December 30, 2010

Polis buru ‘Zul Badak’ selesai kes gaduh

KUANTAN 28 Dis. – Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai ‘Zul Badak’ bagi membantu siasatan kes pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah kedai makan di Sungai Isap, dekat sini tengah malam tadi.

Pergaduhan pada pukul 12.30 tengah malam itu membabitkan dua kumpulan iaitu geng ‘Zul Badak’ dan geng ‘Putra’, berusia 20 hingga 44 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, ‘Zul Badak’ berusia 30-an dipercayai merupakan ketua kumpulan samseng terbabit.

Menurutnya, dalam pergaduhan itu, kedua-dua kumpulan bergaduh sesama sendiri dengan parang.

Katanya, beberapa lelaki dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selepas cedera di tangan, paha dan badan.

“Kita telah menahan lima daripada suspek itu di HTAA pada pukul 6 pagi ini. Dua daripada mereka dipercayai ahli kumpulan geng ‘Zul Badak’ dan tiga lagi, geng ‘Putra’,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Menurut Narenasagaran, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan seorang ahli kumpulan ‘Zul Badak’ berusia 25 tahun ditampar di sebuah restoran nasi kukus di Jalan Beserah di sini, kira-kira pukul 9 malam.

“Kejadian itu menyebabkan ‘Zul Badak’ tidak berpuas hati lalu membalas dendam. Polis kini memburu ‘Zul Badak’ dan beberapa lagi suspek terlibat bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Utusan
29 Dis 2010


Pembalasan Zul Badak

KUANTAN: Bengang selepas rakannya ditampar, seorang lelaki dikenali sebagai ‘Zul Badak’ membawa beberapa rakan lain menyerang sekumpulan lelaki yang mencederakan rakannya itu dalam serang balas bersenjatakan parang di sebuah restoran di Sungai Isap, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, kumpulan diketuai Zul Badak menyerang satu lagi kumpulan ketika mereka melepak di kedai makan itu mengakibatkan berlaku kekecohan menyebabkan pelanggan lain bertempiaran lari.

Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila mereka bergasak tanpa mempedulikan orang awam yang menyaksikan kejadian yang berlaku umpama aksi filem ala mafia sebelum masing-masing melarikan diri.

Dipercayai, serangan berkenaan bermotifkan dendam selepas seorang ahli kumpulannya ditampar ahli kumpulan terbabit di sebuah kedai makan di Jalan Haji Ahmad, di sini, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata dalam serangan berkenaan beberapa ahli kedua-dua kumpulan terbabit mengalami kecederaan sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Katanya, ketika kejadian Zul Badak bersama ahli kumpulannya pergi ke restoran berkenaan selepas mengetahui ahli kumpulan terbabit berada di situ.

“Tanpa mempedulikan pelanggan lain, mereka terus menyerang kumpulan berkenaan menggunakan parang sehingga beberapa orang daripada kedua-dua kumpulan terbabit cedera,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Narenasagaran berkata, hasil tindakan pantas selepas mendapat laporan berhubung kejadian itu, polis berjaya menahan lima ahli kedua-dua kumpulan terbabit di HTAA kira-kira jam 6 pagi semalam ketika mereka mendapatkan rawatan selepas cedera dalam pergaduhan itu.

myMetro
29 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment