November 29, 2010

Maut dilanggar bapa saudara

KLANG - Seorang kanak-kanak berumur dua tahun maut selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan dipandu bapa saudaranya di Jalan Tepi Sungai, Taman Sungai Bertik, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Lim Jia Nie, 2, yang cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Pusat Perubatan Sri Kota dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, difahamkan mangsa dan keluarganya berhasrat bersarapan di sebuah kedai makan. Ketika itu, masing-masing sedang bersiap-siap untuk keluar.

“Bapa saudara mangsa, berumur 30 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori sedang menghidupkan enjin kenderaan dan mula bergerak,” katanya.

Menurutnya, ketika mengundurkan kenderaan, lelaki itu terasa tayar kenderaannya terlanggar sesuatu objek yang keras dan besar.

“Mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku, dia segera memberhentikan kenderaannya sebaik mendengar jeritan kanak-kanak. Dia segera keluar dan melihat belakang kenderaannya.

“Dia terkejut apabila mendapati secara tidak sengaja terlanggar anak saudaranya .

“Mereka sekeluarga segera membawa mangsa ke pusat perubatan, bagaimanapun mangsa disahkan sudah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAT) untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, bapa saudara mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu yang disifatkan berlaku tanpa disengajakan.

“Sehubungan itu, polis akan menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sinar Harian
29 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment