November 30, 2010

Pokok reput penyebab ajal

ISTERI Mohd. Helmi melihat mayat suaminya yang mati dihempap batang pokok reput di Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita hanya mampu menangis apabila suaminya yang baru sahaja menghantarnya ke tempat kerja maut dihempap sebatang pokok reput di Jalan Bukit Nanas di sini semalam.

Kejadian pukul 8.30 pagi itu menyebabkan seorang kakitangan bank, Mohd. Helmi Husain, 37, mati selepas mengalami cedera parah di kepala dihempap pokok setinggi lima meter yang terletak di kiri jalan itu ketika hendak ke tempat kerjanya di Jalan Ampang.

Isterinya juga seorang kakitangan bank dan bekerja di Jalan Pudu. Dia yang menerima khabar itu beberapa minit kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan hanya mampu menangis.

Sebaik sampai, dia melihat mayat suaminya masih lagi ditimpa batang pokok tersebut sebelum ia dialihkan oleh kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Difahamkan, setiap hari, bapa kepada lapan anak itu akan menghantar isterinya ke tempat kerja sebelum dia akan ke pejabatnya pula.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, pokok tersebut tiba-tiba tumbang sebaik mangsa melalui kawasan tersebut.

Kosmo
30 Nov 2010


Sujud dakap jenazah suami



KUALA LUMPUR: Hanya deraian air mata pilu dapat menggambarkan kesedihan seorang isteri ketika mencium mayat suaminya yang berlumuran darah akibat dihempap tunggul pokok tumbang secara tiba-tiba berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Hayati Husin, 30-an hanya mampu bersujud sambil mendakap kepala suaminya yang ditimpa batang pokok sebesar dua pemeluk.

Sumber polis trafik berkata, kemalangan ngeri itu berlaku apabila Mohd Helmi Hussin, 37, sedang menunggang motosikal bersendirian arah Jalan Raja Chulan, di sini.

PILU...Hayati mengiringi jenazah suaminya ke HKL untuk dibedah siasat. Gambar kecil, Helmi.

Menurutnya, sebatang tunggul pokok setinggi kira-kira 10 meter tiba-tiba tumbang lalu menimpa mangsa yang dipercayai tidak sempat mengelak.

“Difahamkan, mangsa baru saja menghantar isterinya Hayati yang bekerja di sebuah bank tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum menaiki motosikal untuk ke tempat kerjanya di sebuah bank berhampiran Jalan Raja Chulan, di sini.

“Namun, selepas beberapa minit menghantar isterinya, mangsa dihempap tunggul pokok yang rebah menyilang di jalan berkenaan. Kejadian itu menyebabkan kepala dan tubuh mangsa cedera parah dan dia mati di lokasi kejadian,” katanya.

Isteri mangsa yang dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh rakan sekerja bergegas ke lokasi kejadian.

Suasana di tempat kejadian menjadi pilu apabila Hayati dipapah rakan tidak dapat menahan sebak dan kemudian bersujud sambil mencium kepala suaminya sebagai tanda kasih.

Episod sedih itu turut meruntun hati beberapa anggota polis trafik dan orang ramai yang mengerumuni lokasi kejadian.

ALIH...kakitangan DBKL mengalihkan tunggul pokok yang tumbang.

Anggota polis trafik bersama anggota bomba dan penyelamat serta kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha memindahkan mayat mangsa selain mengalihkan batang pokok terbabit yang menghalang laluan.

Hayati kemudian turut menaiki kenderaan polis menghantar jenazah suaminya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Bapa saudara Hayati yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ngah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak buahnya memberitahu mengenai kemalangan kira-kira jam 9 pagi.

Dia yang dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan, bergegas pulang ke ibu kota dan terus ke HKL.

Menurutnya, melalui gambar dirakam kawan arwah di tempat kejadian, dia mendapati pokok itu sudah reput. Katanya, kejadian malang itu mungkin dapat dielak jika pihak bertanggungjawab melakukan pemantauan dan menebang pokok yang boleh membahayakan nyawa.

“Namun, kami reda dengan apa yang berlaku dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang,” katanya.

Jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid HKL sebelum dibawa ke kampung halaman mangsa di Ipoh, Perak untuk dikebumikan.

myMetro
30 Nov 2010


Woman sees branch fall and kill her hubby

Wrong place, wrong time: Mohd Helmi pinned under the branch in Jalan Raja Chulan and (inset) a distraught Hayati watches over her husband's body as it is taken to the Kuala Lumpur Hospital for post-mortem Monday.- Pix courtesy of The Star reader SHAMSUL LIANI ABAS

KUALA LUMPUR: A bank employee was killed after a 5m-long tree branch fell on him in Jalan Raja Chulan here.

Mohd Helmi Hussin, 37, had dropped off his wife Hayati Hussain at work barely five minutes before the incident at 8.30am.

He was riding his motorcycle when the branch suddenly dislodged and fell on him.

A horrified Hayati witnessed the incident, which occurred about 500m from where she was standing.

Witness Shamsul Liani Abas said a distraught Hayati was heard uttering to her dead husband “nak ikut” (I want to follow).

“Her colleagues who heard about the incident consoled her,” he said.

A police spokesman said initial investigations revealed that Helmi suffered injuries to his abdomen and hip. “The branch was rotten and shallow inside.”

The Fire and Rescue Department, together with City Hall, cleared the branch within 45 minutes.

Mohd Helmi’s body was sent to the Kuala Lumpur Hospital for post-mortem.

He was buried in his hometown in Ipoh yesterday evening.

The Star Online
30 Nov 2010


Pokok tumbang bukan seliaan Jabatan Perhutanan

KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan menafikan dakwaan sebatang pokok setinggi kira-kira 10 meter yang tumbang ke arah jalan sehingga meragut satu nyawa awal pagi semalam di bawah seliaan pihaknya.

Sebaliknya, jurucakap jabatan itu berkata, pokok terbabit di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kami sudah menghantar sepasukan renjer di lokasi berkenaan dan mendapati pokok itu tidak terletak dalam kawasan seliaan kami kerana ia di luar Hutan Simpan Bukit Nanas.

“Pihak jabatan juga sudah mengesahkannya dan laporan lengkap berhubung kejadian termasuk siasatan terperinci hanya akan diperoleh esok,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas insiden pagi semalam yang mengorbankan satu nyawa apabila seorang penunggang motosikal parah di kepala akibat dihempap pokok yang tumbang dan melintang di tengah jalan.

Mangsa, Mohd Helmi Hussin, 37, menunggang motosikal bersendirian berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, arah Jalan Raja Chulan, di sini, sebelum dihempap pokok terbabit.

Anggota bomba dan penyelamat dan kakitangan DBKL mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memotong dan mengalihkan batang pokok itu sebelum mayat mangsa ditarik keluar.

Sementara itu, DBKL yang enggan mengulas lanjut berkata akan menyiasat kejadian terbabit secara menyeluruh.

“Kami akan siasat perkara ini dan di samping itu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

myMetro
1 Dis 2010


DBKL bertindak

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak segera dalam tempoh 24 jam bagi mencantas dan menebang pokok yang membahayakan pengguna di sekitar bandar raya ini supaya kejadian meragut nyawa orang awam tidak berlaku pada masa depan.

Timbalan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Amin Nordin Abd Aziz, berkata pihaknya memerlukan kerjasama orang awam bagi memaklumkan pokok atau tunggul kayu yang membahayakan di tepi jalan mahupun di kawasan perumahan.

Katanya, orang awam menjadi mata dan telinga DBKL dalam memberi maklumat selain pemantauan yang dilakukan pasukan khas DBKL.

“Mereka boleh membuat aduan terus kepada DBKL sebelum pasukan kami mengambil tindakan sama ada mencantas atau menebang pokok besar serta membuang tunggul mati,” katanya.

myMetro
1 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment