November 29, 2010

Jeritan sayu wanita OKU

SAODAH melihat keadaan rumahnya yang hangus di Kampung Banggol Ubi Keling, Lemal, Pasir Mas semalam.

PASIR MAS - Seorang lelaki hanya mampu memandang rumahnya runtuh menyembah bumi selain adik tirinya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di Kampung Banggol Ubi Keling, Nibong, Lemal dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 4.45 petang itu mengakibatkan wanita yang mengalami cacat penglihatan dan lumpuh anggota badan, Fatimah Said, 50, rentung dijilat api apabila dia gagal diselamatkan. Ketika kebakaran itu, mangsa dikatakan telah menjerit meminta tolong.

Ketika kejadian, adik tiri lelakinya, Mazani Omar, 33, yang mengalami masalah mental turut berada di situ tetapi hanya mampu melihat mangsa terbakar. Dia yang hilang upaya pemikiran dikatakan tidak tahu apa yang terjadi.

Bagaimanapun, Mazani terselamat kerana ketika itu dia berada di luar rumah.

Kosmo
29 Nov 2010


Wanita buta rentung dalam bilik

PASIR MAS: Seorang wanita yang mengalami kecacatan kaki dan buta sejak lahir ditemui rentung apabila rumahnya hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Banggol Ubi Keling, Nibong, di sini, petang kelmarin.

Lebih menyayatkan hati, apabila mangsa Fatimah Said, 54, cuba diselamatkan seorang ahli keluarganya, namun usaha itu gagal apabila bumbung rumah yang terbakar menghempapnya menyebabkan usaha menyelamatkannya tidak dapat dilakukan.

Sebelum kejadian, ibunya, Saodah Ali, 70, yang tinggal bersama mangsa di rumah berkenaan meninggalkannya bersendirian seketika kerana ingin ke rumah cucu terletak berhampiran.

Saodah berkata, kejadian itu amat sukar diterima apabila dia tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya.

“Jika diikutkan hati, mak cik mahu meredah api menyelamatkannya, namun api begitu marak.

“Mak cik sedih mengenangkan dia yang pergi dalam keadaan begini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Saodah berkata dia sebelum itu dimaklumkan penduduk kampung rumahnya terbakar sebelum bergegas pulang.

Katanya, dia yang tergamam melihat keadaan itu mengucap panjang dan berdoa mengenangkan nasib anaknya yang berada di dalam rumah terbabit.

“Sebaik api dipadamkan, saya diberitahu mayatnya dijumpai dalam keadaan rentung di bilik tidurnya.

“Sebelum itu, cucu saya, Saupi Ismal, 21, cuba menyelamatkannya, tetapi bumbung runtuh menghempap Fatimah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pasir Mas, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Abdul Kadir Che Ya, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.50 petang sebelum bergegas bersama lapan anggota dan sebuah jentera.

Katanya, sebaik tiba di tempat kebakaran pihaknya mendapati hampir 80 peratus rumah sudah terbakar dan mengambil masa selama hampir sejam memadam dan mengawal api.

“Mangsa dijumpai rentung di dalam bilik tidurnya kerana dipercayai gagal menyelamatkan diri akibat kecacatan kaki.

“Punca kejadian disiasat dan kami menganggarkan kerugian kira-kira RM40,000,” katanya

myMetro
29 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment