December 21, 2010

Anak Ketua Pemuda MCA Kuantan Dibebaskan Dua Jam Selepas Diculik

KUANTAN: Anak perempuan Ketua Pemuda MCA Kuantan yang dipercayai diculik oleh dua lelaki ketika sedang bermain di hadapan rumahnya di Bukit Pelindung di sini petang Ahad ditemui semula kurang dua jam selepas itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasagaran berkata, kejadian itu berlaku pada 5.45 petang ketika kanak-kanak itu bersama abangnya berusia 11 tahun sedang bermain di hadapan rumah mereka.

"Ketika sedang leka bermain, dua lelaki bertopi yang menaiki sebuah kereta Perodua Viva secara tiba-tiba berhenti dan melarikan budak perempuan itu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata, 45 minit selepas kejadian, bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis dan budak perempuan itu ditemui sedang menangis oleh orang awam pada 7.30 malam, tiga kilometer dari rumahnya.

Katanya budak itu tidak dicederakan tetapi terdapat kesan ikatan pada kaki dan tangannya.

Sehingga kini motif penculikan masih dalam siasatan, kata Narenasegaran.

Bapa kanak-kanak itu, Chiew Yoke Theng, berkata beliau mengetahui mengenai penculikan itu daripada isterinya pada pukul 5 petang Ahad dan terus membuat laporan polis.

Katanya beliau gembira dan bersyukur sebaik menerima panggilan telefon mengenai penemuan anaknya itu daripada satu keluarga dari Bukit Setongkol di sini.

"Anak saya ingat nombor telefon saya, dia berikan kepada keluarga tersebut yang terus hubungi saya. Anak saya dalam keadaan baik dan tidak diapa-apa oleh penculik," katanya. - BERNAMA

21 Dis 2010


Lega anak ditemui selamat

KUANTAN: “Saya bersyukur kepada Tuhan kerana anak kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat selepas dua jam menempuh detik mencemaskan diculik dua lelaki,” kata Ketua Pemuda MCA Bahagian Kuantan, Andy Chiew, yang lega selepas anak perempuannya berusia lapan tahun ditemui dalam keadaan selamat selepas diculik, petang kelmarin.

Andy berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu dilarikan ketika bermain bersama rakan di halaman rumahnya di Bukit Pelindung, di sini, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

“Ketika kejadian, saya berada di luar kerana menghadiri program masyarakat apabila dihubungi isteri memaklumkan berita buruk itu.

“Isteri memberitahu anak bongsu kami dilarikan dua lelaki tidak dikenali. Rakan anak saya yang menyaksikan kejadian itu memaklumkan kepada isteri saya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat MCA Kuantan, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker.

Andy berkata, susulan itu, dia memaklumkan kejadian kepada Ti yang kemudian menyalurkan maklumat kepada polis.

“Saya dihubungi seorang lelaki kira-kira jam 8 malam memaklumkan dia menemui anak saya dalam keadaan tangan terikat manakala mulut ditutup dengan pita pelekat di tepi jalan di Bukit Bay Route, di sini,” katanya.

myMetro
21 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment