September 30, 2010

Ustazah, anak lelaki dibunuh kejam

ARKIB : 04/09/2010

ANGGOTA polis mengangkat mayat Norliza Ishak dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof yang ditemui mati dipercayai dibunuh penjenayah yang memasuki rumah mereka di sebuah flat di Jalan Sutera Lama di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam. – utusan/ABD. RAZAK AID.

PORT DICKSON 3 Sept. – Seorang ustazah dan anak lelakinya ditemui mati dibunuh dengan kaki dan tangan terikat serta kepala mangsa dibalut kain sarung dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Sutera Lama berhampiran Pasar Besar di sini pagi ini.

Dua beranak malang yang dibunuh kejam itu ialah Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10.

Mangsa mengajar di Sekolah Kebangsaan Port Dickson dan berasal dari Kampung Pulau Kerbau, Palekbang, Kelantan.

Ketika kejadian, dia hanya tinggal bersama anak lelakinya kerana suaminya menguruskan perniagaan di Kaherah, Mesir.

Ketua Polis daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, mayat kedua-dua beranak itu ditemui rakan sekerjanya yang datang ke rumah pada pukul 10 pagi ini.

“Polis percaya kejadian itu berlaku antara pukul 4 hingga 5 petang semalam berdasarkan keadaan mayat yang sudah mula lebam.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati, mayat dua beranak ini ditemui dalam keadaan terlentang manakala kaki dan tangan mereka terikat.

“Kepala mangsa turut dibalut dengan kain sarung,” katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian hari ini.

Baljeet berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, tiada kesan umpil ditemui pada pintu rumah mangsa malah ia terkunci rapat.

“Polis masih menyiasat punca sebenar pembunuhan ini dan sedang mencari bukti tinggalan penjenayah yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.

Menurut beliau, tiada kesan kecederaan ditemui pada tubuh kedua-dua mangsa namun pihaknya menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Baljeet memberitahu, rakan sekolah mangsa mengesyaki sesuatu berlaku terhadap dua beranak itu selepas mereka tidak hadir ke sekolah hari ini.

“Mangsa gagal dihubungi oleh rakannya sejak semalam. Dua beranak itu merupakan guru dan pelajar di sekolah yang sama,” katanya. - Utusan


ARKIB : 05/09/2010
Ustazah, anak mati akibat sesak nafas

PORT DICKSON 4 Sept. - Hasil bedah siasat terhadap seorang ustazah dan anak lelakinya yang ditemui mati dibunuh di sebuah flat di Jalan Sutera Lama berhampiran pasar besar di sini semalam, menunjukkan kedua-duanya meninggal dunia akibat sesak nafas.

Ketua Polis daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, ia dipercayai disebabkan mulut dan kepala kedua- dua mangsa ditutup dengan pita pelekat dan kain sarung.

"Kami (polis) belum mengetahui kesan kecederaan lain dan masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

"Biasanya laporan penuh itu akan selesai dan diterima selewat-lewatnya seminggu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah rumah dan kita percaya penjenayah masuk melalui pintu depan sebelum menguncinya ketika keluar," ujar beliau.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu 06-6462999 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sementara itu suasana sayu dan hiba menyelubungi rumah mangsa bunuh, Norliza Ishak, 35, dan anaknya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, di Kampung Pulau Beluru, Tumpat di sini, hari ini, apabila seluruh ahli keluarga dan sahabat handai mangsa berkumpul menziarah jenazah kedua-duanya.

Suami Norliza, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, yang difahamkan bertolak dari Kaherah, Mesir, tengah malam semalam, turut kelihatan di rumah tersebut pada pukul 4.45 petang ini.

Suami mangsa terpaksa dipapah ahli keluarganya untuk memasuki rumah mereka kerana tidak dapat mengawal diri akibat terlalu sedih.

Jenazah kedua-dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang kira-kira pukul 6.30 petang. - Utusan


ARKIB : 06/09/2010
Ayah tak sempat beri hadiah khatam al-Quran

MUSTAPA Mohamed mengucapkan takziah kepada Mohd. Yusof Awang Besar atas kematian isteri Allahyarham Norliza Ishak dan anaknya, Amirul Ayman sambil diperhatikan oleh ibu, Zainab Mahmud dan ayah mertuanya, Ishak Mohd. Ali di Kampung Pulau Kerbau, Tumpat, semalam.

TUMPAT 5 Sept. - "Sebelum kejadian saya sering teringat dan merinduinya walaupun selalu berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial Facebook.

"Setiap hari saya melihat wajahnya dalam skrin komputer riba dan merinduinya," ujar Mohd. Yusof Awang Besar, 37, bapa Amirul Ayman, 10, yang mati dibunuh bersama-sama ibunya, Norliza Ishak, 35, di flat Jalan Sutera Lama, Port Dickson, kelmarin.

Lebih menyedihkan apabila dia tidak sempat mengirimkan hadiah selepas anak tunggalnya itu khatam al-Quran sebanyak dua kali sepanjang Ramadan ini.

Katanya, dia telah berjanji dengan anak tunggalnya itu akan mengirimkan hadiah istimewa selepas Amirul Ayman memaklumkan kejayaannya khatam al-Quran melalui SMS, Selasa lalu.

"Amirul belum tahu lagi hadiah itu kerana ingin membuat kejutan, tetapi nampaknya semuanya tidak kesampaian," katanya ketika ditemui semasa menerima kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kampung Pulau Kerbau, Palekbang, di sini hari ini.

Tambahnya Mohd. Yusof, dia gembira dengan kejayaan anaknya itu, namun ia bukanlah sesuatu luar biasa kerana Amirul Ayman bukan sahaja pintar tetapi merupakan anak yang soleh dan patuh.

"Saya juga sering berpesan agar dia rajin baca al-Quran dan tidak meninggalkan sembahyang sepanjang Ramadan ini dan dia melakukan dengan baik... Saya bangga dengannya," ujarnya sayu.

Katanya lagi, Amirul Ayman dilahirkan di Kaherah, Mesir tetapi ketika berusia lima tahun, dia kembali ke Malaysia dan tinggal bersama-sama datuk dan nenek sebelah ibunya di sini, sebelum berpindah ke Port Dickson kerana mengikut ibunya yang mengajar di sana.

Jelasnya, kali terakhir dia berjumpa dengan Amirul Ayman adalah ketika mereka menyambut Hari Raya Aidiladha di Kaherah dua tahun lalu. - Utusan


ARKIB : 07/09/2010
Jiran ditahan bantu kes bunuh ustazah, anak lelaki

TELUK KEMANG 6 Sept. - Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis berhubung kes pembunuhan seorang ustazah, Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, di Jalan Sutera Lama, Port Dickson, dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, lelaki itu yang dipercayai jiran mangsa ditahan berhampiran tempat kejadian semalam, bagi membantu siasatan kes tersebut.

Katanya, lelaki berkenaan yang mempunyai dua anak dan menyewa di kawasan flat sama sejak beberapa tahun lalu, kini ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Tambahnya, siasatan sedang dilakukan termasuklah mengenal pasti sepenuhnya identiti serta latar belakang lelaki berkenaan.

"Kita difahamkan lelaki itu tidak bekerja dalam tempoh yang lama dan kita sedang menyiasatnya," katanya di Port Dickson, dekat sini hari ini.

Baljeet bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada mangsa telah diperlakukan jenayah seksual.

"Kita tidak dapat mengesahkan lagi perkara ini dan saya harap tiada sebarang spekulasi dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

"Lagipun laporan penuh perubatan terhadap mangsa masih belum diperoleh. Beri kami masa untuk menjalankan siasatan berhubung kes ini," tegasnya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Norliza dan Amirul Ayman ditemui mati dibunuh dalam keadaan kaki dan tangan terikat serta kepala mangsa dibalut dengan kain sarung dalam bilik air sebuah flat di Jalan Sutera Lama, dekat sini.

Norliza yang merupakan ustazah di Sekolah Kebangsaan Port Dickson dan anaknya belajar di sekolah yang sama, sepatutnya pulang berhari raya di Kelantan, Sabtu lalu, ditemui mati oleh rakannya.

Pihak polis percaya kejadian itu berlaku pada pukul 4 hingga 5 petang berdasarkan keadaan mayat yang sudah mula lebam dan ketika ditemui, kedua-dua mayat berkenaan berada dalam keadaan terlentang.

Norliza yang berasal dari Kampung Pulau Kerbau, Palek Bang, Kelantan hanya tinggal bersama anaknya itu kerana suaminya, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, sedang menguruskan perniagaan di Kaherah, Mesir.

Ditanya mengenai barangan yang didakwa hilang oleh bapa Norliza, Ishak Mohd. Isa termasuklah wang tunai, komputer dan telefon bimbit di flat berkenaan, Baljeet memberitahu, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan.

Katanya, kes itu disiasat di Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. - Utusan


ARKIB : 15/09/2010
Pembunuh ustazah, anak didakwa hari ini

SEREMBAN 14 Sept. – Seorang lelaki yang didakwa membunuh ustazah dan anak lelakinya di sebuah flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson pada 3 September lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini esok.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, lelaki berusia 34 tahun yang merupakan jiran mangsa dalam soal siasat polis telah mengaku melakukan pembunuhan itu.

“Polis telah serahkan kertas siasatan kepada Ketua Unit Pendakwaan pada 9 September lalu dan pendakwaan akan dibuat esok,” katanya.

Pada 3 September lalu, seorang ustazah, Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, ditemui mati dalam bilik air dengan kaki dan tangannya terikat, selain kepala kedua-dua mangsa dibalut dengan kain sarung.

Allahyarham Norliza merupakan ustazah di Sekolah Kebangsaan Port Dickson manakala Amirul Ayman belajar di sekolah yang sama.

Semasa kejadian itu, suaminya, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, menguruskan perniagaan restoran mereka di Kaherah, Mesir.

Osman memberitahu, hasil siasatan polis ke atas lelaki berkenaan yang ditahan reman selama 12 hari menemui beberapa bahan bukti yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Polis menemui sebuah komputer riba, satu set permainan Sony PlayStation, tiga telefon bimbit, dua kad sim telefon, dua utas rantai tangan, seutas rantai leher dan satu loket.

“Nilai keseluruhan barangan serta wang tunai milik mangsa yang ditemui adalah RM2,800,” katanya.

Beliau memberitahu, polis percaya lelaki itu telah menyamun sebelum membunuh kedua-dua mangsa dan menggunakan wang yang dicuri untuk membayar pinjaman bulanan keretanya dan beberapa bil utiliti.

Menurut Osman, polis juga mendapati lelaki itu memperdayakan mangsa dengan meyakinkan dua beranak itu untuk masuk ke dalam rumah.

Dipercayai suspek telah menggunakan alasan untuk meminta bantuan setelah gagal memasuki rumahnya yang terkunci dari dalam.

“Dipercayai sebaik sahaja mangsa membuka pintu rumahnya, suspek menghentak dengan siku kepala kedua-dua mangsa dan mengikat mereka dalam bilik air.

“Kita dapati kematian kedua-dua mangsa itu disebabkan kegagalan untuk bernafas selepas kepala mereka dibalut dengan kain,” katanya.

Pada masa yang sama, Osman memberitahu, terdapat kesan kecederaan pada tubuh kedua-dua mangsa.

Sementara itu, Mohd. Yusof bersyukur pembunuh terbabit akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban esok.

Menurut Mohd. Yusof, dia percaya undang-undang akan menjanjikan keadilan walaupun tidak mampu mengembalikan semula isteri dan anaknya. - Utusan


ARKIB : 16/09/2010
Jiran didakwa bunuh ustazah dan anak

Mohd. Yusof Awang Besar bersama ibu mertuanya, Zainab Mahmud hadir di Mahkamah Majistret di Port Dickson, semalam.

RASAH 15 Sept. - Selepas 12 hari mayat seorang ustazah bersama anak lelakinya ditemui dalam keadaan menyayat hati di sebuah flat, seorang jiran mereka hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, dekat sini atas tuduhan membunuh dua beranak tersebut.

Ali Tan Abdullah, 34, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, di rumah bernombor B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru, Port Dickson, dekat sini.

Kejadian didakwa berlaku antara pukul 3.15 petang, 2 September lalu dan pukul 10.15 pagi, keesokan harinya.

Dakwaan terhadap Ali Tan yang bekerja sebagai pemasang paip gas syarikat minyak dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki tersebut.

Majistret M. Mageshwary menetapkan 18 Oktober ini sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Port Dickson.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahmud Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam bela John Fernandez.

Sementara itu, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, iaitu suami kepada Norliza ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, melahirkan harapan agar pengadilan kes pembunuhan itu akan dilakukan dengan sewajarnya.

"Jika terbukti bersalah oleh mahkamah, saya harap pembunuh kes ini dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

"Perasaan saya masih lagi tersentuh apabila mengenang kejadian malang menimpa isteri dan anak saya. Undang-undang yang sedia ada akan menegakkan keadilan di atas pemergian mereka,'' katanya.

Dia tiba di Seremban, semalam untuk mengikuti perjalanan kes tersebut di mahkamah sebelum bertolak pulang ke Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Memetik laporan akhbar, pada 3 September lalu, ustazah tersebut dan anak lelakinya ditemui mati dalam bilik air dengan kaki dan tangannya terikat, selain kepala kedua-dua mangsa dibalut dengan kain sarung.

Norliza yang berasal dari Kampung Pulau Kerbau merupakan ustazah di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, manakala Amirul Ayman belajar di sekolah yang sama.

Mereka tinggal berdua di flat tersebut kerana Mohd. Yusof menguruskan perniagaan di Kaherah, Mesir. - Utusan



Pemasang paip diarah bela diri

SEREMBAN - Seorang pemasang paip gas diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan membunuh ustazah dan anak lelakinya di sebuah flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson di sini pada tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Ali Tan Abdullah, 34.

Ali Tan kelihatan tenang ketika keputusan itu dibacakan oleh Ahmad Nasfy.

Mengikut pertuduhan, Ali Tan didakwa membunuh Norliza Ishak, 35, di rumah bernombor B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru, Port Dickson antara pukul 3.15 petang, 2 September 2010 hingga pukul 10.15 pagi keesokan harinya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga jiran mangsa didakwa melakukan perbuatan sama terhadap anak mangsa, Amirul Ayman Yusoff, 10, di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Kosmo
30 Mac 2011

Wanita lari ke Lombok rayu dibawa pulang

ARKIB : 08/09/2010

MACHANG 7 Sept. - "Mak, Ina nak balik. Ina rindu, tak tahan jauh dari keluarga. Ina nak sambut raya dengan mak, ayah dan adik-adik." Demikian rayuan Ahzlina Azmi, 22, seperti diceritakan ibunya, Fatimah Mat Nor, 62, setiap kali mereka bercakap melalui telefon.

Ahzlina kini sudah berada di Kalimantan Timur, Indonesia sejak hampir dua tahun lalu kerana membuat keputusan melarikan diri bersama kekasih yang kini suaminya yang berasal dari Lombok.

Bagaimanapun sejak awal Ramadan ini, Ahzlina yang lebih mesra dipanggil Ina akan menangis dan meraung setiap hari dan merayu kepada ibu bapanya melalui telefon untuk dibawa balik ke negara ini.

Menurut Fatimah, Ahzlina yang merupakan anak sulungnya daripada enam beradik akan merayu-rayu untuk pulang kerana terlalu rindukan keluarga dan tidak tahan dengan penderitaan hidup di tempat orang.

"Setiap kali Ina menelefon makcik atau adik-adiknya, dia pasti memberitahu kami dia ingin pulang ke pangkuan keluarga untuk sama-sama beraya namun tidak mampu berbuat demikian memandangkan kosnya yang tinggi.

"Makcik cuma dapat menyuruh dia bersabar. Setiap kali dia menangis, pada masa itu jugalah hati makcik terguris dan kalau mampu, sudah pasti Ina kami bawa balik ke sini.

"Makcik rasa dia sudah 'terlalu jauh' sebab itulah kalau dapat bawa balik pasti makcik akan peluk dan kucup dia puas-puas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tiu, Machang di sini baru-baru ini.

Katanya, hasil perkahwinan antara anaknya dan lelaki itu, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Darwin Darlina Salleh.

Suaminya, Azmi Sulaiman, 65, pula berkata, Ahzlina merupakan seorang anak yang baik dan taat kepada perintah dan ini menyebabkan mereka tidak percaya dia membuat keputusan untuk mengikut lelaki berkenaan.

Jelasnya, sambutan Aidilfitri kali ini pasti tidak ceria kerana sentiasa mengenangkan nasib Azhlina yang kini bukan lagi di bawah jagaannya.

"Dia memang anak yang sangat baik dan mengikut arahan tetapi mungkin akibat cinta dia mengambil tindakan terburu-buru mengikuti lelaki itu.

"Saya cuma mendoakan agar ada pihak yang tampil dan membantu membawa Azhlina balik untuk membela nasib dia dan anaknya itu," katanya. - Utusan

"Mama tinggal RM100"

ARKIB : 08/09/2010

Nur Syafikah Awang Bakar bersama adik-adiknya menunjukkan gambar ibu mereka, Siti Rohmah Asmawi di Kampung Bersia, Gerak, Perak, semalam.

GERIK 7 Sept. - ''Mama tinggalkan RM100 dan pesan melalui telefon suruh kami adik-beradik pergi ke rumah kebajikan masyarakat." Menurut Nur Syafikah Awang Bakar, 14, dia masih ingat pesanan ibunya itu kira-kira empat bulan lalu tetapi dia dan adik-adiknya menyangka ibu mereka, Siti Rohmah Asmawi keluar rumah kerana mencari kerja.

Namun sehingga kini, kelima-lima beradik tersebut masih menunggu kepulangan ibu mereka yang menghilang tanpa khabar berita.

Ketika ditemui di Kampung Bersia di sini, Nur Syafikah melahirkan harapan agar ibu mereka dapat pulang menyambut Aidilfitri tidak lama lagi kerana adik-adik sangat merinduinya.

Kata Nur Syafikah, nasib mereka tiba-tiba berubah apabila Siti Rohmah yang berasal dari Indonesia meninggalkan mereka setelah kematian ayahnya yang merupakan warga tempatan.

"Mama pergi begitu sahaja. Kami ingat mama keluar untuk mencari kerja, rupa-rupanya tak balik sampai sekarang.

"Kehilangan mama amat kami rasai lebih-lebih lagi ketika hendak menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Kami sedih kerana belum ada baju raya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Empat lagi adiknya ialah Nur Shahidah, 11, Muhamad Azhar, 9, Siti Nur Aisyah, 7, dan yang bongsu, Mohd. Aidilfitri, 5.

Apa yang lebih membimbangkan kakak sulung itu apabila kesemua mereka tidak pernah bersekolah dan tidak mempunyai sijil kelahiran.

Nur Syafikah berkata, sebelum kejadian ditinggalkan ibu, mereka sekeluarga menetap di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Disebabkan ibunya tidak pulang, jiran menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu lima beradik itu untuk mencari waris terdekat.

Setelah pelbagai usaha dibuat, JKM berjaya mengesan abang tiri mereka yang menetap di Kampung Bersia Lama Gerik, dekat sini.

Malangnya, kesulitan hidup dialami Mohd. Irwandi Awang Bakar, 24, yang hanya bekerja sebagai nelayan di Tasik Banding menyebabkan nasib lima beradik itu masih tidak menentu.

Bagi memastikan nasib kelima-lima mereka terbela, Mohd. Irwandi sendiri berharap ada pihak tertentu yang sudi membantu keluarga malang itu.

Katanya, dia dan keluarganya terpaksa keluar dari rumah yang mereka sewa sekarang ini berikutan tidak mampu menjelaskan bayaran sebanyak RM70 sebulan.

"Rumah yang kami diduduki ini adalah rumah sewa, malangnya kami sekeluarga terpaksa berpindah mencari rumah lain kerana pemilik mahu rumah ini dikosongkan selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan mahu membantu keluarga malang ini boleh menghubungi talian telefon 019-5437025 atau berkunjung terus ke rumah mereka di alamat 25 Kampung Bersia Lama, 33320, Gerik, Perak. - Utusan

Bayi ditemui di tepi tong sampah

ARKIB : 08/09/2010

NORHAIDAH Abu Hamad menunjukkan lokasi menemui bayi lelaki di tepi tong sampah di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam.

TASEK GELUGOR 7 Sept. - Ketika umat Islam semakin hampir menyambut Syawal dan kes-kes pembuangan bayi pula semakin reda, berlaku pula kes pembuangan insan yang tidak berdosa itu hari ini.

Kali ini berlaku di Pekan Kampung Selamat di sini yang disedari seorang suri rumah, Norhaidah Abu Hamad, 42, semasa hendak membuang sampah, pukul 8.30 pagi.

Norhaidah berkata, dia terkejut apabila menemui seorang bayi lelaki yang masih bernyawa dalam keadaan berbalut kain serta dibungkus dengan plastik.

Katanya, ketika kejadian, dia menunggang motosikal bersama seorang anaknya, Nordiana Khalidan, 21, yang memegang bungkusan sampah untuk dibuang.

"Namun setibanya di tong sampah di tepi jalan itu, saya terkejut mendengar tangisan seorang bayi.

"Saya lalu memeriksa sekitarnya dan terkejut melihat 'sesuatu' bergerak-gerak di dalam satu bungkusan plastik.

"Apabila dibuka, didapati seorang bayi lelaki masih bernyawa serta dibalut dengan kain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, bayi berkenaan yang masih berdarah dan bertali pusat dibawa pulang lalu dimandi, dibersihkan serta diberi susu.

Menurutnya, setelah memastikan keadaan bayi berkenaan selamat, dia terus memaklumkan penemuan tersebut di Pondok Polis Kampung Selamat.

"Mujurlah bayi itu ditemui lebih awal kerana jika lambat, si kecil ini mungkin menjadi makanan anjing yang berkeliaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, bayi berkenaan yang masih belum dikenal pasti bangsa dan keturunannya diserahkan ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan.

"Berdasarkan pemeriksaan doktor, bayi tersebut yang dilahirkan normal dan cukup sifat disahkan sihat dan stabil.

"Bayi itu kemudian dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi berkenaan agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 04-5762222 bagi membantu siasatan. - Utusan

Pelayan kelab malam wanita ditemui mati ditetak

ARKIB : 05/09/2010

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Seorang pelayan kelab malam wanita ditemui maut berlumuran darah dengan kesan tetakan di seluruh anggota badan, di rumah sewanya di flat Perdana Villa Dua, di sini malam tadi.

Mangsa berusia 32 tahun, ditemui terlentang di ruang dapur rumah berkenaan kira-kira pukul 9.15 malam, iaitu 30 minit selepas rakan wanita serumahnya menghubungi pihak polis. - Utusan

'Keluarga penoreh minum air campur berudu'

JEMPOL: Seramai 50 keluarga yang kebanyakannya penoreh getah di Ladang Sebaling terpaksa menerima hakikat kemungkinan terminum dan termakan telur katak atau berudu.

Ini disebabkan mereka dibekalkan dengan air dari satu kawasan paya yang terletak di pinggir hutan tidak jauh dari kawasan penempatan ladang itu, yang pemprosesan airnya dilakukan pekerja Indonesia yang bertugas menjaga alat pam dan rumah rawatan air yang sudah usang.

M Kalimmah, 52, berkata mereka dibekalkan air percuma tetapi kualitinya tidak dijamin bersih.

Ia kotor dan kadang kala berwarna coklat dan jika musim hujan, ia berlumpur dan pernah keluar anak berudu dari paip rumah saya, katanya kepada BERNAMA.

Beliau yang berpendapatan RM600, kurang senang dengan bekalan air di situ walaupun rumah yang disediakan kepada mereka oleh pihak ladang agak selesa.

Rakannya, K Sivakolunthu, 62, sanggup menunggang motosikal setiap hari ke Ladang Geddes berhampiran bagi mendapatkan bekalan air lebih bersih.

Setiap hari, saya bawa balik air paip dari Ladang Geddes dalam tiga bekas botol besar kerana saya tidak boleh minum air di rumah ini yang berbau dan ada banyak mendapan, katanya.
Beliau sudah lapan tahun tidak menggunakan air di rumahnya untuk minum tetapi isterinya terpaksa menggunakan air itu untuk memasak, mandi dan mencuci.

Tinjauan BERNAMA di kawasan paya yang dijadikan bekalan air untuk penduduk ladang itu mendapati, semua proses rawatan air dibuat menggunakan tenaga manusia dengan setiap hari pekerja akan memasukkan klorin.

Difahamkan, ladang itu diambil alih pengurusan baru dan mereka berjanji membekalkan air lebih bersih kepada penduduk tetapi projek itu belum dilaksanakan.

Berita Harian
30 Sep 2010

Warga emas lumpuh rentung

ARKIB : 08/09/2010

BALING 7 Sept. – Kemeriahan Syawal yang tinggal dua hari lagi mungkin tidak bermakna buat tujuh beradik apabila bapa mereka rentung dalam kebakaran di Kampung Tembak A, Kuala Ketil dekat sini hari ini.

Kejadian pada pukul 8.30 pagi ketika Abd. Wahab Mat Isa, 83, tinggal bersendirian di rumah kayu dua tingkat itu.

Warga emas yang lumpuh separuh badannya itu akibat strok dan terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan ditemui mati di hadapan bilik air di ruang dapur.

Difahamkan, Abd. Wahab cuba mengambil air untuk memadamkan api sebelum terperangkap dalam kebakaran itu.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Abd. Kudus Malik berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian tidak lama selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Katanya, tujuh anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak di belakang Klinik Desa Tembak tersebut.

“Anggota bomba berjaya memadam kebakaran rumah terbabit pukul 9.30 pagi. Punca kejadian bagaimanapun masih belum diketahui dan kami sedang menyiasat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota Unit Forensik Kebakaran dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat negeri ditugaskan untuk menjalankan siasatan lengkap berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, anak ketiga Abd. Wahab, Maudin, 52, berkata, semasa kejadian, bapanya tinggal di rumah berkenaan bersendirian.

“Arwah memang duduk seorang diri di rumah pusaka itu sejak beberapa tahun lalu. Pada sebelah malam, dia dijaga oleh kakak ipar saya, Badariah Kassim yang duduk di sebelah rumah,” katanya.

Maudin memberitahu, dia dan abang serta adik-adik lain tinggal di kampung berdekatan tetapi sering berkunjung ke situ.

“Walaupun lumpuh sebelah badan kiri, dia masih mampu berjalan menggunakan tongkat. Ingatannya juga memuaskan kerana masih mengingati semua perkara,” katanya.

Tambahnya dia tidak menyangka kejadian tersebut akan berlaku lebih-lebih menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada Jumaat ini. - Utusan

Pelatih wanita terbunuh pesawat latihan terhempas

ARKIB : 07/09/2010

PASUKAN penyiasat memeriksa bangkai pesawat ringan jenis Liberty yang terhempas menyebabkan seorang pelatih wanita berumur 19 tahun, Dione Wong Yong Chin terbunuh sementara Kapten Zaini Ramli cedera parah di Ladang Seri Pulai Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya. 7 Sept. 2010. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 7 Sept. - Seorang juruterbang pelatih wanita terbunuh apabila sebuah pesawat ringan yang dipandunya terhempas di Ladang Seri Pulai di Gunung Pulai dekat sini pagi tadi.

Pesawat dua penumpang itu terhempas kira-kira pukul 9.20 pagi dan juruterbang itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat rentung selepas pesawat itu terbakar.

Bagaimanapun, seorang lagi penumpang iaitu jurulatih lelaki terselamat apabila berjaya keluar dari pesawat tersebut sebaik sahaja terhempas iaitu sebelum pesawat itu terbakar.

Pesawat itu adalah milik sebuah syarikat penerbangan. - Utusan

Amah ditemui berlumuran darah

KUCHING: Seorang pembantu rumah Indonesia ditemui cedera parah akibat tetakan di kepala, berdekatan pagar rumah majikannya di Jalan Keranji, Tabuan Desa di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Habibah Adam, 46, yang mula bekerja kira-kira dua bulan di negara ini, ditemui orang ramai dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri dengan kepala serta mukanya berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata jiran yang melihat keadaan mangsa menghubungi majikannya yang berada di tempat kerja sebelum majikan terbabit menghubungi polis.

Berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian hanya seorang wanita berusia 75 tahun iaitu ibu kepada majikan mangsa berada di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan dan kita percaya ada seorang individu lain terbabit dalam kes ini.

Kita juga tidak menolak kemungkinan mangsa cuba dirompak pihak luar atau mungkin cuba membunuh diri atau mempunyai tekanan perasaan sehingga mendorong bertindak mencederakan dirinya," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, mangsa yang diambil bekerja oleh majikan yang berusia kira-kira 30-an itu untuk menjaga ibunya yang menghidapi penyakit Alzheimer dan tidak mampu menguruskan diri sendiri, selain menjaga rumah.

Kock Keong berkata, mangsa yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Umum Sarawak (HUS) berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri berikutan kecederaan serius.

Berita Harian
30 Sep 2010

Budak lelaki 11 tahun koma ditetak penyamun

SEREMBAN 6 Sept. - Seorang budak lelaki berusia 11 tahun parah selepas kepalanya ditetak dengan parang dalam satu kejadian samun di rumah keluarganya di Taman Ujong, dekat sini awal pagi ini.

Mangsa yang masih koma akibat pendarahan dalaman berikutan kejadian itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tuanku Ja'afar di sini.

Mangsa tinggal bersama ibunya yang berusia 46 tahun dan seorang abang berusia 15 tahun di rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan tersebut ketika kejadian sementara bapanya keluar bekerja.

Jurucakap polis memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi ini, lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang telah memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang sebelum naik ke tingkat atas, di mana ketiga-tiga beranak itu sedang tidur.

"Ketika suspek mengejut ketiga-tiga beranak itu daripada tidur, mangsa menjerit kerana terkejut lalu menyebabkan salah seorang daripadanya marah dan bertindak menetak kepala budak lelaki itu dengan parang," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, terkejut dengan tindakan kejam suspek itu, ibu mangsa menjerit meminta tolong. Bagaimanapun salah seorang suspek bertindak menutup mulut wanita berkenaan.

"Seorang lagi suspek kemudiannya meletakkan parang ke leher seorang lagi anak mangsa dan mengugut wanita berkenaan supaya mendiamkan diri.

"Suspek kemudiannya menutup mulut dan mengikat kaki serta tangan kedua-dua mangsa sebelum menggeledah rumah mangsa untuk mencari barangan berharga," ujarnya.

Jelasnya, kelima-lima penjenayah berkenaan kemudiannya melarikan diri selepas setengah jam menggeledah rumah mangsa.

"Hasil siasatan, polis juga menjumpai dua bilah parang di tingkat atas rumah berkenaan dan tiga bilah parang lagi di lokasi berhampiran.

"Kita juga menjumpai satu sarung tangan yang masih mempunyai darah dan satu kemeja T berwarna hijau dipercayai digunakan untuk menutup muka tidak jauh di lokasi kejadian," jelasnya.

Menurut jurucakap polis lagi, buat masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan.

Sementara itu bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Toh, 46, berkata, sewaktu kejadian dia tiada di rumah kerana menguruskan perniagaan di Rembau.

"Anak saya menjalani pembedahan pada hari ini kerana mengalami pendarahan dalaman," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, polis kini sedang memburu kelima-lima suspek.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

Utusan
7 Sep 2010

Sosilawati hilang

ARKIB : 6/9/2010


Jutawan kosmetik tak dapat dikesan sejak 30 Ogos

KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik yang juga bekas isteri penyanyi Nash, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dilaporkan hilang sejak seminggu lalu bersama tiga individu lain dipercayai peguam dan pemandunya serta seorang pegawai bank.

Kehilangan Sosilawati menimbulkan misteri kerana sehingga malam tadi polis masih belum dapat mengenal pasti motifnya, malah ahli keluarganya juga tidak menerima sebarang panggilan menuntut wang tebusan.

Menurut sumber, pengasas empayar produk kecantikan Novelle Visages itu dikatakan keluar dari banglo mewahnya di Taman Harmonis, Gombak di sini pada 30 Ogos lalu untuk meninjau projek terbarunya di Banting dan sepatutnya pulang tiga hari selepas itu.

Sooselawati dikatakan memberitahu anak-anaknya yang beliau akan ke Banting selama tiga hari untuk perbincangan perniagaan.

Bagaimanapun, selepas tiga hari tidak pulang ke rumah dan usaha menghubungi telefon bimbitnya juga gagal, anak-anaknya membuat dua laporan polis memaklumkan kehilangan ahli perniagaan itu, katanya.

Difahamkan, selain pemandunya, Sooselawati turut ditemani dua lagi individu. Ketiga-tiga individu itu juga tidak dapat dikesan sehingga malam tadi.

Berdasarkan maklumat diterima, tiga individu yang bersama Sooselawati ialah peguam dan pemandunya serta seorang pegawai bank yang mengikuti ahli perniagaan itu untuk meninjau projek terbarunya di Banting, katanya.

Kali terakhir Sooselawati dilihat di khalayak ramai ialah pada 28 Ogos lalu ketika menghadiri majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Dua hari sebelum itu, Sooselawati menghadiri perbicaraan kes tuntutan harta bernilai RM1.38 juta terhadap bekas suaminya, Nash atau Nasharuddin Elias.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan pihaknya menerima dua laporan dibuat ahli keluarga jutawan berkenaan berhubung misteri kehilangannya.

Pengadu (anak Sooselawati) memberitahu ibunya tidak pulang pada tarikh sepatutnya, selain mereka gagal mengesan dan menghubunginya.

Sama ada kehilangannya mempunyai unsur jenayah atau tidak, itu semua sedang disiasat. Setakat ini, kejadian diklasifikasikan sebagai kes orang hilang kerana keluarganya belum menerima apa-apa panggilan menuntut wang tebusan, katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Rakan Cop melalui talian 03-2115 9999 bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan.

Berita Harian
6 Sep 2010


ARKIB : 06/09/2010
Kes hilang: Polis teliti panggilan telefon Sosilawati

KUALA LUMPUR 6 Sept. — Senarai panggilan telefon terakhir pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dipercayai dapat membuka laluan penyiasatan berhubung kehilangan mereka sejak 30 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya sedang menunggu data tersebut dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai sebaik sahaja perincian penggunaan telefon oleh keempat-empat mereka diteliti.

"Kita perlu siasat kesemua anggota keluarga yang terlibat. Setakat ini kita belum dapat apa-apa petunjuk lagi.

"Antara yang kita siasat adalah panggilan telefon (panggilan terima dan panggilan keluar) kesemua mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang akan berkuat kuasa 12 September ini, di sini hari ini.

Musa berkata, setakat ini, hanya satu laporan saja diterima polis berhubung kehilangan keempat-empat individu tersebut, iaitu pada Khamis lepas daripada keluarga Sosilawati.

Sosilawati, 47, dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya setelah dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak, sejak seminggu lepas.

Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi dan seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lepas dan difahamkan Sosilawati membawa wang jutaan ringgit. — Bernama


ARKIB : 07/09/2010
Kereta Sosilawati, peguam ditemui


SUBANG JAYA 6 Sept. - Siasatan kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya menunjukkan perkembangan apabila kereta milik beliau dan peguamnya ditemui di dua lokasi berbeza malam ini.

Kereta BMW milik Sosilawati, 47, ditemui di Pangsapuri Angsana USJ1 di sini diikuti kereta milik peguamnya di sebuah kawasan perumahan berhadapan Dorsett Hotel Subang Jaya.

Difahamkan, seorang peniaga yang mengecam nombor plat kereta Sosilawati menerusi berita di televisyen melaporkan penemuan itu kepada pihak polis pada pukul 9.30 malam.

Peniaga itu menonton berita mengenai kehilangan jutawan itu yang turut mendedahkan nombor plat kereta yang dinaikinya dan apabila dia turun ke bahagian bawah pangsapuri berkenaan selepas itu, dia nampak kereta dengan nombor plat sama ada di tempat letak kereta di bahagian hadapan pangsapuri tersebut lalu melaporkannya kepada polis.

Selepas menemui kereta Sosilawati, difahamkan polis mendapat maklumat mengenai kereta BMW milik peguam itu di sebuah kawasan perumahan berhadapan hotel tersebut lalu bergegas ke lokasi berkenaan.

Polis menemui beberapa kesan cap jari pada kereta berkenaan dan usaha sedang dilakukan oleh bahagian forensik untuk mengesan pemiliknya.

Kedua-dua kereta berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan.

Dalam pada itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tengah hari ini berkata, polis akan meneliti senarai panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) akhir yang diterima atau dibuat oleh kesemua mereka yang hilang itu bagi memperoleh petunjuk mengenai kes tersebut.

''Pihak polis sedang menunggu data panggilan daripada syarikat telekomunikasi dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai.

"Yang pasti, mesti Sosilawati ada membuat atau menerima panggilan dan SMS sebelum beliau dilaporkan hilang," katanya.

Musa memberitahu, polis membuat siasatan daripada pelbagai sudut dan sebarang kemungkinan turut diambil kira bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman pula ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan suami Sosilawati bagi membantu siasatan kehilangan isterinya.

"Suaminya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini kira-kira pukul 3 petang tadi," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak, hari ini mendapati kediaman tersebut tenang dengan dihadiri ahli keluarga terdekat.

Sosilawati dilaporkan hilang bersama tiga lagi iaitu pemandunya, peguam peribadi serta seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lalu.

Pemilik syarikat kosmetik, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (Nouvelle Beauty) itu tidak pulang ke rumah setelah pergi ke Banting, Selangor untuk menemui peguam atas urusan pembelian tanah di Pulau Pinang dan kes itu diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. - Utusan


ARKIB : 07/09/2010
Sosilawati beli kerepek dan kuih untuk kakitangan syarikat

KUALA LANGAT 7 Sept. – Hartawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dilihat membeli kerepek dan kuih di sebuah kedai di Kampung Sungai Lang, Banting di sini untuk diberikan kepada kakitangannya sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma sebelum dilaporkan hilang sejak seminggu lepas.

Menurut seorang pekerja di kedai kerepek berkenaan, Kerepek House Fazz Enterprise kira-kira dua kilometer dari pekan Banting, Sosilawati dan seorang lelaki datang ke kedai itu Khamis lepas.

Pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Ina itu berkata, Sosilawati datang kira-kira pukul 2 petang sebelum membeli beberapa jenis kerepek termasuk kerepek pisang, bawang, jejari bilis serta kuih dam, sanggul mak dara dan almond London.

"Dari perbualan saya dengan Datuk (Sosilawati) ada beritahu kuih itu untuk kakitangannya, saya berbual kerana sebagai pekerja saya melayan Datuk selaku pelanggan.

"Lebih-lebih lagi saya pengguna produk kecantikan yang diasaskan Datuk iaitu Nouvelle Visages,” katanya yang menambah Sosilawati memakai baju warna merah jambu dan seluar jenis legging hitam ketika datang ke kedai itu.

Ahad lepas, Sosilawati dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak.

Difahamkan Sosilawati tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya yang beliau mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun selepas tiga hari, beliau tidak pulang ke rumahnya sehingga ke hari ini.

Semalam, dua buah kereta mewah dipercayai milik Sosilawati dan seorang peguamnya ditemui oleh orang awam di dua lokasi berbeza di Subang Jaya.

Kereta terbabit iaitu BMW X5, dipercayai milik Sosilawati ditemui di tempat letak kenderaan di Pangsapuri Angsana, USJ 1, Subang Jaya, manakala BMW 5 siri dipercayai milik peguamnya ditemui berhadapan sebuah rumah teres berdekatan sebuah hotel di Subang Jaya. – Bernama


Buruan baru


KUALA LUMPUR: Selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis dan disifatkan amat penting kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.

Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.

Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin yang dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan wanita itu terutama mengenai hubungannya dengan suspek yang ditahan, bagaimanapun enggan memberi ulasan lebih lanjut.

“Saya tidak boleh dedahkan apa-apa maklumat kerana bimbang ia boleh menjejaskan siasatan polis. Lebih penting, saya amat berharap orang ramai yang mengetahui di mana wanita itu berada supaya segera memaklumkan kepada polis,” katanya.

KAWAL...kenderaan yang membawa suspek keluar dari Ladang Gadong, semalam.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.

Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

Sementara itu, semalam polis membawa dua suspek yang terbabit kes pembunuhan Sosilawati ke Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Banting.

myMetro
5 Okt 2010


Tuntut ganti rugi RM60 juta

SHAH ALAM 2 Nov. – Enam anak Datuk Sosilawati Lawiya hari ini memfailkan saman terhadap peguam N. Pathmanabhan dan lima pekerja ladang yang didakwa membunuh serta melupuskan mayat jutawan kosmetik itu bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM60 juta.

Mereka memfailkan saman tersebut melalui firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 8.45 pagi ini.

Anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, bertindak sebagai plaintif pertama serta wakil peribadi kepada harta pusaka dan sebagai waris Allahyarham.

Sementara Erwan Suwari Rizuwan, 24; Md. Erwan Nasri, 23; Erni Erinawati Sofia, 21; Erni Rineelawati, 20; dan Siti Nur Fatimah, 13, yang diwakili bapa mereka, Buhari Mohamed bertindak sebagai plaintif seterusnya.

Mereka menamakan Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang miliknya, R. Kathavarayan, R. Mathan serta T. Thilaiyalagan yang masing-masing didakwa membunuh Sosilawati sebagai defendan pertama hingga keempat.

Manakala dua lagi, K. Sarawanan dan U. Suresh yang telah dihukum penjara tujuh tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Sosilawati dinamakan sebagai defendan kelima dan keenam.

Peguam Kamarudin Ahmad semasa ditemui pemberita memaklumkan, jumlah saman RM40 juta yang dirancang sebelum ini ditambah kepada RM60 juta selepas pihaknya mendapat maklumat bahawa Sosilawati berhasrat menyenaraikan syarikatnya ke Bursa Saham.

Beliau berkata, saman itu difailkan bertujuan menghantar mesej kepada orang awam bahawa jenayah seperti yang didakwa dilakukan keenam-enam tertuduh perlu diberi hukuman yang berat.

Selain Kamarudin, kesemua plaintif yang tidak hadir di mahkamah hari ini turut diwakili peguam Won Walter Pereira dan Annie Gomez.

Dalam pernyataan tuntutan, mereka mendakwa, Sosilawati meninggalkan pejabat di Kampung Baru, Kuala Lumpur bersama pemandunya, Kamarudin Shamsudin untuk berurusan dengan Pathmanabhan pada 30 Ogos lalu.

Turut bersama beliau ialah peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad.

Sejurus tiba di Banting, mereka dikatakan diarah oleh Pathmanabhan atau wakilnya untuk ke sebuah ladang di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini.

Di ladang itu, defendan kedua hingga keempat atas arahan Pathmanabhan didakwa telah menahan dan menggunakan kekasaran ke atas Sosilawati serta tiga rakannya sehingga menyebabkan kematian mereka.

Defendan kelima dan keenam yang didakwa mengetahui tentang pembunuhan tersebut pula membantu dan bersekongkol untuk melupuskan kesemua mayat tersebut.

Pathmanabhah, Kathavarayan, Mathan dan Thilaiyalagan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat dekat sini pada 13 Oktober lalu atas tuduhan membunuh keempat-empat mangsa antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu.

Mereka yang sedang menunggu perbicaraan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Defendan kelima dan keenam masing-masing dihukum penjara tujuh tahun oleh mahkamah yang sama pada 15 Oktober lalu selepas mengaku bersalah mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati dan tiga lagi mangsa.

Berikutan kejadian itu, pihak plaintif mendakwa mengalami trauma dan menghadapi kesedihan yang berlarutan selain kesusahan berikutan kematian ibu mereka yang merupakan tulang belakang dalam keluarga itu.

Ini kerana Sosilawati telah menubuhkan syarikat kosmetik Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. dengan produk kecantikan Nouvelle Visages(nv) dan berjaya membuka 300 kedai dan pengedar di seluruh negara selain Brunei, Singapura dan Thailand dalam masa 10 tahun.

Mereka mendakwa mengalami kehilangan dan kerugian kerana perjalanan Nouvelle Beauty Centre dengan aset keseluruhan sebanyak RM6.37 juta yang diwarisi mereka terjejas berikutan kematian Sosilawati.

Dakwa pihak plaintif lagi, wanita yang memenangi anugerah “Wanita Nadi Negara” dari negeri Johor itu juga merancang untuk menyenaraikan kumpulan syarikat Nouvelle Visages di Bursa Malaysia yang akan meningkatkan nilai pegangan sahamnya.

Sehubungan itu, mereka menuntut ganti rugi am RM20 juta, ganti rugi teladan RM40 juta, ganti rugi khas, faedah pada kadar lapan peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan sebarang perintah yang patut dan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Kamarudin turut memberitahu pemberita, pihaknya telah memaklumkan kepada keluarga Kamarudin, Noorhisham dan Ahmad Kamil berhubung tuntutan saman itu tetapi sehingga kini keluarga ketiga-tiga mangsa itu belum memberi sebarang maklumat balas.

Utusan
3 Nov 2010

Pekerja separa masa terbela

6.8 juta penduduk boleh bekerja dengan perlindungan penuh mulai esok

PUTRAJAYA: Mulai esok, 6.8 juta penduduk negara ini, termasuk 700,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang dikategorikan sebagai tenaga kerja terpendam, boleh bekerja separa masa dengan menikmati perlindungan dan insentif seperti pekerja sepenuh masa, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Ini berikutan pelaksanaan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 yang antara lain membolehkan pekerja separa masa mencarum dalam PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta menikmati cuti umum, cuti tahunan, cuti sakit, hari rehat serta bayaran kerja lebih masa.

Peraturan itu juga membolehkan kakitangan awam bekerja separa masa selepas waktu kerja mengikut Peraturan 5, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan 2002, tetapi perlu mendapat kebenaran bertulis ketua jabatan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata peraturan itu diperkenalkan bagi menggalakkan tenaga kerja terpendam, seperti suri rumah, ibu tunggal, pelajar IPT, pesara dan orang kurang upaya (OKU) bekerja separa masa mengikut kelapangan masing-masing, sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah.

Mengikut peraturan itu, pekerja separa masa didefinisikan sebagai mereka yang bekerja dengan jumlah waktu kerja lebih 30 peratus sehingga 70 peratus daripada waktu kerja biasa pekerja sepenuh masa. Sekiranya kurang daripada had minimum itu, mereka dianggap sebagai pekerja sambilan, manakala melebihi 70 peratus ditakrifkan pekerja tetap.

Sebagai contoh, sekiranya waktu kerja biasa pekerja sepenuh masa adalah lapan jam sehari, maka waktu kerja pekerja separa masa adalah antara 2.4 jam hingga 5.6 jam sehari.

Bagaimanapun, pekerja separa masa tidak meliputi pekerja yang bekerja dari rumah, termasuk pembantu rumah atau secara teleworking. Pekerja separa masa juga tidak layak mendapat bayaran faedah penamatan kerja dan elaun cuti bersalin, tetapi layak untuk cuti bersalin.
Pada sidang media di sini, semalam, Dr Subramaniam berkata, dengan pelaksanaan peraturan itu, wanita berkelayakan tinggi yang memilih untuk menjadi suri rumah kerana tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, kini boleh bekerja separa masa sebagai alternatif.

Katanya, 700,000 pelajar IPT juga mampu menjadi tenaga kerja separa masa yang bernilai kepada negara, selain memberi pendedahan kepada mereka mengenai etika kerja serta memudahkan penyesuaian di alam pekerjaan selepas tamat pengajian.

Majikan pula, katanya, dapat menjimatkan perbelanjaan kerana bayaran gaji dibuat pro-rata berdasarkan tempoh masa bekerja, selain dikecualikan daripada caruman di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001 untuk pekerja separa masa.

Dr Subramaniam menjelaskan, majikan dan pekerja separa masa boleh berunding bagi menentukan sama ada perkiraan tempoh kerja dilakukan secara harian, mingguan atau bulanan.

Beliau juga menjelaskan, pekerja separa masa merangkumi mereka yang bekerja sekali-sekala atau tidak tetap, hanya apabila diperlukan dan masa kerjanya dalam seminggu tidak melebihi 30 peratus daripada masa kerja pekerja tetap.

Dari segi usia pula, hanya mereka berusia 18 tahun ke atas boleh bekerja secara sah dan mereka berusia antara 15 hingga 18 tahun dianggap individu muda yang dibenar melakukan kerja tertentu saja manakala yang berusia 15 tahun ke bawah ditakrifkan sebagai kanak-kanak dan tidak boleh diambil bekerja.

Majikan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) dan bersabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap satu kesalahan.

Berita Harian
30 Sep 2010

'Saya tidak pernah bersuami dua'

SHAH ALAM: “Saya tidak pernah bersuami dua seperti didakwa ibu, malah perkahwinan bersama suami baru dilakukan mengikut proses undang-undang sah dan didaftarkan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi),” kata Shazlinda Che Ali, 35, menafikan dakwaan ibunya, Muliani Mahmud, 54.

Menurutnya, dia yang bernikah dengan suami baru di Masjid Kampung Pandan, Kuala lumpur Februari lalu sehingga kini masih sah suami isteri dan tidak pernah bercerai seperti didakwa ibunya.

Katanya, ibunya membuat pelbagai dakwaan kerana keengganannya menyerahkan semula anak perempuannya berusia lima tahun yang sebelum ini dipelihara Muliani.

“Perkahwinan dengan suami terdahulu dilakukan di Thailand kerana saya adalah isteri kedua, bagaimanapun selepas tiga tahun saya memohon fasakh apabila suami menghilangkan diri dan gagal memberi sebarang nafkah. Malah surat pengesahan fasakh saya juga sehingga kini disimpan ibu.

“Saya hairan mengapa ibu sanggup memalukan saya dengan dakwaan dan fitnah seperti itu, malah ibu sendiri hadir sewaktu pernikahan saya bersama suami baru,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan Muliani keliru dengan tindakan Shazlinda yang didakwanya berkahwin lain dengan seorang kakitangan kerajaan di sini, walaupun masih belum bercerai dengan suami pertama dikenali sebagai Hassim, 48.

Muliani berkata, keliru dan bingung dengan tindakan anaknya, menyebabkan dia enggan menghadiri majlis perkahwinan mereka.

