November 29, 2010

Empat maut kereta dirempuh bas

BATU PAHAT - Empat sekawan maut apabila kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki dirempuh sebuah bas ekspres dalam satu kemalangan di Kilometer 110 Lebuh Raya Utara-Selatan Pagoh-Yong Peng dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 10 malam itu mengakibatkan pemandu kereta, T. Sajeevan, 22; A. Manimaran, 17; Shamugam, 17; dan P. Sathiya, 17, mati akibat mengalami kecederaan parah di seluruh badan.

Difahamkan, kesemua yang maut tercampak dari kereta yang dinaiki bersama dua lagi kenalan mereka. Dua lagi terselamat dan masing-masing mengalami kecederaan parah dan ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Adnan Azizon berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke ibu kota dari Simpang Renggam. Ketika itu jalan licin akibat hujan lebat.

Katanya, kejadian itu berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa dipercayai terlanggar bahagian belakang sebuah trak penunda.

"Ekoran itu, kereta mangsa telah berpusing sehingga melintang di atas jalan. Ia kemudian telah dirempuh oleh sebuah bas ekspres.

"Empat daripada mangsa tercampak keluar dari kereta itu dengan Sathiya terhumban ke sungai berhampiran manakala dua lagi tersepit dalam kereta itu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya lagi, kereta lain yang gagal mengelak turut melanggar kereta mangsa. Mayat Sathiya hanya ditemui pukul 4.20 petang semalam.

Menurut Adnan, dua daripada mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Muar. Mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Katanya, pemandu serta penumpang bas ekspres dan kereta lain tidak mengalami kecederaan.

Kosmo
29 Nov 2010


Empat sekawan maut kereta dirempuh bas

BATU PAHAT: Seorang daripada empat sekawan yang tercampak daripada Proton Iswara dinaiki selepas dirempuh bas ekspres serta kereta di Kilometer 110, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), antara Yong Peng dan Pagoh, malam kelmarin, terhumban ke dalam sungai berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mayat mangsa, P Sathiya, 17, ditemui jam 4.20 petang semalam, 18 jam selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon, berkata tiga lagi rakan karib Sathiya tercampak di tepi jalan dan keempat-empatnya disahkan mati akibat parah di kepala dan badan.

“Dalam kejadian itu, kereta dipandu T Sajeevan, 22, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Simpang Renggam sebelum merempuh sebuah kereta yang ditunda.

“Sejurus kemudian, kereta Proton Iswara berkenaan dirempuh dua kenderaan menyebabkan empat sekawan itu tercampak keluar dengan seorang daripadanya terhumban ke dalam sungai,” katanya, semalam.

Menurut Adnan, dua lagi penumpang cedera dengan seorang daripadanya parah dan mereka kini dirawat di Hospital Muar.

Adnan berkata, Sajeevan dipercayai gagaI mengawal kenderaannya sebelum merempuh kereta yang ditunda menyebabkan kereta Proton Iswara yang dipandunya berpusing beberapa kali sebelum melintang di tengah jalan.

“Dua mangsa gagal untuk keluar kerana tersepit, selain Sajeevan dan Sathiya, dua lagi yang terbunuh adalah S Shamugan serta A Manimaran, kedua-duanya berumur 17 tahun.

“Operasi mencari dan menyelamat Sathiya dilakukan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3),” katanya.

myMetro
29 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment