July 31, 2010

Dua beradik dibebas

KUCHING: Dua beradik perempuan warga Indonesia, iaitu suspek terakhir ditahan polis bagi membantu siasatan sindiket jual bayi di sini, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Pendaftar Mahkamah Dayang Roselind Awang Mahdini membebaskan kedua-dua gadis berusia 22 dan 19 tahun itu pagi semalam selepas tempoh reman mereka tamat.

Kedua-dua mereka ditahan pada 16 Julai lalu di sebuah rumah di Batu Kawa dan polis turut menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun. Dipercayai rumah itu adalah pusat transit sebelum bayi dijual.

Seramai 17 orang termasuk seorang ahli perniagaan berusia 65 tahun bergelar ‘Datuk’ dan isterinya, 43, ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis secara berperingkat sejak 22 Julai.

Semua mereka juga tidak didakwa. - Bernama

31 Jul 2010

Mayat belum dikenal pasti

SEREMBAN: Identiti mayat wanita ditemui hampir reput dalam bungkusan plastik hitam di sebuah ladang getah di Kampung Pasir Panjang di sini, Jumaat lalu sehingga kini masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, berkata beberapa individu kehilangan saudara mara mereka sudah tampil untuk membuat pengecaman mayat.

“Ada di antara mereka yang memberikan DNA bagi mengenal pasti mayat wanita hampir reput itu dan polis masih berusaha mendapatkan identiti mayat itu untuk membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan pada masa sama meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil bagi menyalurkan maklumat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, seorang penoreh getah menemui mayat wanita berkenaan ketika keluar menoreh getah di kebunnya sebelum menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Ketika ditemui, mayat wanita itu berada dalam plastik dalam keadaan terbaring di bawah pokok dengan berpakaian lengkap manakala kakinya terjulur keluar serta dihurung lalat.

Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mereka mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian Hotline 06-6462999 atau balai polis berdekatan.

myMetro
31 Jul 2010

JKM minta waris tampil tuntut Ain

SELAYANG: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Gombak meminta ibu kandung atau waris kepada kanak-kanak yang dikenali sebagai Ain Ayie, tujuh bulan, datang menuntut kembali bayi berkenaan yang ditinggalkan sejak enam bulan lalu kepada seorang pengasuh.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM Gombak, Norlailati Mahsanah Mohamed, berkata kanak-kanak itu sehingga kini ditempatkan di institusi JKM bagi perintah perlindungan sementara di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 sehinggalah keluarganya datang menuntut.

Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak atau warisnya boleh menghubungi Norlailati di talian 03-61857931 dari Pejabat JKM Daerah Gombak.

myMetro
31 Jul 2010

Rumah bagai reban

KOTA KINABALU: Akibat dihimpit kemiskinan, seorang ibu tunggal dan tiga anaknya di Kampung Pilajau, Beaufort hanya mampu berteduh di dalam pondok yang sebenarnya layak digelar reban ayam.

Siti Midah Junaidi, 47, terpaksa mengutip sisa kayu dan papan lapis yang tidak digunakan untuk membina tempat berlindung dan tidur bersama tiga anak berusia sembilan, 11 dan 13 tahun sejak 10 tahun lalu.

Lebih menyedihkan, keadaan rumahnya yang daif dan tidak mempunyai bekalan elektrik dan air menyukarkan ibu tunggal terbabit menguruskan keperluan harian tiga anaknya yang masih bersekolah.

Midah yang juga seorang petani, berkata dia tidak mampu membina rumah berikutan tidak mempunyai pekerjaan tetap selain sumber kewangan tidak menentu.

“Selain bertani, saya juga mengambil upah membantu orang kampung dan duit inilah membolehkan saya membesarkan semua anak sejak ditinggalkan suami setahun lalu.

“Hanya ini yang mampu saya lakukan untuk menyara tiga anak saya yang masih bersekolah dan bersyukur dapat meneruskan hidup walaupun dalam serba kekurangan,” katanya.

Menurutnya, walaupun dia sekeluarga tidak pernah berasa selesa menetap di rumah jauh daripada sempurna itu, namun dia masih bersyukur dengan apa yang diperolehi.

“Walaupun ada kalanya kami tiga beranak tidur dalam keadaan basah akibat atap bocor ketika hujan, namun saya tetap bersyukur ada tempat berteduh.

“Bagaimanapun apa yang membimbangkan saya adalah keadaan anak-anak saya ketika malam kerana tiada lampu untuk mereka mengulang kaji pelajaran dan hanya menggunakan pelita sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, keperitan hidup mereka sekeluarga akhirnya mendapat perhatian Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Klias dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah apabila menerima sumbangan memperbaiki rumah sebanyak RM9,948.

Sumbangan disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun yang mengunjungi rumah ibu tunggal itu, semalam.

Azizah berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban dihadapi Midah selain memberi keselesaan kepada tiga orang anaknya supaya dapat mengulangkaji pelajaran dengan lebih baik.

myMetro
31 Jul 2010

Noraisyah lari ikut Ning

KOTA BHARU: Seorang wanita melarikan diri dari rumah keluarga angkatnya di Batu 11, Ketereh, di sini, dipercayai mengikut seorang rakan dikenali sebagai Ning ke Kuala Lumpur sejak 3 Julai lalu.

Ibu angkatnya, Lawiyah Mohd Rosul, 56 berkata, Noraisyah Ahmad, 25, yang dijaga sejak usia tiga tahun disedari hilang kira-kira jam 5 petang dan dia diberitahu oleh menantunya mengenai perkara itu ketika membeli barangan keperluan rumah di bandar ini.

Katanya, sebaik mendapat tahu, dia terus bergegas ke rumah untuk mengetahui perkara sebenar daripada menantunya itu.

“Sebelum itu, saya berada di bandar untuk membeli barang sebelum dikejutkan dengan panggilan daripada menantu sulung, Nik Nor Diana Osman, 28, yang memberitahu kejadian itu.

“Saya mengesyaki kehilangannya ada kaitan dengan seorang individu dikenali sebagai Ning kerana sebelum ini dia pernah menceritakan perihal wanita terbabit,” katanya.

Menurutnya, Noraisyah memberitahunya Ning bersedia menjadi ‘orang tengah’ kepadanya apabila ada seorang lelaki berusia 50-an meminatinya.

myMetro
31 Jul 2010

Pengasuh jadi ibu

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mencari ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang ditinggalkan di bawah jagaannya ketika berusia tiga bulan.

Ibu kandung kanak-kanak berkenaan yang dikenali Nurul Najwa Mohd Salleh meninggalkan anaknya, Benjamin Harris Fansuri untuk dijaga sementara oleh seorang pengasuh, Bibi Shafizah Abu Bakar, 29, pada Mac 2006 ketika kanak-kanak itu masih bayi dan berjanji mengambil semula beberapa bulan kemudian selepas menyelesaikan masalah peribadi.

Namun, Nurul Najwa datang menjenguk kanak-kanak terbabit setahun kemudian, bagaimanapun kelibatnya tidak lagi kelihatan selepas itu sehinggalah Bibi Shafizah dan suaminya, Herrin Hashim, 31, menjaga anak berkenaan sehingga besar dan menganggap Benjamin ibarat anak kandung mereka.

Menurut Bibi Shafizah, Nurul Najwa menghantar anaknya itu ke rumah ibunya di Bandar Baru Sentul, di sini, selepas melihat iklan mengasuh kanak-kanak dan pada masa itu mereka memang menyediakan perkhidmatan mengasuh dan menjaga anak kecil.

Katanya, Nurul Najwa yang bekerja sebagai seorang operator di sebuah syarikat telekomunikasi ketika itu pada mulanya menghantar anaknya itu seperti biasa yang mana pada sebelah pagi dia menghantar dan pada waktu petang dia akan datang mengambil anaknya semula tetapi selepas tiga bulan keadaan berubah dan dia terus menghilangkan diri.

“Pada waktu itu, Najwa hanya meninggalkan sijil kelahiran Benjamin yang tidak lengkap tanpa nama bapa,” katanya.

Bibi Shafizah dan suaminya yang kini menetap di Gombak berharap ibu kandung Benjamin akan datang untuk melihatnya dan tidak kisah sekiranya dia tidak mahu menjaga Benjamin kerana mereka bercadang untuk menjadikan kanak-kanak itu sebagai anak angkat.

myMetro
31 Jul 2010

Hasrat derma darah akhirnya terlaksana

KUALA LUMPUR: “Sudah lama saya menyimpan hasrat ini tetapi disebabkan kekangan masa ia sering tidak kesampaian. Pada mulanya rasa gementar dan takut tetapi syukur tiada apa yang berlaku,” kata pengawal keselamatan, Muhamad Rozaidi Abdul Razak.

Muhamad Rozaidi, 29, yang pertama kali menderma darah berkata, pengalaman dialami nyata tidak sama dengan apa yang didengar daripada masyarakat sekeliling kononnya menderma darah memberi pelbagai kesan negatif kepada penderma.

“Persepsi masyarakat terhadap aktiviti menderma darah perlu diubah kerana ia menjadi faktor utama mengapa masih terdapat segelintir masyarakat yang enggan menderma,” katanya yang ditemui pada Kempen Derma Darah dan Pameran Kesihatan anjuran Masjid Negara, di sini, semalam.

Bagi, suri rumah, Juliyana Mohd Yasin, 34, masyarakat seharusnya peka dengan keadaan Pusat Darah Negara yang sentiasa berusaha mencari lebih ramai penderma bagi menambah jumlah tabung darahnya.

Katanya, masyarakat sendiri perlu merasai pengalaman menderma darah kerana secara tidak langsung ia dapat memupuk rasa sayang di antara satu sama lain.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara, Azri Zainal Abidin, berkata program berkenaan dianjurkan bagi memberi maklumat dan pendidikan berguna mengenai kesihatan kepada pengunjung.

myMetro
31 Jul 2010

Sambung penjara 12 tahun lagi

MELAKA: Seorang banduan warga Indonesia yang kini menjalani hukuman penjara 11 tahun kerana kesalahan pecah rumah dan curi, merompak dan imigresen sebelum ini terpaksa meringkok lebih lama apabila dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Pamuji Setiono, 44, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Muzila Mohamed Arsad selepas mengaku bersalah terhadap tiga kesalahan pecah rumah dan curi di sekitar Jasin dan Melaka Tengah.

Pamuji yang ditangkap semula pada 25 Mei lalu selepas kesan cap jari pada tingkap kaca tingkap rumah mangsa berjaya ditimbulkan kemudian dihantar ke Pejabat Pendaftaran Penjenayah sebelum disahkan adalah miliknya.