Malah, dia turut mendakwa perkahwinan Shazlinda hanya bertahan selama tiga bulan sebelum diceraikan dengan talak tiga, bagaimanapun anaknya itu masih tinggal bersama bekas suami yang dikatakan sering mendera cucunya.

Shazlinda berkata, itu bukan dakwaan tidak berasas pertama dibuat ke atasnya, malah sebelum ini, ibunya membuat aduan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan menyatakan dia dan suami terbabit dengan dadah. Malah, gagal dengan taktik itu, ibunya sekali lagi membuat aduan di Talian Nur kononnya anaknya didera.

“Semua itu adalah fitnah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada datang ke rumah untuk memeriksa dan mendapati anak saya dalam keadaan baik, ujian saringan air kencing juga kami negatif. Ibu melakukan semua ini semata-mata mahu memastikan dia mendapat kembali anak saya.

“Cukuplah dua anak saya hasil perkahwinan sebelum ini dipelihara ibu. Berilah saya peluang memelihara anak bongsu saya ini kerana sebagai ibu saya mempunyai naluri dan keinginan mendidik sendiri anak yang dilahirkan,” katanya.

Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka ibunya sanggup membuat dakwaan menjatuhkan maruah mereka suami isteri walaupun sebelum ini Muliani pernah mengugut melalui SMS supaya dia mengembalikan semula anaknya, sekiranya gagal ibunya akan memujuk bekas suami menyatakan perceraian mereka tidak sah.

myMetro
30 Sep 2010

Pasangan dadah

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih berusia lingkungan 20-an ditahan dalam satu operasi khas pencegahan dadah di sebuah rumah teres di Salak South Garden, di sini, kelmarin.

Dalam operasi yang dilakukan pegawai termasuk anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira jam 12 tengah hari itu, kedua-dua suspek berkenaan dikatakan sedang berehat dalam sebuah bilik di rumah itu.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata pemeriksaan lanjut menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar berisi beberapa biji pil dipercayai dadah.

“Selain beberapa pil jenis ‘Ecstasy’, polis turut menemui lebih 200 pil dipercayai Eramin 5 dalam rumah suspek dan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM4,000,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan identiti kedua suspek mendapati lelaki berkenaan berusia 24 tahun dan bekerja sebagai penjual ubatan herba dan hasil ujian air kencing mendapati positif dadah manakala teman wanitanya yang berusia 22 tahun dan penuntut sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di ibu kota negatif ujian air kencingnya.

myMetro
30 Sep 2010

Sambut pembebasan dengan air mata

SHAH ALAM: Dua wanita warga Iran hanya mampu menangis teresak-esak selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada tuduhan mengedar hampir 40 kilogram (kg) syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Februari lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan terhadap Mazieh Azimzadehtabriz, 32, dan Hajar Fakri Lasbo, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mazieh, jurulatih pendidikan jasmani dan Hajar yang masih belajar dituduh mengedarkan dadah berkenaan dengan jumlah berat 38.96kg di Balai Ketibaan KLIA, kira-kira 10.40 malam, pada 5 Februari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama. Sabit kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman mati mandatori.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Naziah Mokhtar manakala Mazieh dan Hajar diwakili peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik.

myMetro
30 Sep 2010

Motor jatuh jejambat

KUALA LUMPUR: Akibat tayar motosikal pancit, seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila dia tercampak dari jejambat setinggi 10 meter berhampiran Bangunan Parlimen, di sini, sebelum dilanggar sebuah teksi, tengah hari semalam.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Wong, 51, mati serta-merta di tempat kejadian selepas dilanggar teksi berkenaan yang kebetulan melalui jalan bawah jejambat.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, Wong yang berasal dari Ampang dipercayai menunggang motosikal seorang diri dan dalam perjalanan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum tayar depan motosikalnya pancit menyebabkan ia gagal dikawal lalu terjatuh ke bawah jejambat setinggi kira-kira 10 meter.

myMetro
30 Sep 2010

Polis bebas rogol OKU

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah syukur kepada Allah. Terima kasih juga kepada peguam saya dan mahkamah,” kata bekas pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner, Matsusah Sadikin.

Dia berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini yang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan merogol gadis terencat akal sehingga melahirkan anak, tujuh tahun lalu.

Matsusah yang lega dengan keputusan itu memberitahu dia mahu membuka buku baru dalam hidupnya dan kini masih bekerja di kedai runcit yang sama iaitu tempat kejadian itu berlaku.

myMetro
30 Sep 2010

Bayi 3 bulan mati dalam buaian

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan disedari mati di dalam buaian ketika sedang tidur dalam jagaan pengasuhnya, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pengasuh berusia 51 yang juga jiran kepada keluarga mangsa mendapati bayi berkenaan tidak sedarkan diri walaupun beberapa kali cuba dikejutkan.

Pengasuh terbabit kemudian segera menghubungi ibu bapa bayi itu untuk memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa kepada bayi itu kemudian bergegas ke rumah pengasuhnya di Jalan Dutamas, Sentul, di sini, sebelum menghantar anaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Apabila tiba di HKL, anaknya dirawat di wad kecemasan dan doktor mengesahkan bayi berkenaan sudah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal pada badannya dan mangsa disahkan tidak didera,” katanya, semalam.

Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas kematian anaknya itu.

“Bedah siasat hari ini (semalam) juga mendapati tiada kesan kecederaan dalaman dan fizikal bayi berkenaan. Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR).

“Namun siasatan masih lagi dijalankan dan polis masih menunggu keputusan makmal terhadap sampel darah serta tisu mangsa bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.

Difahamkan, bapa mangsa seorang pekerja swasta manakala ibunya pula bekerja sebagai jururawat di ibu negara.

myMetro
30 Sep 2010


Bayi 3 bulan mati di rumah pengasuh

Tiada kesan kecederaan fizikal luaran, dalaman

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan ditemui mati dalam buaian di rumah pengasuhnya di kawasan perumahan, di Jalan Dutamas di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pengasuh wanita berusia 50 tahun, dikatakan sedang mendodoikan Danish Noor Rasmazi sebelum mendapati bayi berkenaan tidak bergerak dan bertindak menelefon bapanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa Danish yang bekerja sebagai pegawai bank bergegas pulang ke rumah dan membawa anaknya itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Laporan perubatan mengesahkan Danish sudah meninggal dunia sebelum beliau dibawa ke HKL.

Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian secara mengejut sementara menunggu laporan ujian air kencing dan darah Danish daripada pihak hospital, katanya di sini, semalam.

Zakaria berkata, Danish ditinggalkan bersama pengasuhnya sejak sebulan lalu, selepas ibunya yang bekerja sebagai jururawat baru saja memulakan tugas sebaik saja habis berpantang.

Katanya, hasil laporan bedah siasat menunjukkan tiada kesan kecederaan fizikal luaran dan dalaman pada badan bayi itu.

Bagaimanapun, katanya, polis akan menjalankan siasatan sebaik saja menerima laporan ujian air kencing dan darah mangsa.

Berita Harian
30 Sep 2010

Lelaki buat laporan palsu dakwa tunang diculik

KUALA LUMPUR: Tidak ubah seperti sengaja mempermainkan polis apabila seorang lelaki membuat laporan palsu mendakwa tunangnya berusia 21 tahun tahun diculik dan dilarikan empat lelaki tempatan menaiki sebuah kereta.

Lebih mengejutkan apabila ‘mangsa’ sendiri cuba menipu polis dengan mendakwa kononnya diperkosa seorang daripada lelaki yang menculiknya di hadapan sebuah rumah tumpangan di Jalan Maxwell, Rawang di sini, kelmarin.

Dalam laporannya, lelaki berusia 29 tahun bekerja sebagai juruelektrik itu mendakwa empat lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berwarna biru menarik tunangnya ke dalam kenderaan sebelum melarikan diri.

Sumber polis berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.45 pagi ketika lelaki terbabit dan tunangnya yang bekerja di sebuah kilang plastik di Rawang berada di hadapan rumah tumpangan berkenaan.

“Dalam laporan dibuat pada jam 1.59 pagi itu, lelaki itu mendakwa dua daripada empat suspek bertindak keluar dari kereta dan menghampirinya sambil memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Mereka kemudian menarik tunangnya ke dalam kereta menyebabkan lelaki berkenaan yang panik melarikan diri untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, apabila kembali ke tempat kejadian, lelaki terbabit mendapati tunangnya sudah tiada.

Beliau berkata, polis yang menerima laporan berkenaan kemudian segera menjalankan siasatan dan menghantar seorang pegawai penyiasat ke rumah rakan mangsa di Batang Kali di sini, kira-kira jam 8.30 malam keesokannya.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan, mangsa kebetulan sedang menghubungi rakannya itu dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan dia sudah berada di rumahnya di Taman Tasek Teratai di Serendah.

“Polis yang memeriksa SMS dihantar mangsa kepada rakannya pada jam 7.50 dan 7.53 malam mendapati tiada unsur ugutan yang menggambarkan mangsa berada dalam keadaan bahaya ketika itu,” katanya.

Berikutan itu, polis pergi ke rumah mangsa namun mangsa dan tunangnya tiada di situ. Pada jam 9.15 malam, polis mengesan mereka berada di sebuah kedai berhampiran kawasan perumahan berkenaan.

myMetro
30 Sep 2010

Pencari lokan jumpa tulang, tengkorak manusia

MARANG: Seorang lelaki yang mencari lokan di sebuah alur sungai terkejut apabila menemui satu tengkorak dan tulang manusia dalam keadaan berselerak, kelmarin.

Lelaki berusia 45 tahun yang mencari lokan kira-kira jam 4.30 petang di belakang tapak pelupusan sisa pepejal Majlis Daerah Marang berhampiran hutan nipah di Kampung Gong Sepah, di sini, segera menghubungi talian 999 sebelum disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui tengkorak serta tulang tanpa cebisan daging.

“Polis tidak menemui sebarang pakaian atau dokumen pengenalan diri berhampiran rangka berkenaan dan hanya menemui seutas jam tangan dipercayai milik seorang wanita yang boleh dijadikan petunjuk memungkinkan mangsa seorang wanita dewasa.

“Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu yang dihantar ke tempat kejadian bersama Jabatan Patologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mengutip tulang berkenaan mendapati bilangannya tidak mencukupi sebagai manusia normal,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di IPK, semalam.

Beliau berkata, tengkorak dan tulang terbabit kemudian dihantar kepada pakar patologi sebuah hospital di Kuantan, Pahang untuk tindakan lanjut bagi mendapat maklumat berkaitan punca kematian dan jantina mangsa.

Menurutnya, polis tidak dapat mengulas lanjut kes berkenaan dan hanya membuka laporan sebagai kes mati mengejut hingga ada perkembangan berkaitan penemuan tulang dan tengkorak berkenaan.

Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai mempunyai maklumat berkaitan atau kehilangan ahli keluarga menghubungi IPD Marang di talian 09-6182222 bagi membantu siasatan.

myMetro
30 Sep 2010

Maij bawa keluar lima warga emas tiada waris

BATU PAHAT: Ketidakprihatinan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini, menyaksikan lima warga emas tidak berwaris ditempatkan di rumah perlindungan bukan Islam sebelum tindakan menyelamat segera dilakukan Majlis Agama Islam Johor (Maij) bagi menghindari risiko murtad.

Warga emas tidak berwaris itu, kebanyakannya pesakit di hospital yang tidak dituntut ahli keluarga walaupun berita mengenainya disiarkan di beberapa akhbar tempatan.

Akibat tiada pihak menuntut warga emas terbabit dan pengurusan hospital perlu memberi laluan kepada pesakit lain, golongan terbabit terpaksa diserahkan kepada rumah perlindungan orang tua bukan Islam yang tampil membuat tuntutan.

Penolong Pengarah Bahagian Agihan Zakat Maij, Azlan Abdullah berkata, lima kes warga emas beragama Islam itu dikeluarkan daripada rumah perlindungan bukan Islam itu berlaku pada tahun ini.

myMetro
30 Sep 2010

Nenek pulang beli makanan terkejut cucu dilarikan

RAUB: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dilaporkan hilang sejak Selasa lalu dipercayai dilarikan ‘ibu saudaranya’ yang juga seorang warga asing di rumah neneknya di Kampung Sempalit, Raub, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang berlaku apabila nenek berkenaan, Leong Sai Yong, 57, didatangi seorang wanita yang memperkenalkan dirinya ibu saudara cucunya itu.

Anak Leong berkahwin dengan seorang warga Indonesia beberapa tahun lalu sebelum berpisah secara baik setahun lalu dan hak penjagaan diberikan kepada bapa kanak-kanak berkenaan.

Difahamkan, wanita warga Indonesia terbabit yang berusia awal 30-an datang ke rumah berkenaan kononnya untuk menjenguk kanak-kanak berkenaan. Ini kerana ibu kanak-kanak itu sudah berpisah dengan bapanya sejak setahun lalu.

Sai Yong ketika menceritakan semula kejadian itu berkata, sebelum itu dia dan cucunya, Lee Xin Ru berbaring di dalam rumah. “Tiba-tiba kami didatangi seorang wanita yang memperkenal dirinya ibu saudara Xin Ru. Saya yang tidak pernah berjumpanya sebelum ini mempercayainya dan menjemputnya masuk ke rumah,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit mengadu sangat lapar.

“Timbul rasa kasihan kepada wanita itu, saya pun minta diri sekejap mahu keluar untuk membeli makanan di kedai bersebelahan,” katanya.

Namun, setibanya di rumah, dia mendapati cucunya dan wanita terbabit sudah tiada. Malah, pakaian cucunya turut dibawa bersama.

“Saya syak wanita itu berpura-pura datang kononnya mahu menjenguk saya, rupa-rupanya dia mahu melarikan Xin Ru,” katanya. Katanya, ketika mencari cucunya itu dia ternampak kelibat mereka menaiki sebuah teksi, tetapi tidak diketahui nombor pendaftarannya. Menurutnya, dia bergegas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, di sini.

“Saya turut menghubungi bapa Xin Ru yang ketika itu berada di Johor untuk memaklumkan mengenai kehilangan anaknya,” katanya. Menurutnya, anak lelakinya dan bekas menantu tidak mempunyai sebarang masalah, malah mereka berpisah secara baik lantaran tiada persefahaman.

“Hari ini sudah sembilan hari Xin Ru hilang, saya risaukan keadaan keselamatan dan kesihatannya. Saya merayu sesiapa yang mengambilnya supaya memulangkannya semula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman mengesahkan menerima laporan kehilangan kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, ketika Xin Ru dibawa lari, dia memakai baju-T berwarna putih, bertali oren dan berseluar pendek biru muda. Malah, dia mempunyai tanda hitam sejak lahir di kelopak mata kanan dan berkulit sawo matang.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak ini supaya menghubungi Inspektor Haroza Pandi di talian 019-8793776 atau IPD Raub di talian 09-3552222,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

myMetro
30 Sep 2010

Pencuri kelar leher detektif

AMPANG: Hanya kerana sebotol penyegar mulut, seorang lelaki sanggup menikam seorang detektif dalaman yang mengesan perbuatannya yang mencuri barang berkenaan di sebuah pasar raya di Pandan Indah, di sini, kelmarin.

Akibatnya, detektif dalaman berusia 23 tahun itu menerima 10 jahitan di dada, selain cedera di leher dan tangan selepas dikelar ketika cuba mempertahankan diri.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa mengekori pergerakan seorang lelaki yang mencurigakan.

“Mangsa melihat suspek mengambil sebotol penyegar mulut dan keluar tanpa membuat pembayaran di kaunter,” katanya.

Katanya, sejurus melihat suspek cuba beredar, mangsa menahannya di luar pasar raya itu sebelum memperkenalkan diri detektif dalaman pasar raya berkenaan.

“Mangsa memberitahu ingin membuat pemeriksaan sebelum suspek yang ketakutan cuba melarikan diri, namun dikejar mangsa.

“Suspek ditahan sebelum dia tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau,” katanya.

Katanya, mangsa cuba merampas pisau dipegang suspek, namun tidak berjaya.

“Suspek menikam dada selain mengelar leher dan tangan mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat mangsa bergelut dengan suspek dan ini menyukarkan polis melakukan siasatan.

“CCTV hanya dipasang di beberapa premis dalam pasar raya berkenaan dan agak sukar untuk mengecam wajah suspek, namun mangsa dapat membuat lakaran fotofitnya.

“Setakat ini, siasatan lanjut dijalankan dan polis kini bergantung lakaran fotofit daripada mangsa untuk mengesan suspek terbabit,” katanya.

myMetro
30 Sep 2010

'Kami mahu keadilan'

SEDIH...Shahrul Nizam dan Mazliana bersama anak sulung menunjukkan gambar Noramirah.

PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri yang kematian anak berusia sembilan bulan pada 20 September lalu, dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan di pusat asuhan di Presint 18, di sini, mahu pengusaha pusat yang tidak berdaftar itu dikenakan tindakan tanpa mengira ‘bulu’ walaupun dia anak seorang kenamaan bergelar ‘Datuk’.

Pasangan terbabit, Shahrul Nizam Reihan, 36, dan isterinya, Mazliana Nordin, 27, masih trauma apabila ‘kehilangan’ anak kesayangan Noramirah sembilan bulan, dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaaan pusat asuhan terbabit.

Bukan itu saja, pasangan terbabit kecewa kerana tidak ada sebarang tindakan tegas terhadap pengusaha pusat berkenaan walaupun insiden sama membabitkan bayi tersedak susu pernah berlaku pada Julai tahun lalu.

“Saya hairan mengapa tidak ada sebarang tindakan dilakukan walaupun kejadian sama pernah berlaku di pusat itu tahun lalu.

“Saya tidak tahu sama ada ia ada kaitan dengan pengusaha terbabit sebagai anak kepada seorang kenamaan menyebabkanya ‘kebal’ sehingga tidak ada sesiapa berani tampil bertindak terhadapnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Presint 9, semalam.

Difahamkan, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah mendapatkan maklumat berkaitan insiden berkenaan daripada Mazliana, pagi semalam.

Shahrul berkata, dia bukan mahu menimbulkan sebarang masalah, tetapi mahu keadilan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang membabitkan ibu bapa yang masih menghantar anak mereka di pusat asuhan berkenaan.

“Saya difahamkan, pusat asuhan itu hanya mempunyai tiga pengasuh bagi melayani kanak-kanak berusia antara dua bulan hingga empat tahun,” katanya yang membayar RM600 bagi dua anaknya yang dihantar ke pusat itu sebelum ini.

Malah, katanya dia juga mengakui sebelum kejadian itu, pengasuh hanya membenarkan ibu bapa menghantar anak di depan pintu masuk saja dengan alasan ia adalah peraturan yang ditetapkan dan perlu dipatuhi ibu bapa.

Shahrul berkata, dia masih berbincang dengan keluarga bagi mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya menghantar anak saya ke pusat asuhan ini kerana diberitahu ia adalah antara pusat asuhan terbaik di Putrajaya tanpa menyedari ia pusat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Tanpa berselindung, Shahrul berkata, dia berharap tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pengusaha pusat berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kepada ibu bapa yang masih menghantar anak mereka ke pusat tidak berdaftar itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr Maamor Osman, berkata tindakan bersepadu perlu dilakukan bagi memastikan tindakan terhadap pengusaha pusat asuhan yang degil bagi mendaftarkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, isu pusat asuhan tidak berdaftar memang pernah menjadi perbincangan ‘hangat’ satu ketika dulu, tetapi ia masih sukar untuk ditangani, walaupun membabitkan kematian bayi atau kanak-kanak yang dihantar di pusat berkenaan.

“Jangan biarkan pusat ini beroperasi tanpa kawalan pihak berkuasa kerana ia boleh membahayakan penghuni yang kebanyakan kanak-kanak yang dijaga di pusat berkenaan.

“Undang-undang sedia ada yang diperuntukkan mengikut Seksyen 6, Akta Pusat Asuhan Kanak-kanak 1984 perlu dikuatkuasakan tanpa memilih bulu,” katanya, semalam.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa perlu memastikan pengusaha dan pengasuh di pusat asuhan memiliki kelayakan sepatutnya sebelum dibenarkan membuka pusat asuhan itu bagi mengelak ada nyawa yang melayang berikutan kecuaian mereka.

Katanya, ibu bapa juga perlu menyiasat pusat asuhan itu sama ada berdaftar atau tidak bagi mengelak mereka menyerah ‘nyawa’ anak mereka untuk dijaga oleh pengasuh yang sifar asas penjagaan kanak-kanak.

myMetro
30 Sep 2010

Amuk gila talak

KUANTAN: Mungkin akibat gila talak, seorang pembantu perubatan sebuah hospital di sini, bertindak ganas apabila membuat kecoh pada majlis akad nikah bekas isterinya dengan membelasah seorang anggota tentera yang bakal menikahi wanita berkenaan di Medan Warisan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 30-an dan bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang di sini, dikatakan sudah berjabat tangan dengan kadi untuk dinikahkan di rumah pengantin perempuan sebelum bekas suami bakal isterinya tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.

Kejadian itu menyebabkan mangsa patah kaki kanan selain cedera di kepala, muka dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh suspek yang berusia 37 tahun. Suspek dipercayai tidak puas hati dengan tindakan bekas isterinya berkahwin lain sedangkan mereka baru setahun bercerai.

Suspek turut memijak kaki mangsa yang dikatakan belum sembuh sepenuhnya akibat kecederaan lama menyebabkan kaki lelaki berkenaan cedera semula.

Selain itu, suspek turut bertikam lidah dengan bekas isteri dan keluarga wanita berkenaan sebelum dileraikan beberapa tetamu. Dia kemudian ditahan polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Difahamkan, majlis akad nikah itu tetap dilangsungkan selepas suspek ditahan. Biarpun kakinya patah dan mengalami kecederaan lain, mangsa masih mampu menggagahkan diri menyempurnakan pernikahannya.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai tidak puas hati dengan bekas isterinya yang bakal melangsungkan perkahwinan, lalu menyerang bakal suami wanita itu dengan topi keledar.

Katanya, lelaki terbabit sudah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan sebelum dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tinjauan Harian Metro di rumah pengantin perempuan di Medan Warisan, semalam mendapati ia kosong manakala jiran tidak mengetahui di mana keluarga wanita berkenaan berada.

myMetro
30 Sep 2010

Polis dibidas curi bahan bukti

KUANTAN 29 Sept. - Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini membidas pihak polis berikutan kehilangan kira-kira 40 kilogram dadah jenis syabu daripada ratusan kilogram dadah yang dijadikan bahan bukti dalam satu kes pengedaran dadah terbesar di negara ini.

Kehilangan dadah tersebut dan faktor utama kegagalan pihak pendakwa membuktikan dadah yang dirampas kepunyaan seorang pemandu lori menyebabkan mahkamah membuat keputusan melepas dan membebaskan Lee Yong Toe, 48, daripada tuduhan mengedar 753 kilogram dadah.

Kes rampasan dadah terbesar negara bernilai RM254 juta itu dibawa ke mahkamah selepas polis berjaya menahan sebuah kontena berisi 10 tong mengandungi syabu di Rompin pertengahan tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir berkata, perbicaraan kes itu diselubungi kontroversi selepas mahkamah dimaklumkan mengenai laporan palsu yang dibuat oleh pengadu dan salah laku beberapa anggota polis yang menjadi saksi kes.

"Amat mengejutkan apabila mahkamah dimaklumkan beberapa anggota polis terbabit mencuri exhibit (bahan bukti) iaitu dadah yang dirampas.

"Perkara itu diakui sendiri salah seorang saksi pendakwaan terbabit mencuri satu daripada peket dadah. Kiraan kasar dadah yang dicuri itu adalah kira-kira 40 kilogram," katanya.

Malangnya, kata Akhtar, anggota polis yang terbabit mencuri barang kes itu hanya dikenakan tindakan dalam bentuk kenaikan pangkat dan gaji mereka dibekukan.

"Sepatutnya, seseorang yang melakukan kesalahan itu perlu didakwa dan dihukum penjara," jelasnya.

Beliau berkata, pegawai penyiasat kes itu juga seolah-olah 'memandang sebelah mata' dan tidak mahu menambah beban tugasnya biarpun mengetahui kesalahan dilakukan beberapa anggota polis terbabit.

Terdahulu, Akhtar menyatakan, tertuduh dibebaskan tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan selepas pendakwa raya gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu.

Selain itu, katanya, kegagalan pihak pendakwaan memanggil dua saksi penting berhubung kes itu menjadi faktor penentu kepada kes berkenaan.

Yong Toe dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas mengedar 753,359 gram dadah di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin, dekat sini pada pukul 6.45 pagi, 2 Mei tahun lalu.

Lelaki dari Taman Iskandar, Johor Bahru itu didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kegembiraan tertuduh hanya bertahan kira-kira 15 minit apabila dia ditahan polis sejurus melangkah keluar dari mahkamah.

Difahamkan, penahanan pemandu lori itu dilakukan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985).

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Aripin dan Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk V. Sithambaram dan Bob Arumugam.

Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula bulan lalu.

Memetik laporan akhbar sebelum ini, polis menahan tiga lelaki dan merampas sebuah kontena berisi 10 tong ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat lebih 900 kilogram di sebuah kawasan di Rompin pada 2 Mei 2009.

Bagi membantu siasatan kes rampasan dadah terbesar negara bernilai RM254 juta itu, polis juga dilaporkan menahan seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' berusia 30-an.

Utusan
30 Sep 2010

Pelajar Malaysia, Yee Hao Chiel maut kemalangan di NY

NEW YORK 30 Sept. – Seorang pelajar Malaysia terbunuh dalam satu kejadian langgar lari di utara New York, Selasa lalu.

Menurut kenyataan polis, pelajar terbabit, Yee Hao Chiel, 20, sedang menunggang basikal pada pukul 5 petang Selasa (5 pagi semalam waktu Malaysia) sebelum dia dilanggar sebuah trak di kawasan itu.

Polis semalam memberitahu, satu siasatan terperinci sedang dilakukan bagi menyiasat serta mengenal pasti pemandu trak berkenaan. - AP

Utusan
30 Sep 2010

September 29, 2010

Bapa sangsi kematian anak

KOTA BHARU – Kematian seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong, Negeri Sembilan menimbulkan kesangsian kepada keluarganya malahan mereka percaya kematian tersebut mempunyai unsur jenayah.

Bapa mangsa, Rosli Mahmud,53, berkata, kematian Muhammad Aizuddin,20, sangat mengelirukan mereka sekeluarga kerana ia terjadi selepas sehari anak keempat daripada enam beradik itu menerima ugutan daripada keluarga kawan perempuannya.

“Sebelum anak saya dimaklumkan terlibat dengan kemalangan di Perhentian Bas Putera, Kuala Lumpur pada pagi kelmarin, sehari sebelum itu ada tiga buah kereta datang ke rumah kami dan memberi ugutan akan mengapa-apakan anak lelaki saya,’’ katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Kalong, Kok Lanas, di sini.

Beliau berkata, selepas mendapat ugutan tersebut beliau membuat aduan polis di Balai Polis Kok Lanas sehinggalah mereka sekeluarga dikejutkan tentang kematian Aizuddin pada keesokan paginya.

Menurut kakak Aizuddin, Siti Nurul Idayu, 25, kejadian tersebut berlaku ketika adiknya tiba di perhentian bas tersebut setelah pulang bercuti di rumah mereka di Kelantan.

“Pada pagi itu saya mendapat panggilan telefon daripada keluarga di kampung yang menyatakan adik dibawa ke Hospital Kuala Lumpur kerana terlibat dengan kemalangan,” katanya yang tinggal di Klang, Selangor.

Beliau berkata, apabila sampai di sana, dia mendapati bahagian muka adiknya cedera teruk sehingga sukar untuk dicam tetapi yang mengejutkan ialah bahagian badan adiknya langsung tidak mempunyai calar ataupun luka.

Siti Nurul Idayu berkata, keadaan adiknya itu dilihat seperti bukan terlibat dengan kemalangan pun.

Menurutnya, bedah siasat telah dijalankan dan semua urusan berkaitan dengan perkara tersebut mereka serahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya selepas membuat aduan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

“Kami sekeluarga berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan berhubung kejadian ini dan berharap kebenaran akan berpihak kepada adik saya,’’ katanya.

Sinar Harian
29 Sep 2010

Trauma makan coklat ‘perisa’ ulat


KULAIJAYA – Peristiwa termakan coklat berjenama yang berulat setelah dibeli daripada salah sebuah pasar raya besar di Felda Taib Andak di sini, membuatkan sebuah keluarga di Felda Taib Andak, di sini, trauma.

Surirumah, Zarith Syakila Adam, 27, berkata, dia dan keluarganya mengalami sakit perut dan muntah-muntah selepas termakan coklat berkenaan yang dibeli kira-kira dua minggu lalu.

“Pada mulanya saya tidak perasan coklat berkenaan telah rosak, kemudian anak saya mula muntah-muntah dan adik-beradik yang lain mengalami sakit perut.

“Selepas itu barulah saya nampak coklat berkenaan telah dipenuhi kumbang dan berulat,” katanya ketika ditemui.

Zarith yang hairan dengan situasi berkenaan, tertanya-tanya bagaimana situasi tersebut boleh berlaku sedangkan tarikh luput coklat yang dibelinya adalah pada 30 November tahun ini.

“Masa beli coklat berkenaan, saya memang ada melihat tarikh luputnya iaitu kira-kira tiga bulan lagi dari tarikh dibeli tetapi tidak sangka pula di dalamnya sudah berkulat dan tidak boleh dimakan.

“Sejak peristiwa ini, kami sekeluarga sudah trauma dan tidak mahu membeli coklat secara sembarangan di pasar raya,” katanya.

Sinar Harian
29 Sep 2010

Cari adik terpisah 10 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang abang meminta bantuan orang ramai untuk mengesan adik perempuannya yang hilang sejak 10 tahun lalu.

Datu Johor Datu Bakial, 40, berkata adiknya Dayang Suhana (gambar), 28, datang ke ibu kota pada tahun 2000 dan bekerja sebagai pekerja kilang di Taman Melawati, di sini ketika masih berusia 18 tahun sebelum gagal dikesan hingga kini.

“Selepas datang ke ibu kota, adik saya menghilangkan diri tanpa memberitahu di mana dia berada,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Suhana boleh menghubungi di talian 014-6537596 atau 013-5594257.

myMetro
29 Sep 2010