January 1, 2011

Janda Akhil Hayy kemalangan

MAIZAWATI ditemani Mohd. Yassin selepas menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam.

IPOH - "Saya bersyukur kerana bayi dalam kandungan saya disahkan selamat."

Demikian luahan Maizawati Zainal, 35, bekas isteri penceramah dan penyanyi, Akhil Hayy, beberapa jam selepas menjalani pembedahan memasukkan dua plat besi pada tangan kirinya selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pagi Selasa lalu.

"Doktor pakar mengesahkan tiada sebarang komplikasi terhadap kandungan yang kini berusia hampir lima bulan," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu, kereta Proton Gen 2 yang dipandu Maizawati atau lebih dikenali sebagai Maiza merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba membuat pusingan U berdekatan Sekolah Menengah Izzudin Shah di sini.

Akibat kemalangan itu, Maiza patah tangan kiri dan cedera kedua-dua kaki selain mengalami lebam pada dahi.

Kosmo
1 Jan 2011


Maizawati patah tangan

IPOH: “Sejurus kemalangan, Maizawati tidak sedarkan diri dan saya bimbangkan keselamatan kandungannya serta anak-anak tiri.

“Pada masa itu, saya berdoa semoga zuriat kami tidak mengalami masalah. Namun, sebaik doktor memaklumkan kandungan itu selamat, saya orang paling gembira,” kata Mohd Yassin Ben@Abdul Rahim, 23, suami Maizawati Zainal, 35, selepas kereta yang dipandu isterinya itu bertembung sebuah kereta lain, Selasa lalu.

Menurutnya, ketiga-tiga anak tirinya ketika itu tidur di tempat duduk belakang dan dia sempat menahan mereka daripada terhentak pada kerusi depan sejurus rempuhan.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi di Jalan Sultan Azlan Shah di sini berdekatan Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah itu, Proton Gen.2 dipandu Maizawati merempuh sebuah kereta lain yang tiba-tiba membuat pusingan U.

Berikutan itu, Maizawati patah tangan kiri dan cedera ringan kedua-dua kaki serta bengkak di kepala manakala suaminya serta tiga anak cedera ringan.

Ketika kejadian, Maizawati, bekas isteri penceramah bebas, Akhil Hayy memandu kereta yang dinaiki bersama Mohd Yassin serta tiga anak, Siti Nur Maisarah, 13, Muhamad Shakir Hidayahtullah, 9 dan Muhamad Syafrin Hidayahtullah, 3.

Sementara itu, Maizawati ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam, berkata: “Doktor yang merawat saya mulanya tidak mengetahui saya hamil kerana kandungan tidak begitu kelihatan biarpun mencecah lima bulan. “Namun, sebaik dimaklumkan, doktor mengesahkan uri mengalami pendarahan kecil selepas ujian imbasan dilakukan.

“Ketika itu, suami orang yang paling gelabah kerana kandungan ini zuriat pertama saya bersamanya. Bagaimanapun, doktor mengesahkan kandungan tidak mengalami masalah dan doktor kini masih melakukan pemantauan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama keluarga dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Utama, Bercham selepas menghantar rakan suami di Stesen Bas Medan Gopeng yang mahu menaiki bas ke Singapura.

Katanya, dia bersyukur kerana doktor mengesahkan kandungannya selamat biarpun berlaku hentakan kuat di perutnya.

“Saya paling bimbangkan kandungan ini. Suami paling gelisah sejurus kemalangan, tetapi kini lega kerana kandungan disahkan selamat.

“Saya baru selesai menjalani pembedahan di tangan petang tadi (semalam) selain terpaksa menerima beberapa jahitan di kedua-dua kaki,” katanya Katanya, dia terkejut sebaik dimaklumkan uri mengalami pendarahan kecil, namun selepas diperiksa, doktor pakar sakit puan mengesahkan kandungannya tidak menghadapi masalah, sekali gus membuatkannya kembali ceria.

“Menurut doktor, pendarahan kecil itu tidak menjejaskan kandungan, tetapi jika pendarahan terus berlaku, mungkin memberi kesan kepada kandungan,” katanya.

Menurutnya, Akhil Hayy sudah dimaklumkan kemalangan itu dan beberapa ahli keluarga bekas suami juga menziarahinya di hospital selepas kemalangan itu.

Nama Maizawati mula mendapat perhatian media apabila membuat pendedahan terbuka menerusi program televisyen mengenai masalah rumah tangga yang dibina bersama Akhil, 40, Mei tahun lalu.

Pasangan itu bercerai pada 15 Julai tahun sama selepas Akhil melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

Selepas setahun bercerai, Maizawati kembali mendirikan rumah tangga kali ketiga bersama Mohd Yassin pada 9 Ogos lalu dan kini menunggu cahaya mata pertama bersama pemuda kelahiran Kota Kinabalu itu.

myMetro
1 Jan 2011


Maiza keluar hospital Selasa

IPOH: “Isteri (Maizawati) dijangka keluar wad Selasa ini. Sepatutnya, dia dibenarkan keluar pagi ini (semalam), namun doktor pakar sakit puan memintanya menjalankan ujian imbasan terakhir bagi memeriksa semula kandungannya sebelum dibenarkan pulang,” kata Mohd Yassin Ben @ Abdul Rahim, 23, suami Maizawati Zainal, 35 yang kini terlantar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, selepas terbabit kemalangan baru-baru ini.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan, kereta dinaiki Maizawati bersama suami dan tiga anaknya terbabit dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, kira-kira jam 5.15 pagi, 28 Disember lalu.

Kejadian itu menyebabkan Maizawati patah tangan kiri dan cedera di kedua-dua kaki dan bengkak di kepala manakala suaminya serta tiga anaknya hanya cedera ringan.

Mohd Yassin berkata, ujian imbasan itu perlu dilakukan sekali lagi bagi membolehkan doktor memastikan kandungan isterinya tidak mengalami masalah selepas ujian pertama dilakukan beberapa hari selepas kemalangan itu.

Katanya, jika semuanya berjalan lancar, Maizawati akan dibenarkan keluar dari wad HRPB pada Selasa ini.

“Ujian imbasan itu akan dilakukan petang ini (semalam). Saya berharap kandungan isteri selamat seperti mana keputusan ujian yang dikeluarkan sebelum ini.

“Selepas dibenarkan keluar dari wad kelak, Maizawati akan berehat beberapa hari di kediaman keluarganya di Taman Utama, Bercham, di sini, sebelum kembali ke Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, buat masa ini Maizawati sibuk mengendalikan beberapa program kebajikan dianjurkan Yayasan Muamalat Belia di Kuala Lumpur.

“Saya tidak pasti sama ada dia boleh menyertai program itu berdasarkan kecederaan dihadapi,” katanya.

Mengenai sambutan tahun baru yang diraikan bersama Maizawati semalam, Mohd Yassin berkata, tiada sambutan dilakukan, sebaliknya mereka berdua meluahkan kata-kata semangat antara satu sama lain selain berharap hubungan yang dibina berkekalan.

myMetro
2 Jan 2011

0 comments:

Post a Comment