December 20, 2010

Lapan cedera mesin meletup

Gegaran seperti gempa bumi turut rosakkan premis berdekatan

PERAI – Sebahagian struktur sebuah kilang membuat rim motosikal yang terletak di Tingkat Perusahaan 6, Kawasan Perindustrian Perai, dekat sini, musnah selepas mesin penyedut habuknya meletup kira-kira jam 10 pagi semalam.

Letupan yang disusuli dengan kebakaran itu menyebabkan lapan daripada pekerjanya cedera termasuk dua parah.

Mereka yang cedera itu terdiri daripada empat pekerja tempatan dan empat pekerja Nepal dipercayai tercampak ketika letupan berlaku. Kesemuanya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan Hospital Pakar Bagan untuk rawatan lanjut. Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, letupan kuat seperti gegaran gempa bumi itu turut merosakkan beberapa premis berhampiran termasuk sebuah kilang berhadapan dengannya membabitkan cermin pecah selain serpihan paip dan sisa kepingan logam yang bertaburan di luar kilang hingga ke seberang jalan.

Seorang saksi, Abu Bakar Awang, 54, terdengar bunyi dentuman yang kuat ketika bertugas di kilang berdekatan.

“Ketika kejadian, saya sedang bertugas seperti biasa di pondok pengawal sebelum tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang sangat kuat. Saya sangka ada kemalangan, tetapi terkejut apabila mendapati rupa-rupanya kilang di hadapan yang terbakar.

“Ketika itu, saya rasakan bumi seperti bergegar. Saya terkejut dan seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Pulau Pinang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata, 70 pekerja berada dalam kilang ketika kejadian berlaku.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba Perai dengan 33 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.20 pagi.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sejam kemudian dengan dibantu kira-kira 30 anggota bomba sukarela.

“Letupan yang berlaku sangat kuat hingga menyebabkan lingkaran sebesar 200 meter terhasil, selain sebahagian bangunan kilang runtuh.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun setakat ini, hanya lapan pekerja yang disahkan cedera akibat kejadian. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa warga Nepal, Sudath Prem, 22, berkata, dia hanya berada kira-kira 30 meter dari mesin penyedut habuk sebelum ia meletup secara tiba-tiba.

Beliau yang melecur di kedua-dua tangan, berkata letupan terlalu kuat menyebabkannya terpelanting beberapa meter dari tempatnya berdiri.

“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana ia berlaku begitu pantas sekali. Beberapa saat sahaja selepas letupan, api marak memenuhi kawasan kilang. Namun, saya bernasib baik kerana sempat keluar dari sisa runtuhan itu,” katanya yang kini menerima rawatan di HSJ.

Sinar Harian
20 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment