rumah. Saya tak sempat melihatnya memasuki alam persekolahan sebenar bersama abang dan kakaknya berusia 10 dan 12 tahun,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu Pahat, jam 6.30 petang semalam. Isteri Menteri Besar, Datin Seri Asiah Asmuni, hadir pada majlis pengebumian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah lori kuari dalam kejadian jam 11.35 pagi.

Katanya, lori tanpa muatan kuari terbabit datang dari arah Kangar menuju ke Sungai Batu Pahat dikatakan menyeret mangsa sejauh 15 meter bersama basikal ditungganginya.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah menahan pemandu lori berasal dari Changlun, Kedah berusia 53 tahun itu untuk diambil keterangan.

myMetro
30 Nov 2010

Tahan sakit demi anak, isteri

TUMPAT: Biarpun kakinya yang patah masih belum pulih sepenuhnya, seorang lelaki berjaya menyelamatkan keluarganya daripada rentung dalam kejadian kebakaran di rumah mereka di Kampung Alor Tal, Bendang Kerian, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Zulkifli Said, 47, yang mengalami kecederaan berkenaan akibat kemalangan jalan raya lima bulan lalu berjaya menyelamatkan isteri, Tipah Ismail, 38, serta lima anak mereka.

Menurut Tipah, sebelum kejadian, rumahnya mengalami gangguan elektrik sejak jam 7 malam menyebabkan mereka terpaksa memasang lilin.

Katanya, tidak lama kemudian api lilin itu menyambar langsir sebelum merebak ke bahagian lain.

“Ketika itu saya dan suami baru selesai menunaikan solat sebelum terdengar anak-anak menjerit api menyebabkan saya bergegas keluar dari bilik dan berusaha memadam api yang marak itu.

“Bagaimanapun, saya serta anak dan suami tidak mampu mengawal api berkenaan kerana sudah marak sebelum kami diarahkan suami untuk menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap rumah,” katanya.

Tipah yang juga tukang jahit sedih kerana bukan saja rumahnya hangus, tetapi semua pakaian yang ditempah pelanggannya turut musnah dalam kebakaran itu.

Katanya, dia juga buntu apabila gerai diusahakan berhampiran rumah turut terbakar.

“Selepas suami tidak dapat bekerja, itu saja punca rezeki kami sekeluarga. Kini semuanya sudah tiada lagi dan kami buntu memikirkan untuk kembali mencari rezeki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.38 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota dan dua jentera.

myMetro
30 Nov 2010

Penumpang van putus kaki

IPOH: “Saya terkejut daripada tidur kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam) dan tiba-tiba berasa tidak sedap hati. Saya cuba melelapkan mata semula, tapi tak boleh.

“Saya teringatkan anak ketiga kerana ketika itu dia bekerja. Banyak kali saya cuba menghubunginya, tapi gagal menyebabkan perasaan semakin gelisah hingga dihubungi seorang pekerja yang menaiki van dipandu anak mengatakan mereka terbabit kemalangan,” kata Mohd Radzi Kot, 55.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 pagi semalam, van pekerja kilang dipandu Mohd Hazizi, 25, terbabas sebelum melanggar besi penghadang Jambatan Kampung Kepayang dan hampir terjunam ke dalam Sungai Raia di Jalan Raja Nazrin Shah, dekat sini.

Kemalangan itu menyebabkan seorang penumpang wanita yang hanya dikenali Mariyana, 25, putus kaki kiri dan patah tangan kiri manakala Mohd Hazizi parah di kepala dan tangan kiri.

Enam penumpang lain cedera ringan dan tiga lagi menerima rawatan pesakit luar. Semua penumpang wanita berkenaan termasuk Mohd Hazizi dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat sini, untuk rawatan kecemasan.

Ketika kejadian, van itu dalam perjalanan dari Teluk Intan menghantar 10 pekerja wanita ke sebuah kilang perabot di Klebang, di sini.

Mohd Radzi yang tinggal di Chenderong Balai, Teluk Intan berkata, dia bergegas ke tempat kejadian sebaik mendapat panggilan kira-kira jam 5.15 pagi.

“Sebaik tiba, badan saya lemah dan lutut menggeletar melihat keadaan van yang remuk teruk.

“Ketika itu semua mangsa sudah dikejarkan ke hospital termasuk penumpang yang menghubungi saya. Saya terbayangkan anak dan beberapa penumpang lain terbunuh. Namun, hanya Allah yang tahu betapa lega hati apabila dimaklumkan seorang anggota polis tiada nyawa terkorban.

“Kemalangan mungkin berpunca daripada kecuaian anak kerana berdasarkan keadaan van dan tempat kejadian, ia dipandu laju,” katanya yang turut bekerja sambilan sebagai pemandu van kilang berkenaan secara bergilir mengikut syif dengan anaknya.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Rodzi Mohd Rejab berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang jambatan.

“Kemalangan itu mengakibatkan seorang penumpang wanita yang hanya dikenali Mariyana, 25, putus kaki kiri dan patah tangan kiri manakala pemandu van cedera parah di kepala dan tangan kiri.

“Enam penumpang lain cedera ringan dan tiga lagi hanya menerima rawatan pesakit luar.

myMetro
30 Nov 2010

Ayah tergantung di alang pintu

BENTONG: Kelu lidah dua beradik apabila menemui bapa mereka tergantung dipercayai membunuh diri di sebuah taman perumahan di Karak, dekat, sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 4.30 petang itu disedari dua anak mangsa yang berusia 6 dan 11 tahun selepas menemui bapa mereka tergantung pada satu alang pintu bilik di rumah mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Difahamkan, mangsa yang berusia 36 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori dipercayai melakukan perbuatan terbabit dengan mengambil kain langsir dan menggantungnya pada alang pintu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata sebaik melihat bapa mereka tergantung, dua beradik terbabit menjerit sekuat hati kerana terkejut sebelum memaklumkan kepada abang sulung mereka berusia 15 tahun yang pulang ke rumah.

Menurutnya, remaja itu meminta bantuan jiran terdekat untuk menghubungi Balai Polis Karak, dekat sini, sebelum mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Bentong (HB).

myMetro
30 Nov 2010

Ahli perniagaan, anak ditikam

BANGSAR: Seorang ahli perniagaan parah di kepala dan tangan akibat ditikam bertubi-tubi menggunakan sebatang besi dipercayai pemecah ais oleh perompak yang menceroboh rumahnya di Jalan Limau Purut, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, anak bongsu ahli perniagaan terbabit berusia 22 tahun yang berada di ruang tamu bersama bapanya itu turut ditikam di kepala.

Difahamkan, ketika kejadian dua lelaki berusia 20-an menyelinap masuk ke rumah banglo itu untuk mencuri barang kemas, namun kecewa apabila diberitahu tiada barang bernilai itu.

Anak kedua mangsa, Parul Girisha Kumar, 28, yang terselamat berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik sebelum mendengar pertengkaran di ruang tamu.

“Saya ke ruang tamu dan terkejut apabila mendapati bapa dan adik terbaring berlumuran darah akibat ditikam bertubi-tubi di kepala,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Parul berkata, sejurus mengambil barang berkenaan, kedua-dua perompak terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah Proton Wira berwarna kelabu.

Menurutnya, kejadian itu disaksikan jirannya yang melihat kelibat dua lelaki berlari keluar dan menaiki sebuah kereta selain kelihatan dua lagi suspek di dalam kereta terbabit.

“Jiran saya membawa bapa dan adik ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan, manakala saya menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan kes itu dan usaha memburu keempat-empat suspek giat dijalankan.

myMetro
30 Nov 2010

Perut terburai

KAJANG: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati dengan perut terburai selepas dipercayai ditikam di Sungai Tekali, Batu 14, Hulu Langat, di sini, semalam.

Mayat Azmol Hussain berusia 30-an ditemui dalam hutan bersebelahan sungai oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.30 petang kelmarin daripada orang awam yang menyaksikan kejadian bunuh itu.

“Saksi mendakwa melihat seorang lelaki berlari sambil memegang perutnya. Saksi yang pelik melihat mangsa berlari mendapati dia dikejar sekumpulan empat lelaki yang menunggang tiga motosikal.

“Mungkin kerana takut, mangsa terjun dari jambatan kira-kira 100 meter berhampiran sungai itu.

Saksi menghubungi polis sebelum sepasukan penyelamat dihantar ke tempat kejadian,” katanya pada sidang media di IPD Kajang, di sini, semalam.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, polis mendapati tompokan darah pada permukaan jalan sebelum pasukan menyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Difahamkan, mangsa yang mempunyai pasport dan permit kerja sah bekerja di sebuah kilang di Shah Alam.

“Akibat hujan lebat, operasi terpaksa dihentikan kira-kira jam 11 malam dan disambung semula jam 8 pagi tadi (semalam).

“Kira-kira jam 11 pagi, sepasukan polis menemui mayat mangsa dalam kawasan hutan kira-kira 100 meter dari tempat mangsa terjun,” katanya.

Sakaruddin berkata, berdasarkan siasatan mendapati mangsa masuk ke dalam hutan itu kerana mahu melarikan diri daripada suspek, namun maut kerana mengalami pendarahan serius.

Mangsa cedera di perut dengan kesan torehan pada sebelah kiri sehingga menyebabkan perutnya terburai.

“Tiada unsur samun kerana dompet mangsa masih bersamanya. Berdasarkan penemuan permit kerja mangsa, polis menemui majikan, namun mangsa sudah dua tahun berhenti kerja dan bekerja di tempat lain,” katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan dendam menjadi motif mangsa ditikam, namun siasatan lanjut masih dalam siasatan.

Menurutnya, saksi kejadian gagal mengenal pasti suspek ekoran tiada nombor plat pada motosikal ditunggang mereka ketika kejadian.

Sehingga kini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

myMetro
30 Nov 2010

Ibu rentung


KUANTAN: Kegembiraan seorang ibu untuk menyambut menantu berakhir tragedi menyayat hati apabila dia rentung selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas mengedar kad kahwin anak perempuannya yang dijadualkan berlangsung pada 11 Disember ini.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari di Kilometer 35, Jalan Kuantan-Kemaman, di sini, semalam, mangsa, Senik Osman, 69, rentung selepas kereta Proton Iswara dinaiki bersama suaminya, Abdul Ghani Ahmad, 72, dirempuh sebuah Toyota Vios dipandu seorang lelaki, Patrick Chai Yew Fai, 22.

Mangsa yang berasal dari Bukit Kuin, di sini, tidak sempat diselamatkan apabila kenderaan mereka terbakar selepas dirempuh kereta dipandu Patrick yang berasal dari Kubang Buaya, di sini.

Suami mangsa yang juga seorang mekanik dan Patrick dilaporkan parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.

Difahamkan, pasangan warga emas berkenaan dalam perjalanan pulang dari Kemaman selepas mengedarkan kad undangan perkahwinan anak keempat mereka, Fauziah Abd Ghani, 30, yang dijadualkan berlangsung bulan depan di rumah mereka kepada saudara-mara di Kemaman.

Adik mangsa, Mohamad Abdul Rahman, berkata kakaknya keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi semalam dan tidak menunjukkan sebarang tanda pelik.

Katanya, kakaknya gembira kerana Fauziah akan melangsungkan perkahwinan dan segala persiapan untuk menyambut ‘orang baru’ dalam keluarga berjalan lancar.

“Saya sedih apabila mengenangkan peristiwa ini. Kali terakhir saya berbual dengannya kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam) dan dimaklumkan mereka berdua dalam perjalanan balik ke rumah.

“Dia hanya memaklumkan sudah mengedarkan kad undangan itu di sana (Kemaman),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

TUTUP...mayat mangsa dibawa ke HTAA.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata siasatan awal mendapati kereta Vios dipandu Patrick dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman cuba memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta dipandu Abdul Ghani.

Katanya, akibat pertembungan itu, pemandu kereta Proton Iswara yang parah sempat keluar dari kenderaan, namun seorang lagi penumpang di tempat duduk depan dipercayai tersepit gagal keluar sebelum kenderaan itu terbakar.

“Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Gebeng, dekat sini, tiba di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran sebelum mayat Senik dikeluarkan dan dihantar ke bilik mayat HTAA.

Zulkifli berkata, kedua-dua mangsa yang parah dihantar ke HTAA untuk rawatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro
30 Nov 2010

Ditinju sebelum bersalin

MUAR: Penderitaan seorang wanita yang hampir melahirkan anak bertambah parah apabila perutnya ditumbuk berkali-kali oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa yang berumur 26 tahun dihantar suaminya ke hospital itu selepas mengadu sakit perut mahu melahirkan anak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa dipercayai ditumbuk suspek di dalam lif pusat perubatan berkenaan.

“Ketika kejadian, suami mangsa meletakkan kenderaan di petak parkir, manakala suspek membantu menolak mangsa menggunakan kerusi roda ke wad bersalin.

“Ketika berada di dalam lif, mangsa ditumbuk di perut beberapa kali, sebelum dia dihantar ke wad bersalin,” katanya.

Mangsa yang terkejut dan berada dalam kesakitan akibat tindakan tidak berperikemanusiaan pengawal keselamatan itu kemudiannya memaklumkan kejadian kepada suaminya yang berumur 33 tahun, sebelum suami mangsa membuat laporan polis berkaitan insiden terbabit.

Menurut beliau, polis kemudiannya menahan pengawal keselamatan terbabit untuk membantu siasatan.

“Kami merujuk suspek ke Wad Psikiatri HPSF dan dia dipercayai mempunyai masalah mental.

“Siasatan awal mendapati suspek baru dua bulan bekerja di syarikat kawalan keselamatan di HPSF,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Jurucakap HPSF pula memaklumkan bahawa mangsa selamat melahirkan bayinya tidak lama selepas kejadian dan kedua-duanya kini berada dalam keadaan sihat.

myMetro
30 Nov 2010

Pokok reput penyebab ajal

ISTERI Mohd. Helmi melihat mayat suaminya yang mati dihempap batang pokok reput di Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita hanya mampu menangis apabila suaminya yang baru sahaja menghantarnya ke tempat kerja maut dihempap sebatang pokok reput di Jalan Bukit Nanas di sini semalam.

Kejadian pukul 8.30 pagi itu menyebabkan seorang kakitangan bank, Mohd. Helmi Husain, 37, mati selepas mengalami cedera parah di kepala dihempap pokok setinggi lima meter yang terletak di kiri jalan itu ketika hendak ke tempat kerjanya di Jalan Ampang.

Isterinya juga seorang kakitangan bank dan bekerja di Jalan Pudu. Dia yang menerima khabar itu beberapa minit kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan hanya mampu menangis.

Sebaik sampai, dia melihat mayat suaminya masih lagi ditimpa batang pokok tersebut sebelum ia dialihkan oleh kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Difahamkan, setiap hari, bapa kepada lapan anak itu akan menghantar isterinya ke tempat kerja sebelum dia akan ke pejabatnya pula.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, pokok tersebut tiba-tiba tumbang sebaik mangsa melalui kawasan tersebut.

Kosmo
30 Nov 2010


Sujud dakap jenazah suami



KUALA LUMPUR: Hanya deraian air mata pilu dapat menggambarkan kesedihan seorang isteri ketika mencium mayat suaminya yang berlumuran darah akibat dihempap tunggul pokok tumbang secara tiba-tiba berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Hayati Husin, 30-an hanya mampu bersujud sambil mendakap kepala suaminya yang ditimpa batang pokok sebesar dua pemeluk.

Sumber polis trafik berkata, kemalangan ngeri itu berlaku apabila Mohd Helmi Hussin, 37, sedang menunggang motosikal bersendirian arah Jalan Raja Chulan, di sini.

PILU...Hayati mengiringi jenazah suaminya ke HKL untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Helmi.

Menurutnya, sebatang tunggul pokok setinggi kira-kira 10 meter tiba-tiba tumbang lalu menimpa mangsa yang dipercayai tidak sempat mengelak.

“Difahamkan, mangsa baru saja menghantar isterinya Hayati yang bekerja di sebuah bank tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum menaiki motosikal untuk ke tempat kerjanya di sebuah bank berhampiran Jalan Raja Chulan, di sini.

“Namun, selepas beberapa minit menghantar isterinya, mangsa dihempap tunggul pokok yang rebah menyilang di jalan berkenaan. Kejadian itu menyebabkan kepala dan tubuh mangsa cedera parah dan dia mati di lokasi kejadian,” katanya.

Isteri mangsa yang dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh rakan sekerja bergegas ke lokasi kejadian.

Suasana di tempat kejadian menjadi pilu apabila Hayati dipapah rakan tidak dapat menahan sebak dan kemudian bersujud sambil mencium kepala suaminya sebagai tanda kasih.

Episod sedih itu turut meruntun hati beberapa anggota polis trafik dan orang ramai yang mengerumuni lokasi kejadian.

ALIH...kakitangan DBKL mengalihkan tunggul pokok yang tumbang.

Anggota polis trafik bersama anggota bomba dan penyelamat serta kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha memindahkan mayat mangsa selain mengalihkan batang pokok terbabit yang menghalang laluan.

Hayati kemudian turut menaiki kenderaan polis menghantar jenazah suaminya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Bapa saudara Hayati yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ngah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak buahnya memberitahu mengenai kemalangan kira-kira jam 9 pagi.

Dia yang dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan, bergegas pulang ke ibu kota dan terus ke HKL.

Menurutnya, melalui gambar dirakam kawan arwah di tempat kejadian, dia mendapati pokok itu sudah reput. Katanya, kejadian malang itu mungkin dapat dielak jika pihak bertanggungjawab melakukan pemantauan dan menebang pokok yang boleh membahayakan nyawa.

“Namun, kami reda dengan apa yang berlaku dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang,” katanya.

Jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid HKL sebelum dibawa ke kampung halaman mangsa di Ipoh, Perak untuk dikebumikan.

myMetro
30 Nov 2010


Woman sees branch fall and kill her hubby

Wrong place, wrong time: Mohd Helmi pinned under the branch in Jalan Raja Chulan and (inset) a distraught Hayati watches over her husband's body as it is taken to the Kuala Lumpur Hospital for post-mortem Monday.- Pix courtesy of The Star reader SHAMSUL LIANI ABAS

KUALA LUMPUR: A bank employee was killed after a 5m-long tree branch fell on him in Jalan Raja Chulan here.

Mohd Helmi Hussin, 37, had dropped off his wife Hayati Hussain at work barely five minutes before the incident at 8.30am.

He was riding his motorcycle when the branch suddenly dislodged and fell on him.

A horrified Hayati witnessed the incident, which occurred about 500m from where she was standing.

Witness Shamsul Liani Abas said a distraught Hayati was heard uttering to her dead husband “nak ikut” (I want to follow).

“Her colleagues who heard about the incident consoled her,” he said.

A police spokesman said initial investigations revealed that Helmi suffered injuries to his abdomen and hip. “The branch was rotten and shallow inside.”

The Fire and Rescue Department, together with City Hall, cleared the branch within 45 minutes.

Mohd Helmi’s body was sent to the Kuala Lumpur Hospital for post-mortem.

He was buried in his hometown in Ipoh yesterday evening.

The Star Online
30 Nov 2010


Pokok tumbang bukan seliaan Jabatan Perhutanan

KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan menafikan dakwaan sebatang pokok setinggi kira-kira 10 meter yang tumbang ke arah jalan sehingga meragut satu nyawa awal pagi semalam di bawah seliaan pihaknya.

Sebaliknya, jurucakap jabatan itu berkata, pokok terbabit di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kami sudah menghantar sepasukan renjer di lokasi berkenaan dan mendapati pokok itu tidak terletak dalam kawasan seliaan kami kerana ia di luar Hutan Simpan Bukit Nanas.

“Pihak jabatan juga sudah mengesahkannya dan laporan lengkap berhubung kejadian termasuk siasatan terperinci hanya akan diperoleh esok,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas insiden pagi semalam yang mengorbankan satu nyawa apabila seorang penunggang motosikal parah di kepala akibat dihempap pokok yang tumbang dan melintang di tengah jalan.

Mangsa, Mohd Helmi Hussin, 37, menunggang motosikal bersendirian berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, arah Jalan Raja Chulan, di sini, sebelum dihempap pokok terbabit.

Anggota bomba dan penyelamat dan kakitangan DBKL mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memotong dan mengalihkan batang pokok itu sebelum mayat mangsa ditarik keluar.

Sementara itu, DBKL yang enggan mengulas lanjut berkata akan menyiasat kejadian terbabit secara menyeluruh.

“Kami akan siasat perkara ini dan di samping itu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

myMetro
1 Dis 2010


DBKL bertindak

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak segera dalam tempoh 24 jam bagi mencantas dan menebang pokok yang membahayakan pengguna di sekitar bandar raya ini supaya kejadian meragut nyawa orang awam tidak berlaku pada masa depan.

Timbalan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Amin Nordin Abd Aziz, berkata pihaknya memerlukan kerjasama orang awam bagi memaklumkan pokok atau tunggul kayu yang membahayakan di tepi jalan mahupun di kawasan perumahan.

Katanya, orang awam menjadi mata dan telinga DBKL dalam memberi maklumat selain pemantauan yang dilakukan pasukan khas DBKL.

“Mereka boleh membuat aduan terus kepada DBKL sebelum pasukan kami mengambil tindakan sama ada mencantas atau menebang pokok besar serta membuang tunggul mati,” katanya.

myMetro
1 Dis 2010

November 29, 2010

Perkhidmatan teksi perlu perubahan

Gelagat pemandu teksi yang berpakaian tidak kemas sedang menerima duit tambang daripada seorang pelancong di Kuala Lumpur.

MUKADIMAH

BILA mahu pulih? Itu persoalan yang dilemparkan orang ramai apabila bercakap mengenai mutu perkhidmatan teksi di negara ini yang bukan sahaja menimbulkan rungutan dan rintihan warga tempatan malah pelancong asing.

Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kenderaan awam itu, namun ia masih tidak berubah.

Syarikat dan pemandu teksi seperti enggan berubah dan bekerjasama demi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka agar setanding dengan negara-negara maju.

Persoalannya tidakkah mereka berasa malu sedangkan negara seperti Indonesia sudah memiliki perkhidmatan teksi kelas pertama dan terbaik, justeru kenapa tidak di negara ini?

Ikuti siasatan wartawan unit khas Utusan Malaysia UMAVATHI RAMAYAH, AZRAI MOHAMMAD, MOHD. AMIRUL AFIQ MASTOR dan ROSALINDA MD. SAID serta jurugambar AMIN FARIJ HASAN dan HAFIZH KHOSMAT terhadap teksi di sekitar Kuala Lumpur sementara wakil Utusan Malaysia di Indonesia, BORHAN ABU SAMAH pula melakukannya di Jakarta.

Hasilnya, terdapat perbezaan ketara bagi perkhidmatan teksi antara kedua-dua bandar raya ini. Di Kuala Lumpur, mutu perkhidmatannya masih rendah berbanding di Jakarta yang cekap dan selesa.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Utusan
29 Nov 2010

Dipukau Geng Arab

KUALA LUMPUR: “Saya rasa bagai dipukau.. pandangan tiba-tiba menjadi kabur dan rasa macam orang bodoh selepas bercakap dengan lelaki Arab itu,” kata mangsa kes curi beg tangan, Noraziah Mat Salleh, 25.

Mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah bank hanya sedar daripada dipukau selepas seorang wanita yang makan berdekatan dengannya di sebuah restoran makanan segera di Masjid Jamek, di sini, memberitahu beg tangannya diambil lelaki Arab itu.

Menurutnya, dia tidak menyangka tindakan meninggalkan sebentar beg tangan di meja makan untuk membasuh tangan menyebabkan dia menjadi sasaran geng pukau warga Arab berkenaan.

“Selepas makan saya pergi ke tempat membasuh tangan, namun tiba-tiba ada seorang wanita Arab menghalang laluan saya dan dia membasuh tangan dahulu. Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa dan saya menunggu dia di belakang untuk membasuh tangan,” katanya.

Menurutnya, dia hairan daripada mana wanita Arab itu datang secara tiba-tiba kerana sewaktu dia makan di situ kelibat wanita itu tidak kelihatan.

“Selepas itu dia hanya mengukirkan senyuman dan saya membalasnya. Kemudian dia beredar dari situ dan saya terus membasuh tangan.

“Tidak lama kemudian datang pula seorang lelaki Arab memberitahu wang saya sebanyak RM2 terjatuh tetapi saya tidak mengambilnya. Pada waktu itu lelaki Arab itu ada membawa beg galas,” katanya.

Katanya, ketika dia hendak kembali ke mejanya, lelaki Arab itu cuba menghalang dan menyuruh dia mengambil wang itu dahulu.

“Saya enggan dan dia memandang tepat ke wajah saya menyebabkan pandangan saya menjadi samar-samar.

“Saya tidak sedar seterusnya apa yang berlaku sehingga wanita berhampiran saya memberitahu beg tangan saya sudah tiada kerana diambil lelaki Arab tadi,” katanya.

Selepas itu baru dia menyedari kehilangan beg tangan mengandungi barang berharga di dalamnya dan berjumpa pengurusan restoran itu untuk melihat rakaman litar kamera tertutup (CCTV), namun dia terkejut selepas diberitahu CCTV itu tidak berfungsi.

Noraziah kemudian membuat laporan di Balai Polis Tun H.S Lee.

myMetro
29 Nov 2010

Samseng jalan tumbuk polis

KUALA LUMPUR: Seorang samseng jalan raya, bertindak ganas dan sanggup bergelut dan menumbuk beberapa anggota polis trafik sebelum ditewaskan dan digari sejurus didapati sengaja memandu melulu dan membuli seorang pemandu Perodua Kancil.

Suspek berusia 35 tahun dan bekerja sebagai jurujual terbabit terpaksa ditahan selepas sengaja mencemuh polis selain enggan disoal siasat selepas didapati melakukan kesalahan lalu lintas.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi semalam apabila sepasukan anggota polis trafik Jalan bandar sedang melakukan operasi bagi membenteras kegiatan samseng jalanan didalangi kumpulan Mat Rempit di pusat ibu kota, di sini.

Menurutnya, anggota polis trafik yang sedang membuat rondaan di Jalan Sultan Hishammuddin, di sini, bagaimanapun terlihat sebuah kereta mewah model Audi berwarna kelabu dipandu laju seolah-olah sedang mengejar sebuah Perodua Perodua Kancil di hadapannya.

“Pemandu Audi terbabit didapati sengaja menghimpit berulang kali Perodua Kancil berkenaan menyebabkan pemandu kereta Kancil terbabas sebelum berhenti berhampiran persimpangan lampu isyarat.

“Pemilik kereta Audi terbabit yang mendapati kereta Kancil terbabit tersadai di bahu jalan kemudian segera membuka pintu dan berjalan ke arah kereta berkenaan.

“Suspek kemudian cuba membuka pintu kereta terbabit namun pemandu Perodua Kancil berkenaan didapati enggan membuka pintu,” katanya.

Namun, selepas diasak berulang kali, pemandu Perodua Kancil terbabit akhirnya membuka pintu sebelum melarikan diri dalam keadaan ketakutan kerana bimbang dipukul suspek dipercayai samseng jalan raya.

“Berikutan itu anggota polis segera menghampiri lokasi kejadian sebelum memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa. Pihak polis kemudian bertanya apa yang berlaku dan meminta penjelasan dari suspek berkenaan.

“Bagaimanapun lelaki terbabit enggan mengendahkan pertanyaan anggota polis sebaliknya menghamburkan pelbagai kata-kata kesat terhadap empat anggota polis yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Pada masa sama seorang anggota polis trafik terbabit segera masuk ke dalam kereta kancil yang ditinggalkan di tepi jalan itu dengan tujuan mahu mengalihkan kedudukannya yang didapati menghalang lalu lintas.

“Namun suspek yang seolah-olah tidak menghormati tugas polis bertindak membuka pintu kereta dan cuba menarik anggota polis berkenaan keluar dari kereta Kancil terbabit.

“Tindakan ganas suspek menyebabkan anggota polis berkenaan terpaksa menunjukkan kad kuasa polisnya sekali lagi. Namun suspek enggan mengendahkan tindakan polis terbabit sebalik menolak anggota polis itu hingga terjatuh,” katanya.

Menurutnya, tindakan kasar suspek menyebabkan anggota polis tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menahan suspek yang dianggap cuba mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.

“Bagaimanapun, suspek enggan menyerah diri sebaliknya menumbuk anggota polis menyebabkan pihak polis terpaksa bergelut untuk menahannya,” katanya.

Suspek yang meronta-ronta dan cuba untuk membebaskan diri bagaimanapun akhirnya ditundukkan sebelum tangannya digari. Susulan itu suspek dibawa ke balai polis Tun HS Lee untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 186 kanun keseksaan.

myMetro
29 Nov 2010

Tiga lagi korban denggi minggu ini

GEORGE TOWN - Tiga lagi kematian akibat demam denggi dilaporkan minggu ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia di seluruh negara akibat wabak itu meningkat kepada 128 orang sejak Januari lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, satu kematian dilaporkan di Sarawak kelmarin manakala dua kematian dilaporkan masing-masing di Pulau Pinang dan Johor pada Isnin lepas.

"Jumlah itu menyaksikan peningkatan kematian kepada 50 kes berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak hanya 78 kematian yang direkodkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus Basic Life Saving Training di sini semalam.

Beliau berkata, sehingga semalam sebanyak 43,477 kes demam denggi dilaporkan berbanding 37,205 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sehingga semalam, Selangor mencatatkan jumlah kes demam denggi tertinggi tahun ini berbanding negeri lain iaitu 15,520 kes dengan 43 kematian.

Kosmo
29 Nov 2010

Usahawan diserang sakit jantung ketika memandu

ORANG RAMAI melihat operasi menaikkan sebuah kereta Mercedes Benz yang terhumban ke dalam longkang di Kajang Utama kelmarin.

KUALA LUMPUR - Keasyikan seorang usahawan dari Shah Alam memandu keretanya berakhir dengan tragedi apabila dia mati selepas dipercayai diserang sakit jantung sebelum kenderaannya itu terbabas ke dalam longkang di kawasan Kajang Utama dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 8.30 malam itu berlaku ketika Gan Teck Sin, 41, yang lebih dikenali sebagai Eric memandu kereta jenis Mercedes Benz warna perak miliknya bersendirian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, sebelum kejadian, kereta yang dipandu mangsa sedang menuruni bukit di kawasan berkenaan.

Katanya, kereta mangsa hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum terhumban ke dalam longkang sedalam 20 meter.

Kosmo
29 Nov 2010

Mayat dibuang lepas disembelih

MAYAT seorang lelaki dibawa dengan kenderaan polis selepas ditemui di Kampung Batu, Jinjang, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Ditikam bertubi-tubi selain lehernya disembelih.

Demikian nasib seorang lelaki yang ditemui mati dibunuh dengan kejam, mayatnya kemudian dibuang di tepi jalan menuju ke tangki air di Kampung Batu, Jinjang di sini semalam.

Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui pada pukul 1.30 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, ketika ditemui mangsa lengkap berpakaian baju kemeja T belang dan berseluar panjang.

“Pemeriksaan awal mendapati, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dan berbadan gempal. Kita juga mendapati terdapat lebih lima kesan tikaman di depan dan belakang badan mangsa selain lehernya disembelih,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, polis tidak menemui sebarang senjata di situ dan pihaknya percaya mangsa telah dibunuh di tempat lain beberapa jam sebelum itu.

Menurut Zakaria, setakat ini, tiada ahli keluarga yang datang untuk membuat pengecaman.

Kosmo
29 Nov 2010

Jeritan sayu wanita OKU

SAODAH melihat keadaan rumahnya yang hangus di Kampung Banggol Ubi Keling, Lemal, Pasir Mas semalam.

PASIR MAS - Seorang lelaki hanya mampu memandang rumahnya runtuh menyembah bumi selain adik tirinya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di Kampung Banggol Ubi Keling, Nibong, Lemal dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 4.45 petang itu mengakibatkan wanita yang mengalami cacat penglihatan dan lumpuh anggota badan, Fatimah Said, 50, rentung dijilat api apabila dia gagal diselamatkan. Ketika kebakaran itu, mangsa dikatakan telah menjerit meminta tolong.

Ketika kejadian, adik tiri lelakinya, Mazani Omar, 33, yang mengalami masalah mental turut berada di situ tetapi hanya mampu melihat mangsa terbakar. Dia yang hilang upaya pemikiran dikatakan tidak tahu apa yang terjadi.

Bagaimanapun, Mazani terselamat kerana ketika itu dia berada di luar rumah.

Kosmo
29 Nov 2010


Wanita buta rentung dalam bilik

PASIR MAS: Seorang wanita yang mengalami kecacatan kaki dan buta sejak lahir ditemui rentung apabila rumahnya hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Banggol Ubi Keling, Nibong, di sini, petang kelmarin.

Lebih menyayatkan hati, apabila mangsa Fatimah Said, 54, cuba diselamatkan seorang ahli keluarganya, namun usaha itu gagal apabila bumbung rumah yang terbakar menghempapnya menyebabkan usaha menyelamatkannya tidak dapat dilakukan.

Sebelum kejadian, ibunya, Saodah Ali, 70, yang tinggal bersama mangsa di rumah berkenaan meninggalkannya bersendirian seketika kerana ingin ke rumah cucu terletak berhampiran.

Saodah berkata, kejadian itu amat sukar diterima apabila dia tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya.

“Jika diikutkan hati, mak cik mahu meredah api menyelamatkannya, namun api begitu marak.

“Mak cik sedih mengenangkan dia yang pergi dalam keadaan begini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Saodah berkata dia sebelum itu dimaklumkan penduduk kampung rumahnya terbakar sebelum bergegas pulang.

Katanya, dia yang tergamam melihat keadaan itu mengucap panjang dan berdoa mengenangkan nasib anaknya yang berada di dalam rumah terbabit.

“Sebaik api dipadamkan, saya diberitahu mayatnya dijumpai dalam keadaan rentung di bilik tidurnya.

“Sebelum itu, cucu saya, Saupi Ismal, 21, cuba menyelamatkannya, tetapi bumbung runtuh menghempap Fatimah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pasir Mas, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Abdul Kadir Che Ya, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.50 petang sebelum bergegas bersama lapan anggota dan sebuah jentera.

Katanya, sebaik tiba di tempat kebakaran pihaknya mendapati hampir 80 peratus rumah sudah terbakar dan mengambil masa selama hampir sejam memadam dan mengawal api.

“Mangsa dijumpai rentung di dalam bilik tidurnya kerana dipercayai gagal menyelamatkan diri akibat kecacatan kaki.

“Punca kejadian disiasat dan kami menganggarkan kerugian kira-kira RM40,000,” katanya

myMetro
29 Nov 2010

Rogol anak tiri, mekanik dihukum penjara 18 tahun, 6 sebatan

ALOR SETAR -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan kepada seorang mekanik atas tuduhan merogol anak tirinya tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh, yang berumur 27 tahun.

Tertuduh yang berasal dari Langkawi disabitkan dengan kesalahan melakukan sumbang mahram dengan merogol anak tirinya, berumur 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah di Kampung Huma Mukim Ayer Hangat, Langkawi pada 20 Nov 2007 kira-kira pukul 6 petang.

Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376B akta sama.

Peguam tertuduh, K. Kartikumar meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lalu, di samping dia juga terpaksa menyara ibu dan bapanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Rizal Fadzil memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang mencerminkan kepentingan awam terhadap tertuduh kerana semua masyarakat tidak dapat menerima perbuatan seperti itu.

Kartikumar kemudian memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan hukuman kerana beliau mahu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mohd Sabri membenarkan hukuman ditangguhkan sehingga menunggu rayuan dan menetapkan tertuduh membayar jaminan RM7,000. - BERNAMA

29 Nov 2010

Empat maut kereta dirempuh bas

BATU PAHAT - Empat sekawan maut apabila kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki dirempuh sebuah bas ekspres dalam satu kemalangan di Kilometer 110 Lebuh Raya Utara-Selatan Pagoh-Yong Peng dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 10 malam itu mengakibatkan pemandu kereta, T. Sajeevan, 22; A. Manimaran, 17; Shamugam, 17; dan P. Sathiya, 17, mati akibat mengalami kecederaan parah di seluruh badan.

Difahamkan, kesemua yang maut tercampak dari kereta yang dinaiki bersama dua lagi kenalan mereka. Dua lagi terselamat dan masing-masing mengalami kecederaan parah dan ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Adnan Azizon berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke ibu kota dari Simpang Renggam. Ketika itu jalan licin akibat hujan lebat.

Katanya, kejadian itu berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa dipercayai terlanggar bahagian belakang sebuah trak penunda.

"Ekoran itu, kereta mangsa telah berpusing sehingga melintang di atas jalan. Ia kemudian telah dirempuh oleh sebuah bas ekspres.

"Empat daripada mangsa tercampak keluar dari kereta itu dengan Sathiya terhumban ke sungai berhampiran manakala dua lagi tersepit dalam kereta itu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya lagi, kereta lain yang gagal mengelak turut melanggar kereta mangsa. Mayat Sathiya hanya ditemui pukul 4.20 petang semalam.

Menurut Adnan, dua daripada mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Muar. Mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Katanya, pemandu serta penumpang bas ekspres dan kereta lain tidak mengalami kecederaan.

Kosmo
29 Nov 2010


Empat sekawan maut kereta dirempuh bas

BATU PAHAT: Seorang daripada empat sekawan yang tercampak daripada Proton Iswara dinaiki selepas dirempuh bas ekspres serta kereta di Kilometer 110, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), antara Yong Peng dan Pagoh, malam kelmarin, terhumban ke dalam sungai berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mayat mangsa, P Sathiya, 17, ditemui jam 4.20 petang semalam, 18 jam selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon, berkata tiga lagi rakan karib Sathiya tercampak di tepi jalan dan keempat-empatnya disahkan mati akibat parah di kepala dan badan.

“Dalam kejadian itu, kereta dipandu T Sajeevan, 22, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Simpang Renggam sebelum merempuh sebuah kereta yang ditunda.

“Sejurus kemudian, kereta Proton Iswara berkenaan dirempuh dua kenderaan menyebabkan empat sekawan itu tercampak keluar dengan seorang daripadanya terhumban ke dalam sungai,” katanya, semalam.

Menurut Adnan, dua lagi penumpang cedera dengan seorang daripadanya parah dan mereka kini dirawat di Hospital Muar.

Adnan berkata, Sajeevan dipercayai gagaI mengawal kenderaannya sebelum merempuh kereta yang ditunda menyebabkan kereta Proton Iswara yang dipandunya berpusing beberapa kali sebelum melintang di tengah jalan.

“Dua mangsa gagal untuk keluar kerana tersepit, selain Sajeevan dan Sathiya, dua lagi yang terbunuh adalah S Shamugan serta A Manimaran, kedua-duanya berumur 17 tahun.

“Operasi mencari dan menyelamat Sathiya dilakukan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3),” katanya.

myMetro
29 Nov 2010

Kahwin selepas 13 tahun tunang

PUCHONG – Setahun, dua atau tiga tahun adalah tempoh biasa bagi mana-mana pasangan bercinta mengambil masa bertunang sebelum berumah tangga.

Namun luar biasa bagi satu pasangan yang diijabkabulkan di Kampung Kenangan di sini, semalam apabila mereka mengikat tali pertunangan selama 13 tahun sebelum mengambil keputusan berumah tangga.

Pasangan itu, Rashidi Abdul Rahman, 37 dan isterinya Suzilawati Muhamad, 34, mungkin adalah pasangan pertama yang mengikat tali pertunangan paling lama di negeri Selangor.

Rashidi ketika ditemui Sinar Harian berkata, kesetiaan dan kesabaran kekasih hati yang kini sudah bergelar isterinya menjadi faktor percintaan yang dijalin sejak berusia 19 tahun itu masih kekal hingga ke hari ini.

Katanya, ketika pertama kali melihat isteri, Suzilawati 18 tahun lalu, dia tidak pernah jatuh cinta dengan wanita lain meskipun mengakui pelbagai halangan dan dugaan ditempuhi selepas bertunang belasan tahun lalu.

“Saya mengenali Suzi apabila keluarganya berpindah ke Puchong dan tinggal di kawasan perumahan berdekatan.

“Percaya cinta pertama membawa bahagia, kami kemudian mengikat tali pertunangan ketika saya berusia 24 tahun dan Suzi berusia 21 tahun,”katanya yang memberitahu persiapan perkahwinan diatur selepas beberapa bulan bertunang.

Bagaimanapun, kerana keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil, Rashidi berkata, hasrat berumah tangga terpaksa dipendam sebegitu sahaja sehingga tahun berganti tahun.

“Sebelum berkahwin saya bercadang mahu mencari pekerjaan yang tetap dahulu. Tetapi setelah mengambil masa lama, saya kemudian menyuruh tunang ketika itu supaya menerima sahaja sekiranya ada lamaran oleh orang lain.

“Tetapi tunang saya berkeras tetap mahu menunggu dan akhirnya selepas penantian terlalu lama kami mengikat janji kasih dan termeterai menjadi suami isteri,”katanya yang berhasrat mahu dikurniakan sepasang cahaya mata untuk menyerikan hidup bersama isteri.

Katanya lagi dia sehingga kini masih tidak mempercayai berkahwin dengan ‘kekasih lama’ yang sungguh setia menantinya.

“Saya rasa terharu kerana Suzi sanggup menunggu saya meskipun saya sendiri tidak pasti perkahwinan ini akan terjadi jua.

“Malah kawan-kawan ketika diundang ke majlis persandingan turut tidak mempercayai saya berkahwin akhirnya dengan wanita pertama yang saya cintai itu,”katanya yang memberitahu isterinya itu kini dilihat lebih cantik berbanding dari kali pertama dia mengenalinya sejak di bangku sekolah.

Suzilawati ketika ditemui pula berkata, masih tidak percaya sudah berkahwin dengan lelaki yang menjadi tunangnya sejak 13 tahun dahulu itu.

“Apa pun saya bersyukur kerana dapat menjadi isterinya walaupun menunggu lama.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan ketika ini kerana masih lagi tidak percaya,”katanya lagi.

Sementara itu, majlis persandingan perkahwinan pasangan ini semalam turut dimeriahkan apabila mereka disandingkan serentak dengan dua lagi pasangan pengantin masing-masing sepupu dan anak saudara Rashidi, Shahrul Zahidi Mohamed, 23 dan pasangan Nurul Huda Ismail, 22 dan Mohd Faizal Che Ramli, 23 dengan Sitit Huzrina Syafiqah Huzaini, 18.

Sinar Harian
29 Nov 2010

Maut dilanggar bapa saudara

KLANG - Seorang kanak-kanak berumur dua tahun maut selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan dipandu bapa saudaranya di Jalan Tepi Sungai, Taman Sungai Bertik, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Lim Jia Nie, 2, yang cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Pusat Perubatan Sri Kota dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, difahamkan mangsa dan keluarganya berhasrat bersarapan di sebuah kedai makan. Ketika itu, masing-masing sedang bersiap-siap untuk keluar.

“Bapa saudara mangsa, berumur 30 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori sedang menghidupkan enjin kenderaan dan mula bergerak,” katanya.

Menurutnya, ketika mengundurkan kenderaan, lelaki itu terasa tayar kenderaannya terlanggar sesuatu objek yang keras dan besar.

“Mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku, dia segera memberhentikan kenderaannya sebaik mendengar jeritan kanak-kanak. Dia segera keluar dan melihat belakang kenderaannya.

“Dia terkejut apabila mendapati secara tidak sengaja terlanggar anak saudaranya .

“Mereka sekeluarga segera membawa mangsa ke pusat perubatan, bagaimanapun mangsa disahkan sudah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAT) untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, bapa saudara mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu yang disifatkan berlaku tanpa disengajakan.

“Sehubungan itu, polis akan menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sinar Harian
29 Nov 2010

November 27, 2010

Nyaris maut dihempap dahan

SIMPANG JABI - Seorang pemandu nyaris maut apabila kereta yang dinaikinya dihempap dahan besar daripada sebatang pokok yang jatuh secara tiba-tiba ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Simpang Jabi, di sini.

Mangsa, Jamil Hassan, 50, bagaimanapun berkata, dia sempat menekan pedal brek kecemasan selepas menyedari dahan itu menghempap bahagian depan keretanya.

Menurutnya, kejadian pada pukul enam petang itu berlaku pada waktu hujan lebat dan bernasib baik kerana tiada kenderaan lain di belakang kereta sejurus dia memberhentikan kereta.

“Dalam keadaan hujan lebat itu, saya turun dari kereta dan mengangkat dahan berkenaan untuk diletakkan di tepi jalan supaya ia tidak mengenai kenderaan lain yang melalui jalan itu.

“Saya juga melihat di sepanjang tepi jalan itu dianggarkan terdapat 10 batang pokok yang sudah mati dan mula condong ke arah jalan dan boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna seperti yang terjadi kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Segamat (JKR) Ir Azizan Dahari berkata, pihaknya sudah dimaklumkan berhubung masalah dahan dan pokok mati sekitar jalan berkenaan.

“Memang terdapat beberapa batang pokok besar yang mana dahannya sudah mati di tepi jalan dan kita juga sudah meneliti pokok itu boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya

“Pada masa ini, kita dalam proses tindakan dan akan menyelesaikannya dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam

Justeru, pemandu yang melalui jalan itu dinasihatkan lebih berhati-hati sementara menunggu proses menebang pokok dijalankan.

“Kita juga tidak mahu berlaku perkara yang tidak diing

Sinar Harian
27 Nov 2010

Perompak menyamar jadi pesakit gigi

LEDANG – Sebuah klinik pergigian di bandar Tangkak di sini terpaksa menanggung kerugian anggaran sebanyak RM6,000 apabila dirompak dua lelaki yang berpura-pura menjadi pesakit klinik mereka.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, suspek yang bersenjatakan parang telah membawa lari wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit milik doktor, tiga kakitangan dan dua pesakit.

Salah seorang kakitangan klinik terbabit, Nurul Nazirah Abdul Malek, 20, berkata, dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku kelmarin kerana ketika kejadian dia telah berurusan dengan suspek di kaunter.

Menurutnya, dia tidak menyangka lelaki yang datang untuk mendapatkan rawatan gigi itu sebenarnya berpura-pura dan sebaliknya mempunyai niat jahat merompak di klinik itu.

“Pada jam 2 petang suspek yang berusia 40 tahun telah datang ke klinik ini dan mengatakan ingin membuat rawatan gigi.

“Tetapi, saya mengatakan bahawa pesakit sudah penuh dan memintanya datang pada hari berikutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, namun suspek enggan berbuat demikian dan sanggup menunggu hingga ke petang semata-mata untuk mendapatkan rawatan.

Kemudian, suspek keluar seketika untuk mengambil keretanya di pusat mencuci kereta dan datang semula ke klinik berkenaan bersama seorang rakan.

“Penantian menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan berakhir dan kedua-dua suspek dipanggil masuk untuk rawatan doktor.

“Bagaimanapun tembelang suspek yang berpura-pura sebagai pesakit terbongkar apabila suspek yang berusia 43 tahun telah merompak pesakit yang sedang menjelaskan pembayaran di kaunter pembayaran,” katanya.

Nurul Nazirah berkata, sejurus selepas itu kedua-dua suspek mengarahkan sambil mengacukan parang kepada kesemua kakitangan klinik dan doktor terbabit supaya patuh kepada arahan yang diberi bagi mengelakkan dicederakan.

“Suspek berusia 40 tahun ini mengambil kesemua wang di kaunter pembayaran dan merampas barang kemas dan enam telefon bimbit,” katanya.

Sebelum melarikan diri, suspek masih sempat merompak seorang pesakit yang baru tiba untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden yang berlaku.

Menurutnya, pihaknya akan melancarkan gerakan untuk memburu kedua-dua suspek untuk tindakan yang selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun yang sama kerana samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya.

Sinar Harian
27 Nov 2010

Lelaki bunuh rakan dipenjara 12 tahun

KANGAR - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah kerana menyebabkan kematian seorang rakan di tepi Lebuhraya Changloon - Kuala Perlis, di Ulu Pauh, di sini, pada Mei tahun lalu.

Tertuduh yang berketurunan Siam, Phanomphon Keawnuprasit, 19, semalam dijatuhkan hukuman itu oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab selepas mengambil kira keseimbangan faktor mitigasi dan kepentingan awam dalam kes berkenaan.

Mohd Zaki ketika membacakan keputusan berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh amat berat dan kepentingan awam juga menuntut agar hukuman berat dikenakan ke atasnya mengikut peruntukan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

“Selepas mempertimbangkan beberapa faktor dan hujah dalam kes serta perbicaraan, saya memutuskan hukuman 12 tahun penjara ke atas tertuduh bermula tarikh tangkapan,” katanya ketika ditemu kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya kes, Azman Abu Hassan, memohon mahkamah menetapkan hukuman maksimum mengikut peruntukan Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu penjara 30 tahun.

Azman berbuat demikian selepas mengambil kira tahap keseriusan kes kerana tertuduh menyebabkan kematian mangsa, Careek Charol @ Endin Charol, 29 yang mempunyai isteri dan dua anak orang yang masih kecil.

Sebelum ini, Phanomphon anak bongsu daripada lima beradik dan berasal dari Kampung Panggas, Chuping, dituduh menyebabkan kematian Careek dalam satu pergaduhan membabitkan sembilan individu di tepi Lebuhraya Changloon - Kuala Perlis, berhampiran Ulu Pauh, antara jam 1.30 dan 1.50 pagi, pada 9 Mei 2009.

Dia yang diwakili Peguam Jamil Mohamed Shafie, dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sinar Harian
27 Nov 2010

Lemas disangka gurauan

TANJUNG KLING - Kegembiraan enam rakan sekampung dari Batu 9, Air Salak, Bukit Rambai, untuk mandi laut berakhir duka apabila salah seorang daripada mereka lemas, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Tan Kee Chuan, 15, lemas walaupun cuba diselamatkan rakannya, Heng Kim Hai, 36; Denis Sia, 16; Daniel Ng, 18; Denis Heng, 15, dan Ong Shee Leong, 15.

Kim Hai berkata, sebelum kejadian mangsa menelefonnya, mengajaknya bersama empat lagi rakan yang lain mandi bersama di laut berhampiran Kondominium Ocean Palms, di sini.

Menurutnya, ketika sampai di pantai, dia dan empat rakannya melihat mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah (SM) Gajah Berang mandi seorang diri.

“Sebelum menyedari dia lemas, kami yang hanya duduk di pantai melihat dia mandi. Kemudian dia terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong.

“Pada mula kami menyangka dia hanya bergurau lemas untuk ‘memancing’ kami mandi bersama tetapi lama-kelamaan kami hanya nampak bahagian kepala dia sahaja dan ketika itu baru sedar, dia benar-benar lemas,” katanya ketika ditemui di Pantai Batu 6 1/2, Lereh, di sini, semalam.

Sinar Harian
27 Nov 2010

Zulkifli sebak ditinggalkan anak di masjid

CHUKAI – Seorang bapa warga emas terduduk kerana tidak mampu menahan sebak apabila anak tunggal dan menantunya tergamak meninggalkannya sendirian dalam keadaan sakit di Masjid Geliga sedangkan pada awalnya kedua-dua berjanji membawa warga emas itu berubat bagi merawat penyakit kencing manisnya di Hospital Mersing, Johor.

Akibat ditinggalkan keseorangan di Masjid Geliga kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, warga emas yang dikenali sebagai Zulkifli Mustapa, 60, menerusi kad kerja yang berada didalam dompetnya terpaksa bermalam dalam kesejukan di masjid itu sebelum diselamatkan anggota polis peronda yang menemuinya dalam keadaan lemah di Stesen Bas Geliga bersebelahan masjid itu pada pagi semalam.

Lebih menyayat hati apabila kaki Zulkifli turut dihurungi semut halus ketika ditemui, malah dia juga ditinggalkan sehelai sepinggang dengan hanya berkain pelikat dan berbaju T lengan panjang serta hanya mempunyai wang RM30 di dalam dompet iaitu yang disedekahkan sepupunya sebelum mereka bertolak.

Zulkifli ketika ditemui Sinar Harian di Balai Polis Chukai berkata, dia menyedari anak dan menantunya sudah tiada di masjid berkenaan selepas menunaikan solat Isyak kerana mereka mengambil keputusan untuk berhenti menunaikan solat di masjid itu sebelum meneruskan perjalanan ke rumah menantunya di Mersing selepas bertolak pada jam 10 malam dari rumah arwah ibunya di Pulau Musang, Kuala Terengganu.

“Selepas solat Isyak saya sedar anak dan menantu saya sudah tidak ada, mereka tinggalkan saya. Sebelum ini mereka kata mahu bawa saya berubat kaki yang luka di Hospital Mersing,” katanya sebak.

Kata Zulkifli yang juga baru sahaja keluar wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat penyakit kencing manisnya itu, sebelum ini anak perempuannya yang berusia 20 tahun bersama menantunya yang berumur 30 tahun dan bekerja menjual ikan di Larkin, Johor beria-ia mahu membawanya mendapatkan rawatan di Mersing.

“Sudah hampir empat tahun saya tinggal dengan anak perempuan dan menantu saya di Mersing tetapi selepas saya mengalami kemala-ngan ketika pulang ke kampung pada lapan bulan lalu, saya ditahan di wad HSNZ sebelum dibenarkan keluar dan saya tinggal berseorangan di rumah pusaka arwah ibu di Pulau Musang.

“Anak tunggal saya tinggal bersama suaminya, namun saya bersyukur saudara mara selalu datang menjenguk saya.

“Tetapi sejak akhir-akhir ini berikutan kemalangan tempoh hari ditambah dengan penyakit kencing manis yang saya hidapi menyebabkan lutut saya bengkak dan luka di bahagian kaki semakin besar sebab itulah anak menantu datang dan berjanji mahu membantu mengubati saya, malah saya juga baru sahaja keluar wad baru-baru ini dan masih belum mampu berjalan dengan baik,” katanya.

Pada masa sama Zulkifli turut mengakui ketika tinggal bersama anaknya, anak tidak begitu mengambil berat mengenainya sehingga dia terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi mencari duit poket untuk menampung kehidupannya seharian.

Sementara itu, akibat keadaan kesihatan Zulkifli yang tidak mengizinkan, pegawai Pejabat Kebajikan Daerah Kemaman yang tiba di balai polis kemudian menghantar warga emas itu mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.

Sinar Harian
27 Nov 2010

Pemuda muntah minum air lipas

SRI RAMPAI – Seorang pemuda termuntah apabila tergigit objek yang disangka serbuk minuman yang tidak hancur rupa-rupanya seekor lipas ketika minum di sebuah restoran, di sini.

Mangsa, Arzemi Mohamad, 21, berkata, ketika kejadian dia sedang minum di restoran terletak di Wisma Rampai dan kesal dengan cara pihak restoran itu yang tidak menunjukkan rasa bersalah mereka.

“Mulanya saya fikir objek itu serbuk air tidak hancur, saya pun menggigitnya tetapi rasanya seperti plastik, kemudian saya keluarkan dari mulut dan terkejut apabila ia adalah seekor lipas bersaiz kecil.

“Apa yang saya kesalkan adalah sikap pihak restoran itu yang langsung tidak meminta maaf dan buat muka tidak bersalah seperti sudah biasa dengan keadaan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah terjumpa lalat dalam kuah dal ketika makan di restoran yang sama, namun memikirkan ia adalah kebetulan dan pihak restoran tidak sedar, dia hanya mengendahkannya.

Namun, selepas kejadian kedua yang dialaminya itu, ternyata pihak restoran tidak menitik beratkan aspek kebersihan ketika mengendalikan makanan di premis mereka.

“Saya akan buat aduan kepada Persatuan Pengguna dan berharap pihak restoran itu lebih berhati-hati dan memastikan perkara tersebut tidak berulang.

“Apa yang penting, pihak restoran sepatutnya lebih mesra pelanggan, sekurang-kurangnya memohon maaf kepada pelanggan, sebaliknya mereka tidak mengendahkannya,” katanya.

Sinar Harian
27 Nov 2010

Misteri bau busuk terjawab

SUBANG JAYA – Tanda tanya seorang isteri yang pelik panggilannya ke telefon bimbit suami tidak berjawab berakhir dengan kesedihan apabila suaminya itu ditemui di sebuah rumah pangsa kos rendah di SS19, di sini, petang semalam.

Mangsa, M Suhaili Shamsudin Abu Bakar, 30, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tinggal berseorangan di rumah dipercayai disewa selepas isterinya pulang ke kampung selepas melahirkan anak sulung mereka seminggu sebelum Aidiladha lalu.

Sinar Harian dimaklumkan, isteri mangsa yang risau beberapa panggilan terhadap kedua-dua nombor telefon milik suaminya tidak dijawab, bertindak menghubungi penyelia di tempat suaminya bekerja.

Sumber berkata, penyelia yang kemudian mendapati mangsa tidak hadir bekerja seperti biasa berkunjung ke rumahnya untuk mengetahui apa yang berlaku.

Katanya, penyelia itu memaklumkan curiga selepas terhidu bau busuk dari luar rumah mangsa sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sepasukan polis tiba di tempat kejadian dan pemeriksaan dijalankan menemukan mayat mangsa tanpa pakaian di bilik belakang kediamannya di Tingkat 3 rumah pangsa berkenaan.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari yang lalu berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui,” katanya yang memaklumkan mangsa pernah menghubungi seorang rakannya 22 November lalu dan mengadu sakit dada.

Jiran mangsa, Nik Marhahliza Nik Mohamad, 35 berkata, dia ada terhidu bau busuk dari rumah itu pagi semalam namun tidak menyangka ada apa-apa keadaan yang mencurigakan.

“Sudah beberapa hari saya tidak ternampak kelibat lelaki itu sejak isterinya pulang ke kampung.

“Tetapi sebelum itu, saya sempat bersembang dengan isterinya yang memaklumkan terpaksa pulang ke kampung kerana anaknya yang baru dilahirkan menghidap sakit kuning,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kematian mangsa dan dia dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Kejadian disedari pe- nyelia tempat mangsa bekerja kira-kira jam 3.30 petang yang kemudian memaklumkan kepada pihak polis berhubung perkara itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.

Sinar Harian
27 Nov 2010

Dua lelaki cedera ditembak pembonceng

KUALA LUMPUR – Dua lelaki cedera ditembak seorang pembonceng motosikal di hadapan sebuah kedai pajak gadai di Bandar Baru Sungai Buloh semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mamah berkata, ketika kejadian tersebut pada kira-kira 5.35 petang, seorang lelaki yang memakai helmet telah turun dari motosikal dan melepaskan tembakan terhadap kedua-dua lelaki yang sedang duduk di hadapan kedai pajak gadai itu.

"Akibat daripada tembakan tersebut kedua-dua mangsa yang berusia 25 dan 28 tahun telah mengalami kecederaan di kaki kiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Omar berkata, mereka dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapat rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya, polis menemui lima kelongsong peluru yang dipercayai telah digunakan semasa kejadian itu dan kini sedang memburu penunggang dan pembonceng motosikal itu. – Bernama

27 Nov 2010

Pemuda lumpuh perlu kerusi roda

PADANG SIAM - Seorang pemuda yang lumpuh akibat terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jeli tiga minggu lalu mengharapkan bantuan kerusi roda untuk memudahkan dia bergerak.

Mangsa, Nik Mohamad Sharuddin Rashid, 18, kini tidak mampu menguruskan diri sendiri dan hanya mengharapkan bantuan ibunya, Tuan Aziah Tuan Kob, 46, sepenuh masa.

Nik Mohamad Sharuddin berkata, semenjak tulang pinggulnya patah dalam kemalangan terbabit, dia tidak dapat berjalan dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang lain untuk menguruskan diri.

“Saya terpaksa meminjam kerusi roda jiran untuk memudahkan pergerakan dan tidak menyukarkan ibu untuk membantu saya menguruskan diri,” katanya.

Anak keempat dari sembilan beradik itu berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan kerusi roda bagi kegunaannya.

“Pendapatan ayah yang bekerja kampung dan ibu pula suri rumah tidak mampu membeli kerusi roda.

“Lagipun ayah menanggung lima lagi adik yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan lebih,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu Nik Mohamad Sharuddin dikunjungi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Baharudin Yusof bagi melihat keadaan mangsa selain menyampaikan sumbangan kepada keluarga itu.

Baharuddin berkata, dia telah berbincang dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan kerusi roda terbabit dengan segera.

Sinar Harian
27 Nov 2010

Guna pistol palsu minta wang

PEMILIK kelab malam di Jalan Chow Kit Kuala Lumpur ini terus menghubungi polis selepas suspek meminta wang pelindungan sebanyak RM200 semalam.

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang penjenayah tegar yang mempunyai 24 rekod jenayah untuk memungut wang perlindungan sebanyak RM200 dengan menggunakan sepucuk pistol mainan daripada sebuah kelab malam di Jalan Chow Kit di sini tidak kesampaian apabila dia diberkas di premis itu semalam.

Kejadian pukul 12 tengah hari itu berlaku apabila suspek yang mempunyai sebanyak 24 rekod jenayah lampau berkaitan samun dan dadah itu pergi ke kelab malam tersebut sebelum mengugut pemiliknya dengan pistol yang diambil dari sebuah beg yang dibawanya.

Sebelum itu, suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an itu telah memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta RM200 kononnya sebagai wang perlindungan daripada mangsa yang baru hendak memulakan perniagaannya.

Jurucakap polis memberitahu, suspek turut mengugut akan mengapa-apakan mangsa sekiranya enggan mengikut arahan.

Kosmo
27 Nov 2010

Tiga maut dalam kemalangan berasingan di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 27 Nov (Bernama) -- Dua penunggang motosikal dan seorang pejalan kaki maut dalam kemalangan berasingan dalam tempoh 24 jam di sini.

Penunggang motosikal yang terbunuh ialah Mohd Saiful Azhar Wahab, 28, dari Kampung Atas Tol dan Zaid Ngah, 46, dari Kampung Jeram, Tepoh manakala pejalan kaki yang maut ialah seorang wanita warga emas Kalsom Chik, 68, dari Kampung Padang Hiliran, Bukit Kecil.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata dalam kejadian pertama yang berlaku di Kampung Atas Tol, Mohd Saiful Azhar bertembung dengan sebuah motosikal lain yang keluar dari simpang kanan jalan, ketika dalam perjalanan ke Kampung Buluh Gading pada kira-kira 9.15 malam.

Beliau berkata Mohd Saiful cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal yang turut terlibat dalam nahas itu cedera ringan.

Zaid pula cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Tuanku Mizan di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal di sini pada 2.45 pagi, dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada kira-kira 10 malam tadi.

Sementara itu, Kalsom meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah van di Jalan Tuanku Mizan pada 8.40 pagi ini.

Ketika kejadian, Zamri berkata mangsa sedang melintas jalan untuk membeli roti di sebuah stesen minyak di seberang jalan berkenaan.

Sinar Harian
27 Nov 2010

Wanita diminta hadiri perbicaraan

MELAKA: Polis sedang mengesan seorang wanita yang menjadi saksi perbicaraan berhubung kes dadah membabitkan suaminya yang tertangguh di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, di sini.

Nora Ismail, 37, dari Jalan Bachang, di sini, pernah direman 11 hari bersama suaminya tetapi dibenarkan jaminan polis.

Pegawai Penyiasat, Inspektor Aminuddin Abdullah berkata, selepas dibebaskan mereka cuba mengesan Nora untuk dijadikan saksi terhadap kes suaminya, Abdul Malek Basiron, namun gagal.

“Kami cuba mengesannya menerusi alamat dalam salinan kad pengenalan di dalam rekod kami, namun gagal kerana ia rumah sewa.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Aminuddin di talian 012-293 6661 atau hadir ke balai polis berhampiran.

“Dia diperlukan hadir ke mahkamah bagi menjadi saksi kes yang disabitkan ke atas suaminya, Abdul Malek Basiron mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum dipinda ke Seksyen 39A(2) akta sama," katanya.

Katanya, wanita berkenaan difahamkan tidak pernah hadir melawat suaminya selepas dia dibebaskan daripada tahanan reman.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali saksi diminta tampil dengan menghubungi Aminuddin di talian 012-293 6661 atau hadir ke balai polis berhampiran.

myMetro
27 Nov 2010

Penipu Internet

SEREMBAN: Orang ramai diminta berwaspada dengan sindiket penipuan dipercayai didalangi warga asing yang cuba memperdayakan mangsa menggunakan taktik meminta ribuan ringgit untuk memproses transaksi urusan jual beli barangan melalui Internet.

Difahamkan, sindiket licik yang mendakwa menetap di luar negara itu menyasarkan mangsa yang mengiklankan penjualan barang di Internet.

Mangsa kemudian menerima e-mel daripada sindiket yang kononnya bersetuju membeli barangan berkenaan melalui pembayaran secara dalam talian (online) dan meminta mangsa membuka akaun dalam satu sistem akaun jual beli antarabangsa secara dalam talian.

Sejurus mangsa menghantar e-mel tuntutan melalui sistem itu, maklum balas diberikan ahli sindiket menyatakan transaksi pembayaran sudah dibuat melebihi harga barangan dijual.

Melalui emel itu, transaksi perlu terlebih dulu menggunakan pihak ketiga iaitu syarikat perkapalan berpangkalan di luar negara dan mangsa diminta menjelaskan bayaran ribuan ringgit ke dalam akaun diberikan melalui satu ‘sistem penghantaran wang keluar negara’ sebelum diluluskan.

Bagaimanapun, apabila diperiksa, mangsa dimaklumkan pihak berkaitan bahawa perkara itu palsu.

Ini didedahkan penjawat awam yang nyaris menjadi mangsa, kelmarin.

Mohd Hanafi Abd Rahim, 33, ketika ditemui Harian Metro semalam berkata, perkara itu dikesan sejurus mengiklankan set perabot kerusi jati miliknya yang mahu dijual dengan harga RM2,300 di sebuah laman web tempatan.

“Tidak lama kemudian, saya menerima e-mel daripada seorang pembeli yang memperkenalkan diri sebagai ‘John James’ memaklumkan mahu membeli perabot berkenaan.

“Lelaki yang mendakwa menetap di luar negara itu bagaimanapun meminta saya membuka akaun melalui sistem akaun jual beli antarabangsa secara dalam talian.

“Selepas menghantar e-mel tuntutan kepadanya, saya menerima maklum balas kononnya pembayaran sudah dibuat ke dalam akaun sistem berkenaan iaitu RM4,500 merangkumi kos barangan (RM2,300) dan syarikat perkapalan (RM2,200),” katanya.

Katanya, dia terkejut apabila menerima e-mel daripada syarikat sistem akaun jual beli antarabangsa itu yang menyatakan semua wang itu akan diterimanya, namun perlu dibuat melalui pihak ketiga iaitu sebuah syarikat perkapalan berpangkalan di United Kingdom, namun perlu menjelaskan RM2,200 terlebih dulu kepada pihak ketiga melalui akaun bank diberikan,” katanya.

myMetro
27 Nov 2010

Tuntut cerai suami miang

KAJANG: Selepas tidak tahan dengan sikap suaminya yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita, seorang ahli perniagaan memfailkan tuntutan perceraian fasakh di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, selepas hampir 22 tahun bernikah.

Sadiah Abdul Shukor, 46, yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, membuat permohonan itu terhadap Abdullah Abdul Rahman, 46, yang juga pegawai kanan kerajaan di kaunter pendaftaran Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Tuntutan itu dibuat mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor).

Berdasarkan penyata tuntutan itu, Sadiah (plaintif) mendakwa dia sudah tidak tahan dengan sikap Abdullah (defendan) yang menjalinkan hubungan sulit dengan wanita Filipina dan Thailand.

Plaintif mendakwa mempunyai bukti terhadap kecurangan suaminya apabila menjumpai gambar lucah defendan bersama wanita lain selain bukti salinan pasport yang menunjukkan Abdullah berulang-alik ke Thailand setiap bulan.

Defendan juga didakwa mengabaikan nafkah melebihi tiga bulan sehingga menyebabkan plaintif terpaksa menampung perbelanjaannya dan anak.

Pasangan itu bernikah pada 31 Januari 1988 di Johor dan dikurniakan empat anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia 22 hingga empat tahun.

Mahkamah menetapkan 15 Disember ini untuk mendengar kes itu.

myMetro
27 nov 2010

Anak tidak pulang sejak cari kerja Oktober lalu

KEMAMAN: Seorang ibu, Mezian Hassan, 53, bimbang dengan keselamatan anak gadisnya, Siti Fatimah Ramli, 20, kerana tidak pulang ke pangkuan keluarga sejak keluar dari rumah untuk mencari pekerjaan pada 31 Oktober lalu.

Katanya, sejak anaknya keluar rumah mencari kerja di Kuantan, Pahang, mereka hanya sempat berhubung beberapa kali termasuk petang hari dia dilaporkan keluar dan keesokannya apabila Siti Fatimah memaklumkan dia sudah mendapat kerja.

“Kali terakhir menghubunginya pada 6 November lalu tetapi ketika itu hanya sempat bercakap beberapa patah perkataan sebelum panggilan diputuskan dan sejak itu saya tidak dapat menghubunginya lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Neram Dua, Bandar Ceneh Baru, di sini, semalam.

Mezian berkata, dia turut menghubungi dua lagi anaknya, masing-masing di Kedah dan Sarawak untuk mengetahui sama ada anak gadisnya itu ke sana tetapi jawapan yang diterima sangat menghampakan.

Bimbangkan keselamatan Siti Fatimah yang juga graduan Diploma Sains Kesetiausahaan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Mezian membuat laporan polis mengenai kehilangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, 22 November lalu.

“Saya merayu sesiapa menemui atau melihat Siti Fatimah menghubungi kami di talian 017-9895876 atau 012-6122253 atau balai polis berhampiran,” katanya.

myMetro
27 Nov 2010