April 30, 2010

Meninggal selepas setahun koma

MOHD. RAFIQ



BAYAN BARU - Selepas setahun terlantar koma di rumahnya di Kampung Baru Sungai Ara dekat sini, Mohd. Rafiq Jamat, 30, akhirnya meninggal dunia petang kelmarin.

Kisah malang juruteknik kilang di Butterworth ini pernah dipaparkan Kosmo! tahun lalu selepas sebahagian tempurung kepala sebelah kiri dan kanannya terpaksa dibuang akibat kemalangan jalan raya.

Insiden 6 April tahun lalu berlaku setelah motosikal yang ditunggangnya kemalangan di atas Jambatan Pulau Pinang semasa dalam perjalanan ke tempat kerja mengakibatkan tulang bahunya patah dan berlaku pendarahan otak.

Menurut isterinya, Noor Syarmila Rahim, 25, suaminya dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Selasa lalu untuk memasang semula tempurung kepalanya.

"Pada masa itu keadaannya tak stabil dan melalui imbasan x-ray doktor maklumkan terdapat air dalam paru-paru arwah suami.

"Sepatutnya doktor nak buat pembedahan paru-paru itu pagi kelmarin namun keadaannya semakin kritikal sebelum beliau disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.50 petang," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Kosmo Online
30 April 2010

Rakan remaja mati ditembak polis beri keterangan

SHAH ALAM, 28 April — Saksi utama kes remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh polis awal pagi kelmarin, memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Saksi tersebut yang dilaporkan bersama mangsa, Aminulrasyid Amzah semasa kejadian hadir di IPK Selangor kira-kira pukul 3 petang bersama Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Ghazali dan keluarga.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo tiba di IPK Selangor pada pukul 3.15 petang memberitahu proses anak guamnya memberi keterangan bermula pukul 3 petang.

“Saya dimaklumkan siasatan hampir siap dan akan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk diambil tindakan,” katanya.

Saksi turut ditemani anggota keluarganya.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berharap siasatan kes tersebut dalam diselesaikan dengan segera bagi mengheret pihak yang bersalah ke muka keadilan.

“Saya berharap supaya siasatan terperinci dapat dijalankan dan laporan itu dapat dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Selain itu, saya juga berharap siasatan dapat dijalankan dengan adil, bebas dan telus bagi mendapatkan keadilan untuk mangsa,” katanya.

Tambahnya, anak guamnya kini dalam keadaan tertekan dan trauma ekoran kejadian itu.

“Keadaan saksi amat tertekan dan dia masih lagi terperanjat dengan apa yang terjadi.

“Walau bagaimanapun sebagai saksi dia perlu memberikan keterangan kepada polis supaya siasatan dapat dijalankan.

“Peranan yang dimainkan saksi amat penting bagi mendapatkan keadilan dan kebenaran,” katanya.


Dari laman:

http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/61588-rakan-remaja-mati-ditembak-polis-beri-keterangan

24 jam terapung di laut


KUANTAN - Dua nelayan pantai yang dikhuatiri hilang selepas tidak pulang sejak keluar menangkap ikan berhampiran kawasan boya kira-kira 7 batu dari Pantai Teluk Cempedak di sini awal pagi, Rabu lalu ditemui dalam keadaan selamat, petang semalam.

Che Abdul Ghani Man, 47 dan rakannya yang dikenali sebagai Nasir, 50-an ditemui dua nelayan berhampiran kawasan Pantai Kampung Cempaka selepas hanyut sejauh kira-kira 20 kilometer dari lokasi tempat bot mereka rosak.

Dua rakan itu terkandas selepas enjin bot gentian kaca sepanjang 18 kaki yang digunakan ketika keluar menangkap ikan rosak kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai menangkap ikan.

Ketika ditemui kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat bagaimanapun agak keletihan akibat kelaparan.

Che Abdul Ghani berkata, dia bersama rakannya keluar menangkap ikan selepas subuh Rabu lalu di kawasan boya itu.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang, enjin bot 15 kuasa kuda yang digunakan mereka rosak dan tidak dapat dibaiki.

“Saya tidak panik pada mulanya kerana selalunya ada bot-bot nelayan melalui kawasan yang sama untuk pulang bagaimanapun harapan itu hancur apabila kebanyakan bot berada agak jauh dan tidak nampak lambaian kami meminta bantuan.

“Akhirnya kami terpaksa berserah dan membiarkan bot dihanyutkan arus dengan harapan ada nelayan lain yang akan menemui dan menyelamatkan kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Dia berkata, selepas berdoa dengan penuh harapan, akhirnya permintaannya dimakbulkan Allah apabila seorang nelayan dari Kampung Cempaka dekat sini, Mohd Taib Mohd Ali, 58 menyedari lambaian mereka sebelum datang membantu.

“Saya bersyukur kerana terselamat walaupun terpaksa terapung selama lebih 24 jam serta bermalam di tengah lautan dalam keadaan kesejukan dan kelaparan.

“Selama terkandas kami hanya bergantung dengan bekalan tiga buku roti dan air kosong” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia bercadang untuk berehat beberapa hari sebelum meneruskan pekerjaan yang dilakukan sejak lebih 20 tahun lalu.

Dalam pertemuan semalam, Che Abdul Ghani menafikan musibah yang berlaku itu ada kaitan dengan seekor ikan ibu gelama berwarna kuning keemasan seberat 24 kilogram yang ditangkap sehari sebelum kejadian.

Sementara itu, Mohd Taib yang membantu menyelamatkan dua rakan itu berkata, dia bersama seorang lagi nelayan dalam perjalanan pulang ke Kampung Cempaka selepas selesai menangkap ikan.

Menurutnya, dia ternampak dua lelaki melambai-lambaikan tangan seolah-olah meminta bantuan lalu mendekati mereka.

“Menyedari masalah yang menimpa mereka, saya menunda bot yang rosak itu ke pangkalan ini (Tanjung Api),”katanya.

Kehilangan dua rakan itu menggemparkan penduduk sehingga usaha mencari digerakkan sejak kelmarin sebelum disambung pagi semalam.

Bimbang nasib mereka yang tidak menentu, rakan mereka yang juga pemilik bot, Ramli Ismail membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira dua jam sebelum mangsa tiba di pangkalan.

Sinar Harian
30 April 2010

Warga emas mati ditikam perompak


GEORGETOWN- Seorang warga emas ditemui mati berlumuran darah dalam satu kejadian yang dipercayai bermotifkan rompakan di Jalan Service berhampiran Jalan Burmah dekat sini, lewat malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kok Meng berkata, ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai M Visalakshi, 67, tinggal bersendirian di rumahnya.

“Motif kejadian dipercayai rompakan namun siasatan masih dijalankan dan mengikut siasatan awal, mangsa dipercayai bergelut dengan perompak sebelum dibunuh berikutan penemuan beberapa kesan darah berhampiran tempat mangsa ditemui mati.

“Polis juga mendapat laporan daripada Pakar Perunding Kanan Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh yang mengesahkan mangsa mati selepas ditikam di bahagian dada,” katanya ketika dihubungi. semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

“Polis memerlukan kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini agar tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerusi talian 04-2181822 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, ketika kejadian beliau tiada di rumah kerana keluar bersama rakannya untuk menikmati makan malam dan mangsa tinggal bersendirian di rumah.

“Ketika pulang, saya terkejut kerana sebaik membuka pintu rumah, saya melihat isteri saya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu.

“Saya tidak tahu berbuat apa-apa ketika itu dan berlari keluar untuk meminta bantuan jiran supaya menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Sinar harian
30 April 2010

Hajat minum kopi tidak kesampaian


ALOR SETAR- Hajat untuk menikmati minum petang bersama suami tidak kesampaian apabila seorang wanita maut dirempuh lori membawa pasir dan batu ketika hendak melintas jalan selepas pulang dari kedai berhampiran rumahnya, di Kampung Tanjung Bendahara di sini, lewat petang kelmarin.

Mangsa, Hasnah Shaari, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badannya.

Cucu, Che Yum Tahar, 46, berkata, sebelum kejadian datuknya, Saad Morad, 84, memberi wang RM3 kepada mangsa pergi ke kedai untuk membeli rokok daun dan dua bungkus kopi ‘O’ untuk juadah minum petang.

Menurutnya, datuknya tidak pergi sendiri ke kedai kerana kebetulan menghadapi masalah pendengaran dan sakit kaki.

“Nenek pergi membeli semua barang yang diminta datuk malah dalam perjalanan pulang, dia sempat mengambil buah mangga dalam bungkusan yang diberikan jiran sekampung sebelum berhenti di tepi jalan untuk melintas pulang ke rumah,” katanya.

Mangsa mendirikan rumah tangga bersama Saad lebih setahun lalu selepas kematian isteri Saad dan tidak dikurniakan anak.

Saksi kejadian, Elias Ramli, 30, yang juga anak saudara mangsa berkata, masa kejadian dia ternampak ibu saudaranya dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir dan batu selepas kenderaan itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan di selekoh tajam itu.

Menurutnya, dalam sekelip mata lori itu hilang kawalan lalu merempuh ibu saudaranya yang berada di tepi jalan yang ketika itu masih menunggu masa untuk melintas pulang ke rumah.

“Selekoh ini memang bahaya dan beberapa kali berlaku kemalangan yang meragut nyawa, dan penduduk kesal kerana permintaan supaya pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran berhati-hati ketika melalui jalan itu tidak mendapat maklum balas.

“Saya harap selepas ini pihak berkuasa dapat bertindak segera kerana ia penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pemandu lori itu kini ditahan untuk membantu siasatan selain lori yang dipandunya juga ditahan dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
30 April 2010

Kakak jaga adik OKU harap bantuan lulus


PULAU SEBANG – Kakak yang menjaga adik lelaki cacat sejak 13 tahun lalu masih menunggu kelulusan bantuan Jabatan Ke-bajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung sara hidup adiknya.

Wong Sow Lan, 52, berkata, dia menjaga adiknya, Wong Geok Joon, 45, sejak ibu bapa mereka meninggal dunia.

Menurutnya, biarpun adiknya tidak banyak karenah namun dia masih memerlukan perbelanjaan tambahan untuk menampung barangan keperluan harian.

“Gaji diterima tidak mencu-kupi, ditambah pula dua daripada tiga anak saya sedang menun-tut di institusi pengajian tinggi (IPT) sementara pendapatan suami sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur sedikit sahaja,” katanya.

Sow Lan berkata, dia terpaksa membuat permohonan kebajikan bagi kategori penjagaan elaun orang kurang upaya (OKU) bulan lalu disebabkan keadaan ekonomi sekarang.

“Setakat ini, saya dimaklumkan proses permohonan masih dalam siasatan pegawai kebajikan,termasuk sokongan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, melalui surat dikeluarkan Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela) Melaka

“Saya sekeluarga turut berterima kasih kepada Pembela Me-laka, Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, JKM Alor Gajah, MCA Cawangan Pulau Sebang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kese-lamatan Kampung (JKKK) Pulau Sebang Utara kerana tampil membantu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Alor Gajah, Harniza Samsudin berkata, permohonan bantuan dibuat Sow Lan masih dalam sia-satan dan beliau berharap Sow Lan bersabar.

“Jika tiada masalah Sow Lan akan mula menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 mulai Mei ini,” katanya.

Sinar Harian
30 April 2010

Bekas mangsa tembak kesal


SHAH ALAM - Bekas mangsa yang mendakwa diri ditembak polis, Norizan Salleh, 30, terkejut dan kesal terhadap insiden tembak mati yang berlaku ke atas seorang remaja 15 tahun Aminulrasyid Amzah Isnin lalu

Katanya, kes yang terjadi kepada Aminulrasyid adalah serupa dengan kes yang beliau alami Oktober tahun lalu termasuk dakwaan memiliki senjata berbahaya seperti parang semasa memandu.

“Saya berasa kesal insiden ini berulang semula setelah kes saya tidak mendapat keadilan dari pihak berwajib, kes saya dengan kes ini tiada bezanya cuma saya bernasib baik masih hidup setelah ditembak.

“Saya juga mahu satu pengadilan dijalankan dalam siasatan kes ini supaya ia tidak berakhir seperti kes saya yang ditutup oleh pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam

Menurutnya, kes beliau tidak mendapat perhatian masyarakat kerana media kurang memberi tumpuan disebabkan beliau masih hidup sebaliknya dalam kes terbaru ini mangsa telah meninggal dunia.

1 April lalu, Norizan telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri, mendesak supaya tindakan diambil terhadap anggota polis yang didakwanya bertindak tidak mengikut undang-undang dengan menembak dan mengasarinya dalam satu kejadian.

Ibu tunggal itu mendakwa ditembak sebanyak lima kali oleh polis dalam kejadian berkenaan, ketika menumpang sebuah kereta bersama tiga orang rakannya.

Menurutnya, dalam insiden itu tulang rusuknya telah patah, manakala sebutir peluru yang memasuki badannya pula hampir mengenai bahagian jantung belaiu dan peluru tersebut terpaksa dikeluarkan melalui satu pembedahan di Institut Jantung Negara.

“Saya juga terpaksa menanggung perbelanjaan rawatan berjumlah hampir RM18,000 akibat kejadian tersebut,” katanya.

Sinar Harian
30 April 2010



Ibu Tunggal Saman Polis Dan Kerajaan Kerana Ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal yang ditembak di paru-paru oleh polis tiga tahun lalu dan terselamat telah menyaman Ketua Polis Negara dan kerajaan.

Dia berkata polis melepaskan tembakan kepadanya tanpa justifikasi.

Norizan Salleh, 32, juga menamakan pegawai yang didakwa menembaknya, Mohd Firdaus, dan ketua polis Sentul, masing-masing sebagai defendan.

Dia memfailkan saman itu melalui peguam N. Surendran dan Latheefa Koya, di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Dalam pernyataan tuntutan, Norizan berkata, pada pukul 4 pagi 30 Oktober 2010, polis peronda menghampiri kereta di mana pada ketika itu dia adalah penumpang dan Mohd Firdaus tiba-tiba melepaskan tembakan, mencederakan pergelangan tangan, lengan dan dada.

Apabila kereta itu berhenti, dia cuba untuk keluar tetapi telah ditendang kembali masuk ke dalam kereta oleh Mohd Firdaus, dan kemudian dia memijaknya apabila dia merangkak keluar dari kenderaan, katanya.

Dia mendakwa terdapat kira-kira 14 hingga 20 pegawai polis tiba di tempat kejadian.

Dia telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di mana dia menjalani pembedahan.

Norizan berkata dia juga menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), di mana peluru telah dikeluarkan daripada paru-parunya.

Pada 11 November 2009, dia membuat laporan di balai polis Kepong, mendakwa defendan telah melakukan serangan terhadapnya.

Norizan mendakwa tidak melakukan apa-apa jenayah yang akan mewajarkan tindakan itu, sambil menambah polis tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadapnya dalam tempoh tiga tahun sejak kejadian itu.

Peguam N. Surendran memberitahu pemberita bahawa polis telah gagal untuk mengikut prosedur yang betul apabila cuba menghentikan kenderaan yang dinaiki anak guamnya.

"Polis tidak sepatutnya hanya menembak kereta apabila tiada tanda-tanda bahawa penumpangnya bersenjata. Malah jika mereka mahu menghentikan kereta, mengapa mereka tidak menembak pada tayar, sebaliknya," katanya.

Peguam Latheefa berkata hanya Norizan satu-satunya penumpang yang telah mengemukakan saman kerana dia adalah satu-satunya yang cedera.

Satu laporan perubatan oleh HKL bertarikh 12 Mei 2010 menyatakan bahawa Norizan mempunyai luka tusukan di pergelangan tangan, lengan, lengan kanan dan dada, sambil terdapat peluru dalam paru-parunya.

Norizan menuntut ganti rugi khas sebanyak RM18,326 untuk menampung perbelanjaan perubatan, serta ganti rugi am dan teladan, faedah, kos dan apa-apa ganti rugi yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

"Disebabkan kecederaan ini, saya telah mengalami masalah pernafasan dan tidak boleh membawa objek berat, yang telah menjejaskan keupayaan saya untuk bekerja," kata Norizan, yang kini menganggur.

Dia telah diiringi oleh anaknya Muhammad Nuaim Zuhair, 13, dan bapanya, Salleh Arifin, 62, ketika dia memfailkan saman.

mStar 15 Okt 2012


Kes tembak: Wanita terima ganti rugi RM318,326
 
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang cedera parah dalam satu kejadian tembakan lima tahun lalu, menerima ganti rugi berjumlah RM318,326 selepas berjaya dalam tuntutan saman kecuaian terhadap anggota polis dan tiga yang lain.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng membuat perintah itu selepas mendapati anggota polis terbabit yang hanya dinamakan sebagai Mohd Firdaus dalam tuntutan saman itu bertanggungjawab menembak Norizan Salleh, 34, dalam kejadian pada 30 Oktober 2010.

Siew turut memutuskan bahawa Ketua Polis Daerah Sentul, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan hingga keempat bertanggungjawab secara vikarius.

Dalam penghakimannya, Siew Kheng berkata, beliau mendapati Mohd Firdaus selaku defendan pertama dan anggota polis lain menembak ke arah kereta yang dinaiki Norizan dan bukannya ke udara bagi menghentikan kereta terbabit.

Beliau berkata, tindakan polis memulakan tembakan adalah tidak munasabah dan kesan lubang akibat tembakan ditemui pada kereta menyokong dakwaan plaintif dalam kejadian itu.

Berita Harian 4 Sep 2014

Penoreh kecewa bantuan ditarik


MERBAU MENYUSUT– Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib seorang penoreh getah, Othman Mohamad, 42, yang hilang tempat bergantung apabila bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima bermula sejak Oktober tahun lalu dipercayai akibat aduan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merbau Menyusut.

Othman yang turut mengalami strok selama ini amat bergantung kepada bantuan bulanan JKM sebanyak RM450 untuk menampung perbelanjaan enam anaknya namun bulan ini bantuan itu tidak lagi diterima.

Kata Othman, bantuan yang diterima sejak setahun lalu diperoleh melalui sokongan JKKK berkenaan yang didakwa membuat aduan kepada JKM bahawa dia menyalahgunakan wang bantuan tersebut.

“Saya terkejut apabila JKM mengambil balik kad penerima wang bantuan semasa ingin mengambil wang bantuan anak bagi bulan ini,” katanya.

Menurut pegawai bertugas, mereka terpaksa menghentikan bantuan kerana ada aduan daripada JKKK bahawa dia menyalahgunakan wang bantuan bagi tujuan lain dan mengabaikan keperluan anak.

“Saya pulang dengan kecewa dan mendapatkan pengerusi JKKK, namun dia bersumpah dan menafikan membuat aduan tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini, semalam.

Kata Othman, dapurnya kini tidak lagi berasap manakala empat daripada enam anaknya terpaksa ke sekolah tanpa membawa wang belanja.

Lebih menyedihkan, katanya, keperluan isterinya, Siti Hajar Ahmad, 35, yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak keenam 12 hari lalu juga tidak dapat disediakan.

“Kami kadang-kadang makan pun tidak cukup macam mana saya hendak salahgunakan wang bantuan ini dan saya merayu JKM dapat menyiasat semula kes ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM daerah, Emilia Sumiyati Embong ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan pihaknya telah menarik balik bantuan Othman selepas menerima aduan daripada pihak JKKK dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, Pengerusi JKKK Merbau Menyusut, Abdullah Mat Amin, 62, ketika ditemui menafikan membuat sebarang aduan kepada JKM, namun tidak menolak kemungkinan ada ahli JKKK bertindak demikian tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Othman berharap JKM dapat menyambung kembali bantuan yang diberikan memandangkan kesihatannya semakin uzur dan tidak dapat bekerja sepenuhnya untuk menampung keperluan keluarga.

“Saya terkilan sebab JKM menerima bulat-bulat aduan ahli JKKK tanpa merujuk kepada Pengerusi JKKK sehingga menyebabkan saya sekeluarga teraniaya,” katanya.

Sinar Harian
30 April 2010

Ajal depan sekolah


KOTA BHARU - Seorang pesara tentera, Mazlan Daud, 44, meninggal dunia di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh setelah motosikal yang ditungganginya bergeser dengan sebuah lori, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar berkata, dalam kejadian berkenaan, mangsa dikatakan menunggang motosikal dari arah Kok Lanas menuju ke Ketereh.

“Tiba di hadapan sekolah, mangsa dikatakan berada di tengah dua kenderaan iaitu di bahagian kiri adalah lori dan di bahagian kanan jalan pula terdapat motosikal.

“Mangsa juga dipercayai bergeser dengan lori yang berada di sebelah kiri jalan menyebabkan dia (arwah) terjatuh dari motosikalnya lalu terkena tayar lori,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk pada bahagian organ dalaman dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat.

Menurutnya, kes kemalangan terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, penunggang motosikal sebuah lagi pula menerima kecederaan ringan dan turut menerima rawatan kesihatan.

Sinar Harian
30 April 2010

Gantung!

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Georgetown semalam, memerintahkan seorang juruelektrik menjalani hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah memijak anak lelaki teman wanita berusia tiga tahun dan menyebabkan kematiannya, enam tahun lalu.

Tertuduh, Tan Chin Lee, 37, didakwa membunuh anak teman wanitanya, Khor Wei Wong, 3, antara jam 6 petang pada 25 November 2004 hingga jam 12 tengah malam keesokan hari di sebuah rumah di Blok 8B-07-16, Gat Lebuh Macallum.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin, berkata tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas tertuduh diwakili peguam bela Harpal Singh gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pendakwaan ke atas tertuduh.

Ketika membaca keputusannya, beliau berkata berdasarkan keterangan kakak mangsa, tertuduh pernah memijak perut mangsa beberapa kali dan ia dibuktikan benar melalui laporan bedah siasat pakar patologi mengesahkan kecederaan di perut mangsa kesan pijakan kuat.

“Keterangan saksi dan laporan bedah siasat membuktikan kecederaan mangsa akibat pijakan teruk sehingga mengakibatkan kematiannya dan pembelaan dikemukakan bersifat penafian semata-mata tanpa sebarang bukti kukuh.

“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan sabit atas kesalahan ini dan mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya kepada Tan yang berbaju-T putih dan jeans biru.

Menurutnya, tertuduh dalam pembelaan gagal menyangkal bukti itu serta mewujudkan sebarang keraguan terhadap keterangan dua saksi pendakwaan.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mengikut laporan akhbar, mangsa yang tinggal bersama ibu dan teman lelaki ibunya disahkan meninggal dunia pada jam 11 pagi 26 November 2004 di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas cirit-birit.

myMetro
30 April 2010


Juruelektrik bunuh anak teman wanita dihukum mati

PULAU PINANG 29 April -- Seorang juruelektrik dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh anak lelaki teman wanitanya berusia tiga tahun dengan memijak perut mangsa, hampir enam tahun lalu.

Namun ketika Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yassin menjatuhkan hukuman tersebut, raut wajah Tan Chin Lee, 37, yang bertubuh kurus dan tinggi lampai itu, langsung tidak menunjukkan kesedihan.

Lelaki itu yang pada mulanya hanya mendengar penghakiman hakim tersebut dengan teliti sambil dibantu seorang jurubahasa kemudiannya dilihat tersenyum ketika hukuman gantung itu diputuskan terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Zaki berkata, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Menurut beliau, pembelaan yang dikemukakan oleh Chin Lee dalam kes itu hanya bersifat penafian semata-mata tanpa ada sebarang bukti atau faktor yang boleh diambil kira bagi memberi manfaat kepada pembelaannya.

''Keterangan kakak mangsa yang pernah melihat tertuduh memijak dengan kuat perut adiknya beberapa kali juga telah dibuktikan secara konsisten apabila doktor patologi yang membuat bedah siasat terhadap mangsa turut mengesahkan wujudnya kecederaan di perut mangsa akibat kesan pijakan yang kuat.

''Kedua-dua keterangan ini amat kukuh dan kuat untuk menunjukkan kecederaan yang dialami mangsa amat teruk sehingga mengakibatkan kematiannya. Tertuduh dalam pembelaannya pula tidak berjaya menyangkal bukti ini serta mewujudkan sebarang keraguan terhadap keterangan kedua-dua saksi pendakwaan itu,'' katanya.

Beberapa ahli keluarga tertuduh yang berada di galeri awam dilihat hanya menundukkan kepala masing-masing sebaik sahaja hukuman itu diputuskan terhadap Chin Lee.

Chin Lee disabitkan dengan tuduhan membunuh Khor Wei Wong di antara pukul 6 petang, 25 November 2004 dan pukul 12 tengah malam keesokkan harinya di sebuah rumah di Blok 8B-07-16, Gat Lebuh Macallum di sini.

Dakwaan terhadap lelaki yang diwakili peguam Harpal Singh itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Memetik laporan akhbar, Wei Hong yang merupakan anak keempat daripada lima beradik mati dengan kesan lebam pada perut dipercayai akibat dipijak di rumah yang didiami bersama ibu dan teman lelaki ibunya.

Utusan
30 April 2010

Seluruh badan lebam

MELAKA: Sepasang suami isteri di Machap Umboo, Alor Gajah, seolah-olah dirasuk iblis apabila tergamak menyeksa anak sendiri yang berusia 10 tahun dengan memukulnya menggunakan getah paip dan rotan.

Difahamkan, episod seksaan dan kekejaman yang terpaksa dilalui murid tahun empat itu berlarutan sejak lebih setahun lalu apabila sering menjadi mangsa deraan ibu bapanya sejak kembali tinggal bersama mereka pada hujung 2008.

Kanak-kanak lelaki terbabit sebelum itu dipelihara neneknya di Umbai selepas diserahkan ibu bapanya sejak dilahirkan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Hamdan Majid, berkata siasatan mendapati kanak-kanak itu menjadi mangsa deraan ibu bapanya sejak 2008 hingga kini.

Terbaru, katanya kejadian berlaku pada jam 12 tengah malam Ahad lalu apabila mangsa mendakwa dipukul dengan rotan dan getah paip hingga mengalami kecederaan pada seluruh badannya.

Menurutnya, akibat tidak tahan diperlakukan sedemikian rupa, mangsa yang dikatakan bersifat hiperaktif itu keluar dari rumah dan pergi ke tapak pasar malam di kawasan terbabit.

“Mangsa kemudian ditemui seorang lelaki berusia 53 tahun dalam keadaan ketakutan kira-kira jam 8.30 malam pada 26 April lalu. Lelaki terbabit memeriksa mangsa dan mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada seluruh tubuhnya.

“Lelaki itu kemudian menyerahkan mangsa kepada seorang rakannya keesokan hari sebelum membuat laporan di Balai Polis Machap pada 28 April lalu.

“Siasatan polis mendapati kanak-kanak terbabit mempunyai keluarga yang tinggal berdekatan kawasan itu,” katanya ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) Bukit Beruang, semalam.

Menurut Hamdan, mangsa anak ketiga daripada empat beradik tetapi hanya dia yang didera.

“Kami menghantar mangsa ke Hospital Melaka dan doktor mengesahkan terdapat kesan luka baru dan lama pada belakang tubuhnya.

“Bapanya yang bekerja sebagai mekanik dan ibunya, suri rumah, kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Kita percaya disebabkan dibesarkan neneknya sejak lahir, mangsa menghadapi masalah menyesuaikan diri dan melakukan sesuatu untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang daripada keluarga. Sifatnya yang hiperaktif dan tindakan dilakukan menimbulkan kemarahan ibu bapanya lalu bertindak memukulnya,” katanya.

Hasil siasatan awal, ibu bapa mangsa itu mengaku memukul anaknya kononnya sebagai memberi pengajaran berikutan kelakuannya yang sukar dikawal. Hamdan bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung tindakan mangsa hingga menyebabkannya dipukul dan didera memandangkan kes masih dalam siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

myMetro
30 April 2010

Dugaan bertimpa

DUNGUN: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah dihadapi seorang ibu tunggal yang menghidap sakit saraf kronik apabila suaminya meninggal dunia akibat asma pada Aidilfitri ketiga tahun lalu dan tiga bulan kemudian, anak sulungnya pula ditimpa kemalangan jalan raya sehingga kudung kaki kanan.

Sejak kematian suaminya, Awang Mat, 67, tujuh bulan lalu, Jarah Rahim, 50, kini terpaksa mengambil alih tugas ketua keluarga menyara tiga anaknya dengan mengambil upah mencuci pinggan di sebuah kedai makan disebabkan kudratnya terhad untuk kerja berat.

Lebih memilukan, kehidupan Jarah kini seperti terumbang-ambing selepas kehilangan suami yang sebelum ini mencari rezeki dengan menjadi awak-awak pukat jerut dan memandu bot penambang ketika dia sendiri menghidap sakit saraf sejak empat tahun lalu.

Belum pun kering air matanya selepas kehilangan suami tersayang, naluri keibuannya pula diduga apabila anak sulungnya, Mohd Helmi, 18, yang menjadi tempat dia bergantung harap selama ini ditimpa kemalangan sehingga terpaksa dipotong kaki kanannya ke paras lutut selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah kereta di Jalan Jakar, Kemaman, pada 4 Disember tahun lalu.

“Hanya Tuhan yang tahu betapa sebaknya perasaan saya ini, hinggakan pernah terdetik dalam hati mempersoalkan takdir mengapa saya diuji sebegini rupa dalam masa sebegitu singkat.

“Tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata kesusahan dihadapi kami sekeluarga sehinggakan ada ketika saya terpaksa berkorban dan mengikat perut kerana tidak mahu melihat anak-anak turut sama berlapar dan menanggung derita,” katanya, semalam.

Menurut Jarah, mujur ada jiran sudi menyumbangkan bahan keperluan asas seperti beras, gula dan teh serta pakaian terpakai.

Namun katanya, dia tidak sanggup melihat dua lagi anaknya yang masih bersekolah, Mohd Hazim, 13, dan Siti Norsyafiqah, 10, berterusan menderita dan mujurlah sumbangan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perubatan anak sulungnya dapat meringankan beban.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Mat Yassim Mohamed berkata, beliau berharap ada agensi kerajaan dapat membantu meringankan beban ditanggung Jarah kerana sumber kewangan PNK terhad dan hanya dapat membantu dari sudut tertentu saja.

myMetro
30 April 2010

Tinggal nota sebelum gantung diri

KANGAR: Seorang pemuda ditemui mati tergantung dalam bilik tidur dengan meninggalkan sekeping nota memohon maaf kepada keluarga, di rumahnya di Pangkalan Asam, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, mayat Chuah Wooi Keong, 24, ditemui ibunya, Lim Chai Eng, 74, kira-kira jam 6 petang.

“Pemuda berkenaan meluahkan perasaan kecewa selepas menganggur sejak empat bulan lalu dan tidak mahu menyusahkan keluarga, terutama ibu angkat,” katanya, semalam.

myMetro
30 April 2010

Pesara rentung cuba selamat ahli keluarga

KUCHING: Tindakan seorang pesara berpatah balik dan masuk ke dalam rumah yang terbakar kerana menyangka ada ahli keluarga terperangkap membawa padah apabila dia ditemui mati rentung dalam kebakaran di Kampung Panchor Daro, Bahagian Mukah, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, Busman Rafli, 60-an yang juga pesara kerajaan berada dalam rumah didiaminya sejak beberapa tahun lalu sebelum menyedari api mula marak dan bergegas keluar menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan berpatah balik dan masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan ahli keluarganya kerana menyangkakan mereka masih terperangkap dalam kejadian kebakaran yang membabitkan dua unit rumah papan itu.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Ismail Sidik, berkata sebenarnya semua ahli keluarga mangsa sudah menyelamatkan diri sebaik menyedari kediaman mereka dijilat api.

Katanya, mangsa dikatakan gagal mencari jalan keluar dipercayai akibat asap tebal sebelum lemas berikutan api cepat marak.

myMetro
30 April 2010

Lelaki sakit mental maut terjun tingkat empat

KLANG: Seorang lelaki yang mengalami masalah mental maut selepas terjun dari koridor tingkat empat, di Flet Bukit Kuda, Kampung Kuantan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Tan Wee Han, 49, dipercayai naik ke tingkat empat dalam keadaan berbogel sebelum terjun.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata, mangsa yang berbadan gempal tinggal di tingkat satu berseorangan, manakala sewa rumahnya dibayar kakaknya yang tinggal tidak jauh dari situ.

“Polis dimaklumkan, beberapa penduduk melihat mangsa naik ke tingkat paling atas perumahan itu sebelum memanjat koridor dan terjun.

“Mangsa yang disahkan mempunyai rekod penyakit mental meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan pinggang,” katanya di sini, semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

myMetro
30 April 2010

Bayi maut jatuh buaian



GOMBAK: Takut dengan bayang-bayang dosa menyebabkan seorang pengasuh cabut lari meninggalkan rumah selepas bayi lelaki berusia 18 bulan yang dijaganya tidak sedarkan diri sebelum mati akibat terjatuh dari buaian di kediamannya.

Suspek wanita berusia 30-an berkenaan dipercayai cuai ketika menjaga bayi lelaki itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan serius di kepala hingga membawa kepada kematian.

Lebih mengecewakan keluarga mangsa apabila bayi lelaki terbabit diserahkan untuk dijaga pengasuh berkenaan tidak sampai lima hari sebelum dilaporkan mati.

Datuk bayi berkenaan, Seng Cheng Lock, 60, berkata cucu lelakinya, Seng Kong Sun, sebelum ini dipelihara anak lelaki serta menantunya sejak dilahirkan.

Menurutnya, pasangan terbabit mengambil keputusan menyerahkan bayi terbabit di bawah jagaan pengasuh selepas menantu perempuannya mengambil keputusan untuk bekerja.

“Bayi terbabit kemudian dihantar kepada pengasuh berkenaan di rumahnya di sebuah pangsapuri di Batu Caves.

“Sepanjang lebih empat hari dijaga pengasuh terbabit, tiada sesuatu yang pelik berlaku kerana kami menyangka bayi berkenaan dijaga dengan penuh perhatian dan selamat di bawah jagaan wanita yang mempunyai pengalaman sama menjaga bayi sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, dia mula tidak sedap hati apabila wanita terbabit tiba-tiba menghubunginya dan meminta salinan sijil kelahiran bayi terbabit tanpa menyatakan alasan konkrit.

“Berikutan itu, saya menghantar salinan fotostat sijil kelahiran itu ke rumah pengasuh berkenaan sebelum pulang. Namun, tak sampai setengah jam kemudian, wanita terbabit menghubungi saya dan memberitahu cucu saya terjatuh dari buaian.

“Apa yang saya tahu, cucu saya yang tidak sedarkan diri kemudian dihantar ke sebuah klinik swasta sebelum doktor mengesahkan dia sudah meninggal,” katanya.

Menurutnya, bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya.

“Namun, agak mengejutkan apabila pengasuh wanita terbabit menghilangkan diri sejurus kejadian seolah-olah enggan bertanggungjawab selain menyembunyikan sesuatu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, yang dihubungi berkata, bedah siasat mengesahkan bayi berkenaan mati akibat kecederaan di bahagian kepala dan bukan berpunca daripada didera.

Menurutnya, walaupun kematian bayi terbabit tidak membabitkan unsur jenayah, namun siasatan akan diteruskan bagi memastikan bagaimana kejadian terbabit boleh berlaku.

myMetro
30 April 2010

'Kerana kakak tertidur'



MUAR: Setakat manalah sangat kudrat seorang kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun, apatah lagi untuk menjaga adik sepanjang hari ketika ketiadaan ibu bapa di rumah.

Akibat tertidur sekejap di ruang tamu, adik bongsunya berusia 16 bulan yang dijaganya ketika ibu bapa keluar bekerja, ditemui tersembam dalam sebuah akuarium yang diletakkan di lantai dapur.

Bayi yang bertarung nyawa selama 14 jam selepas ditemui berkeadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam akuarium di rumahnya di Jalan Ismail di sini, kelmarin, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Dalam tragedi malang itu, mangsa, Nurul Najwa Atika, yang tidak diawasi selepas kakak sulungnya tertidur di ruang tamu, dipercayai tertarik untuk bermain dengan pelbagai ikan peliharaan dalam akuarium yang diletakkan di atas lantai dapur.

Ketika kejadian, tiada orang dewasa di rumah itu kerana bapanya, Robin Gantilan, 37, bekerja di sebuah ladang manakala ibu, Norbayah Salbi, 35, bekerja di sebuah kantin sekolah berhampiran.

Menceritakan detik yang tidak dapat dilupakan isterinya itu, Robin berkata, Norbayah pulang dari kantin untuk menjenguk anak di rumah, kira-kira jam 11 pagi.

“Ketika kejadian saya bekerja di ladang manakala isteri terpaksa meninggalkan anak kerana bekerja di kantin sekolah tidak jauh dari rumah,” katanya.

Menurutnya, sebaik sampai dia mendapati anak bongsu daripada empat beradik itu tiada, manakala anak sulungnya berusia 12 tahun sedang nyenyak tidur di ruang tamu.

Katanya, isterinya mula cemas dan terus mencarinya di sekitar kawasan rumah sebelum terkejut besar apabila menjumpai bayi itu tersembam ke dalam akuarium di dapur.

Robin berkata, ketika ditemui anaknya itu masih bernafas dan isteri dengan bantuan jiran bergegas membawanya mendapatkan rawatan di HPSF sebelum dimasukkan ke ICU kerana Nurul Najwa tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, katanya, Nurul Najwa disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 1 pagi ketika dirawat di ICU hospital berkenaan.

Katanya, kejadian itu mengejutkan mereka kerana tidak menyangka akuarium diletakkan di bawah dan menempatkan beberapa jenis ikan akan meragut nyawa anak kesayangan mereka yang dipercayai asyik melihat ikan sebelum jatuh tertumus.

“Allahyarham seorang periang dan manja menyebabkan kami benar-benar terasa kehilangannya, tambahan pula kejadian itu tidak disangka akan menimpa kami sekeluarga,” katanya.

Jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri, selepas solat Zuhur, semalam.

Keluarga Robin berasal dari Sabah dan sudah 15 tahun menetap di Muar.


Oleh Junita Mat Rasid
myMetro
30 April 2010

Mati angkara lembu

BAHAU: Seorang penoreh getah Orang Asli terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 7, Jalan Bahau-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, Khairul a/k Moi, 34, yang tercampak ke atas jalan cedera parah di kepala dan badan mati serta-merta di tempat kejadian.

Kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan cuba mengelak lembu melintas jalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa yang turut terbakar selepas nahas.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis yang menerima aduan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.

“Siasatan awal, mangsa menunggang motosikal dari Tampin ke Bahau, manakala kereta Proton Wira itu dari arah bertentangan.

“Tiba di tempat kejadian, pemandu kereta itu dikatakan cuba mengelak seekor lembu yang berada di atas jalan menyebabkannya masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu kenderaan yang terbabit dengan mangsa membuat laporan polis tidak lama selepas itu dan diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan meminta saksi supaya tampil untuk menyalurkan maklumat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarga.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 06-4544999 atau balai polis berhampiran.

myMetro
30 April 2010

Mahkamah Tolak Rayuan Anggota Polis, Ugut Dan Rogol Wanita Indonesia

SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Khamis menolak rayuan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan 12 sebatan kerana merogol dan memeras ugut seorang wanita warga Indonesia pada 2007 sebaliknya hukuman penjara ditambah setahun lagi.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nasfy Yasin memerintahkan tertuduh, Mohd Khairul Nizam Abd Aziz, 36, dipenjara 14 tahun dan 12 sebatan selepas menolak rayuan tertuduh terhadap dua tuduhan rogol dan satu tuduhan peras ugut.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Khairul didakwa meminta RM500 daripada mangsa berusia 31 tahun dengan alasan supaya wanita itu tidak ditangkap kerana dokumen perjalanannya sudah tamat tempoh.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah tokong Cina dekat Jalan Kuala Klawang ke Pertang antara 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 21 Okt 2007.

Mahkamah mengekalkan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Seremban sebelum ini iaitu penjara tiga tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Bagi tuduhan kedua tertuduh didakwa merogol mangsa di antara jam 12.30 tengah hari sehingga 1 petang di Hotel Sri Klawang, Kuala Klawang, pada hari yang sama.

Bagi kesalahan itu Ahmad Nafsy memerintahkan tertuduh dipenjara 11 tahun dan lima sebatan. Sebelum ini Mahkamah Sesyen memutuskan tertuduh dipenjara lapan tahun dan lima sebatan selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dan bagi tuduhan ketiga merogol mangsa di antara jam 2 petang hingga 2.30 petang di tempat dan tarikh yang sama, Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh dipenjara 11 tahun dan lima sebatan. Sebelum ini dia dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan.

Bagaimanapun hakim memerintahkan hukuman bagi tuduhan rogol berjalan serentak.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin dalam hujahnya agar mahkamah menolak rayuan tertuduh berkata: "Tertuduh sudah menyalahkan amanat yang diberi dan sepatutnya sebagai seorang anggota polis dia berperanan menjaga keamanan dan keselamatan rakyat tetapi sebaliknya telah bertindak melakukan jenayah peras ugut dan seks".

Tertuduh diwakili peguam M. Jeevakumar.

29 April 2010

April 29, 2010

Serbu, gigit, samun

KUALA LUMPUR: Taktik seorang penyamun wanita dipercayai terdesak agak pelik apabila sanggup bertindak nekad menggigit tangan mangsa dengan kuat terlebih dulu sebelum menyamunnya.

Difahamkan, taktik itu menyebabkan mangsa kesakitan dan kehairanan sebelum disamun wanita terbabit dengan merampas dompet dan membiarkan mangsa di tempat kejadian terpinga-pinga seorang diri.

Dalam kes kira-kira jam 6 pagi semalam, seorang wanita pekerja kilang 20-an disamun wanita terbabit berhampiran Jalan Pudu di sini.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa sedang berjalan kaki sebelum tiba-tiba dihampiri seorang wanita tidak dikenali berusia lingkungan 30-an.

“Mangsa bagaimanapun terkejut apabila wanita terbabit tiba-tiba menerkam ke arahnya dari belakang menyebabkan dia terpinga-pinga dengan tujuan wanita berkenaan. “Pada masa sama, penjenayah berkenaan yang tidak membawa senjata itu, sebaliknya nekad menggigit tangan mangsa,” katanya semalam.

Mangsa dikatakan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kesakitan akibat digigit di tangan selain kehairanan dengan kejadian menimpanya.

Sumber itu berkata, wanita terbabit kemudian mengambil beg duit yang diletakkan di poket seluar mangsa. “Penjenayah yang memperoleh dompet, termasuk wang berjumlah kira-kira RM100 dan dokumen perjalanan milik mangsa kemudian melarikan diri menyebabkan mangsa terkial-kial tanpa mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa segera membuat laporan di balai polis berhampiran.

myMetro
29 April 2010

Baling batu larikan beg

SHAH ALAM: “Ketika berlaku tarik menarik, lelaki itu membaling objek dipercayai batu ke arah saya sebelum melarikan beg tangan dan lari bersama seorang lagi rakannya,” kata Nor Aida Muhamad, 37, mangsa ragut di hadapan rumahnya di Jalan Platinum 7/44, Seksyen 7, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, ahli perniagaan itu mahu masuk ke dalam kereta jenis Toyota Alphard, selepas menyerahkan dokumen kepada suaminya yang berada di dalam satu lagi kenderaan.

Sejurus kemudian seorang lelaki berusia awal 30-an memakai topi keledar bertutup penuh tiba-tiba muncul dan membuka pintu kenderaan sebelum menyambar beg tangan mangsa dan melarikan diri menggunakan sebuah motosikal bersama rakannya.

Selepas melarikan diri, suami mangsa yang memandu Mini Cooper mengejar suspek hampir 200 meter sebelum melanggar belakang motosikal itu di simpang Jalan Platinum menyebabkan penjenayah dan motosikalnya terjatuh.

Kebetulan ketika kejadian, beberapa anggota polis dalam perjalanan ke sebuah kedai berhampiran untuk bersarapan melihat kejadian itu, dan dengan bantuan beberapa orang awam, mereka berjaya mengejar suspek dan menahan seorang daripada mereka.

Menceritakan kejadian itu, Nor Aida berkata, dia mahu ke Seksyen 6, di sini untuk membasuh kereta manakala suaminya hendak ke tempat kerja.

“Saya belum lagi pegang stereng kereta apabila tiba-tiba lelaki itu muncul dan berlaku tarik-menarik hampir seminit menyebabkan saya menjerit sekuat hati.

“Ekoran kejadian ini, bahu saya sakit, tapi bersyukur saya dan suami tak cedera dan beg tangan ditemui kembali,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 7, di sini.

myMetro
29 April 2010

Suami meninggal selepas makan bersama

KUANTAN: “Saya seakan-akan tidak percaya suami sudah ‘tiada’ kerana kami baru saja menikmati makan tengah hari bersama,” kata Rozahaida Abdul Rahim, 34, isteri mangsa kemalangan maut di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, Koperal Udara Hasnan Hanif Yunus, 32, maut selepas motosikal ditungganginya dalam perjalanan pulang ke rumah di Inderasempurna, selepas makan bersama isterinya dirempuh kereta dari arah belakang.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa cuba memotong lori tiga tan apabila tiba-tiba dirempuh kereta terbabit dan akibat rempuhan itu mangsa terjatuh dan terseret ke depan lalu melanggar bahagian kiri belakang lori itu.

Rozahaida yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) berkata, dia baru masuk semula ke tempat kerja selepas tamat waktu rehat makan tengah hari ketika menerima berita buruk itu.

“Suami menghubungi saya ajak makan tengah hari dan saya bersetuju sebelum dia datang menjemput di tempat kerja kira-kira jam 1 tengah hari. Kami makan di pusat bandar dan ketika itu dia bersikap seperti biasa.

“Sepanjang waktu makan, kami berbual-bual seperti biasa dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau percakapan yang pelik. Saya terperanjat apabila rakan memberitahu suami kemalangan tidak sampai setengah jam selepas kali terakhir kami berjumpa,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HTAA.

Katanya, jenazah suami yang berasal dari Kelantan dikebumikan di kampungnya di Desa Melor, Muadzam Shah kerana mudah untuknya menziarahi pusara suaminya kelak bersama dua anak masih kecil.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

myMetro
29 April 2010

Mengemis urus jenazah

MUAR: Siapa sangka, tragedi mengorbankan dua beradik Muhammad Fadzly, 15 dan Muhamad Syafiq Razak, 11, pada Isnin lalu akhirnya membongkar episod duka kehidupan sebuah keluarga yang hidup daif sejak 20 tahun lalu serta terpinggir daripada bantuan kerajaan.

Malah, pasangan suami isteri, Razak Manap, 52 dan Zuliha Yahya, 42, terpaksa mengemis dan mengharap belas ihsan adik-beradik mereka bagi menguruskan pengebumian dua jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di sini, semalam. Kehadiran wartawan Harian Metro, semalam antara saat dinantikan keluarga terbabit kerana selain sedih kehilangan dua anak, mereka mempunyai kisah duka yang ingin dikongsi bersama.

Ketika mula-mula ditanyakan perasaannya, Zuliha hanya menjawab ringkas: “Ibu mana yang tidak sedih kehilangan anak?” Kemudian bermulalah episod pembongkaran kisah hidup menyayat hati sembilan sekeluarga yang sebenarnya jauh lebih menyedihkan daripada tragedi terbaru kehilangan dua beradik itu.

Zuliha berkata, kedua-dua Allahyarham pelajar cemerlang dan pintar di dalam kelas, namun Muhammad Fadzly berhenti sekolah bermula tahun ini kerana keluarganya tidak mampu membayar yuran persekolahan.

Menurutnya, sejak berhenti bersekolah, Allahyarham Muhammd Fadzly membantu menguruskan hal dua adik lain yang masih bersekolah dan dia tidak pernah merungut walaupun sedar masa depannya mungkin lebih suram apabila tiada pendidikan formal.

“Arwah dua beradik itu rapat dan juga pelajar pintar dalam pelajaran masing-masing. Sebenarnya mereka harapan keluarga kami, namun saya reda Allah lebih sayangkan mereka. “Jika diikutkan hati, mahu saya meraung sekuat hati menangis dan meratap pemergian mereka. Malangnya, kami sudah lali dengan kehidupan daif dan pelbagai dugaan selama ini mengajar apa itu erti kesabaran,” kata ibu kepada tujuh anak itu.

Menurutnya, disebabkan tidak mendapat sebarang bantuan, tiga daripada tujuh anaknya berhenti sekolah dan bekerja bagi membantu meringankan beban keluarga.

Katanya, disebabkan suaminya, Razak bekas penagih dadah, mereka seperti dihukum seumur hidup pemimpin masyarakat serta dinafikan pelbagai bantuan termasuk rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Malah, ketika tinjauan dilakukan di rumah pasangan itu di Tanjong Agas, tiada kenduri tahlil diadakan berikutan keluarga allahyarham tiada duit membeli kuih bagi menjamu tetamu.

Lebih menyedihkan majlis bacaan surah Yasin yang diadakan antara keluarga tidak dilawati masyarakat setempat termasuk ketua kampung mahupun pemimpin politik kawasan.

Sementara itu, Razak mengaku dia pernah melakukan kesilapan, namun tetap dipinggirkan masyarakat.

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my
myMetro
29 April 2010

Henti buat spekulasi

SHAH ALAM: Polis menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik supaya bersabar dan tidak mengganggu atau mencampuri urusan polis berhubung siasatan kes seorang remaja berusia 15 tahun mati ditembak di Seksyen 11 di sini, awal pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata tindakan pihak tertentu membuat spekulasi atau mengandaikan apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat selain mengganggu emosi keluarga mangsa.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai termasuk media tidak membuat andaian tertentu termasuk isu parang yang ditemui dalam kereta yang dipandu mangsa pada malam kejadian kerana ia isu sensitif.

“Janganlah jadi ayam yang suka berketuk sebelum bertelur. Biar kami buat siasatan dulu.

“Saya dah janji siasatan ini kami akan jalankan dengan telus, terbuka dan tidak akan melindungi sesiapa dan jika siasatan mendapati ada pihak yang cuai, ada orang saya sendiri yang cuai dan melebihi kuasa yang diberikan, tindakan setimpal akan diambil,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Khalid berkata, beliau sedih dengan apa yang terjadi dan pada masa sama berharap semua pihak yang tidak ada kena-mengena (dalam kes itu) jangan mencampuri siasatan polis.

Menurutnya, sehingga kini seramai sembilan saksi kejadian sudah dipanggil untuk dirakam percakapan dan mereka terdiri anggota polis, manakala saksi utama iaitu rakan Aminulrasyid yang juga anak anggota polis dan berada dalam kereta yang dipandu mangsa memberi keterangan semalam.

myMetro
29 April 2010

Keluarga mangsa terima kunjungan, simpati

SHAH ALAM: Rumah keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah, 15, terus menerima kunjungan orang ramai termasuk ahli politik sama ada untuk memberi sumbangan atau memberi kata-kata nasihat. Pada masa sama, pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pembangkang sepakat mahu siasatan kes itu dilakukan secara telus tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah, ketika ditemui selepas mengunjungi kediaman mangsa berkata, dia meminta segelintir pihak yang mendakwa remaja yang ditembak mati itu penjenayah supaya menarik balik kenyataan itu bagi membersihkan nama mangsa serta keluarganya.

“Saya harap pihak terbabit tarik balik kenyataan itu kerana ibu mangsa mendakwa dia bukan penjenayah dan masyarakat sekeliling mengenalinya.

“Ibu mangsa cukup tertekan kerana ada pihak yang membuat kenyataan memburukkan nama keluarga mereka dengan mendakwa anaknya seorang penjenayah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari meluangkan masa hampir sejam untuk bertanyakan perkembangan kes kepada ahli keluarga mangsa.

Murugiah, bagaimanapun, menyerahkan kes itu kepada polis kerana yakin siasatan akan dijalankan secara terperinci selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri memberi jaminan.

myMetro
29 April 2010

'Sudah nasibmu'

MELAKA: Seorang anggota tentera di Taman Tanjung Minyak Utama, Sahrol Isam Alias, 37, merayu orang ramai menghulurkan sumbangan bagi menampung kos ubatan dan harian anaknya sulungnya, Siti Norsyafiqah 13, yang menderita penyakit ketumbuhan otak lebih setahun lalu.

Sahrol Isam berkata, beliau berdepan masalah kewangan apabila menanggung kos susu khas anaknya RM4,200 sebulan tidak termasuk lampin pakai buang, selain perlu menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak yang lain hingga menyebabkan dia menjual dua motosikal bagi menampung kos berkenaan.

Menurutnya, sejak anaknya disahkan menghidap penyakit yang dikesan pada 2 Januari 2009, kehidupan mereka sekeluarga menjadi sukar, malah anaknya itu menjalani sembilan pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, anaknya itu rebah di sekolah kebangsaan Tanjung Minyak selepas kali pertama di serang penyakit berkenaan hingga terpaksa dirujuk ke HKL.

Katanya, anaknya itu koma selama tiga bulan selepas pembedahan, namun kembali sedar tetapi malangnya dia tidak mampu bercakap.

“Hanya sesekali dia merintih kesakitan dan memanggil ayah dan ibu, namun selebihnya hidup sehariannya diuruskan kami anak-beranak termasuk menyedia dan menyuapkan susu khas bagi menggantikan nasi.

“Dia tinggal di HKL selama setahun dan menjalani pembedahan kesembilan pada 18 Jun tahun lalu. Dia dibawa balik ke rumah dan terlantar di atas tilam di ruang tamu, tanpa mampu bergerak,” katanya.

Sahrol Isam berkata, akibat penyakit itu, anaknya gagal meneruskan sesi persekolahan dan tidak mampu menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berikutan terlantar di hospital.

Beliau berkata, anaknya pelajar yang aktif dan pernah dilantik menjadi bendahari koperasi dan aktif bermain badminton.

Berikutan beban yang terpaksa ditanggungnya, Sahrol Isam berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya.

Katanya, anaknya menjalani rawatan susulan di HKL berikutan sampel tisu anaknya diambil pada 13 April lalu dengan keputusan dijangka pada 30 April ini. Orang ramai yang mahu menghulur sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan melalui akaun Maybank isteri beliau, Ruzainawati Aziz 15410109403 atau menghubunginya di talian 017-6544616.

myMetro
29 April 2010

Tragedi ziarah bapa rakan

KUANTAN: Niat asalnya mahu menemani rakannya pulang menziarah bapa yang sakit, namun malang tidak berbau apabila dia terbunuh selepas kereta dinaiki terbabas dalam kemalangan di bulatan Aspa Cottage, Gebeng, dekat sini, kelmarin.

Demikian nasib menimpa kakitangan kerajaan, Shafazilah Sharudin, 24, yang maut selepas kereta dinaiki bersama rakannya, Wan Mohammad Ashraf Suhaimi, 21, dan Shamsitah Sulaiman, 24, terbabas ketika tiba di bulatan berkenaan dipercayai akibat hilang kawalan dalam kejadian kira-kira jam 10 malam.

Difahamkan, tiga sahabat itu dalam perjalanan dari Marang, Terengganu ke rumah Shamsitah di Paloh Hinai di sini, untuk menziarah bapanya yang sakit.

Pegawai Penguat kuasa/Tadbir Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata ketika tiba di tempat kejadian kereta Honda Civic dipandu Ashraf, seorang anggota polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu melanggar besi pembahagi jalan.

“Kenderaan berkenaan tercampak lalu melanggar batu konkrit bulatan Aspa Cottage menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar dari kereta,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, Shafazilah yang berada di tempat duduk penumpang depan berasal dari Klang, Selangor maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

myMetro
29 April 2010

Kepala dalam plastik

DI SINI...tempat mayat lelaki yang dikerat enam ditemui.


JOHOR BAHRU: “Jantung saya bagaikan tercabut apabila menemui bungkusan plastik hitam berisi kepala manusia,” kata pekerja syarikat kontraktor mengangkut sampah yang tidak menyangka rutin mengasingkan bahan buangan sejak beberapa tahun membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki bogel dikerat enam.

Lelaki belum dikenal pasti identitinya yang diceraikan kepala, badan, dua tangan dan dua kaki sebelum disumbat dalam tiga beg plastik sampah, ditemui di pusat pengumpulan sampah di Jalan Bakti, Kawasan Perindustrian Dato’ Onn, Larkin di sini, kira-kira jam 11.50 pagi semalam.

Difahamkan, anggota badan mangsa dicampak ke dalam tong sampah besar di sebuah kompleks beli-belah di Taman Perling di sini, sebelum diangkut ke pusat pengumpulan sampah berkenaan.

Pekerja yang mahu dikenali sebagai Kumar, 40-an, berkata mayat itu ditemui ketika dia bersama empat rakan sedang mengasingkan sampah di pusat pengumpulan sampah berkenaan.

Menceritakan pengalaman menakutkan itu, Kumar berkata, dia bertugas seperti biasa ketika membuka timbunan plastik sampah yang dibawa sebuah lori sebelum mendapati sebuah beg plastik mengandungi sesuatu yang keras dan lebih berat berbanding bahan buangan lain.

“Sebaik membuka beg plastik itu, saya nampak seolah-olah kepala patung. Bila diperiksa dengan betul baru saya sedar ia kepala manusia.

“Pengalaman pagi tadi (semalam) cukup mengerikan dan mengakibatkan saya trauma kerana tak sangka bungkusan itu mengandungi kepala lelaki berkulit cerah.

“Saya menggigil ketakutan tapi tetap beranikan diri memberitahu pengurus bertugas sebelum pemilik pusat pengumpulan sampah melaporkannya kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata beg plastik mengandungi anggota badan manusia yang dikerat itu diambil daripada tong sampah sebuah pusat beli-belah di Taman Perling, kira-kira jam 11.15 pagi.

“Hasil siasatan mendapati 80 peratus daripada tubuh mangsa masih lengkap. Selain kepala, kami menemui baki badan lelaki berkenaan dalam dua lagi beg plastik hitam,” katanya.

Menurutnya, mayat lelaki itu berkemungkinan warga asing berdasarkan keadaan fizikalnya.

Katanya, mayat berkenaan dihantar ke hospital untuk siasatan lanjut dan pihaknya percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke tempat pembuangan sampah di belakang pusat beli-belah berkenaan.

“Siasatan mendapati lelaki terbabit berusia 20-an, berkulit cerah dan mungkin dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui.

“Kami masih berusaha mengenal pasti lelaki terbabit kerana tiada sebarang dokumen ditemui di tempat pembuangan sampah berkenaan.

“Kami juga akan menjalankan siasatan lanjut termasuk pergi ke kawasan pembuangan sampah di Perling untuk melihat sama ada terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitarnya bagi mengenal pasti identiti mangsa dan penjenayah yang terbabit,” katanya.

myMetro
29 April 2010

Tangisan suara halus



TANAH MERAH: “Saya terdengar suara jeritan bayi tapi tak tahu di mana. Sebaik membuka pintu rumah, saya terkejut apabila mendapati seorang bayi dibalut dengan kain selimut ditinggalkan di beranda rumah,” kata Sukma Abdullah, 53.



MALANG...bayi yang ditinggalkan

Dia menemui seorang bayi lelaki di rumahnya di Jalan Wan Ahmad, dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Menurut Sukma, sebelum itu dia sedang bersiap untuk tidur sebelum dikejutkan dengan suara tangisan bayi.

Katanya, dia yang tinggal berseorangan agak takut kemungkinan diganggu ‘makhluk halus,’ namun sangkaannya meleset apabila dikejutkan dengan kehadiran bayi itu.

“Ketika itu, saya ingin masuk tidur tapi terdengar suara bayi. Saya takut dan turut menyangka tangisan itu adalah anak jiran yang mungkin sakit.

“Saya kemudian memeriksa dalam rumah sebelum membuka tingkap dekat pintu utama. Saya terkejut kerana ternampak ada ‘benda’ di beranda rumah sebelum memberanikan diri membuka pintu untuk melihat dari dekat. Saya terkejut mendapati ia seorang bayi,” katanya.

Sukma berkata, dia yang panik kemudian terus memberitahu jiran berhampiran sebelum menghubungi polis.

Katanya, dia turut hairan bagaimana ada individu boleh meninggalkan bayi di situ sedangkan terdapat ramai orang lalu lalang di depan rumahnya untuk mengunjungi pasar malam.

“Bayi itu ditinggalkan dalam keadaan sempurna dan sihat cuma terdapat sedikit kesan darah,” katanya.

Bayi seberat 3.3 kilogram itu dikatakan baru berusia dua hari dan masih bertali pusat.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud, berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat awam.

Katanya, bayi terbabit didapati dalam keadaan berbungkus dengan kain tuala dan selimut.

“Bayi terbabit kemudian dibawa ke Hospital Tanah Merah bagi mendapatkan rawatan segera di unit kecemasan sejurus kemudian.

“Setakat ini bayi itu ditempatkan di Wad Penjagaan Kanak-kanak dan suspek masih dicari,” katanya.

Menurutnya, polis turut meminta kerjasama pegawai Pejabat Pelajaran Daerah selain orang ramai untuk membantu siasatan.

“Semakan akan dibuat di sekolah menengah bagi mengenal pasti pelajar yang tidak hadir ke sekolah untuk tempoh beberapa hari dan beberapa klinik swasta sekitar daerah bagi membantu siasatan.

“Mereka mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Mardiana di talian 09-9557704,” katanya.

myMetro
29 April 2010



Bayi lelaki masih bertali pusat ditemui di balkoni rumah

TANAH MERAH – Seorang bayi lelaki berusia dua hari, ditemui di hadapan balkoni sebuah rumah di Jalan Wan Ahmad di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Abdul Aziz Mahmud berkata, bayi seberat 3.3 kilogram itu ditemui kira-kira pukul 12.30 pagi, dalam keadaan berbalut tuala dan selimut.

"Bayi itu ditemui oleh dua pemilik rumah berkenaan, Sukma Abdullah dan Norasiah. Semasa ditemui bayi yang masih bertali pusat itu dalam keadaan sihat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, bayi itu dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM).

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mardiana di talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merak 09-9557704 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya. – Bernama

28 April 2010

Remaja 14 tahun hilang dilarikan 'Lembut'

Sharifah Norzidah Syed Abu Bakar (kiri) memeluk sambil mencium anak kesayangannya Yasirah Zuhairah Zakaria yang kembali kepangkuannya setelah dilaporkan hilang selama sepuluh hari di Kota Tinggi, semalam.


KOTA TINGGI 28 April - Selama 10 hari anaknya menghilangkan diri, selama itu jugalah, Sharifah Norzidah Syed Abu Bakar, 48, tidak selera makan dan kurang tidur.

Semuanya gara-gara memikirkan anak bongsu kesayangannya, Yasirah Zuhairah Zakaria, 14, yang menghilangkan diri semasa ke sekolah, 14 April lalu.

Kejadian bermula setelah Yasirah mengikut teman lelaki yang baru dikenalinya dipanggil 'Lembut' berusia 19 tahun sehingga sanggup ponteng sekolah.

Yasirah yang ditemui di rumahnya di Kampung Sepang, Teluk Ramunia, Pengerang, dekat sini semalam, mengakui terlalu percayakan teman lelakinya itu.

Katanya, tanpa berfikir panjang, dia sanggup ponteng sekolah untuk menemui lelaki itu yang berjanji menunggunya di perhentian Bandar Penawar pada hari kejadian.

"Pada pertemuan itu saya diajak bersarapan sebelum dibawa bersiar-siar di kawasan sekitar menaiki sebuah motosikal hingga kira-kira pukul 1 petang.

"Dia (teman lelaki) kemudian hendak hantar saya pulang ke rumah. Bagaimanapun kami singgah di sebuah pencawang elektrik di Sungai Rengit untuk bertemu rakan teman lelaki saya.

"Saya diminta menunggu di situ sementara dia (teman lelaki) ke kedai berhampiran. Namun sehingga malam dia tidak muncul-muncul," katanya.

Beliau berkata, berikutan itu dia berasa takut untuk pulang dan mengambil keputusan mengikut seorang pengawal keselamatan yang ditemui di pencawang terbabit.

"Saya nekad mengikut abang Hairi (pengawal keselamatan) balik ke rumah keluarganya di Felda Tunggal.

"Hairi memberi alasan kepada keluarganya, saya ingin menumpang beberapa hari sahaja. Namun selepas lebih seminggu bapanya mengesyaki sesuatu kerana menemui pakaian seragam sekolah di dalam beg saya," katanya.

Yasirah berkata, bapa Hairi kemudian ke balai polis berdekatan untuk menyemak senarai orang hilang dan mendapati dirinya dilaporkan dicari oleh keluarganya.

Katanya, dia kemudian dipertemukan dengan keluarganya pada 24 April lalu.

"Saya menyesal ponteng sekolah dan terlalu ikutkan perasaan. Saya berjanji tidak akan ulangi kesilapan sama," katanya.

Dia juga berjanji akan meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Datuk, Pengerang.

Sharifah Norzidah ketika ditemui melahirkan ucapan terima kasih di atas bantuan pelbagai pihak, termasuk keluarga Hairi dan polis yang banyak membantu sehingga Yasirah ditemui semula dengan selamat.

Utusan Online
29 April 2010

Remaja mati ditembak polis: Sepuluh saksi utama diambil keterangan

SHAH ALAM 28 April - Polis telah mengambil keterangan 10 saksi termasuk seorang saksi utama bagi membantu siasatan kes remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh anggota pihak berkuasa itu, pada kelmarin, di Seksyen 11 di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, keterangan saksi utama iaitu rakan kepada remaja terbabit yang melarikan diri semasa kejadian, diambil pihaknya kira-kira pukul 2 petang ini.

Beliau berkata, keterangan sembilan lagi saksi yang kesemuanya anggota polis telah diambil secara berperingkat bermula pada hari kejadian.

''Kita akan cuba menyelesaikan segera dan akan merujuk kes tersebut kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada penghujung minggu ini.

''Siasatan kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan empat anggota yang terlibat masih lagi menjalankan tugas-tugas pejabat seperti diarahkan.

''Selepas siasatan selesai dan kita mendapat arahan lanjut daripada DPP, barulah tindakan seterusnya akan dilakukan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya perkembangan siasatan kes Allahyarham Aminulrasyid Amzah yang mati terkena tembakan polis semasa dia dan rakannya cuba melarikan diri dari dikejar oleh kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11, kira-kira pukul 2 pagi Isnin lalu.

Dalam pada itu kata Khalid, pihaknya meminta kerjasama saksi-saksi yang melihat kejadian atau terlibat dalam perlanggaran dengan kereta remaja terbabit sebelum dia ditembak agar tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Ujar beliau, mereka boleh datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk memberikan keterangan atau menghubungi talian 03-5510 2222.

Sementara itu, saksi utama kejadian yang juga merupakan pelajar berusia 15 tahun telah diambil keterangannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

Saksi tersebut yang merupakan anak seorang anggota polis hadir ke IPK Selangor dengan ditemani oleh peguam, Gobind Singh Deo.

Dalam perkembangan berkaitan, sepasukan forensik menemui sebutir kelongsong peluru di tempat kejadian, kira-kira pukul 11.30 pagi, lokasi remaja terbabit dipercayai ditembak.

Mereka turut menjejaki kesan-kesan tembakan di beberapa lokasi yang disyaki dilalui remaja itu termasuk di Bulatan Kayangan.

Peluru itu difahamkan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Utusan Online
29 April 2010

April 28, 2010

Suhakam diminta turut siasat kes remaja ditembak polis

KUALA LUMPUR – Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) mencadangkan agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden seorang remaja 15 tahun yang dilaporkan ditembak mati oleh polis di Shah Alam pada Isnin lepas.

Presidennya, Prof. Datuk Mohd. Hamdan Adnan berkata, Suhakam sebagai badan yang bebas harus menyiasat kes itu sebagai pihak ketiga kerana ia tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam isu itu bagi memastikan siasatan yang dijalankan telus.

"Kita bukan nak kata polis tak boleh buat siasatan tapi kerana dia (polis) sendiri terlibat, maka Suhakam dilihat sebagai pihak bebas yang boleh menjamin ketelusan siasatan.

"Suhakam harus lebih proaktif terhadap kes-kes yang melibatkan hak asasi manusia terutama yang mendapat liputan meluas media kerana dia ada akta yang membenarkan siasatan dijalankan tanpa menunggu laporan,” katanya di sini hari ini.

Aminulrasyid Amzah, 15, dilaporkan mati terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan pula mencadangkan agar satu inkues dijalankan kerana berlaku kematian dalam satu operasi polis. – Bernama

28 April 2010

Kabinet sedih, simpati terhadap kejadian remaja mati ditembak

PUTRAJAYA – Kabinet melahirkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak dalam satu kejadian melibatkan anggota polis di Shah Alam pada Isnin lepas dan mahu siasatan dibuat secara telus.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau telah membangkitkan kes itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

"Kita juga minta kes itu tidak dipolitikkan kerana jika ia menjadi isu politik, maka sukar kes itu hendak diselesaikan,” katanya kepada pemberita di majlis penyampaian cek bernilai RM3 juta kepada SJK (C) Rasa di sini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, diminta mengulas insiden kematian remaja berusia 15 tahun itu yang dilaporkan ditembak oleh polis ketika didakwa cuba mengundur kenderaan yang dipandunya ke arah anggota polis. – Bernama

28 April 2010

Warga emas maut dirempuh kereta

PANTAI REMIS – Seorang warga emas maut di tempat kejadian apabila terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah basikal dan kereta jenis Naza Sutera, di Kilometer 24 Damar Lat-Taiping, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman ketika dihubungi mengesahkan kemalangan yang berlaku kira-kira 9.30 pagi, semalam.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai A Raman Saad maut apabila basikal yang dinaikinya dari arah Taiping ke Damar Laut dipercayai dirempuh dari belakang oleh Naza yang dipandu seorang wanita berusia 41 tahun dari arah sama.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan A Raman terjatuh yang menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala dan basikal yang ditungganginya terperosok di bawah bas sekolah yang diletakkan tepi jalan.

“Mangsa yang berasal dari Jalan Sitiawan, Beruas dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat.

“Difahamkan, jenazah mangsa dituntut ahli keluarga kira-kira jam 1 petang semalam dari unit Forensik Hospital Seri Manjung,” katanya.

Mohd Jamil turut menasihati kepada pengguna jalan raya supaya memberikan keutamaan kepada penunggang motosikal serta basikal agar dapat mengelakkan kemalangan seperti ini berlaku.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan lebih terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
28 April 2010

Remaja naik angin terjun sungai terus hilang

BUTTERWORTH - Seorang remaja lelaki yang tidak tahu berenang, bertindak terjun ke dalam Sungai Perai selepas bertengkar dengan beberapa rakannya petang kelmarin.

Sehingga semalam, nasibnya masih belum diketahui kerana belum dapat dikesan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa dipercayai bersama beberapa rakan sedang melepak di bawah jambatan berdekatan Taman Bagan setelah pulang dari bandar.

Difahamkan, mangsa naik angin sejak berada di pusat bandar dengan memarahi rakannya hingga menyebabkan mereka bergegas pulang awal ke rumah masing-masing yang terletak di sekitar Taman Bagan.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mereka kemudian menuju ke bawah jambatan itu untuk menyelesaikan perselisihan faham agar tidak berlarutan.

“Mangsa dikatakan masih tidak berpuas hati dengan rakan-rakannya kerana dituduh gagal mengawal emosinya ketika bersiar-siar di bandar.

“Walaupun semua rakan memaafkannya dan cuba melupakan kejadian itu , mangsa dikatakan masih tidak dapat menerimanya menyebabkan tercetus semula pertengkaran hingga membawa tindakannya terjun ke dalam sungai kerana tidak berpuas hati,” katanya.

Sebaik terjun, mangsa yang dikatakan tidak pandai berenang terus tenggelam menyebabkan rakan-rakannya panik dan menghubungi polis.

Gerakan mencari dilancarkan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Butterworth dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Butterworth namun gagal ditemui.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asistan Komisioner Zulkifli Alias ketika dihubungi mengesahkan kehilangan remaja itu yang dikhuatiri lemas namun enggan mengulas punca kejadian itu kerana pihaknya masih menyiasat.

“Kita sedang bekerjasama dengan JPAM dan bomba untuk mencari mangsa tetapi sehingga kini belum ditemui.

“Polis juga akan merakam keterangan daripada rakannya terlebih dahulu bagi mendapat gambaran jelas tentang kejadian itu sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut,” katanya.

Gerakan mencari mangsa dihentikan lewat malam kelmarin dan disambung pagi semalam namun sehingga berita ini ditulis, mangsa masih gagal ditemui.

Sinar Harian
28 April 2010

Mangsa nahas sempat wasiat derma organ

PELABUHAN KLANG - Seorang mangsa kemalangan sempat mendaftar untuk mendermakan organnya kepada keluarga kira-kira dua bulan sebelum meninggal dunia akibat dirempuh sebuah treler di Jalan Pelabuhan Utara menghala ke Bandar Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, G Malliha, 44, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Suami mangsa ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, R Ettiappan, 50, berkata, beberapa hari lalu isterinya sekali lagi berpesan agar menyerahkan semua organ sekiranya terjadi sebarang perkara kepadanya.

“Saya rasa tidak sedap hati namun saya anggap ia hanyalah gurauan semata-mata. Tambahan semalam dia sangat mesra dengan saya seolah-olah kami pasangan pengantin baru.

“Seminggu sebelum ini saya sering berulang-alik ke Kuala Kubu Bharu (KKB) bagi memberi sokongan kepada pilihan raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan baru kelmarin, saya sempat berbual panjang dengan isteri,” katanya yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Seri Perantau merangkap Ketua Komuniti Kaum India, di sini.

Beliau berkata, kakaknya, Danaletchumy juga memaklumkan yang isteri ada memberitahu tidak dapat melelapkan mata seolah-olah akan berlaku sesuatu padanya kira-kira seminggu lalu.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa yang menunggang motosikal keseorangan itu dikatakan dalam perjalanan ke Bandar Pelabuhan Klang untuk membantu suaminya menjual cendol.

“Difahamkan suaminya yang juga menunggang motosikal berada di depan kira-kira 2 kilometer daripada mangsa. Sejurus sebelum tiba di persimpangan Pelabuhan Barat, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah treler dari arah kanannya.

“Akibat geselan itu, motosikal yang ditunggang terbalik dan mangsa dikatakan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke HTAR untuk bedah siasat selain menjalani penyerahan organ kepada pihak hospital.

“Keluarga mangsa juga hadir untuk menandatangi persetujuan penyerahan organ itu. Dalam pada itu, kita minta sesiapa yang menyaksikan kejadian itu tampil ke Balai Trafik Daerah Klang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Norizan di 03-33722222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian
28 April 2010

Pemuda maut gagal potong lori


NILAI – Disebabkan gagal memotong sebuah lori di Jalan Batang Benar, di sini, seorang pemuda maut setelah motosikal ditunggang nya gagal mengelak sebuah lori yang membawa muatan batu bata dari arah bertentangan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Mohd Amlie Hasni, 25, dikatakan dari arah Nilai sebelum dilanggar lori berkenaan dalam kejadian yang berlaku di hadapan bekas tapak Kilang Roadstone tidak jauh dari stesen Komuter Batang Benar.

Menurut sumber, mangsa mengalami kecederaan parah dan patah di beberapa bahagian badan dan meninggal di tempat kejadian.

“Dipercayai mangsa dari arah Nilai cuba memotong lori di hadapannya, tapi dia dikatakan tidak nampak lori dari arah bertentangan dan mangsa cuba mengelak masuk ke bahagian tepi, tapi gagal,” katanya.

Pegawai Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan kejadian tersebut berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan lalu meninggal di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk dibedah siasat.

Sinar Harian
28 April 2010

Tuntutan ibu anak mati ditembak ditolak

KUALA LUMPUR – Tuntutan gantirugi seorang ibu atas kematian anaknya yang ditembak polis sembilan tahun lalu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam.

Hakim Datuk Balia Yusof yang memberikan keputusan itu mengatakan, pihak plaintif, P Pagithiammah yang diwakili peguam, Karpal Singh gagal membuktikan elemen kecuaian oleh defendan semasa menembak, N Simon Sonny.

Pada 2004 ibu si mati memfailkan tuntutan tersebut dan menamakan Lans Koperal Nor Azamzi Md Daud dan Mohd Ruzi Yusop masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua sementara Kerajaan sebagai defendan ketiga.

Simon Sonny, pengerusi Restoren Nasi Kandar ketika itu 23 tahun mati ditembak pada 29 Ogos 2001.

Ibunya memfailkan bahawa tindakan kedua-dua polis dalam penembakan anaknya adalah hasil kecuaian dan/atau tindakan melulu mereka.

Defendan pertama pula dalam pembelaan menyatakan menembak Simon Sony kerana nyawa terancam.

Setelah meneliti keadaan yang terjadi dalam masa amat singkat ketika itu dan berdasarkan keterangan defendan, mahkamah mendapati defendan bertindak wajar semasa menembak pemuda itu.

“Suspek (si mati) dalam kes ini bukan lari tetapi mencabar defendan. Si mati meluru ke arah defendan. Tindakan suspek mendesak tindakan defendan,” kata Balia.

Beliau menerima keterangan defendan pertama yang mengatakan telah menembak Simon Sony ketika tersepit di celah-celah kereta dan setelah tidak dapat berundur lagi kerana diserang si mati yang terlalu dekat antara 3 hingga 4 kaki.

Justeru beliau mendapati tiada bukti kecuaian dan tiada isu ganti rugi timbul seperti yang dituntut plaintif lalu memutuskan menolak tuntutan tersebut dengan kos.

Defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Catherine Nicholas.

Sinar Harian
28 April 2010

Ambulan nazak 'seksa' penduduk

BANDAR 32 – Lebih 2,000 orang penduduk menggunakan perkhidmatan rawatan kesihatan di Klinik Kesihatan Bandar 32, dekat sini.:

Namun, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Felda Tementi mendakwa perkhidmatan yang disediakan tidak mampu menampung jumlah penduduk selain keadaan kenderaan ambulan yang ‘nazak’.

Pengerusinya, Ahmad Wok berkata, penduduk mengadu melalui JKKK mengenai perkara itu dan perbincangan juga beberapa kali diadakan bertujuan membaiki kelemahan itu.

“Dalam mesyuarat JKKK juga beberapa kali membincangkan perkara ini. Dengan nisbah seorang doktor dengan jumlah penduduk yang ada, perkhidmatan yang diberikan adalah sangat teruk.:

“Doktor yang ditugaskan juga tidak tinggal di kuarters yang disediakan malah lebih senang di Temerloh yang jaraknya lebih kurang 60 kilometer untuk ke klinik itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad berkata, sekiranya berlaku kecemasan ketiadaan doktor untuk melakukan tugas-tugas yang sewajarnya tidak dapat dijalankan dengan lancar.:

Malah, katanya, mungkin pesakit tidak mendapat kemudahan sepatutnya sekiranya tugas seorang doktor diserahkan kepada pembantu perubatan semata-mata.:

Menurutnya, doktor berkenaan juga tidak bekerja mengikut jadual menyebabkan pesakit atau orang ramai yang datang ke klinik pada waktu siang lebih banyak berurusan dengan pembantu perubatan.

“Selain itu, penduduk juga terpaksa berhadapan dengan masalah ambulan yang ‘nazak’ kerana sering rosak sama ada sebelum membuat atau semasa membuat penghantaran pesakit ke hospital.

“Malah, apabila ambulan sedia ada rosak, pesakit terpaksa menunggu sehingga ambulan lain datang untuk membantu ataupun waris pesakit terpaksa menggunakan kenderaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, seharusnya ambulan itu diganti baru malah bilangannya perlu ditambah sejajar dengan penambahan penduduk di kawasan yang mendapat rawatan di sini.

Difahamkan penduduk bukan sahaja berhadapan dengan masalah itu, tetapi perkhidmatan yang terlalu lembap kerana pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Ahmad berkata, keadaan itu menyebabkan mereka lebih senang berurusan dengan klinik swasta berdekatan kediaman mereka.

Sinar Harian
28 April 2010

Datuk bersyukur mayat cucu berjaya ditemui


SETIU – Pelbagai persoalan timbul selepas kehilangan kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun, Nurashira Razid akhirnya terjawab apabila mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dasar sungai di Kampung Buluh Hilir, di sini, semalam.

Nurashira adalah anak bongsu pasangan, Razid Puteh, 33, dan Noriza Muhamad Lazin, 37, yang dikatakan hilang sejak petang kelmarin, ditemui pasukan penyelamat semalam, kira-kira 30 meter dari tempat mangsa dikatakan terjatuh.

Sebelum itu, mangsa dikatakan hilang selepas membeli makanan di sebuah kedai berdekatan rumah kira-kira jam 3.30 petang Isnin sebelum bapa mangsa menyedari kehilangan anak bongsunya itu apabila arwah tidak pulang ke rumah.

Selepas mencari di sekitar sungai berhampiran sehingga jam enam petang pada hari sama termasuk ke rumah peniaga terbabit, Razif menemui sepasang selipar milik arwah anaknya di jeti sungai berkenaan, lewat petang kelmarin.

Bagaimanapun Razid ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia percaya anaknya tidak terjatuh ke dalam sungai dari jeti yang jaraknya beberapa meter dari rumah mereka.

“Saya dimaklumkan, ada orang menemui selipar anak saya hanyut dan tersangkut di pokok buluh sebelum diletakkan di jeti berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, Razid membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid ketika ditemui berkata, pasukan mencari dan menyelamat ke kampung terbabit selepas menerima laporan, pada malam kejadian berlaku.:

“Satu pasukan mencari dan menyelamat ditubuhkan selepas itu, dibantu 21 anggota terdiri daripada 16 anggota unit skuba dan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Setiu serta Kuala Terengganu, selain tujuh anggota penyelamat Jabatan Pertahanan Awam,” katanya.

Menurutnya, mayat kanak-kanak malang itu akhirnya ditemui kumpulan penyelamat jam 2 petang sebelum dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.

Sementara itu, datuk arwah, Muhamad Lazin Ismail, 73, berkata, walaupun berat hati buatnya dan keluarga menerima berita itu, namun bersyukur kerana mayat ditemui kerana baginya itu lebih baik daripada arwah cucunya hilang dilarikan orang.

Muhamad Lazin berkata demikian mengulas kejadian berlaku akhir tahun lalu, apabila sepupu arwah, Norfarisha Husna Saifudin, 2, pernah dilarikan orang selepas penculik memecahkan tingkap rumah keluarga seorang lagi anaknya.

Bagaimanapun, Norfarisha Husna yang juga anak kepada kakak mangsa, tinggal berdekatan dengan rumah keluarga arwah ditemui semula lebih kurang 200 meter dari rumah selepas ditinggalkan di tepi sungai oleh penculik terbabit.

Sinar Harian
28 April 2010