Berdasarkan kes pertama, dia didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri wang tunai RM10, telefon bimbit dan dokumen seperti lesen memandu, kad kredit Bank Bumiputera dan Buku Simpanan Nasional, kesemuanya bernilai RM110 milik Razak Jalil, 40, antara jam 11.45 malam 5 Februari 1999 hingga 5 pagi keesokan harinya di No 184-1, Batu 4 Bertam Malim, Tanjong Minyak.

Bagi kesalahan kedua, Pamuji dituduh memecah masuk rumah milik Mohammad Abu Bakar, 60, dan mencuri wang tunai RM500 antara jam 10.30 malam pada 9 Oktober 2009 hingga jam 4.15 pagi pada 10 Oktober 1999 jam 4.15 pagi di Kampung Pengkalan Lanjut, Tanjung Kling.

Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan., jika disabitkan boleh dipenjara hingga 14 tahun dan denda.

myMetro
31 Jul 2010

Kilang memproses makanan laut di Kampung Peramu hampir musnah terbakar

KUANTAN: Sebuah kilang memproses makanan laut hampir musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Peramu di sini hari ini.

Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Balai Kuantan Zulfahmi Sutaji berkata, empat jentera bersama 40 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.57 pagi.

"Sampai di lokasi, api telah mula merebak. Bagaimanapun bomba berjaya mengawal kebakaran dengan mengambil masa kira-kira satu setengah jam. "Kilang itu mempunyai 149 pekerja dan kesemua mereka selamat," katanya kepada pemberita di sini.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-Bernama

31 Jul 2010

Stor pusat hiburan Jalan P Ramlee musnah

HANGUS...stor di Jalan P Ramlee yang terbakar, malam kelmarin.

KUALA LUMPUR: Sebuah stor dipercayai milik sebuah pusat hiburan di Jalan P Ramlee di sini, terbakar malam kelmarin.

Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Mahinder Singh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.30 malam sebelum menghantar lapan jentera ke tempat kejadian dengan 49 anggota termasuk pegawai.

“Sejurus tiba, api marak dan kami (bomba) berusaha mengawal kebakaran dari merebak ke bangunan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, operasi memadamkan kebakaran itu dibantu jentera dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Pudu, Chow Kit dan Jalan Jelatek selain dari Jalan Hang Tuah.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 25 minit untuk memadamkan kebakaran itu.

“Kejadian dikawal sepenuhnya jam 10.40 malam dan punca termasuk jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

myMetro
31 Jul 2010

Syarat baru van sekolah elak kes rogol

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan diminta mengenakan syarat baru supaya setiap bas dan van sekolah mempunyai dua pemandu atau seorang konduktor yang sewajarnya diisi golongan wanita bagi membendung kejadian rogol dan cabul terhadap pelajar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata ini penting bagi melindungi kebajikan kanak-kanak seperti yang termaktub dalam Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001.

“Saya akui kes jenayah terhadap kanak-kanak dan pelajar sekolah kian meningkat dan senario itu amat membimbangkan.

“Sebelum kes seumpamanya terus berleluasa, lebih baik langkah pencegahan diambil dan keselamatan kanak-kanak terjamin,” katanya selepas melancarkan pameran ‘Clove Femmecity: Streets Ahead for Women 2010' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Berita Harian
31 Jul 2010

Tangisan kesejukan


NIBONG TEBAL: “Saya sangkakan bunyi anak anjing yang dibuang, tetapi apabila memeriksa bungkusan plastik ini saya terkejut mendapati ia tangisan seorang bayi perempuan yang kesejukan,” kata pekedai, Ng Song Huat, 39.

Lelaki berkenaan yang tinggal di tingkat satu bangunan rumah kedai itu kebetulan keluar untuk membeli makanan sebelum menemui bungkusan mengandungi bayi yang masih bernyawa itu.

Beliau yang tergamam kemudian memanggil isterinya dan memberi bantuan awal dengan membalut bayi itu dengan kain bagi mengelak kesejukan.

“Ketika ditemui, bayi ini dibaluti kain lampin dan kertas surat khabar serta diletakkan dalam beg plastik sebelum saya mengambilnya dan terus membalut dengan kain tebal kerana dia kesejukan.

“Nasib baik saya jumpa lebih awal kerana jika lewat mungkin bayi ini dimakan binatang liar kerana banyak anjing berkeliaran di sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau kesal dengan tindakan ibu bapa bayi terbabit yang tidak bertanggungjawab dengan meninggalkannya di tepi kaki lima kedainya.
“Saya akan melawat bayi itu selalu selain berniat mengambilnya sebagai anak angkat jika diberi peluang,” katanya.

COMEL...bayi perempuan yang ditinggalkan di depan kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, bayi itu ditemui di kaki lima kedai berkenaan dan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui seorang lelaki.

“Bayi perempuan seberat 2.58 kilogram ini dipercayai dilahirkan di tempat lain dan dibersihkan sebelum ditinggalkan di tempat kejadian.

“Bayi malang itu yang belum dikenal pasti keturunannya dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan sihat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan setakat ini polis tidak mendapat sebarang maklumat mengenai kelahiran bayi itu.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu dan mana-mana klinik serta hospital yang merawat wanita baru bersalin dalam keadaan mencurigakan supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.

myMetro
31 Jul 2010


Buang bayi: Polis awasi hospital, klinik

NIBONG TEBAL 1 Ogos - Polis kini meningkatkan pengawasan di semua klinik dan hospital sekitar Seberang Perai dalam usaha memburu individu yang meninggalkan seorang bayi perempuan di kaki lima sebuah bangunan rumah kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, beberapa anggota polis turut ditempatkan di kawasan berkenaan selain mendapat kerjasama daripada pihak hospital dan klinik di sekitar daerah ini.

"Kita juga akan membuat pemerhatian sekiranya ada individu yang melawat bayi berkenaan atau pihak yang mungkin boleh menyalurkan maklumat berhubung kes tersebut," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Kepimpinan Kesedaran Jenayah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.56 pagi semalam, seorang peniaga menemui bayi perempuan yang baru lahir dalam keadaan berbalut plastik dan surat khabar ditinggalkan di hadapan rumah kedai itu.

Peniaga tersebut sebelum itu terdengar tangisan bayi berkenaan yang masih bertali pusat dan mukanya kebiruan akibat kesejukan. Tiada objek atau sebarang nota ditinggalkan bersama-sama bayi itu.

Shafien berkata, bayi seberat 2.58 kilogram itu masih ditempatkan di Hospital Sungai Bakap untuk pemerhatian dan dilaporkan sihat walaupun mengalami kesejukan ketika ditemui pagi semalam.

Menurut beliau, bayi itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh terdekat sebaik sahaja siasatan mengenainya selesai dijalankan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 04-5754444 atau balai-balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Utusan
2 Ogos 2010

Keluarga Petani Disamun Perompak Ganas

POKOK SENA: Tiga beranak yang sedang nyenak tidur disamun oleh sekumpulan perompak yang dipercayai warga Indonesia di rumah mereka di Kampung Lanjut dekat sini awal pagi tadi.

Keluarga petani ini dirompak wang tunai kira-kira RM2,000, barang kemas, kad pengenalan dan pasport antarabangsa sementara selaras senapang patah mereka turut dilarikan dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu.

Perompak dipercayai memasuki rumah itu menerusi tingkap.

Mislimah Yusof, 37, dan suaminya Che Mee Abu, 58, turut dipukul dengan pemotong besi pada badan, kepala serta muka manakala anak bongsu mereka Shafinah, 6, tidak diapa-apakan.

"Ketika kejadian kami sedang tidur di tingkat atas dan terjaga apabila terdengar bunyi pintu bilik kami ditendang dengan kuat.

"Suami saya cuba mengambil senapang patah yang diletakkan di tepi dinding bilik, tetapi perompak sempat merampas senapang itu dan memukul kepala suaminya dengan pemotong besi.

"Saya menjerit meminta tolong, tetapi kepala saya juga dihentak dengan pemotong besi sehingga berdarah," kata Mislimah.

Beliau berkata, kumpulan perompak itu kemudiannya mendesak mereka supaya menunjukkan tempat mereka menyimpan barang-barang berharga.

Tetapi apabila diberitahu mereka tidak memiliki barang berharga, perompak memukul mereka beberapa kali.

"Kami diarah turun ke tingkat bawah dan semasa menuruni tangga, saya ditendang dari belakang menyebabkan saya terjatuh dan tangan kanan saya turut dipukul dengan besi menyebabkan tulang tangan saya retak dan bengkak.

"Semasa di tingkat bawah, tangan dan kaki saya dan suami saya diikat pula dengan dawai," kata Mislimah.

Katanya, seorang lagi perompak dilihat berada di luar rumah seolah-olah sedang mengawal keadaan.

"Berdasarkan percakapan mereka, saya syak mereka orang Indonesia. Mereka memakai topeng muka dengan salah seorangnya mempunyai pisau pemotong sayur selain masing-masing memegang pemotong besi," katanya.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pokok yang disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab. - BERNAMA

31 Jul 2010


Penyamun ugut larikan anak

POKOK SENA: “Saya jadi lemah dan tidak mampu melawan apabila seorang daripada penjenayah itu mengugut akan melarikan anak perempuan saya berusia enam tahun,” kata Che Me Abu, 58, mangsa samun di Kampung Lanjut, Mukim Jabi, di sini, awal pagi semalam.

Che Me yang juga petani menerima lima jahitan di kepala akibat dipukul dengan pemotong besi oleh seorang penyamun, dipercayai warga Indonesia, selain cedera di muka akibat ditumbuk.

Isterinya pula cedera di mulut dan lengan kanan akibat ditumbuk, ditendang dan dipukul dengan besi oleh penjenayah terbabit yang turut melarikan selaras senapang patah milik Che Me serta wang tunai lebih RM2,000 dan sejumlah barang kemas.

Beliau berkata, tiga daripada penjenayah itu dipercayai memasuki rumahnya dengan mengumpil tingkap di tingkat bawah rumahnya manakala seorang lagi berkawal di luar.

“Mereka tiba-tiba menyerbu masuk ke dalam bilik dan belum sempat saya mencapai senapang patah yang diletak di tepi katil, seorang daripada mereka bertindak pantas memijak dada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Che Me berkata, cubaannya melawan terbantut apabila seorang penjenayah memegang anaknya dan mengugut melarikan kanak-kanak itu jika dia melawan.

myMetro
1 Ogos 2010

Penuntut UiTM Machang lemas

BESUT – Perkelahan sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang, Kelantan, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas ketika sedang mandi di kawasan perkelahan Air Terjun Lata Tembakah, Hulu Besut, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Mohamad Shah Akhmal Khali, 19, penuntut tahun dua UiTM itu dikatakan berada atas batu, sebelum tergelincir dan terjatuh ke sungai.

Rakan mangsa, Mohd Hasif Mohd Yahya, 19, berkata, pada awalnya mangsa berjalan melalui air cetek pergi ke batu berhampiran air terjun tingkat dua pusat perkelahan itu sebelum tergelincir dan menggelongsor jatuh ke dalam sungai.

Menurutnya, tangan mangsa kelihatan terkapai-kapai selama beberapa saat sebelum tenggelam dan ketika itu dua rakannya yang lain terjun untuk menyelamatkannya, namun gagal kerana arus sungai deras, manakala mangsa pula sempat menarik badan dua rakannya.

“Mangsa yang tidak pandai menyelam timbul sekejap saja di permukaan air kemudian terus tenggelam, manakala Ahmad Fuad Yusof Ros, 19, dan Abdul Mukhiriz Che Mat, 19, yang cuba menyelamatkannya gagal membantu,” katanya.

Mohd Hasif berkata, mereka cuba mendapatkan bantuan penduduk kampung yang kebetulan berada di situ dan kemudiannya menyelam mencari mangsa.

Katanya, kira-kira 15 minit kemudian mangsa ditemui tidak jauh dari tempat dia jatuh dan tenggelam.

Menurutnya, dia yang mengenali mangsa sejak tahun satu tinggal sebilik dengan mangsa di asrama UiTM itu, malah dia turut membonceng mangsa menaiki motosikalnya untuk ke air terjun itu sebelum kejadian.

“Kami datang 14 orang, termasuk mangsa menaiki tujuh motosikal dan saya membonceng mangsa.

“Sejak seminggu lalu mangsa sudah menunjukkan perubahan ketara apabila dia tiba-tiba menjadi seorang periang, suka berjenaka dan bergurau senda sedangkan sebelum ini dia agak pendiam,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Besut, semalam.

Mohd Hasif berkata, mangsa baru pertama kali datang berkelah di Air Terjun Lata Tembakah dan dia beria-ria untuk ke sini dan tidak sangka semalam juga adalah hari terakhirnya.

Mayat Mohamad Shah, penuntut jurusan perbankan berasal dari Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu punca kematian mangsa adalah akibat lemas serta tidak ada unsur jenayah.

Sinar Harian
1 Ogos 2010

Ketua Cawangan MCA Changkat Keruing Mati Dibunuh

LUMUT: Ketua Cawangan MCA Changkat Keruing ditemui mati, dipercayai dibunuh dalam perigi di sebuah ladang ternakan ayam di Changkat Keruing, Ayer Tawar dekat sini pada Sabtu.

Mayat Lim Ping Peng, 49, ditemui pada kira-kira pukul 6 pagi ini oleh anggota keluarga dan pasukan Rela yang mencarinya selepas dia tidak pulang ke rumah sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman berkata Lim sebelum itu keluar dari rumah untuk ke ladang ternakan ayam miliknya di Changkat Keruing yang terletak tidak jauh dari rumahnya pada pukul 8 pagi semalam.

"Mangsa yang baru lima hari dilantik sebagai anggota Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagaimanapun tidak pulang ke rumah seperti biasa sebelum ahli keluarga bertindak membuat laporan polis semalam.

"Selain melaporkan kejadian itu kepada polis, mereka (anggota keluarga mangsa) turut berusaha mengesan mangsa di ladang ternakan ayam itu," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Mohd Jamil berkata mayat Lim ditemui dalam keadaan kepala di bawah dan kaki ke atas dalam perigi yang mempunyai kedalaman lima meter itu, dan polis percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam perigi itu.

Beliau berkata dua pekerja ladang ternakan ayam itu yang merupakan rakyat Myanmar tidak dapat dikesan dan siasatan awal polis juga mendapati kereta pacuan empat roda milik Lim juga hilang.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang mengesan kedua-dua pekerja ladang ayam yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, katanya.

Mayat Lim dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat.

Isteri mangsa Ling Mooi Kooi, 47, berkata kira-kira seminggu lepas, dua rakyat Myanmar datang berjumpa suaminya untuk meminjam wang sebanyak RM2,000 tetapi suaminya hanya bersetuju memberikan RM500 dan beliau tidak tahu sama ada wang itu telah diberikan atau tidak.

Beliau berkata apabila suaminya tidak pulang selepas pukul 6 petang semalam dan cubaan untuk menghubunginya melalui telefon bimbit juga gagal, beliau meminta bantuan anggota keluarga dan pasukan Rela untuk mencari Lim.

"Mayat suami saya ditemui apabila seorang daripada kumpulan mencari ternampak kaki suami saya terkeluar sedikit daripada perigi itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - BERNAMA

31 Jul 2010


Dihumban ke dalam perigi selepas dibunuh

MAYAT Ting Peng yang ditemui mati setelah dihumban ke dalam perigi yang terletak di dalam ladang ternakan ayam dan itik miliknya di Changkat Kruing, Beruas semalam.

BERUAS - Kecelakaan menimpa Lim Ting Peng, 49, yang ditemui mati selepas lima hari dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Dia dipercayai dibunuh oleh pekerja warga asing yang digajinya di sebuah ladang ternakan ayam dan itik miliknya di Changkat Kruing dekat sini semalam.

Mangsa yang didapati hilang oleh keluarga sejak lewat petang kelmarin ditemui terapung di dalam sebuah perigi di ladang ternakan itu oleh pasukan pencari terdiri daripada polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kira-kira pukul 8 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, kejadian itu disyaki bermotifkan pembunuhan kerana dua pekerja warga negara Myanmar yang baru bekerja di ladang itu sejak setengah bulan lalu menghilangkan diri.

Katanya, polis juga mengesan beberapa tompok darah dipercayai milik Ting Peng di sekitar kawasan pondok di ladang ternakan terbabit.

Beliau berkata, mangsa dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam di kepala sebelum dihumbankan ke dalam perigi.

"Sebuah kereta Nissan Fortuna milik mangsa turut hilang dipercayai dilarikan oleh dua pekerja ladang ternakan itu.

"Bagaimanapun setakat ini motif kejadian sedang disiasat dan gerakan mencari warga asing terbabit sedang dijalankan," katanya.

Kosmo Online
1 Ogos 2010


Ahli majlis mati dihentak benda keras

Ling Mooi Kooi (kiri) hadir bersama anaknya, Tommy Lim di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menuntut mayat Lim Ting Peng di Ipoh, semalam.

IPOH 1 Ogos - Hasil bedah siasat terhadap mayat Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Lim Ting Peng yang dibunuh dan mayatnya ditemui di dalam perigi semalam mendapati, kematian mangsa disebabkan oleh hentakan benda keras di belakang kepalanya.

Malah, pihak polis yang melakukan siasatan kes pembunuhan kejam ke atas Ketua MCA cawangan Changkat Keruing itu turut menemui batang tukul besi di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, doktor yang menjalankan bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa itu.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan batang tukul besi yang ditemui itu digunakan dalam pembunuhan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Ting Peng, 49, ditemui mati dibunuh di dalam perigi di ladang ternakan ayam miliknya di Kampung Baru Changkat Keruing, Manjung.

Mayat mangsa ditemui anak lelakinya, Tommy Lim, 18, yang turut serta dalam operasi mencari bapanya yang hilang.

Sebelum itu, mangsa yang memandu sendirian keluar dari rumah kira-kira pukul 5 petang kelmarin untuk bertemu dengan dua pekerja warga Myanmar di ladang ternakan ayam tersebut.

Sementara itu, Mohd. Jamil berkata, kenderaan mangsa iaitu Nissan Frontier telah ditemui kira-kira pukul 9 pagi ini di Sungai Batu, Pantai Remis kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian.

"Hasil pemeriksaan polis, kita menemui sebuah telefon bimbit, dipercayai milik salah seorang pekerja mangsa yang sehingga kini menghilangkan diri.

"Kita dapati beberapa panggilan telah dibuat oleh pemilik telefon itu di sekitar kawasan Pantai Remis," ujar beliau.

Pihak polis juga, katanya, menemui beberapa kesan cap jari tetapi belum dapat disahkan pemiliknya di dalam kenderaan mangsa.

Sehingga kini, Mohd. Jamil berkata, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan tersebut dan usaha untuk menjejaki kedua-dua pekerja mangsa bagi membantu siasatan giat dijalankan.

Utusan
1 Ogos 2010


Kereta mangsa bunuh ditemui

IPOH: Kereta milik Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang mati dibunuh dengan mayatnya dicampakkan ke dalam telaga di ladang ternakan ayam dalam kawasan kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Baru Changkat Keruing di Manjung kelmarin, ditemui pagi semalam di Sungai Batu, Pantai Remis kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian.

Turut ditemui dalam kereta mendiang Lim Teng Peng, 49, ialah sebuah telefon bimbit dipercayai milik seorang daripada dua pekerja mangsa dari Myanmar yang masih gagal dikesan sejak kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman, berkata hasil penemuan itu, usaha mengesan kedua-dua warga Myanmar berkenaan kini diperluaskan bagi membantu siasatan.

myMetro
2 Ogos 2010


Pesanan mendiang sebagai perangsang

CHANGKAT KERUING - Kehidupan mesti diteruskan walaupun dugaan datang melanda”, begitulah nasihat yang sering dipesan oleh mendiang ketua cawangan MCA Kampung Changkat Keruing, Ayer Tawar, Lim Ting Peng yang dijumpai dibunuh Sabtu lalu kepada isterinya, Lim Mooi Kooi.

Mooi Kooi juga berkata, kini nasihat mendiang suaminya itu menjadi kata-kata perangsang untuk dirinya dan keluarga meneruskan kehidupan mereka.

Menurutnya, kini, dia mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga bagi memastikan ketiga-tiga anaknya berjaya dalam pelajaran yang menjadi harapan mendiang suaminya.

“Malah ketiga-tiga anak kami masih menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini semalam.

Moi Kooi berkata, mendiang suaminya itu adalah seorang yang mementingkan keluarga dan tidak pernah memarahi anak-anaknya sebaliknya menasihati mereka.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kematian mendiang adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat setempat dan juga Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Beliau berkata, mendiang telah menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis dengan cemerlang dan efisien dalam membangunkan kawasan seliaannya di Changkat Keruing.

“Beliau telah banyak menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk. Diharap keluarga mendiang dapat menerima kejadian ini sebagai takdir dan bersabar dengan dugaan besar ini.

“Saya berharap pihak polis dapat menyiasat kes ini dari pelbagai sudut hingga tertangkapnya suspek,” katanya.

Beliau turut memberikan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada keluarga mendiang selepas menziarahi keluarga itu.

Sinar Harian
4 Ogos 2010


Fotofit warga Myanmar

SERI MANJUNG – Polis Daerah Manjung terus mencari dua lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan kes bunuh Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Lim Ting Peng, 49, yang ditemui dalam perigi tidak jauh dari ladang ternakan ayam di Changkat Keruing, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, menerusi hasil maklumat daripada siasatan, pihak polis berjaya membuat fotofit suspek yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

Menurutnya, fotofit yang berjaya dibuat itu adalah kedua-dua lelaki warganegara Myanmar yang dipercayai pekerja ladang ternakan ayam Ong Lai milik mangsa.

“Kedua-dua suspek ini mempunyai ciri seperti ketinggian sederhana, berkulit sawo matang dan berambut pendek,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian: di sini, semalam.

Mohd Jamil berkata, pihak polis telah menahan tiga lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan.

“Tiga lelaki warga Myanmar ditahan Isnin lalu manakala lelaki tempatan ditahan kelmarin di Pantai Remis dan soal siasat masih diteruskan.

Katanya, pihaknya masih mencari dua suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu dan maklumat orang awam diperlukan bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

“Oleh yang demikian, orang awam mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek boleh menghubungi Ketua Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin di talian 05- 6899222 sambungan 9091.

“Pihak polis akan memberikan kerjasama penuh kepada orang awam yang membuat laporan terhadap aktiviti yang mencurigakan sekitar Manjung,” katanya.

Sinar Harian
5 Ogos 2010

2 di Sarawak maut kes Leptospirosis Sarawak

KUCHING: Selepas Lubuk Yu, Maran di Pahang, kes jangkitan Leptospirosis dikhuatiri tersebar di Sarawak dengan dua penduduk di Lubok Antu dan Sri Aman, dekat sini mati selepas disahkan dijangkiti bakteria itu.

Seorang lagi mangsa, iaitu lelaki berusia 46 tahun berasal dari Bakun dilaporkan kritikal dan dirawat di Hospital Miri sejak bulan lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata setakat ini 36 kes disyaki jangkitan Leptospirosis dilaporkan dengan tiga disahkan positif serta dua kematian.

“Bakteria Leptospirae disahkan ditemui pada haiwan seperti anak lembu, babi, kuda, anjing serta haiwan liar dan merebak ke-pada penduduk yang berhubung secara terus secara tidak sengaja atau disebabkan tugas,” katanya di sini, semalam.

Dr Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri berkata, setakat ini Bintulu mencatat 14 kes jangkitan dipercayai Leptospirosis, manakala Sibu merekodkan lapan kes dan Miri sebanyak empat kes.

“Kita juga mengesan tiga kes masing-masing di Kuching dan Kapit; dua kes masing-masing di Saratok dan Sarikei, manakala masing-masing satu kes di Sri Aman dan Lubok Antu.

“Bagaimanapun, setakat ini hanya tiga kes disahkan positif,” katanya.

Difahamkan, kakitangan Jabatan Kesihatan negeri (JKN) Sarawak sudah digerakkan ke kawasan terbabit bagi melakukan ujian lanjut serta memastikan wabak terbabit tidak merebak kepada penduduk lain melalui laluan air.

Di KUANTAN, kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas mengkaji ancaman bakteria Meliodosis dan Leptospirosis yang dipercayai wujud dalam tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang, Datuk Hoh Khai Mun, berkata pasukan itu akan disertai seorang doktor yang pakar bakteria Meliodosis dan Leptospirosis dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Berita Harian
31 Jul 2010

Waspada diberi wang renyuk

ALOR SETAR- Peniaga pasar malam di bandar raya ini kini dibelenggu dengan masalah sering menerima wang palsu daripada pelanggan yang berusia antara lingkungan 17 hingga 20 tahun.

Peniaga dadih, Sulaiman Ishak, 57, berkata, dia menyedari menerima wang palsu RM10 itu sewaktu sedang mengira keuntungan selepas menjalankan perniagaan.

Menurutnya, wang palsu yang diterima itu bersaiz lebih kecil berbanding yang asli dan wang yang diterima juga mudah koyak serta warnanya akan menjadi pudar apabila terkena air.

“Penerima wang palsu itu adalah pekerja saya dan dia menceritakan pelanggan memberikan wang itu dengan cara merenyukkannya terlebih dahulu sebelum diberikan kepada peniaga bagi mengaburi mata kami.

“Aktiviti wang palsu yang dijalankan oleh pelanggan ini bukan merupakan perkara biasa dan aktiviti ini sudah dijalankan sejak bulan lalu terutamanya pada waktu kemuncak sewaktu perniagaan mula dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, aktiviti ini juga sering dijalankan pada waktu hujan atau peniaga sedang berkemas barang untuk pergi menunaikan solat.

Dia berkata, contoh wang palsu yang diterima itu juga telah ditunjukkan kepada peniaga yang lain agar mereka lebih berhati-hati dan tidak terjebak dengan aktiviti yang sedang berleluasa di sekitar pasar malam.

Aktiviti wang palsu yang dijalankan oleh orang tidak bertanggungjawab itu juga turut terjadi kepada peniaga minuman Noor Aziah Ahmad, 33, berkata, sebelum aktiviti wang palsu RM10 ini berleluasa, peniaga juga sering menerima wang palsu RM50.

Menurutnya, wang RM10 itu diterima daripada seorang remaja lelaki yang ingin membeli minuman di gerainya dan membayar minuman itu dengan menggunakan wang palsu yang direnyukkan.

“Saya menyedari wang yang diberikan itu adalah wang palsu apabila saya melihat wang yang direnyukkan itu dan saya sempat memberitahu kepadanya serta memberikan wang itu kepada dia.

“Perbezaan wang palsu ini juga boleh dilihat pada warnanya yang pudar dan wang itu juga tidak licin seperti wang yang asli,” katanya.

Noor Aziah berkata, laporan polis belum dibuat namun sekiranya aktiviti ini masih berleluasa di kawasan pasar malam, peniaga akan membuat laporan polis bagi membanteras kegiatan yang dijalankan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil negeri Kedah dan Kota Setar, Mohd Kholib Hamid berkata, peniaga di pasar malam dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan pelanggan.

“Saya juga mahu peniaga yang menerima wang palsu daripada pelanggan agar segera membuat laporan polis supaya masalah ini dapat diatasi.

“Pihak berkuasa seperti polis juga diharapkan dapat membantu peniaga dengan membanteras masalah ini sekiranya menerima aduan daripada peniaga,” katanya.

Sinar harian
31 Jul 2010

Tiga adik beradik tiada sijil lahir

KAMPUNG PERIK - Masalah yang dihadapi menyukarkan tiga beradik berusia empat hingga 11 tahun untuk mendapatkan sijil kelahiran, walaupun pelbagai usaha dilakukan ibu mereka.

Si ibu, Roshida Rajami, 36, berkata, dalam kesulitan menguruskan perkara itu, seorang lagi anaknya Mohd Ridzuan Shamsudin, 1 tahun 9 bulan disahkan mengidap jantung berlubang dan masalah saluran pernafasan sempit.

Menurutnya, empat beradik itu adalah daripada bapa berlainan, yang mana perkahwinan sebelum ini menemui kegagalan, namun tetap berusaha walaupun akhirnya menemui jalan buntu.

“Anak ketiga daripada suami pertama, Nur Fatihah Md Rashid, 11, bersekolah di Tahun Lima, Sekolah Kebangsaan Perik masih tidak mempunyai sijil kelahiran kerana saya gagal mendapatkannya walaupun terpaksa turun naik ke Pejabat Pendaftaran Negara sebelum ini.

“Saya cuba mendapatkan sijil kelahiran anak saya ketika selesai tempoh berpantang, tetapi tidak berjaya kerana Jabatan Pendaftaran Negara, Alor Setar mahu waris anak saya sendiri yang menyelesaikan sijil kelahiran. Bapa mereka tidak pernah mengambil tahu hal mereka walaupun berulang kali saya memberitahu supaya menyelesaikan perkara penting ini ,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu lawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Badrul Hisham Hashim, kelmarin.

Roshida berkata, kini dia tidak tahu di mana bapa kepada anaknya berada, kerana dia menghilangkan diri tanpa khabar berita.

Menurutnya, dua anaknya dari suami kedua, Anis Maisara Saad, 7, dan Mohd Azriq Saad, 4, bagaimanapun tidak dapat didaftarkan berikutan timbulnya pertikaian mengenai status perkahwinannya.

“Saya dan bapa mereka berkahwin di Thailand dan disebabkan tiada sebarang dokumen, kami tidak dapat membuktikan ikatan kami sekali gus dianggap tidak sah.

“Selepas itu, kami tidak berusaha mendapatkan sijil kelahiran dua anak saya manakala bapa mereka pula meninggal dunia dalam satu insiden pergaduhan di Padang Sera kira-kira tiga tahun lalu,” katanya.

Roshida berkata, dia bimbang masalah itu sukar diatasi dan anaknya pula semakin membesar.

Menurutnya, pendapatan suami ketiga yang juga bapa kepada Mohd Ridzuan hanya RM800 sebulan.

Dengan pendapatan itu, suaminya menampung perbelanjaan keluarga termasuk perbelanjaan persekolahan dan keperluan lain.

Roshida berkata, masalah sijil kelahiran menyebabkan dua anaknya yang bersekolah tidak mendapat kemudahan dari segi bantuan persekolahan, kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Kos pembedahan RM45,000

Selain masalah sijil kelahiran anak, keluarga ini juga berdepan dengan kos rawatan Mohd Ridzuan yang dijangka menjalani pembedahan pada Januari tahun depan.

Roshida berkata, anaknya memerlukan rawatan setiap enam bulan sekali atau ketika keadaan memerlukan.

“Setiap kali rawatan dibuat, sekurang-kurangnya saya perlu menyediakan RM250 dan terpaksa berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Menurutnya, rawatan susulan kadang-kala perlu dijalani di Hospital Sultanah Bahiyah bagi mengetahui perkembangan penyakit anaknya.

Menurutnya, kos rawatan pembedahan masih menjadi tanda tanya, namun pihak IJN memberi jumlah kasar yang perlu disediakan iaitu sekitar RM45,000.

Keperitan hidup yang dialami keluarga ini mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP) Kampung Perik.

Jefrisham Nayan berkata, beliau bersama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, membantu keluarga itu dengan memberi sumbangan pada Mei lalu ketika program Ziarah UMNO.

Menurutnya, ketika lawatan itu, rombongan turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Padang Terap, bagi membantu mengatasi masalah kemiskinan keluarga itu. Namun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan terhadap permohonan yang dibuat.

“Saya dan keluarga Roshida memberikan segala maklumat keluarga itu untuk tujuan pertimbangan sebarang bentuk bantuan. Namun, sehingga kini tiada seorang pun kakitangan jabatan berkenaan datang menziarahi mereka semula untuk tujuan bantuan dan sebagainya,” katanya.

Roshida berkata, dia sudah menghubungi pihak JKM dan bertanyakan status bantuan, tetapi kakitangan jabatan memaklumkan permohonan masih diproses.

“Saya juga pernah memohon waran perjalanan ketika mahu mendapatkan rawatan anak saya, tetapi gagal diperoleh sebaliknya terpaksa menggunakan wang sendiri walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan,” katanya.


GPMS jamin hulur bantuan

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Nadzri Kamarulzaman yang berkunjung ke rumah keluarga itu memberi jaminan akan membantu keluarga berkenaan untuk mendapatkan sijil kelahiran dan bantuan sampingan.

Menurutnya, dokumen berkaitan merangkumi Borang Daftar Lewat Kelahiran diberikan kepada keluarga itu sekali gus dalam masa terdekat, borang akan diambil semula untuk tujuan pemprosesan bagi mendapatkan sijil kelahiran melalui Jabatan Pendaftaran Negara.

“GPMS mempunyai beberapa mekanisme untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat. Sebelum ini, kami membantu beberapa kes mendapatkan sijil kelahiran sekali gus membantu mendapatkan bantuan dari agensi kerajaan lain seperti JKM.

“Kami cuba menyelesaikan masalah ini dalam masa terdekat, bagi mengelakkan kesulitan terutamanya anak Roshida yang bersekolah di Tahun Lima, kerana pada tahun depan dia akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Dua wanita hamil ditangkap

GEORGETOWN - Dua wanita sarat mengandung antara 43 pendatang asing yang ditahan dalam Ops Rantau yang dijalankan di sebuah tapak pembinaan di Sri Sayang, Batu Ferringhi pagi semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Aziz Wan Hussin berkata, selain dua wanita itu, seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar turut ditahan dalam operasi yang melibatkan 50 anggota pelbagai agensi termasuk 12 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

“Operasi ini dilakukan setelah risikan selama seminggu dan berdasarkan maklumat awam. Polis memeriksa 139 warga asing di tapak pembinaan ini dan mendapati 43 daripadanya tiada dokumen perjalanan sah.

“Tiga daripadanya mempunyai permit kerja tamat tempoh dan seorang lagi didapati mempunyai dokumen perjalanan palsu. Ia melibatkan 32 lelaki, 10 perempuan dan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, semua yang ditahan dalam operasi berakhir tengah hari itu terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh dan berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Kesemua yang ditahan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan disiasat di bawah Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh, Seksyen 6 (3) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 56 (1) (L) kerana memalsukan dokumen perjalanan.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Kecuaian punca kemalangan maut

BATU GAJAH - Cuai dikenal pasti sebagai penyebab utama kemalangan maut di jalan raya sekali gus menjadi penyumbang kepada peningkatan angka kematian di negeri ini.

Lebih membimbangkan, faktor tersebut berpunca daripada pengguna jalan raya sendiri yang bersikap sambil lewa terhadap aspek keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, berdasarkan kajian yang dibuat, sebanyak 80 peratus kematian didapati berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya, sementara 20 peratus disebabkan faktor lain.

“Sikap cuai pengguna yang tidak mengambil berat keselamatan serta tidak mematuhi undang-undang dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan kemalangan maut di negara ini.

“Kajian mendapati sikap pemandu yang gemar memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat dan memakai topi keledar tidak mengikut spesifikasi merupakan sebab utama berlakunya kemalangan maut,” katanya ketika berucap pada majlis Kempen Bersepadu ‘Ops Buckle Up dan Jom Klik’ anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Perak.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah JKJR Perak, Farrel Rasu dan wakil jabatan dan agensi yang terlibat dalam program berkenaan.

Ramly berkata, senario berkenaan masih tidak mampu mengubah sikap masyarakat yang terus mengambil mudah mengenai kematian disebabkan kemalangan jalan raya.

“Kita boleh lihat pengguna pada hari ini mengambil sikap acuh tidak acuh mengenai pemakaian tali pinggang keledar di bahagian belakang yang dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun lalu.

“Ramai yang memandang enteng perkara ini sedangkan penumpang di bahagian belakang tidak sedar pada kelajuan 50 kilometer sejam, penumpang belakang seberat 60 kilogram boleh menghentam tempat duduk hadapan dengan impak sehingga dua tan,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan perangkaan pada 2007, penggunaan tali pinggang keledar belakang penumpang menyelamatkan 175 kematian, 350 cedera parah dan 1,050 kes cedera ringan.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Sangka bunyi mercun

FELCRA NASARUDDIN - "Sebelum itu, kami sekeluarga terdengar bunyi dari luar rumah dan menyangka itu bunyi mercun, namun sebenarnya daripada kabel elektrik yang meletup di dalam rumah,” kata salah seorang mangsa kebakaran, Nordin Hamdan.

Nordin berkata, ketika kejadian dia sekeluarga sedang menikmati makan malam di bahagian beranda rumah.

Menurutnya, kejadian yang berlaku pada jam 9.50 malam, semalam itu menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

"Saya memang tidak menyangka bunyi letupan itu daripada kabel elektrik di salah satu bilik dan menyedarinya apabila isteri saya, Mariatul Khaftiah Yusof masuk ke dalam rumah untuk menunaikan solat isyak.

“Pada masa itu api sudah marak dan membakar sebahagian bilik serta rumah,” katanya.

Nordin berkata, semua barang berharga tidak sempat diselamatkan kerana api marak dengan cepat.

“Kami hanya mampu menyelamatkan diri dan bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa berlaku," katanya.

Katanya, anggaran kerugian adalah sebanyak RM150,000.

“Bukan sahaja rumah yang musnah dalam kejadian ini tetapi kedai juga terbakar termasuk enam peti ais dan barang-barang perniagaan,” katanya.

Manakala, Mariatul berkata, kejadian itu juga turut memusnahkan ubat adiknya yang menghidap penyakit buah pinggang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Zaiful Efendi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.18 dan tiba di tempat kejadian pada jam 10.34 malam.

Menurutnya, seramai lima anggota bomba diarahkan ke tempat kejadian dan kebakaran berjaya dikawal 15 minit kemudian.

"Struktur rumah yang dibuat daripada kayu menyebabkan api begitu marak dengan cepat.

“Kita juga mengambil masa untuk sampai ke tempat kejadian kerana jarak yang agak jauh,” katanya.

Zaiful berkata, bagi mempercepatkan operasi memadam kebakaran, pihaknya bercadang untuk menubuhkan bomba sukarela di kawasan itu.

"Sukarelawan bomba ini sudah ditubuhkan di Changkat Lada dan berharap di Felcra Nasaruddin juga akan ada nanti,” katanya.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Angkara merenung lelaki cedera teruk dipukul

KUALA LUMPUR – Gara-gara salah faham dan tidak berpuas hati kerana dituduh merenung sekumpulan individu, seorang lelaki dibelasah teruk sehingga cedera parah dalam kejadian di Setapak, Jumaat lalu.

Lee Kum Mok, 23, mendakwa dipukul enam lelaki bermotosikal dengan topi keledar tanpa mengetahui kesalahan sebenarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa baru saja selesai menikmati makan tengah hari bersama empat rakannya di sebuah restoran di Setapak.

“Ketika di restoran itu, sekumpulan lelaki datang ke meja kami kerana tidak puas hati mendakwa saya merenung mereka namun saya menafikannya,” katanya di Wisma MCA di sini, semalam.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang menunggang motosikal, Kum Mok menyedari dia diekori kumpulan berkenaan menggunakan tiga motosikal.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Mangsa pegawai JKM palsu

MASJID TANAH – Seorang wanita sanggup menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semata-mata untuk mencuri barang berharga di sebuah rumah milik seorang warga emas, di Kampung Londang, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi Selasa lalu, seorang warga emas, Maimunah Sihat, 86, menjadi mangsa apabila didatangi wanita terbabit yang menyamar sebagai pegawai JKM untuk menguruskan bantuan.

Semasa kejadian Maimunah yang tinggal berseorangan di rumah sedang berkebun di halaman rumahnya sebelum didatangi wanita berusia lingkungan 30-an yang memakai tudung kepala, baju sejuk dan seluar jeans biru, sambil menaiki motosikal jenis Modenas Kriss.

Maimunah berkata, wanita itu memperkenalkan diri sebagai pegawai JKM dan memapahnya masuk ke rumah untuk melihat MyKad bagi tujuan bantuan.

“Pada mulanya, saya memarahi wanita itu ketika dia memperkenalkan dirinya. Namun wanita itu tidak mengendahkan bebelan saya sebaliknya membawa wanita itu masuk ke rumah.

“Ketika saya disoal jawab, saya seperti terpanggil untuk menurut arahan wanita berkenaan masuk ke bilik, sambil diekori wanita itu dari belakang tanpa disedari saya,” katanya.

Maimunah berkata, dia sememangnya tidak mengesyaki apa-apa kerana perilaku wanita itu tidak meragukan sehingga wanita itu pulang.
“Masa saya berbual dengan dia, saya susah hendak menatap wajahnya kerana dia sentiasa memalingkan mukanya ke kiri dan ke kanan, mungkin kerana dia takut saya cam muka dia, sehinggalah sampailah dia balik," katanya.

Bagaimanapun, dia menyedari wanita itu menyamar sebagai pegawai JKM selepas mendapati peti kecil yang mempunyai barangan berharga di biliknya, hilang pada sebelah malam.

"Itu pun selepas anak buah saya datang kemudian saya tergerak untuk periksa dalam almari dan terkejut apabila melihat peti kecil sudah hilang," katanya.

Menurutnya, barangan yang hilang adalah seutas rantai leher, seutas rantai tangan, sepasang subang, tiga biji kerongsang dan sebentuk cincin serta barang kemas dibeli di Mekah yang dianggarkan kira-kira RM3,000.

Menurutnya, wanita berkenaan juga sempat mengambil gambar wajahnya sebagai syarat mendapatkan bantuan, serta berjanji akan datang semula selepas ini untuk urusan cop jari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Suprintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian itu.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan mengikut seksyen (170) kanun keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dengan memperdayakan golongan warga emas sebagai sasaran," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan warga emas yang tinggal sendirian supaya berwaspada dan berhati-hati jika didatangi seorang wanita tidak dikenali dan menghubungi pihak polis sekiranya terdapat keraguan.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Barang dicuri, kereta dibakar

PANDAN PERDANA- Seorang Penyelia Kontraktor Alam Flora kerugian hampir RM3,000 apabila peralatan di dalam kereta dicuri,manakala keretanya dibakar penjenayah dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam.

Mangsa, Mohd Hafizee Yusof, 28, menyedari kejadian tersebut apabila rakannya menghubunginya memaklumkan ada kereta dibakar di tempat letak kereta di Flat 700 Pandan Perdana.

“Sejurus turun dari rumah, saya mendapati kereta Proton Iswara Aeroback warna Kelabu milik saya telah dibakar. Dalam masa yang sama, saya mendapati ada kesan umpil pada bahagian pintu kiri hadapan kereta dan barang seperti sebuah mesin pemotong pokok dan ‘speaker box’ telah hilang.

“Mujurlah penduduk bersama anggota bomba sempat memadamkan kebakaran daripada terus merebak,”katanya.

Katanya lagi, tidak beberapa lama kemudian, penduduk flat berjaya mencekup suspek yang sedang lena tidur di bawah tangki air di flat itu bersama beberapa barang yang disyaki dicuri yang berada di sampingnya.

“Kejadian sebegini bukan pertama kali berlaku di kawasan ini, sebelum ini kejadian yang sama dengan modus operandi yang sama berlaku, kini kejadian yang sama berulang dan menimpa saya, mujurlah suspek berjaya ditahan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Suspek berusia 30 tahun itu telah diberkas oleh penduduk setempat kemudian diserahkan kepada polis. Suspek akan direman, dalam masa yang sama pihak kami akan menjalankan siasatan lanjut. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Merempat kerana nikah di Siam

KUALA LUMPUR-Gara-gara bernikah di Siam dan tidak mendaftarkan pernikahan di negara ini, satu keluarga di sini terpaksa hidup merempat dan menanggung seribu kepayahan.

Dek kerana ketiadaan sijil nikah, pasangan suami isteri tersebut yang masing-masing berusia 35 dan 42 terpaksa mengorbankan pendidikan dua orang anaknya.

Si isteri yang hanya mahu digelar Nur itu mengakui ketiadaan sijil nikah menyebabkan segala urusan untuk bantuan kebajikan dan pendidikan anak-anak terbantut.

“Saya sudah berkahwin kira-kira 15 tahun yang lalu di negara jiran dan sehingga kini, suami tidak mampu untuk mendaftarkan perkahwinan kami di negara ini apatah mahu membayar denda.

“Dua orang anak tidak mempunyai surat beranak kerana kami gagal mengemukakan sijil nikah negara ini,”katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Ibu kepada tiga orang anak itu mengakui kejahilan usia remajanya menyebabkan dia terlanjur seterusnya bernikah di negara jiran.

“Ketika itu, keluarga suami cuba untuk menutup malu dan menikahkan kami di Siam. Kami bernikah secara sah di sana tetapi dek kerana kesempitan hidup, sehingga kini, kami tidak mampu untuk mendaftarkan pernikahan di sini dan membayar denda,”katanya sayu.

Tambah memburukkan keadaan, kesempitan hidup menyebabkan dia, suami dan anak-anak terpaksa hidup merempat dan mengharapkan ihsan keluarga dan sahabat handai untuk berteduh.

“Sudah beberapa kali kami berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat. Kami menagih simpati keluarga, adik beradik dan akhirnya mereka juga sebenarnya bukan orang senang.

“Sudahnya saya terpaksa menumpang berteduh di rumah adik angkat sejak tiga bulan lalu kerana tidak tahu ke mana mahu pergi,”katanya.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, anak sulung pasangan itu disahkan mengidap penyakit tibi dan jangkitan kuman sekaligus terpaksa dipelihara ahli keluarga lain.

“Anak yang sulung terpaksa berhenti sekolah kerana penyakit tersebut dan dijaga oleh kakak saya di rumahnya. Kos rawatannya sebelum ini sudah mencecah ribuan ringgit dan saya sendiri tidak pasti dengan nasib kami pada masa-masa akan datang,”katanya.

Justeru, Nur berharap orang ramai di luar sana tidak menjadi sepertinya yang bertindak terburu-buru tanpa memikirkan kesan pada masa depan.

“Saya sendiri tidak tahu apa nak jadi pada hidup kami. Kami macam kais pagi makan pagi kais petang makan petang dan berharap ada pihak di luar sana tampil memberikan bantuan.

“Nasihat saya, walau apapun yang berlaku, jangan sesekali mereka mengambil jalan mudah dengan bernikah di negara jiran kerana ia banyak memberi kesan kepada hidup mereka,”katanya pilu.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Murid maut kerana botol air

SERI KEMBANGAN – Sungguh menyayat hati apabila seorang murid berusia 11 tahun menemui maut selepas digilis van sekolah ketika cuba menyelamatkan botol air minuman yang terjatuh di bawah kenderaan itu, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, mangsa, Mohd Ariff Amirullah Dedi Devira, 11 dihantar ke rumahnya di Blok Cempaka Desa Millenium, oleh pemandu van sekolah itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai cuba mengambil botol minuman miliknya yang berkemungkinan terjatuh di bawah van sekolah itu.

Katanya, pemandu mendakwa ternampak mangsa menuju ke lif lobi pangsapuri terbabit dan menyangka keadaan sudah selamat sebelum meneruskan perjalanan.

“Selang beberapa minit selepas itu, pemandu van terbabit mendakwa terasa seperti melanggar sesuatu sebelum menghentikan kenderaan dipandu dengan serta-merta.

“Sebaik ke bahagian tayar kiri depan van sekolah itu, pemandu terbabit tergamam apabila melihat kenderaan itu sudah melepasi sebahagian tubuh badan mangsa,”katanya yang mendakwa mangsa dipercayai berpatah balik menuju ke arah van sekolah itu untuk mengambil botol minuman yang terjatuh.

Beliau berkata, dalam keadaan cemas itu, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital oleh pengawal keselamatan yang kebetulan bertugas di blok pangsapuri tempatnya tinggal.

“Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan serius di abdomen dan paru-paru disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,”katanya.

“Manakala pemandu van berusia 37 tahun dan murid yang berada di dalam kenderaan ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian
31 Jul 2010


Dead boy's mom traumatised

LOCATION: The spot where Mohd Arif was ran over by his school van — Pics: SHARUL HAFIZ ZAM

Let police handle the matter, says Mohd Arif's father

SERDANG: Siti Nor Hidayah (pic), would never forget that her best friend, Mohd Arif Amirullah, 11, was killed when he was run over by a school van last Thursday.

"This is where it took place," said the 11-year-old as she pointed to a spot at the entrance to the Cempaka block of the Desaminium Flora Apartments in Seri Kembangan here.

Describing Mohd Arif as a cheerful and helpful boy whom she first met in Standard One, Siti Nor (left) said: "Although we were not in the same class, he became my best friend as we stayed at the same apartment block."

She said she would meet him almost everyday at school and at the apartment.

When The Malay Mail visited Mohd Arif's home yesterday afternoon, his father, Dedy Jafiris, 35, was reluctant to speak and requested that no pictures of him or his family to be taken.

"My wife has been traumatised. She was very close to Arif, our eldest child, and was waiting for him to return and had prepared a meal for him."

It is learnt that the couple also have a seven-year-old daughter.

"We don't want to blame anyone and will let the police handle the case. We are still devastated over the incident and I have yet to lodge a police report as we were busy with our son's burial ceremony," said Dedy.

Serdang police chief Supt Abd Razak Elias said police had taken a statement from the 37-year-old van driver.

"According to the driver, he saw Arif walking towards the lift lobby, and when he drove away a few minutes later, he realised that his front tyre had run over something," said Abd Razak.

It is learnt that Mohd Arif was trying to retrieve a water bottle from under the school van.

"The driver immediately got down to inspect and that's when he found Arif lying motionless."

Apartment security guard Rohazman Mohd Disa (pic), 26, said the injured Mohd Arif was first taken by residents to his apartment on the fourth floor.

"Although one of the residents contacted the ambulance, another resident offered to drive Arif to the hospital, and that's when I carried him and sat inside the car while another of our maintenance staff drove to Serdang Hospital."

On the way there, they spotted the ambulance and managed to stop it. Mohd Arif was then rushed by the ambulance to the hospital.

"When I held Arif in my arms, he was shivering and I was praying he will make it," said Rohazman.

The case is being investigated for reckless driving.

Malay Mail
2 Aug 2010

Dua remaja diberkas mencuri

TEMERLOH – Polis menahan dua remaja lelaki dipercayai terbabit dan bergiat aktif dengan satu sindiket curi sarang burung walit sekitar bandar Temerloh dan Mentakab sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, kedua-dua remaja berusia 14 dan 16 tahun itu ditangkap ketika sedang leka mencuri sarang burung di sebuah premis di Mentakab beberapa hari lalu.

Menurutnya, penjenayah terbabit berjaya ditangkap hasil kerjasama rondaan polis dan pengusaha yang memasang penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) selepas menerima maklumat kegiataan curi sarang burung berkenaan yang berleluasa.

“Mereka ditangkap polis dalam premis berkenaan selepas dikepung pengusaha dan orang ramai,” katanya sewaktu ditemui pada program High Profile Policing di bandar Baru Temerloh di sini kelmarin.

Ahmad Fadzillah berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti pembeli sarang burung curi yang dipercayai satu sindiket dari luar daerah.

“Polis percaya perbuatan mencuri sarang burung walit ini didalangi satu sindiket kerana pasarannya yang mahal dan kini semakin mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Setakat ini, polis hanya menerima satu aduan sahaja mengenai kes kecurian sarang burung itu tetapi berdasarkan maklumat telah banyak kes kecurian berlaku tetapi pengusaha berkenaan tidak membuat laporan polis,” kata Ahmad Fadzillah.

Sehubungan itu Ahmad Fadzillah menggesa pengusaha burung walit supaya memasang sistem keselamatan seperti CCTV bagi membendung kes kecurian sarang burung berkenaan.

Menurutnya, pengusaha burung walit perlu mengeluarkan perbelanjaan memasang sistem keselamatan terutamanya CCTV memandangkan ternakan burung memperoleh keuntungan yang besar dan kini menjadi sasaran pencuri.

Beliau berkata, kedua-dua remaja itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan telah didakwa di mahkamah.

Ahmad Fadzillah memberitahu, sarang burung itu mempunyai pasaran yang tinggi iaitu antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi setiap sekilogram sarang yang belum diproses, manakala yang sudah diproses mencecah antara RM6,000 hingga RM7,000.

“Ternakan sarang burung walit sudah lama bertapak di bandar Mentakab dan saya diberitahu sindiket pencuri berkenaan sudah mahir selok-belok bangunan ternakan dan mereka tahu masa di bangunan mana sarang burung berkenaan sudah matang dan boleh dicuri,” katanya.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Remaja dipenjara tiga tahun kerana dadah

KOTA BHARU - Seorang remaja lelaki dari Jalan Tengku Puteri dekat sini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan memiliki dadah oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, kelmarin.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Nur Hamzief Fahmi Shafie, 19, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dihadapi.

Berdasarkan pertuduhan yang dihadapi, Nur Hamzief secara bersama tiga rakannya didakwa memiliki pil kuda seberat 8.96 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di tempat letak kereta surau Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini, kira-kira jam 4.45 petang, 22 Jun 2008.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan rotan tidak kurang dari tiga sebatan.

Berdasarkan laporan akhlak yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nur Hamzief merupakan anak ketiga dari lima beradik dan kehilangan bapanya yang meninggal dunia semasa dia berumur 14 tahun.

Ibu Nur Hamzief bekerja sebagai seorang promoter di sebuah Pasar Raya dekat sini dan menyara keluarnya selepas kematian suaminya.

Nur Hamzief hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga sahaja kerana tidak berminat dalam pelajaran dan dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah selepas berhenti sekolah.

Mengikut rekod JKM juga, kesalahan tersebut merupakan kesalahan pertama Nur Hamzief yang sebelum ini tidak mempunyai rekod lampau.

Nur Hamzief yang diwakili peguam Latifah Ariffin kemudiannya memohon kepada mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya itu.

“Semasa kejadian, Nur Hamzief berumur 17 tahun tujuh bulan dan merupakan juvana, tetapi sekarang dia berusia 19 tahun tujuh bulan dan merupakan pesalah muda.

“Berdasarkan pada laporan akhlak yang dikemukakan pihak JKM, keluarga Nur Hamzief bukanlah dari kalangan keluarga yang senang. Dia merupakan anak yatim dan hanya ibunya yang bekerja untuk menyara keluarga,” katanya.

Menurutnya, faktor tersebut sedikit sebanyak menyebabkan Nur Hamzief terlibat dengan kesalahan ini dan disebabkan masih lagi tidak matang sewaktu itu, dia dipercayai mudah terpengaruh dengan rakan-rakan.

“Nur Hamzief menyara hidupnya sendiri dengan melakukan pelbagai kerja kerana tidak mahu menyusahkan ibunya.

“Saya mohon mahkamah memberi peluang kepada Nur Hamzief untuk berubah dan membaiki dirinya,” katanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman yang sewajarnya ke atas pesalah berkenaan.

“Kesalahan yang dilakukan Nur Hamzief merupakan kesalahan serius.

“Disebabkan dia masih di bawah umur sewaktu kejadian, hukuman yang dikenakan terhadapnya semestinya berbeza dengan tiga rakannya yang telah dijatuhkan hukuman sebelum ini,” katanya.

Azman semasa membacakan keputusan penghakimannya berkata, beliau mendapati Nur Hamzief sudah banyak berubah dan insaf sepanjang berada dalam tahanan reman.

“Saya rasa hukuman di Henry Gurney atau dipenjara sudah cukup memberi hukuman yang sesuai kepada kamu. Kalau kamu keluar sekarang, saya percaya kamu akan terlibat lagi dengan rakan kamu yang lama disebabkan cara kamu menyamar sebelum ini cukup berkesan dan berjaya menipu keluarga kamu,” katanya.

myMetro
31 Jul 2010

Bilik Fasha digeledah

LANGKAWI: Artis jelita, Fasha Sandha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan (gambar) kerugian lebih RM2,000 apabila telefon pintar Blackberry miliknya hilang selepas bilik penginapannya di sebuah hotel di Pantai Chenang di sini, dimasuki pencuri, awal pagi kelmarin.

Sumber polis berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.30 pagi dan hanya telefon pintar Blackberry milik Fasha Sandha dilarikan pencuri.

“Fasha menginap di hotel berkenaan kerana sedang menjalani penggambaran di pulau peranginan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Langkawi, Superintendan Ishak Hasan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, sehingga kini tiada tangkapan dibuat dan polis sedang menjalankan siasatan termasuk menyoal siasat kakitangan hotel terbabit.

Menurut laman web Twitter peribadi Fasha, beliau bersedih atas kehilangan itu, namun lega apabila pihak hotel memberi jaminan mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya.

“Saya bersedih atas kehilangan itu, namun pihak pengurusan hotel memaklumkan bahawa mereka akan memberikan ganti rugi yang setimpal,” kata Fasha menerusi laman itu pagi semalam.

Menurut sumber, ketika kejadian, Fasha dan seorang lagi pelakon Fadzilah Mansor sedang tidur ketika pencuri berkenaan menceroboh bilik mereka.

Difahamkan, Fasha berada di Langkawi selama seminggu untuk penggambaran sebuah drama terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan enggan memberi sebarang kenyataan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

myMetro
31 Jul 2010

Diheret dalam kereta, dicampak luar restoran

KUALA LUMPUR: Padah mencampuri urusan rumah tangga rakan, seorang pemuda menjadi mangsa amuk sekumpulan lelaki apabila dia diserang dengan kerusi ketika berada di sebuah restoran di Pandan Indah, di sini, awal pagi Isnin lalu.

Tidak cukup dengan itu, mangsa kemudian diterajang dan diheret ke dalam kereta sebelum dicampakkan semula dalam keadaan lemah berhampiran kawasan restoran itu.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mangsa bersama teman wanitanya sedang menjamu selera di sebuah restoran berhampiran kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang seorang lelaki bertanyakan namanya dan mangsa kemudian mengaku yang nama disebut itu adalah dirinya.

“Sejurus mengaku dia adalah orang yang disebut itu, mangsa kemudian dihayun dengan kerusi sebelum ditarik ke arah sebuah kereta. Berhampiran kereta itu terdapat 10 lelaki lain yang dipercayai rakan suspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa kumpulan terbabit ke lokasi yang tidak diketahui membuatkan teman wanitanya mula risau sebelum dia membuat laporan polis.

“Mangsa yang dibawa lari itu dikatakan dipukul kumpulan lelaki berkenaan dan akibatnya dia dimasukkan ke hospital selama dua hari selepas mendapat kecederaan di mata, seluruh badan dan muka,” katanya.

myMetro
31 Jul 2010

Isteri didera, anak dilarikan keluarga mentua

BUKIT MERTAJAM: “Hidup saya menderita akibat didera suami. Kini keluarganya pula tidak mahu memulangkan anak saya,” kata Ajeng Leha Sarwi, 33, yang berkahwin tukang masak tempatan.

Walaupun berhasrat membina istana bahagia bersama orang tersayang, namun derita yang datang apabila lelaki yang dikahwini sejak 10 tahun lalu menderanya selain tidak diberikan nafkah.

Ajeng yang berasal dari Indonesia mendakwa berkahwin dengan suaminya di Medan sebelum mereka mendaftarkan perkahwinan itu di Malaysia dan semua anaknya mempunyai surat beranak.

Menurut Ajeng Leha, ketika bergelar isteri, dia sering dipukul di muka dan badan oleh suaminya yang panas baran.

“Selepas suami ditahan polis Selasa lalu, kini keluarga mentua pula membuat hidup saya terseksa kerana tidak mahu memulangkan anak ketiga yang dijaga selepas diserahkan oleh suami,” katanya, semalam.

Wanita berkenaan yang bekerja sebagai tukang masak mempunyai lima anak hasil perkongsian dengan suami berusia 30-an, tetapi suaminya menyerahkan anak keempat mereka kepada orang lain ketika kecil.

Menurut Ajeng Leha, Selasa lalu dia ke rumah ibu mentuanya di Pokok Sena untuk mengambil semula anak ketiganya, tetapi dilarikan keluarga suaminya dan tak dapat membawa budak itu balik.

myMetro
31 Jul 2010

Menantu hantu

AMPANG: Tiga beranak dipukul sekumpulan lelaki didalangi menantunya sendiri ketika mahu membawa anak perempuannya pulang ke rumahnya di sebuah flat di Pandan Perdana, Ahad lalu.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mangsa menerima panggilan daripada anak perempuannya yang meminta bapanya itu mengambilnya di rumah.

“Anak perempuannya itu dalam nada sedih merayu supaya bapanya mengambilnya pulang dan mengugut akan membunuh diri jika tidak datang.

“Mendengar anaknya berkata demikian, si bapa mula bimbang sebelum mengajak isteri dan anak lelakinya ke rumah anaknya itu,” katanya.

Sejurus tiba di rumah berkenaan, mangsa cuba berbincang dengan menantunya untuk membawa anak perempuannya itu pulang.

Beliau berkata, ketika itu mangsa cuba menarik tangan anaknya sebelum berlaku pertengkaran antara dia dan menantunya yang tidak berpuas hati dengan tindakannya itu.

“Menantu mangsa dikatakan naik angin kerana beranggapan mangsa sekeluarga cuba mencampuri urusan rumah tangga mereka.

“Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, menantu mangsa kemudian memanggil beberapa rakannya yang juga penduduk sekitar kawasan itu sebelum mereka membelasah dan menghalau tiga beranak berkenaan supaya pulang,” katanya.

Menurutnya, ketika itu, anak lelaki mangsa sudah melarikan diri terlebih dulu kerana dia agak teruk dibelasah kumpulan terbabit membuatkannya mengalami kecederaan di mata dan muka.

“Mangsa dan isterinya hanya mengalami kecederaan ringan dan mereka kemudian pulang ke rumah selepas gagal membawa anak perempuannya kerana tidak dibenarkan menantunya itu.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan menantunya itu,” katanya.

Difahamkan, anak perempuan mangsa dan menantunya dalam proses perceraian.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan mengesahkan menerima laporan itu.

myMetro
31 Jul 2010

Dipukul bekas suami

PASIR PUTEH: Hanya kerana bertanya mengenai nafkah anak, seorang wanita berusia 34 tahun cedera akibat diterajang dan dipukul bekas suaminya yang panas baran dalam kejadian pada 18 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang di Kampung Gong Kulim, mangsa turut mendakwa dia disepak di perut sebanyak tiga kali hingga jatuh tersungkur di depan keretanya. Mangsa sebelum itu dikatakan dalam perjalanan ke bandar dari rumahnya di Tok Bali sebelum ternampak bekas suaminya di sebuah kedai makan.

Menurutnya, dia singgah di kedai makan itu memandangkan bekas suaminya tidak pernah memberi nafkah anak mereka yang berusia lima bulan sejak bercerai akhir tahun lalu.

“Saya sekadar bertanya tetapi bekas suami terus naik angin sebelum menampar pipi seterusnya memukul berulang kali hingga tubuh lebam,” katanya.

Difahamkan, ia bukan kali pertama kejadian itu berlaku kerana dia mendakwa pernah dipukul di perut ketika mengandung sembilan bulan.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Cherang Ruku, di sini, pada hari sama.

Menurut mangsa, mereka berkahwin pada awal tahun lalu atas dasar suka sama suka walaupun menyedari dirinya bermadu.

Katanya, tidak lama kemudian dia mula menyedari sikap bekas suaminya itu yang panas baran namun terpaksa bertahan kerana terlalu menyayanginya.

“Saya hanya bertahan setiap kali dipukul sehingga membuat keputusan untuk bercerai akhir tahun lalu. Sejak itu dia tidak pernah datang menjenguk anak perempuannya apatah lagi memberi nafkah.

“Saya pernah cuba menghubunginya beberapa kali sebelum ini untuk berbincang mengenai masalah itu namun gagal sehinggalah saya terserempak dengannya di situ,” katanya.

Kejadian itu menyebabkannya rasa sakit seluruh badan termasuk kepala sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Anis (HTA), di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

myMetro
31 Jul 2010

Rumah ibu tunggal jadi abu

TUMPAT - Seorang anak terselamat dari rentung apabila berlari keluar menyelamatkan diri sebaik terjaga dari tidur dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Bendang Pak Yong, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kebakaran jam 9 pagi itu, sebuah rumah ibu tunggal, Mek Dollah, 61, hangus. Turut terbakar ialah sebuah motosikal, barang kemas dan peralatan rumah.

Mangsa Sabariha Ibrahim, 23, nyaris rentung kerana ketika api marak dia sedang tidur bersendirian di dalam rumah tersebut kerana deman manakala ibunya, Mek keluar ke kuliah agama di surau berdekatan dan adik-adiknya bermain di halaman rumah.

“Saya tersedar dari tidur apabila terdengar sayup-sayup suara orang menyebut api..api. Sepantas kilat saya bangkit keluar menyelamatkan diri dan terus mencari adik-beradik yang lain di halaman rumah,” katanya.

Sementara Mek yang masih terkejut dengan musibah yang menimpanya berkata, dia reda dengan apa yang berlaku walau pun ketika kejadian dia tiada di rumah dan bergegas pulang kerana khuatir berlaku sesuatu yang buruk ke atas anak-anaknya.

“Baru setengah jam saya tinggalkan rumah ini untuk mendengar kuliah agama di madrasah berdekatan, tiba-tiba satu berita buruk diterima oleh saya.

“Alhamdulillah, anak-anak saya terselamat dan cukup terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda di dalam rumah tersebut,” kata Mek yang tinggal bersama lima anak dan seorang cucu di rumah tersebut.

Seorang saksi yang merupakan jirannya, Ibrahim Abdullah, 62, berkata, ketika kejadian dia sedang bermain dengan cucunya di tangga rumah dan terkejut apabila mendengar satu letupan sebelum diikuti dengan percikan api di rumah Mek.

“Ia berlaku dengan pantas sekali, selepas percikan api terdengar pula satu letupan di rumah Mek dan tidak sampai 10 minit api merebak dengan cepat.

“Saya segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri sebelum menjerit meminta tolong,” katanya yang turut memaklumkan jiran dan saudara mara turut membantu memadamkan kebakaran.

Sementara itu, Ketua Operasi dan Menyelamat dari Balai Bomba Pengkalan Kubor, Ahmad Mazdan Jusoh berkata, lapan anggota ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 9.38 pagi.

“Kami terpaksa guna air tali air berdekatan bagi kawal kebakaran dari terus merebak. Kira-kira jam 10.15 pagi api dapat dikawal,” katanya.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Anggota polis hilang di laut di Pasir Puteh masih belum ditemui

PASIR PUTEH: Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat yang dilaporkan hilang di Tok Bali di sini semalam, masih belum ditemui.

Usaha mencari Lans Koperal Basri Abdul Majid, 45, diteruskan hari ini oleh pasukan polis, bomba dan penyelamat serta Agensi Penguatkuasaan Maritim, kata Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya.

Kehilangan Basri disedari oleh lapan rakannya pada 7.30 malam ketika mereka dalam perjalanan pulang dengan bot selepas memancing di Pulau Susu Dara, kira-kira 45 minit perjalanan dengan bot dari Tok Bali.

"Mangsa dipercayai terjatuh daripada bot," kata Kaharuddin.

Gerakan mencari ditumpukan di sekitar pulau berkenaan dan laluan ketika mereka pulang. -Bernama

31 Jul 2010


Gerakan cari polis hilang tamat hari ini

PASIR PUTEH – Gerakan mencari anggota polis L/Koperal Basri Abdul Majid, 45, yang dilaporkan hilang di Laut China Selatan berhampiran Tok Bali di sini akan dihentikan hari ini sekiranya pasukan penyelamat masih gagal mengesannya.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, pihaknya termasuk polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sudah berpuas hati selepas empat hari melancarkan gerakan mengesannya bermula 30 Julai lepas.

"Kami sudah berusaha dengan kemampuan yang ada tetapi gagal mengesannya walaupun keadaan laut tenang dalam sehari dua ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Basri dilaporkan hilang bersama 8 rakannya dalam perjalanan pulang mengail ikan dengan sebuah bot dari Pulau Susu Dara ke Tok Bali pukul 5.30 pagi, Jumaat lepas.

Beliau dipercayai terjatuh dari bot tersebut tanpa disedari.

Kaharuddin berkata, sebaik sahaja dia dilaporkan hilang, pihaknya melancarkan gerakan mengesannya di kawasan 4 hingga 5 batu nautika yang membabitkan kawasan Pulau Susu Dara, Pantai Melawi, Bachok dan Kuala Besut, Trengganu setiap hari bermula 8 pagi sehingga 7 petang. – Bernama

2 Ogos 2010


Mayat anggota polis hilang dijumpai

PASIR PUTEH – Mayat Lans Koperal Basri Abdul Majid, yang dilaporkan hilang ketika pulang daripada memancing di Laut China Selatan Jumaat lepas, dijumpai terapung di kawasan perairan antara Kelantan dan Terengganu petang tadi.

Komander Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah 10, Saifullizan Ibrahim berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 11 batu nautika dari Tok Bali oleh bot peronda Maritim Malaysia pada 4 petang.

"Ia dalam keadaan terlungkup, berpakaian seluar dan berbaju, dalam keadaan sempurna selain terdapat beberapa kesan luka di beberapa bahagian badan,” katanya ketika ditemui di sini.

Mangsa dipercayai mati lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaiki bersama lapan rakannya ketika pulang daripada memancing di Pulau Susu Dara berhampiran Pulau Perhentian.

Kehilangan Basri, 45, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, hanya disedari rakannya sebaik tiba di Tok Bali.

Saifullizan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat, dan dimandi serta dikafankan di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian sebelum diserahkan kepada anggota keluarga Allahyarham. – Bernama

2 Ogos 2010

Cucu mati tergantung

CHUKAI: Seorang lelaki terkejut apabila mendapati cucu saudaranya mati dalam keadaan tergantung di dapur rumahnya di Kampung Tengah, Kemaman, Rabu lalu.

Datuk saudara mangsa ketika membuat laporan di Balai Polis Kijal pada jam 9 malam hari yang sama, berkata cucu saudaranya itu tinggal bersamanya dan ketika kejadian dia menunaikan solat Maghrib di surau.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di rumah pada jam 8.20 malam dan memberi salam, tiada jawapan diberikan lantas bertindak membuka pintu rumahnya namun gagal kerana berkunci dari dalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata polis menerima laporan itu dan menghantar anggotanya untuk memeriksa dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tergantung dan tidak bernyawa.

myMetro
31 Jul 2010

Dua Beradik Maut Ketika Menuju Ke Perpustakaan

TEMERLOH: Dua beradik yang dalam perjalanan ke perpustakaan desa maut apabila motosikal yang mereka naiki dilanggar sebuah kereta dan diseret sejauh kira-kira 18 meter di KM 11 Jalan Temerloh-Jerantut dekat Kampung Seri Ketumbit Kerdau di sini, hari ini.

Hidayah Romi, 14, pelajar Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Kerdau dan adiknya, Siti Zaleha, 11, murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Paya Ara yang cedera parah di kepala, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, ketika kejadian pada pukul 3.50 petang, kedua-dua beradik itu baru keluar daripada simpang berhadapan rumah mereka untuk ke perpustakaan berkenaan yang terletak tidak jauh dari situ.

"Sebuah kereta jenis Proton Waja dipandu seorang lelaki yang datang dari arah Temerloh melanggar motosikal yang ditunggang Hidayah," katanya di sini hari ini. Beliau berkata akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua beradik itu tercampak ke atas kereta berkenaan sebelum diseret sejauh kira-kira 18 meter. Mayat kedua beradik itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (Hoshah) untuk bedah siasat, katanya.

Beliau berkata pemandu kereta berkenaan bagaimanapun tidak cedera. - BERNAMA

31 Jul 2010

Pesakit kanser usus rayu bantuan

TANDOP – Seorang warga emas yang juga peniaga di Kampung Alor Terong di sini, baru menyedari dia menghidap kanser usus peringkat empat pada tahun lalu selepas lebih dua tahun menanggung kesakitan.

Dia kini hanya mampu terlantar mengharapkan bantuan untuk membeli keperluan perubatannya.

Bidah Jusoh, 57, berkata, penyakitnya itu mula dikesan pada awal tahun lalu selepas dia tidak tahan menanggung kesakitan di sekitar bawah abdomennya ketika keluar bekerja, malah berat badan juga menurun.

Menurutnya, semasa melakukan pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), doktor mengesahkan dia menghidap kanser usus peringkat empat.

“Kini, saya tidak lagi berupaya untuk keluar berniaga menjual tudung melainkan tinggal di rumah sambil ditemani suami dan cucu.

“Pembedahan membuang usus besar juga selamat dijalankan pada April tahun lalu dan sekarang setiap kali hendak membuang air besar, saya terpaksa menggunakan uncang yang dipasang di badan saya ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Bidah berkata, uncang itu perlu ditukar setiap tiga hari sekali yang mana dia perlu membelinya dari farmasi dengan harga RM11, malah dia juga mengamalkan pengambilan ubat yang dibeli dengan harga RM56 sebotol setiap bulan.

Menurutnya, sejak dia tidak lagi berniaga, pendapatannya juga turut terjejas memandangkan suaminya juga tidak lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Suaminya, Abd Rashid Ismail, 64, berkata, mereka sekeluarga hanya bergantung dengan wang Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) yang diterimanya sebanyak RM200 sebulan untuk meneruskan kehidupan termasuk membeli ubat-ubatan isterinya itu.

Menurutnya, wang bulangan Perkeso itu adalah hasil dia bekerja di kilang sebelum bersara sebagai pengawal keselamatan.

“Apabila kami sekeluarga menghadapi masalah kewangan, terpaksa diminta kepada anak yang mana mereka juga hidup susah dengan pendapatan tidak seberapa untuk membantu saya dan ahli keluarga lain.

“Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga pernah datang ke rumah kami ini untuk membanci. Namun, saya tidak pasti sama ada permohonan mendapatkan bantuan ini layak atau tidak, namun saya berharap agar keluarga saya dibantu khususnya isteri saya,” katanya.

Sinar Harian
30 Jul 2010