December 13, 2010

Mayat Lelaki Dengan Kesan Dua Tembakan Ditemui Di Lebuh Raya KL-Karak

BENTONG: Mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemui dengan dua kesan tembakan di kepala dan belakang badannya, di Km 46.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Rosli Abdul Rahman berkata polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 3 petang oleh seorang pemandu bas.

"Pemandu terbabit kebetulan sedang mendapatkan bantuan kecemasan berikutan basnya yang rosak dan ternampak mayat lelaki itu terdampar di tepi lebuh raya berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata mayat itu ditemui berpakaian lengkap dengan kemeja-T dan berseluar jeans dalam keadaan terbaring di tepi lebuh raya berkenaan.

Tidak ada pengenalan diri ditemui namun mayat itu mempunyai tatu harimau di bahagian dada dan belakang badannya, kata Rosli.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu berusia dalam lingkungan 30an dan dipercayai mati akibat ditembak dalam tempoh antara 24 dan 36 jam lepas.

Polis juga percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain memandangkan tidak ada kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian, katanya.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-BERNAMA

13 Dis 2010


Dua peluru di kepala, badan

KUANTAN: Dua peluru bersaiz sembilan milimeter ditemui di kepala dan belakang badan mayat lelaki yang dijumpai seorang pemandu bas ekspres di Kilometer 46.8, Kuantan-Karak, dekat Bukit Tinggi, Bentong, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata pihaknya percaya mangsa ditembak menggunakan pistol semi-automatik antara dua hingga empat das, namun tidak dapat memastikan sama ada ditembak dari dekat atau sebaliknya.

“Identiti mangsa belum diketahui dan polis sudah mengambil sampel cap jarinya untuk diperiksa sama ada mempunyai rekod jenayah atau tidak.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berusia antara lewat 30 hingga 40-an, ketinggian kira-kira 172 sentimeter dan berat kira-kira 60 kilogram,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.

myMetro
14 Dis 2010


Identiti lelaki mati ditembak dikenal pasti

KUANTAN 15 Dis. - Identiti mayat lelaki yang dijumpai dengan kesan tembakan di kepala dan belakang badannya di Kilometer 46.8, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Ahad lalu, telah dikenal pasti sebagai Ng Lai Huat.

Lai Huat yang berusia 48 tahun dan berasal dari Kampung Stesen Kuala Kangsar, Perak, dikenal pasti polis melalui cap jarinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, semakan latar belakang mangsa mendapati lelaki itu memiliki 11 rekod jenayah termasuk dadah.

Menurutnya, polis kini berusaha mencari keluarganya.

"Motif pembunuhan juga masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Sementara itu, kata Narenasagaran, siasatan kes penemuan mayat seorang gadis orang kurang upaya (OKU) berketurunan India dan berusia belasan tahun akan ditukar di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, ini berikutan mangsa mati akibat penyakit radang paru-paru dan bukan dibunuh.

Namun pihaknya sukar mengenal pasti identiti mangsa kerana hampir keseluruhan badannya sudah reput.

"Siasatan masih diteruskan kerana ia menjadi tanda tanya kenapa mayat OKU itu dikerat dan dibuang di situ," ujarnya.

Utusan
16 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment