November 30, 2010

Hanyut dalam longkang

KUALA LUMPUR: Pantang maut sebelum ajal apabila seorang lelaki terselamat walaupun dia dihanyutkan arus deras selama hampir satu jam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, mangsa yang sedang bercucuk tanam dikatakan terjatuh ke dalam longkang besar di Bukit Indah, Ampang di sini, ketika hujan lebat.

Bagaimanapun, selepas dihanyut arus sejauh hampir satu kilometer, mangsa berusia 50 tahun akhirnya berjaya menyelamatkan diri dari lemas dengan berpaut pada sebatang pokok di dalam longkang sama di Taman Kosas, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Shaari Abdullah berkata, mangsa, S. Rajeshwaran ditemui penduduk Taman Kosas yang kemudian menghubungi bomba jam 2 petang.

“Sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa sedang berpaut pada sebatang pokok dalam keadaan lemah berikutan terpaksa bertahan dari terus dihanyutkan.

“Seramai lima anggota turun ke dalam longkang untuk menyelamatkan mangsa. Ketika itu arus sungai semakin perlahan dan tidak menyukarkan kerja menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, akibat dihanyut arus longkang yang deras, mangsa turut cedera di seluruh anggota badan.

“Mangsa bernasib baik kerana sempat berpaut pada dahan pokok berkenaan kerana mangsa mungkin akan maut jika hujan berterusan atau dihanyutkan ke sungai,” ujarnya.

my Metro
30 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment