December 13, 2010

Mayat Perempuan Dipotong Beberapa Bahagian Ditemui Di Genting Highlands

BENTONG: Mayat seorang perempuan yang dipotong beberapa bahagian badannya ditemui di kawasan gaung berhampiran sebuah tokong Cina, Gohtong Jaya, Genting Highlands semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong DSP Mohamad Mansor Mohamad Noor berkata beberapa anggota badan mayat itu ditemui orang awam di kawasan gaung di km2.3 Jalan Genting Highlands pada pukul 5 petang.

"Orang awam menemui kaki kiri dan tangan kanan dan melaporkannya kepada polis," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata polis yang melancarkan gerakan mencari kemudiannya menemui sebuah beg yang mengandungi kepala dan badan tanpa kedua-dua tangan dan kaki pada pukul 12.30 tengah hari ini.

Beg itu ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat sebelah tangan dan sebelah kaki mangsa ditemui.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa ialah seorang remaja perempuan.

Mohamad Mansor berkata anggota bahagian kaki kanan dan tangan kiri belum ditemui dan polis kini meneruskan operasi mencari dua lagi anggota badan mangsa yang hilang itu.

"Mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam lepas," katanya.

Anggota bahagian yang ditemui itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) Kuantan untuk bedah siasat.

Orang awam yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Bentong Supt Rosli Abdul Rahman berkata polis percaya ia merupakan mayat seorang remaja orang kelainan upaya (OKU).

"Ini berikutan bahagian kepala yang didapati bersaiz lebih besar dari biasa, manakala tangan kanan pula kecil dari biasa," katanya.

Beliau berkata remaja berambut kerinting itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di kawasan berkenaan.

Unit Anjing Pengesan dipercayai masih lagi mencari beberapa anggota badan remaja itu di kawasan berhampiran.

Rosli berkata polis sedang meneliti senarai orang hilang berdasarkan bentuk fizikal bagi mengesan identiti remaja itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mempunyai kenalan yang hilang berdasarkan maklumat yang diberi ini diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong ASP Yusuf Unif dengan menelefon 019-5524444 atau IPD Bentong 09-2222222 atau hubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-BERNAMA

13 Dis 2010


Sumbat mayat dalam beg lepas kerat enam

PETUGAS HTAA mengusung mayat seorang wanita yang ditemui dikerat enam dekat Gohtong Jaya untuk dibedah siasat semalam.

KUALA LUMPUR - Penemuan sebelah kaki kiri dan tangan kanan berhampiran sebuah tokong Cina membongkar rahsia pembunuhan kejam apabila polis menemui mayat seorang wanita yang dikerat enam di Kilometer 2.3 jalan menghala ke Gohtong Jaya, Genting Highlands dekat sini kelmarin.

Ia terbongkar apabila orang awam yang melalui kawasan tersebut ternampak dua objek berkenaan pada pukul 4.30 petang sebelum memaklumkannya kepada polis. Dua anggota badan itu ditemui berhampiran antara satu sama lain.

Polis yang melakukan siasatan kemudian menemui satu bagasi yang tertutup rapat di dalam kawasan semak satu kilometer dari lokasi kaki kiri dan tangan kanan mangsa ditemui. Sebaik dibuka, pihak berkuasa itu ternampak badan dan kepala wanita yang telah dipotong.

Bagaimanapun, sehingga semalam, polis masih gagal menemui dua lagi anggota badan mangsa iaitu tangan kiri dan kaki kanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Supritendan Mohamad Mansor Mohamad Noor berkata, siasatan awal pihaknya percaya kesemua anggota badan yang dikerat itu milik mangsa yang sama.

Kosmo
13 Dis 2010


Kaki, tangan OKU dikerat

DI SINI...tempat mayat dikerat ditemui.

KUALA LUMPUR: Kejam apabila mayat seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) ditemui dengan kedua-dua kaki dan tangannya dikerat sebelum dibuang berasingan oleh pembunuhnya berhampiran sebuah tokong di Kilometer 2.3, Genting Highlands, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, pembunuh remaja itu dipercayai cuba menghapuskan bukti dengan menyumbat anggota badan dan kepala mangsa dalam dua beg pakaian sebelum dibuang di lokasi berasingan ke dalam gaung.

Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar apabila dua pemburu haiwan eksotik yang mencari cicak menemui sebuah beg kecil dan terkejut apabila ternampak kaki terjuntai keluar dari beg berkenaan.

Pemburu berkenaan menghubungi polis selepas terkejut dengan penemuan anggota badan manusia itu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abd Rahman, berkata polis ke tempat kejadian dan menemui sebuah beg kecil berisi tangan kanan dan kaki kiri mangsa.

Selepas beberapa jam pencarian berhampiran kawasan gaung itu, polis menemui sebuah beg pakaian besar berisi mayat manusia.

Sebaik beg dibuka, polis menemui kepala dan badan mangsa yang dipercayai dibunuh tidak lebih dari 24 jam itu.

“Kami percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam gaung itu, malah badan mangsa dalam beg itu masih lengkap berpakaian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rosli berkata, pihaknya percaya remaja berkenaan OKU berdasarkan saiz kepalanya yang besar daripada badan serta tangan kanan agak kecil.

“Mangsa mempunyai tubuh badan yang agak gempal selain rambut kerinting. Usaha kini dijalankan untuk mencari tangan kiri dan kaki kanan mangsa,” katanya.

Menurutnya, tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa remaja perempuan.

“Kami masih menunggu laporan bedah siasat sama ada mangsa dirogol atau didera dengan kejam sebelum dibunuh.

“Anggota bahagian yang ditemui itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya.

Rosli meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga menghubungi Asisten Superintendan Yusof Unis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222.

Tinjauan Harian Metro ke lokasi kejadian mendapati gaung itu curam dan kawasan itu dijadikan tempat berehat sebelum sampai ke puncak Genting Highlands.

Kes penemuan mayat dikerat

10 Ogos 2007: Mayat seorang ahli perniagaan Singapura ditemui pemilik sebuah kondominium di Mont Kiara dalam keadaan dikerat 11 selepas terhidu bau busuk dari peti sejuk ketika mengemas rumah yang dikosongkan penyewa. Mayat mangsa dibungkus menggunakan beg plastik hitam serta disumbat dalam peti sejuk yang dilekat dengan pita pelekat.

30 September 1997: Seorang lelaki menemui mayat yang dikerat empat diasing dengan anggota badan dalam satu bungkusan plastik, manakala kaki, tangan dan kepala pada bungkusan lain yang disimpan dalam beg pakaian di perdu pokok di Batu 6, Jalan Ipoh.

26 Julai 1997: Mayat wanita warga emas ditemui dalam enam beg plastik berasingan dikerat secara melintang sebanyak lima kali menjadi lapan bahagian dibuang dalam semak di Batu 6, Kampung Lubuk Jong, berhampiran Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang. Mayat ditemui seorang lelaki pemotong rumput.

3 Julai 1996: Mayat gadis berusia antara 14 dan 19 tahun yang tidak berkepala, tangan dan kaki yang diisi dalam beg plastik ditemui dalam longkang sebuah pasar raya di Taman Ipoh Selatan oleh seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh.

22 Julai 1993: Misteri kehilangan Adun Batu Talam, Pahang, Datuk Mazlan Idris, terjawab apabila mayatnya ditemui dipotong 18 bahagian dan ditanam dalam lubang sedalam 1.8 meter dan permukaannya disimen di kawasan kebun rumahnya di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, kira-kira 45 kilometer dari Raub.

8 Julai 1993: Penari dan penyanyi, Lily Chua dipotong menjadi 11 bahagian dan dimasukkan dalam sebuah beg beli-belah sebelum dicampak ke dalam parit di Kuala Lumpur.

myMetro
13 Dis 2010


Remaja OKU yang dipotong, mati kerana radang paru-paru, kata polis

KUALA LUMPUR: Punca kematian remaja wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mayatnya dipotong dan disumbat dalam dua buah beg yang dijumpai Sabtu lepas di Gohtong Jaya, Genting Highlands disebabkan penyakit radang paru-paru.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata ia hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) Kuantan, Pahang petang semalam.

"Kita masih menyiasat punca lain memandangkan mayat ditemui dalam keadaan anggota badannya dipotong. Kita juga masih mencari kaitan kenapa mayat dipotong dan diperlakukan sebegitu," katanya di sini hari ini.

Mayat remaja itu ditemui di kawasan gaung berhampiran tokong Cina di Gohtong Jaya, Genting Highlands oleh pemburu cicak Gecko dalam dua buah beg, satu beg berisi tangan kanan dan kaki kiri mangsa dan beg kedua mengandungi kepala serta badan mangsa.

Polis percaya terdapat satu lagi beg yang mengandungi anggota kaki kanan dan tangan kiri mangsa yang belum ditemui.

Rosli bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai cara pembunuhan itu dilakukan, termasuk cara mangsa ditetak atau dipotong.

Katanya, siasatan kini turut dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bagi mengesan identiti sebenar mangsa.

"Walaupun identiti fizikal mangsa telah dikenal pasti namun identiti sebenar mangsa masih belum dapat dipastikan," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, kepala remaja itu didapati bersaiz lebih besar dari biasa manakala tangan kanan pula kecil dari biasa selain berambut kerinting.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasagaran bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan perkembangan kes ini, juga menemui jalan buntu termasuk bagi mendapatkan lakaran gambar mangsa untuk diedarkan. - Bernama

14 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment