October 11, 2010

Tragedi lebuh raya 10.10.10

FAKTA:


KEJADIAN: Kemalangan yang melibatkan 2 bas, 3 kereta, 1 van dan 1 motosikal yang menyebabkan 13 maut dan 45 cedera.


Sebuah bas ekspres dari Melaka menuju ke Kuala Lumpur yang dipercayai dipandu laju terbabas lalu merempuh penghadang jalan, melambung ke laluan bertentangan dan melanggar 1 van, menghempap 2 kereta dan kemudiannya melanggar 1 lagi kereta, 1 bas milik JKM dan sebuah motosikal.


LOKASI: Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Pedas, Negri Sembilan


Tarikh dan waktu : 10.10.2010 pada 7 malam


Mereka yang maut ialah:
1. Nur Shapika Baba, 19, dari Pokok Mangga
2. Muhammad Farizuddin, 19, dari Balai Panjang
3. Sharene Sofea Fadzry Tan, 18, dari Taman Semabok Perdana
4. Norazmi Abdul Karim, 24, dari Pondol Kempas
5. Azizi Ajis, 19, dari Kampung Gapis
6. Ng Sok Kuan, 52, dari Sungai Udang
7. R. Ramachandra , 52, pemandu bas, dari Klebang Besar, semua dari Melaka.
8. Pang Sui Moei, 57, dari Segamat
9. Goo Chuan Heng, 34, dari Batu Pahat
10. Kam Khaw Tual, 18, warga Myanmar
11. Pau Khaw Tual, 29, warga Myanmar
12. Cin Thawa Tuang, warga Myanmar (umur belum dikenalpasti)

Mangsa yang terakhir meninggal dunia ialah:
13. Sharifah Norasmirah Syed Sallehuddin, 20 pada 15 Oktober 2010


Menyayat hati

REMBAU: “Saya melihat ada mayat tanpa kepala dan ada yang putus tangan sebaik turun dari bas selepas kemalangan. Keadaan begitu tragis kerana banyak mayat bergelimpangan,” kata Bohari Saikon, 48, saksi kemalangan ngeri menyebabkan 12 kematian membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Pedas, petang semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, Bohari dan 43 rakannya yang juga bekas tentera menaiki bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis perhimpunan raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Bukit Jalil, jam 2.30 petang.

DAHSYAT...keadaan kereta yang dihempap bas ekspres.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah bas ekspres dari Melaka tiba-tiba terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum merempuh tiga kereta, sebuah van dari arah bertentangan termasuk bas dinaikinya.

“Bas ekspres itu terbalik merentangi jalan. Pemandu bas yang saya naiki juga parah akibat rempuhan bas terbabit yang mengenai bahagian pemandu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

REMUK...bas JKM yang terbabit kemalangan, semalam.

Katanya, sebaik kejadian, dia dan rakannya turun dari bas untuk membantu menyelamatkan penumpang yang selamat.

“Keadaan begitu menyayat hati apabila saya lihat banyak mayat bergelimpangan. Saya tidak dapat pastikan mangsa yang terbunuh itu menaiki kenderaan apa kerana keadaan bas ekspres, tiga kereta dan van itu remuk.

“Kami hanya membantu mereka yang cedera dan mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa yang selamat dan berjaya dikeluarkan dibawa ke tepi lebuh raya sebelum kami meminta bantuan kereta yang lalu untuk menghantar mangsa ke Hospital Melaka.

“Kami tidak berani mengangkat mayat kerana keadaan kecederaan pada mayat yang mengerikan. Setakat yang saya tahu, kebanyakan mangsa lelaki. Mungkin mereka ini penumpang bas ekspres berkenaan,” katanya.

TAKDIR...mayat mangsa nahas di tepi jalan.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, setakat ini, sembilan mangsa dikenal pasti lelaki manakala selebihnya wanita.

Katanya, polis belum dapat mengenal pasti identiti semua mangsa dan jenis kenderaan yang mereka naiki ketika kemalangan. Ini kerana mayat berkenaan bergelimpangan di atas jalan dipercayai tercampak sejurus selepas kejadian.

“Semua mayat dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat. Siasatan awal mendapati bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Kuala Lumpur,” katanya.

BANTU...mangsa yang cedera dibantu anggota bomba dan orang awam.

Pegawai Operasi Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Yusof Samad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.07 malam sebelum menghantar satu jentera ke tempat kejadian.

“Kami mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba di tempat kejadian walaupun terletak kira-kira 20 kilometer berikutan kesesakan teruk lalu lintas sepanjang tiga kilometer,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin.

myMetro
11 Okt 2010


Bas dipandu laju terbabas

SEREMBAN: Bas ekspres dari Melaka ke Kuala Lumpur yang terbabit kemalangan meragut 12 nyawa di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), petang semalam dikatakan dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas ke lorong bertentangan.

Penumpang bas itu, Nur Najlaa Aqilah Mohd Ghazali, 19, berkata, sebelum kejadian dia tidur, namun terjaga apabila terasa terhoyung-hayang akibat bas dipandu laju sebelum hilang kawalan.

“Dalam sekelip mata, bas berpusing, terbalik dan menghempap sebuah kereta Perodua Myvi. Sejurus kemudian kami dilanggar pula oleh sebuah bas lain dari arah belakang,” katanya yang ditemui di wad kecemasan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HJTS) di sini, malam tadi.

Nur Najlaa yang cedera ringan di kepala dan tangan, berkata selepas itu dia tidak sedarkan diri dan hanya sedar semula apabila berada di wad kecemasan HTJS.

Sementara itu, seorang jurucakap HTJS berkata sehingga jam 11.30 malam tadi, seramai 24 mangsa yang cedera dibawa ke hospital itu, termasuk seorang pelancong lelaki dari Jepun.

myMetro
11 Okt 2010


Mangsa terkulai di tingkap van

KEADAAN bas yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan maut di KM 223 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pedas, malam tadi.

Saksi nampak bas ekspres seperti terbang merempuh kenderaan lain

ALOR GAJAH: “Sebaik keluar dari kereta, saya terlihat mayat pemandu van putih terjuntai dari pintu tingkap, manakala bas Delima Ekspress pula melintang di tengah-tengah lebuh raya sehingga menutupi ketiga-tiga lorong laluan menuju ke Alor Gajah.

“Selepas itu, saya berlari ke arah bas berkenaan dan terlihat pemandu kenderaan itu mengadu kesakitan akibat tangannya tersepit di stereng. Saya cuba membantu tapi tak berjaya,” kata Md Razel Sarmin, 38, pemandu Honda City yang terselamat dalam kejadian itu.

Ketika ditemui di tempat kejadian, Md Razel berkata sejurus sebelum insiden yang meragut 12 nyawa itu, dia bersama tujuh ahli keluarganya yang lain sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pontian, Johor, apabila bas Delima Ekspress itu tiba-tiba ‘terbang’ dari arah sebelah.

“Saya sempat melihat bas itu merempuh Toyota Hiace, sebelum van itu berpusing beberapa kali. Saya berjaya mengelak dari terkena bas itu, namun tetap tergesel dengan van berkenaan.

“Sejurus selepas itu, saya terus menghentikan kereta dan meminta semua tujuh ahli keluarga lain keluar. Selepas itu, baru saya perasaan terdapat banyak mayat bergelimpangan di atas permukaan jalan,” katanya.

ANGGOTA bomba membersih serpihan kenderaan bertaburan atas jalan.

Seorang lagi saksi kejadian, Abdul Hamid Hassan, 55, pesara tentera dari Taman Rambai Jaya, dekat sini, yang turut terselamat dalam kejadian itu berkata, sejurus sebelum kemalangan itu, dia sedang tidur.

Abdul Hamid yang duduk di bahagian depan bas berkata, dia hanya tersedar apabila bas berkenaan berhenti secara mengejut.

“Sebaik membuka mata, saya terperanjat apabila melihat sebuah bas sedang melintang di tengah jalan dan ketika itu juga pemandu bas kami cuba mengelak. Bagaimanapun, bas tetap terlanggar bahagian belakang kenderaan itu.

“Saya dimaklumkan tiga rakan kami termasuk seorang wanita yang sedang mengandung cedera dan terpaksa dikejarkan ke hospital,” katanya sambil mengakui turut melihat dua mayat terbaring di atas jalan termasuk satu tanpa kepala.

Berita Harian
11 Okt 2010


'Bas bergoyang kuat, berpusing'

SEBUAH bas menghempap sebuah kereta dalam nahas di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam tadi.

Mangsa cedera cerita saat sebelum kemalangan babitkan enam kenderaan

REMBAU: Sekurang-kurangnya 12 maut dan lebih 40 cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam tadi.

Kemalangan berlaku jam 7.12 malam apabila sebuah bas Ekspres Delima dari arah selatan menuju ke Kuala Lumpur terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van. Sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tiga kereta turut terbabit dalam kemalangan itu.

Setakat tengah malam tadi, jumlah sebenar mangsa belum dikenal pasti kerana semua yang terbabit sama ada yang meninggal dunia dan cedera, termasuk parah dihantar ke hospital.


Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata kemalangan berlaku di lebuh raya menghala ke selatan, iaitu di antara Hentian Pedas-Linggi dan Plaza Tol Simpang Ampat.

“Sebahagian besar mangsa dihantar ke Hospital Tampin, Alor Gajah dan Melaka bagi memudahkan mereka menerima rawatan kerana kemalangan berlaku di lebuh raya menghala ke selatan,” katanya kepada Berita Harian malam tadi.

MAYAT diletak di tepi jalan ketika kerja menyelamat dilakukan.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, berkata 24 pegawai dan anggota dari balai Rembau, Tampin dan Alor Gajah dihantar ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

Seorang penumpang bas ekspres yang cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), Nur Najlaa Aqilah Mohd Ghazali, 19, berkata dia sedang tidur ketika kejadian.

Pelajar Universiti Malaya itu berkata, dia terkejut daripada tidur apabila bas bergoyang kuat dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas di lebuh raya bertentangan.

“Bas menimpa sebuah kereta sebelum dirempuh sebuah bas dari arah bertentangan. Keadaan kelam kabut dan nasib baik saya hanya cedera ringan,” katanya yang cedera muka dan tangan.

Difahamkan, bas JKM terbabit membawa bekas tentera yang menghadiri Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, petang semalam.

Berita Harian
11 Okt 2010


Kesesakan teruk empat jam di kawasan kemalangan

ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), paramedik serta anggota polis mengangkat mayat mangsa kemalangan.

ALOR GAJAH: Kemalangan yang meragut 12 nyawa di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan di antara Hentian Pedas-Linggi dan Tol Plaza Simpang Ampat, mengakibatkan laluan di kawasan itu bagi kedua-dua arah mengalami kesesakan teruk kira-kira empat jam malam tadi.

Laluan paling teruk mengalami kesesakan adalah ke arah Selatan apabila ribuan kenderaan terkandas agak lama berikutan dua bas dan beberapa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu melintang di atas lebuh raya.

Beberapa mayat serta orang ramai yang cedera bergelimpangan di atas jalan turut menyebabkan keadaan bertambah buruk.

SALAH sebuah kereta yang terbabit remuk teruk dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan.

Tinjauan mendapati banyak kenderaan berhenti di tepi jalan, dipercayai akibat pemandunya tidak mahu terperangkap dalam kesesakan atau untuk mengelakkan enjin kenderaan terlalu panas.

Kelihatan juga polis trafik dan peronda bertungkus-lumus cuba membantu bagi melancarkan perjalanan.

Plaza Tol Simpang Ampat yang letaknya kira-kira enam kilometer dari lokasi kemalangan terpaksa ditutup sejurus selepas insiden pada kira-kira jam 6.50 petang itu.

Ini menyebabkan ribuan pengguna terutama yang hendak ke Kuala Lumpur terpaksa menggunakan laluan lama melalui Rembau, Negeri Sembilan manakala bagi ke Selatan, menggunakan Plaza Tol Ayer Keroh.

Antara yang dilaporkan terperangkap dalam kesesakan itu adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Beliau dikatakan terpaksa masuk ke Tol Plaza Pedas Linggi, Negeri Sembilan, sebelum menuju ke Rembau dan Simpang Ampat.

Kebanyakan pengguna lebuh raya yang hendak memasuki Melaka atau menuju ke Johor datang dari Kuala Lumpur selepas bercuti hujung minggu.

Sementara itu, jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS memaklumkan, laluan di lokasi kemalangan mula ditutup jam 8.45 malam, kira-kira dua jam selepas kejadian bagi kerja pembersihan dan penyuraian trafik, menyebabkan lebuh raya kesesakan teruk sejauh 15 kilometer menghala ke selatan dan lapan kilometer di laluan arah utara.

“Hampir keseluruhan laluan di kedua-dua arah terjejas berikutan kemalangan itu kerana membabitkan banyak kenderaan,” katanya.

“Kami mengambil masa agak lama untuk membersihkan lokasi nahas bagi memberi ruang kepada kerja menyelamat oleh pihak berkaitan, termasuk polis, bomba dan paramedik sebelum itu,” katanya ketika dihubungi.

Berita Harian
11 Okt 2010


12 maut tragedi lebuh raya

Salah sebuah kereta remuk setelah dihempap oleh bas ekspres dalam nahas ngeri di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan, semalam.

SEREMBAN 10 Okt. – Seramai 12 orang maut, manakala lebih 40 lagi cedera termasuk parah apabila dua buah bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang ini.

Nahas berlaku apabila sebuah bas ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain dalam kejadian pada 6.50 petang itu.

Pada masa yang sama, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaiki ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) turut gagal mengelak dan melanggar bas ekspres itu.

Tragedi Oktober itu mengakibatkan puluhan ribu kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga lewat malam ini apabila pihak berkuasa terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah untuk kerja-kerja menyelamat.

Sehingga pukul 11 malam ini, pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa termasuk penumpang bas dan kenderaan yang dihempap oleh bas itu.

Difahamkan, mangsa yang maut adalah pemandu bas dan penumpang serta penumpang dua buah kereta yang terhimpit dihempap bas tersebut.

Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, Dr. Jaafar Che Mat pada sidang akhbar lewat malam ini memaklumkan, pihaknya menerima 24 orang mangsa yang cedera terdiri daripada lapan lelaki dan 16 wanita, kesemuanya dewasa.

Katanya, seorang daripada mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Menurut beliau, kesemua mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera menerima rawatan di HTJ.

Antara yang dilihat menerima rawatan termasuk seorang pelancong warga Jepun.

Berikutan kemalangan itu, pihak polis telah menutup laluan masuk ke lebuh raya arah selatan di Plaza Tol Pedas, Linggi di Rembau.

Kebanyakan kenderaan yang memasuki lebuh raya dinasihatkan oleh Plus Expressways Berhad (PLUS) untuk menggunakan laluan alternatif.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian tersebut dan menurutnya, ketika ini, identiti mangsa yang cedera dan meninggal dunia masih belum diketahui.

Operasi menyelamat masih dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta bantuan pihak paramedik dari hospital yang berdekatan.

Dalam pada itu, salah seorang penumpang bas Ekspres Delima yang terselamat, Nur Najlaa Aqilah Mohd. Ghazali, 19, berkata, dia tiba-tiba terasa bas yang dinaikinya berpusing lalu menghempap sebuah kereta selepas melambung ke laluan bertentangan.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur. Saya tersedar apabila bas itu berpusing dan menghempap kenderaan di laluan bertentangan. Tidak lama kemudian, bas yang kami naiki dirempuh beberapa kenderaan lain termasuk sebuah bas (membawa ahli PBTM),” kata pelajar Universiti Malaya itu yang kini dirawat di HTJ setelah mengalami kecederaan di tangan dan muka.

Difahamkan, bas JKM membawa peserta yang menghadiri Perhimpunan Raksasa PBTM, turut dinaiki Exco Kerajaan Melaka, Datuk Karim Sulaiman. Bagaimanapun, kesemua penumpang bas itu dilaporkan selamat.

Utusan
11 Okt 2010


Kemalangan ngeri 10.10.10

MELAKA – Tarikh 10.10.10 yang dinanti-nanti kebanyakan orang ‘meragut’ 12 nyawa manakala lebih 40 orang cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan tujuh buah kenderaan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah semalam.

Dalam tragedi ngeri pada pukul 6.40 petang, kesemua mangsa yang terkorban terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita.

Setakat tengah malam tadi identiti semua mangsa belum dikenal pasti.

Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ialah sebuah bas ekspres Delima, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga buah kereta, sebuah van dan sebuah motosikal.

Seorang jurucakap syarikat Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) ketika dihubungi berkata, kemalangan itu didakwa berpunca daripada bas ekspres Delima yang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke ibu negara. Bas itu didakwa terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya.

“Selepas melanggar pembahagi jalan bas tersebut berpusing-pusing memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah van yang dalam perjalanan ke selatan.

“Bas Delima itu kemudian merempuh sebuah Perodua MyVi, bas JKM dan tiga buah kenderaan lain,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Difahamkan 12 mangsa yang terkorban membabitkan sepuluh penumpang bas Delima, seorang penumpang van dan seorang penunggang motosikal lelaki.

Kosmo
11 Okt 2010


12 maut, 45 cedera


REMBAU - Seramai 12 orang maut, sementara lebih 45 lagi cedera apabila enam kenderaan, termasuk dua bas, terlibat dalam kemalangan di KM 223, Lebuhraya Plus, berhampiran Tol Simpang Ampat, dekat sini, malam semalam.

Polis berkata kejadian berlaku pada kira-kira 6.40 petang apabila sebuah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur, hilang kawalan, lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Bas terbabit kemudian melanggar sebuah van dan menghempap tiga kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menuju ke selatan.

Tiga daripada mereka yang terbunuh adalah perempuan. Bagaimanapun, identiti mangsa belum diketahui.

Semua yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke tiga hospital, iaitu Hospital Tampin, Hospital Tuanku Ja’afar dan Hospital Melaka.

Ia adalah antara kemalangan terburuk di negara ini. Pada 26 Disember 2009, 10 penumpang terbunuh apabila bas ekspres dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuhraya Plus dekat Ipoh, Perak.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan teruk lalu-lintas sepanjang enam kilometer di kedua-dua hala.

Tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Alor Gajah dan Tampin membabitkan 15 anggota bergegas ke tempat kejadian.

Sementara itu, Pengarah Hospital Seremban, Dr Jaafar Che Mat mengesahkan 24 mangsa terdiri daripada lapan lelaki dan 16 perempuan dimasukkan ke hospital berkenaan.

Turut menerima rawatan ialah seorang pelancong lelaki dari Jepun.

"Tiga daripada mangsa terbabit iaitu seorang wanita dan dua lelaki menerima rawatan kecemasan di bilik bedah," katanya.

Menurutnya, pihak hospital mula menerima mangsa kemalangan terbabit bermula jam 8.05 malam dan mangsa terakhir pula tiba jam 10.15 malam.

Sinar Harian
11 Okt 2010


Horror crash: Victims identified (Update)

MALACCA: All 12 victims of the horrific Simpang Ampat crash have been identified. Nine of the dead were Malaysians, while three were Myanmar nationals.

The accident occured along the North South Highway Sunday night, when an express bus crashed through the guard rails and ploughed into five vehicles.

The dead were identified by police with the help of distraught relatives, who began streaming to the Malacca Hospital's mortuary around 10pm Sunday.

The victims included Nur Shapika Baba, 19, from Pokok Mangga; Muhammad Farizuddin, 19, from Balai Panjang; Sharene Sofea Fadzry Tan, 18, from Taman Semabok Perdana; Norazmi Abdul Karim, 24, from Pondol Kempas; Azizi Ajis, 19, from Kampung Gapis; Ng Sok Kuan, 52, from Sungai Udang; R. Ramachandra , 52, from Klebang Besar, all in Malacca.

The others were Pang Sui Moei, 57, from Segamat; Goo Chuan Heng, 34, from Batu Pahat (boht Johor); and Myanmars Kam Khaw Tual, 18, Pau Khaw Tual, 29, and Cin Thawa Tuang, whose age is still unknown.

Hospital authorities have assigned a special room for distraught family members to mourn their loss with volunteers from local Buddhist and Muslim organisations at hand to comfort bereaving families.

The 12 were killed when a north-bound express bus crashed through the guardrail and ploughed into five vehicles heading in the opposite direction at KM223.2 of the North South Expressway near Simpang Ampat here on Sunday.

Forty-five others were also injured in the 7.45pm accident, which occurred near the Negri Sembilan-Malacca border.

Witnesses said the express bus crashed into the rear of a car before the driver lost control of his vehicle and rammed through the guardrail and onto the path of an oncoming bus, two cars and a motorcycle.

The impact caused the express bus to flip onto its side. The bus driver and motorcyclist were among the casualties. The oncoming bus belonged to the Welfare Department.

The Star Online
11 Oct 2010


Usah biar lebih ramai terkorban


Kerjasama semua pihak penting elak nahas

SUDAH terhantuk baru terngadah, pepatah yang sesuai untuk menggambarkan tahap kesedaran pengguna jalan raya di negara ini. Menurut kajian, 60 hingga 70 peratus kemalangan berpunca daripada sikap pemandu. Selebihnya, membabitkan masalah kenderaan dan persekitaran jalan raya.

Adakah perlu untuk kita melihat lebih ramai lagi terkorban dek kelewatan melaksanakan apa juga bentuk peraturan dan polisi. Kerajaan berusaha sedaya mungkin memperkenalkan peraturan mahupun jalan penyelesaian, tetapi adakah ia memadai? Sejauh manakah semua peraturan itu benar-benar difahami dan diamalkan. Adakah perlu kita gunakan alat perakam maklumat seperti kotak hitam atau menguatkuasakan penggunaan had kelajuan kenderaan untuk memantau sikap pemandu.

Tidakkah semua ini dilihat umpama memantau kanak-kanak yang belum mampu mengerti apa itu bahaya, mahupun kematian. Berapa banyak lagi akta atau peraturan yang perlu kita perkenalkan semata-mata memantau pelakuan pemandu atau pihak berwajib bersikap acuh tak acuh dalam menguatkuasakan undang-undang.

Baru kelmarin kita dikejutkan dengan kemalangan ngeri meragut 12 nyawa dan mencederakan 40 penumpang bas, kereta, van dan seorang penunggang motosikal.

Ops sikap ke-22 lalu mencatatkan 16,817 kemalangan berlaku dan angka ini sudah cukup membuktikan betapa pengguna jalan raya kurang mengambil iktibar daripada setiap kemalangan yang berlaku. Benar ia dilaporkan menurun 9.5 peratus, berbanding Ops Sikap ke-21 tetapi kemalangan ngeri tetap berlaku dan ia sebenarnya mampu dikurangkan jika semua pihak bekerjasama.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata tidak ada sesiapa yang mahukan kemalangan berlaku tetapi tragedi tetap berlaku atas sebab dan alasan tersendiri. Apa yang pasti, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedang menyiasat secara terperinci kemalangan itu.

“Di negara ini, apabila sudah berlaku kemalangan, baru orang sibuk memperkatakan siapa yang bersalah, ngerinya kemalangan dan punca kemalangan. Sebaliknya, kita gagal mengambil iktibar. Kita tidak pernah mengharapkan semua ini berlaku dan kita tidak mahu pun ia berlaku. Apa yang penting, sudah tiba masanya pengguna bekerjasama dengan kerajaan. Kerajaan tidak mampu bertepuk sebelah tangan dan jangan hanya memandang ia sebagai tragedi,” katanya.

Prof Dr Ahmad yakin sudah tiba masanya semua pengusaha bas mempraktikkan secara keseluruhan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE) bagi mengurangkan kemalangan terutama bas ekspres. Kod amalan itu, mencakupi komitmen pengurusan tertinggi syarikat terhadap keselamatan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan, pengurusan risiko dan perjalanan dan pengurusan dokumen pengurusan kenderaan.

SHE tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994). Kod ini diperkenalkan pada 2007 dan Kabinet memutuskan untuk mewajibkan semua pengusaha kenderaan melaksanakan Kod Amalan SHE.

Mengulas penggunaan Alat Sistem Kedudukan Global (GPS), Prof Dr Ahmad berkata, penggunaan ‘technology in a vacuum’ bukanlah sesuatu yang digalakkan kerana Kod Amalan SHE dilihat lebih sesuai berbanding kebergantungan terhadap alat elektronik.

Walaupun diperkenalkan tiga tahun lalu, masih ramai pengusaha bas tidak memahami kod amalan SHE, apatah lagi untuk menjadikannya sebagai salah satu syarat wajib lesen. Perkara ini pernah didedahkan Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Apabila kita ambil keputusan jadikan SHE syarat lesen, rupanya hampir semua syarikat tak faham apa itu jawatankuasa dan polisi SHE, inikan pula nak tubuhkan audit dalaman... mereka tak faham apa patut dibuat. Oleh kerana mereka tidak faham, kita tak dapat kuatkuasakan SHE.

“Jadi, sekarang kita nak beri kefahaman kepada mereka dulu. Justeru, selepas kita selesai memberi penerangan kepada mereka mengenai SHE, kita akan beri mereka tempoh tiga bulan untuk bangunkan ketiga-tiga elemen ini dan kemudian baru boleh kenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Berikut ialah senarai nama mangsa yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin:

R Ramachandra, 52 – pemandu bas Ekspres Delima (Alamat: Batu 3 Kampung Tengah, Klebang Besar, Melaka)
Muhammad Farizuddin Talib, 19 – penumpang bas (Balai Panjang, Malim, Melaka)
Azizi Ajis, 20, – penumpang bas (Kampung Japis, Nyalas, Melaka)
Norazmi Abdul Karim, 24 – penumpang bas (Kampung Pondok Kempas, Selandar, Melaka)
Sharene Sofia Fadzry Tan, 18 – penumpang bas (Taman Semabok, Melaka)
Nur Shafika Baba, 19 – penumpang bas (Jalan Pokok Mangga, Melaka)
Ng Sok Kuan, 52 – penumpang bas (Sungai Udang, Melaka)
Pau Khaw Tual, 21 – penumpang bas (Warga Myanmar)
Kam Khaw Tual, 19 – penumpang bas (Warga Myanmar)
Cin Chwen Tuang, 30 – penumpang bas (Warga Myanmar)
Goo Chuan Heng, 34 – pemandu van Toyota(Taman Maju, Batu Pahat, Johor)
Pang Shi Moe, 57 – penumpang kereta Honda Accord (Taman Segar, Segamat, Johor)

Mangsa dirawat (mengikut hospital)

Hospital Tuanku Jaafar, Seremban – 23 orang (4 parah, 19 cedera ringan)
Hospital Melaka – 11 orang (2 parah, 9 cedera ringan)
Hospital Kuala Lumpur – 1 orang (parah dan kritikal)
Hospital Pantai, Melaka – 3 orang (parah dan kritikal)

Berita Harian
12 Okt 2010


Brek dipercayai jadi punca nahas

TEMPAT kejadian kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, yang menyebabkan 12 maut menarik perhatian orang ramai, semalam. Gambar kecil, kereta yang remuk dan kesesakan teruk ketika kemalangan kelmarin.

Pemandu tidak ada rekod kesalahan trafik serius, bas tiada saman pandu laju

REMBAU: Kementerian Pengangkutan tidak menolak kemungkinan kemalangan bas Ekspres Delima di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Pedas di sini, malam kelmarin, berpunca daripada masalah brek atau sistem stereng berdasarkan kesan brek di tempat kejadian.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata penyiasat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menemui kesan brek yang panjang dari laluan asal bas ekspres berkenaan, sebelum terbabas dan terbalik ke atas kenderaan lain di laluan bertentangan.

Katanya, pasukan itu dengan dibantu agensi lain termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sedang menyiasat lanjut kedua-dua sistem itu bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Pemeriksaan awal rekod bas, ia dalam keadaan baik, malah siasatan terhadap pemandu yang maut dalam kemalangan itu, R Ramachandra, mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan trafik yang serius dan bas tiada saman laju. Mungkin kemalangan disebabkan masalah brek atau sistem stereng dan ini sedang disiasat,” katanya ketika melawat tempat kejadian semalam.

Kong berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan dengan kerjasama JPJ, JKJR, MIROS, PUSPAKOM, polis, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata, bas ekspres terbabit didaftar pada 2007 dan pemeriksaan awal mendapati ia kerap menjalani pemeriksaan berkala PUSPAKOM dan kali terakhir pada Mei lalu dengan keadaan tayar ketika kejadian disahkan dalam keadaan baik.

Sementara itu, Kong berkata, kementerian sedang membuat pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi memperketatkan penguatkuasaan dan memberi kuasa kepada JPJ menyiasat dan membuat pemeriksaan pemandu yang dipengaruhi dadah.

Berita Harian
12 Okt 2010


'Lengan kiri saya hampir hancur'

NORHAYATI Abdul Aziz, 43, dan Mohd Ghazali Anuar, 45, menenangkan anaknya, Nurnajlaa yang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban selepas terbabit dalam nahas bas ekspres di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin.


NURSYAKILA Senin yang parah menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.


SITI Rosnah Ismail, 53, menemani anaknya, Mohd Firdaus Yaakub,19, yang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Penuntut UM hanya dengar jeritan, tangisan minta tolong selepas bas terbalik

SEREMBAN: “Apabila sedar, saya berasa lengan kiri sangat sakit dan terkejut apabila mendapati ia hampir hancur berlumuran darah dan dipenuhi kaca tingkap,” kata Nurnajlaa Aqilah Mohd Ghazali, 19, mangsa kemalangan bas ekspres di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin.

Dia yang sebelum itu tertidur berkata, tidak mengetahui punca kecederaan, tetapi percaya disebabkan tersepit pada kaca tingkap bas yang terbalik.

Pelajar tahun satu jurusan Kejuruteraan Komputer Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia terpaksa menggagahkan diri keluar daripada bas yang sudah terbalik untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu, keadaan huru hara dengan jeritan dan tangisan meminta tolong. Saya yang masih bingung kerana impak kejadian itu tidak menyedari apa yang berlaku di sekeliling dan hanya risaukan tangan saya.

“Apabila berada di tepi jalan, baru saya sedar kemalangan itu sangat teruk dan ramai yang parah, selain melihat beberapa mayat bergelimpangan,” katanya yang turut cedera pada muka dan kepala akibat terkena serpihan kaca.

Sementara itu, pelajar kolej swasta, Tew Chi Ling, 18, berkata, dia sedang mendengar pemain MP4 apabila bas tiba-tiba bergoyang kerana cuba mengelak sebuah kenderaan lain di hadapan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.

“Saya terkejut dan terasa seolah-olah bas melayang sebelum terhempas dan mendengar dentuman kuat. Selepas itu, saya sedar sudah berada dalam keadaan terbalik dengan kepala di bawah dan kaki di atas. Saya dengar ada orang meminta saya keluar segera,” katanya yang cedera ringan.

Mereka ditemui ketika lawatan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan; Ketua Pengarah JKJR, Datuk Sureet Singh dan Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Berita Harian
12 Okt 2010


Penumpang dakwa bas ekspres dipandu laju

Pemandu dikatakan sentiasa berada di lorong kanan

SEREMBAN: Beberapa penumpang bas Ekspres Delima yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) kelmarin, mendakwa kenderaan itu dipandu laju hingga hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Pelajar kolej swasta, Shanor Amir, 18, dari Padang Temu, Melaka, berkata dia sedar ketika kejadian berlaku dan dapat merasakan bas berpusing selepas melanggar penghadang jalan.

“Saya tidak tidur seperti sebahagian penumpang lain dan dapat merasakan bas dipandu laju, sebelum berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan.

Kejadian berlaku terlalu pantas dan ramai penumpang tidak menyedarinya kerana ramai yang tidur,” katanya yang cedera muka dan badan ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), selepas lawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Aisyah Mohd Nor, 18, dari Sungai Udang Melaka, juga mendakwa bas dipandu laju, sebaik memulakan perjalanan dari Stesen Melaka Sentral.

“Bas memang dipandu laju sebaik memulakan perjalanan dan kemudian memasuki lebuh raya,” katanya yang kali kedua menaiki bas itu dari Melaka ke Kuala Lumpur.

Tox Xue Hui, 23, yang mengakui bas bukan saja dipandu laju, malah sejak awal perjalanan, pemandu dilihat sentiasa mahu berada di lorong kanan dengan memotong kenderaan lain.

“Sehari sebelum kejadian, saya menaiki bas yang sama untuk ke Melaka dan perasan, ia dipandu pemandu sama. Ketika perjalanan, dia juga memandu laju dan saya anggarkan perjalanan hanya mengambil masa sejam setengah untuk sampai ke Melaka,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Pantai Keroh, Melaka.

Kemalangan menyebabkan Tok Xue dari Ayer Hitam, Batu Pahat dan bekerja di Kuala Lumpur, menerima 15 jahitan pada kepala, selain retak tulang pinggang dan patah tulang selangka.

Sementara itu, polis tidak menolak kemungkinan faktor kelajuan antara punca bas berkenaan terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata ia akan dikaji pasukan teknikal dengan menghantar bas menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Kelajuan memang dalam perkiraan polis, tetapi kita juga melihat faktor lain seperti kerosakan mekanikal yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.

Ketua Bahagian Komunikasi dan Pembangunan Perniagaan PUSPAKOM, James Lee, berkata walaupun tiada kotak hitam, kaedah lain boleh digunakan untuk mengetahui kelajuan bas berdasarkan keadaan di lokasi kejadian seperti kesan brek pada jalan dan keterangan saksi.

Berita Harian
12 Okt 2010


Bantuan lambat tiba bantu mangsa

BATU PAHAT: Kelewatan pasukan bantuan menyelamatkan mangsa kemalangan maut di Kilometer 223 Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), terutama ambulans dikatakan punca ramai mangsa yang parah tidak dapat diselamatkan.

Seorang keluarga mangsa mendakwa ambulans hanya tiba kira-kira jam 9.30 malam kelmarin walaupun kemalangan berkenaan berlaku jam 6.50 petang.

Keluarga Goo Chuan Heng, 34, mendakwa kematian anak keenam daripada 10 beradik itu dapat dielak jika bantuan perubatan diberikan segera.

Abangnya, Chuan Seng, 37, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian daripada Batu Pahat sejurus dihubungi kakaknya, Ai Wah, 42, yang terselamat dan turut berada dalam van berkenaan bersama adiknya.

“Saya menerima panggilan telefon daripada Ai Wah yang turut berada di dalam van ketika kejadian pada kira-kira jam 6.45 petang, sebelum bergegas ke lokasi bersama bapa, Goo Ah Leng, 70 dan ibu, Tan King Choo, 65.

“Setiba kami di Melaka kira-kira jam 8.30 malam, keadaan jalan raya sesak teruk menyebabkan saya menahan sebuah motosikal sebelum menumpang ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian saya melihat adik saya masih berada di dalam van tanpa diberikan sebarang bantuan, menyebabkan saya memberanikan diri dan mengeluarkannya dari kenderaan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Chuan Seng mendakwa, ketika mengeluarkan adiknya itu beliau sudah tidak bernyawa tetapi hairan kerana tiada pihak bertanggungjawab yang menghulurkan bantuan dan mengeluarkan mayat adiknya terlebih dulu.

“Saya memandu dari Batu Pahat dan jika diikutkan, jarak saya lebih jauh berbanding mereka yang bertugas bagi membantu mangsa di lokasi, adalah tidak logik semua mangsa hanya diberikan bantuan selepas kira-kira dua jam kemalangan berlaku sedangkan terdapat sebuah hospital di kawasan berhampiran," katanya.

Sementara itu, bapanya, Ah Leng berkata, sekiranya bantuan perubatan diberikan segera beliau yakin anaknya dan beberapa mangsa lain mungkin dapat diselamatkan.

“Memang benar berlaku kesesakan jalan raya tetapi, bukankah ambulans boleh membunyikan siren kenderaan lain pasti akan memberikan laluan atau menggunakan jalan lain untuk tiba di lokasi," katanya.

Ai Wah, kini berada di sebuah hospital di Melaka untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di kepala dan badan manakala jenazah Chuan Heng selamat tiba Batu Pahat pada jam 10 pagi semalam dan akan disemadikan di jirat Cina di Jalan Tanjong Laboh, Rabu ini.

Berita Harian
12 Okt 2010


Bapa terkilan anak tidak sempat terima ijazah

MELAKA: Seorang bapa terkilan kerana tidak dapat melihat anaknya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) apabila anaknya itu terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, kelmarin.

Abdul Karim Jamaludin, 60, berkata anaknya Norazmi, 24, dijadual menerima ijazah itu pada majlis konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak Jumaat ini.

“Anak saya pergi ke Kuala Lumpur petang semalam (kelmarin) menaiki bas ekspres untuk berjumpa kawan-kawannya bagi membuat persiapan menghadiri konvokesyen itu dan kemudian pergi bersama kawan-kawannya ke UPSI,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, semalam.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, 12 terbunuh dan lebih 40 cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebuah van dan tiga kereta.

Abdul Karim yang reda dengan pemergiaan anak keenam dari tujuh adik-beradik itu, berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kempas, Selandar, semalam.

Sementara itu, Maria Johan, 54, ibu kepada seorang lagi mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu, Azizi Ajis, 19, berkata anaknya yang baru bekerja dengan sebuah agensi pelancongan di Kuala Lumpur, memberitahunya malas untuk pulang ke ibu negara kerana sayang untuk berpisah dengan adik- beradiknya.

“Beliau (Azizi) sempat minta maaf dengan Pak Longnya yang akan menunaikan fardu haji dan minta (Pak Long) doakan beliau berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur,” katanya yang tinggal di Kampung Gapis, Nyalas di Jasin.

Berita Harian
12 Okt 2010


Hasrat tukang perabot temui kekasih bertukar tragedi

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang tukang perabot untuk bertemu teman wanitanya di ibu negara bertukar mimpi ngeri apabila tangan kirinya terpaksa dipotong selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin.

Lee Han Wei, 28, yang menaiki bas Ekspres Delima menuju ke Kuala Lumpur cedera teruk di tangan kiri akibat tersepit dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan tangan.

Adik mangsa, Lee Han Seng, 25, berkata beliau tidak menyangka tujuan abangnya ke Kuala Lumpur untuk bertemu teman wanitanya tidak kesampaian, malah terpaksa mengalami kecacatan seumur hidup.

Beliau berkata, keluarganya yang berasal dari Bertam Ulu hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam oleh Hospital Rembau.

“Kami sekeluarga sebelum itu mendengar berita kemalangan ngeri melalui berita televisyen, namun tidak menyangka abang saya antara mangsa sehinggalah dimaklumkan pihak hospital.

“Abang kini berada dalam keadaan stabil selepas selamat menjalani pembedahan tangan kirinya selama lima jam dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.

Lee berkata, abangnya keluar rumah kira-kira jam 8 pagi untuk ke tokong sebelum ke ibu kota untuk bertemu teman wanitanya.

“Walaupun sukar menerima kenyataan sebelah tangan abangnya sudah tiada, namun kami sekeluarga gembira kerana abang masih hidup,” katanya.

Berita Harian
12 Okt 2010


‘Objek hitam menerpa saya’

MELAKA 11 Okt. – Seorang pemandu bas memaklumkan dia ternampak satu objek hitam seperti menerpa di hadapannya sebelum merempuh bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedang dipandunya.

Umar Yusop, 31, bagaimanapun terselamat dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa 12 orang itu berkata, selepas itu dia tidak sedar apa-apa lagi sehingga dimaklumkan bahawa objek itu adalah bas Ekspres Delima yang terbabas dan melambung dari laluan bertentangan.

“Ketika itu cuaca amat baik. Sebaik sahaja ternampak objek hitam itu, saya segera menekan brek sebelum ia terus merempuh bas yang saya pandu,” katanya.

Umar adalah antara lebih 40 penumpang yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, tiga buah kereta dan sebuah van di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang semalam.

Nahas pada pukul 6.50 petang itu berlaku apabila sebuah bas Ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain.

Ia kemudian bertembung dengan bas dipandu Umar yang ketika itu membawa 36 peserta yang menghadiri Perhimpunan Raksasa ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Bukit Jalil.

Bagaimanapun, kesemua 36 penumpang itu dilaporkan selamat.

Mengimbas kembali detik kemalangan ngeri itu, Umar yang telah empat tahun memandu bas JKM berkata, pemanduannya berjalan lancar seperti biasa namun kemalangan itu berlaku begitu pantas.

“Ketika itu, saya memandu seperti biasa dan tidak berasa apa-apa yang pelik sehinggalah kemalangan itu berlaku dalam sekelip mata.

“Walaupun saya cedera di muka, patah tangan kanan dan tulang rusuk, saya bersyukur kerana terselamat dan semua penumpang saya juga tidak mengalami kecederaan,” katanya yang ditempatkan di Wad 1-3 Hospital Melaka di sini.

Utusan
12 Okt 2010


‘Rasa bagaikan kacang dalam botol yang digoncang’

SEREMBAN 11 Okt. – Para penumpang bas Ekspres Delima yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini semalam sehingga meragut 12 nyawa, menganggap perjalanan mereka itu umpama `kacang dalam botol yang digoncang’.

Itu gambaran yang diberikan mereka untuk menunjukkan betapa cemas dan ngerinya berada dalam bas ekspres bernombor pendaftaran WQM 7333 sebaik sahaja ia melambung, terhempas dan merempuh beberapa kenderaan lain.

Menurut beberapa orang penumpang bas itu yang terselamat, kebanyakan daripada mereka yang ketika itu sedang tidur dilihat melambung keluar dari bumbung bas yang pecah, selain beberapa lagi tersepit apabila bas itu terhempas.

Salah seorang yang terselamat, Tew Chi Ling (gambar), 18, berkata, dia tidak bermimpi mahupun tertidur, sebaliknya melihat setiap detik yang berlaku itu.

Menurut pelajar jurusan Hiasan Dalaman di Kolej Bandar Utama (KBU) itu, dia kini berada dalam keadaan trauma dan terkejut kerana sempat menyaksikan keseluruhan detik-detik cemas, ketika kemalangan berlaku.

“Saya lihat bas itu cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal dan ia itu mula terhoyong-hayang kemudiannya melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

“Saya nampak ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Saya lihat, bas itu sudah dipenuhi darah manusia.

“Ada yang meraung kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya,” katanya.

Dia sedih kerana banyak suara yang meminta tolong dari dalam bas yang remuk itu, apatah lagi terkejut dengan jeritan tanpa henti kebanyakan penumpang.

Dia bersama seorang rakan kolej, Tai Hi Teng terselamat dalam kejadian itu , namun masih dirawat di Wad Pembedahan, Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini kerana mengalami luka di beberapa bahagian badan

Seorang lagi penumpang, Nur Najlaa Aquilah Mohd Ghazali, 19, yang cedera di pergelangan tangan kirinya berkata, dia berada dalam keadaan separuh sedar dan pening kerana bas itu berpusing dan terhoyong-hayang.

“Saya terhantuk dan kepala pening sebaik sahaja bas yang dinaiki ini terbabit dalam kemalangan. Apabila saya sedar, saya lihat pakaian saya dibasahi dengan darah,” katanya.

Dia menambah, ramai penumpang yang mengerang kesakitan dan ada juga yang merangkak keluar dari bas yang sudah remuk.

“Saya menangis apabila melihat darah banyak mengalir dari pergelangan tangan,” kata pelajar tahun pertama, jurusan Kejuruteraan Komputer Universiti Malaya (UM).

Liow Sin Ren, 23, pula berkata, dia tidak sedar apa yang berlaku kerana tidur dan hanya menyedari apabila bas sudah terbalik.

“Bila saya sedar, seluruh badan terasa sakit. Saya buka mata perlahan-lahan dan terkejut apabila bumbung bas itu sudah tercabut,” katanya yang mengalami keretakan pada tulang hidung dan pipi.

Utusan
12 Okt 2010


Ajal lepas merajuk


MELAKA: “Tak sangka, kami ‘lepaskan’ dia sekejap saja, tetapi dia pergi buat selama-lamanya. Itulah kali pertama dia menaiki bas ekspres sepanjang hayatnya, tapi menjadi yang terakhir,” rintih Rohata Adam, 43, ibu kepada Sharene Sofia Fadzry Tan, 18.

Anak bongsu daripada dua beradik itu antara 10 penumpang bas ekspres Delima yang terbunuh dalam kemalangan ngeri meragut 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, lewat petang kelmarin.

Rohata tidak menduga permintaan Sharene Sofia yang beria-ia mahu ke Klang, Selangor, menemui rakannya sehingga merajuk beberapa hari kerana tidak dibenarkan pergi, ibarat petanda ajalnya sudah hampir.

Menurut Rohata, dia dan suaminya, Fadzry Tan Abdullah, 45, keberatan melepaskan anak mereka menemui rakannya yang dikenali ketika dia mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini tahun lalu.

“Bagaimanapun, Sofia merajuk dan memujuk agar saya membenarkannya pergi bermalam dua hari di rumah rakannya itu.

“Tidak mahu dia merajuk berpanjangan, akhirnya saya membenarkannya pergi,” katanya yang ditemui di rumah ibunya di Kilometer 14, Kampung Umbai, dekat sini, semalam.

Jenazah Allahyarham Sharene Sofia dikebumikan kira-kira jam 11.30 pagi semalam, di tanah perkuburan Islam Umbai, di sini.

SEDIH...Fadzry dan Rohata memujuk Natasha (dipangku), kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang kelmarin, bas ekspres Delima yang membawa 34 penumpang, terbabas dan memasuki laluan bertentangan lebuh raya dan menghempap beberapa kenderaan menyebabkan 12 terbunuh.

Polis mengesahkan 10 yang terbunuh penumpang dan pemandu bas ekpres berkenaan dan masing-masing satu dipercayai pemandu van dan kereta Honda Accord.

Rohata berkata, selepas diizinkan pergi, Sharene Sofia mula berubah menjadi terlalu periang dan suka bermanja dengannya serta keluarga.

“Dia nampak ceria berlebihan dan suka bergurau serta menyakat saya. Malam sebelum menaiki bas, dia meminta tidur bersebelahan kakaknya (Natasha Ernie, 19), tetapi anak sulung saya tidak membenarkannya,” katanya yang kini menetap di Taman Semabok Perdana, dekat sini.

Menurut Rohata, selepas menghantar Sharene Sofia di Terminal Melaka Sentral, dia tidak turun dari kereta, sebaliknya hanya bersalaman ketika menurunkannya berhampiran bas yang mahu dinaiki.

“Selepas itu saya tidak lagi melihat kelibatnya. Bagaimanapun, saya sempat menghubunginya bagi memastikan dia selamat menaiki bas,” katanya.

Rohata berkata, sejam selepas itu, dia menghubungi telefon bimbit anaknya lima kali termasuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), tetapi tidak dijawab.

“Saya bertambah bimbang apabila rakannya yang menunggu di Kuala Lumpur menghubungi memberitahu bas dinaiki Sofia belum tiba.

“Saya dihubungi semula rakannya dan terkejut apabila diberitahu kenderaan dinaiki anak saya terbabit kemalangan.

“Saya menghubungi polis di Negeri Sembilan dan Melaka, namun mereka gagal mengesan nama anak saya dalam senarai mangsa cedera atau terbunuh.

“Kerana tidak sedap hati, saya dan suami terus ke Hospital Melaka bagi mendapatkan maklumat di Jabatan Kecemasan, namun masih gagal,” katanya.

Bagaimanapun, kata Rohata, apabila tiba di Jabatan Forensik, anggota polis memintanya membuat pengecaman menerusi gambar.

“Alangkah terkejut dan pilunya saya apabila mendapati gambar mayat itu anak saya. Apapun, saya tetap reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.

Harian Metro
12 Okt 2010


Bas lesap sekelip mata

PILU...ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak dapat menahan kesedihan.

MELAKA: “Kira-kira jam 6.44 petang (kelmarin), saya menerima SMS daripada dia (rakannya) memberitahu bas dinaikinya baru melepasi Plaza Tol Ayer Keroh. Kami mengekori bas itu dengan kereta,” kata Nurfaizah Abd Karim, 19, menceritakan detik akhir dua rakannya yang terbunuh dalam kemalangan ngeri yang mengorbankan 12 orang di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan berhampiran Pedas, petang kelmarin.

Rakannya, Nurshapika Baba, 19, dari Jalan Pokok Mangga dan Muhamad Farizuddin Abu Talib, 19, dari Balai Panjang, terbunuh bersama 10 penumpang lain dalam kemalangan membabitkan bas ekspres Delima yang mereka naiki serta beberapa kenderaan lain.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, dia menghantar SMS kepada Nurshapika bertanya kedudukan bas dinaikinya kerana gagal mengesan bas berkenaan, tetapi tidak membalas dan saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Apabila tiada balasan dan masih gagal mengesan bas berkenaan, saya hantar beberapa SMS lagi dan mula tidak sedap hati kerana tetap tidak mendapat balasan,” katanya yang mengekori bas berkenaan sejak ia berlepas bersama dari Terminal Melaka Sentral bersama rakannya, Nurul Baidatul Asyikin Asri, 19, dengan kereta.

Nurfaizah yang ditemui di Hospital Melaka di sini, semalam. berkata Nurshapika dan Muhamad Farizuddin yang enggan menaiki kereta bersamanya, berkeras mahu pulang ke Kuala Lumpur dengan bas.

Difahamkan, kedua-dua mangsa masih menuntut di Universiti Multimedia (MMU), Bukit Beruang, dalam jurusan kejururawatan dan menjalani latihan praktikal peringkat akhir di Hospital Melaka.

Menurut Nurfaizah, kedua-dua rakannya itu tidak menunjukkan perubahan sebelum mereka ke Terminal Melaka Sentral untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur dan ketika bas meninggal terminal, mereka melambaikan tangan bagaikan lambaian terakhir.

“Kami berdua hairan kerana gagal mengesan bas berkenaan dan timbul persoalan, sama ada bas itu laju sangat sehingga kami tidak dapat mengejarnya sedangkan ketika itu kenderaan di lebuh raya bergerak perlahan akibat kesesakan. Rupanya kesesakan itu akibat kemalangan membabitkan bas dinaiki rakan kami.

“Terdetik di hati teringatkan kedua rakan yang menaiki bas itu, namun saya tidak pasti sehingga kami memberhentikan kereta di bahu jalan dan menyedari kemalangan itu membabitkan bas ekspres dinaiki Nurshapika dan Muhamad Farizuddin,” katanya.

Harian Metro
12 Okt 2010


Lihat jenazah bukan ijazah

MELAKA: “Gelagat arwah bertukar menjadi ceria sejak kebelakangan ini walaupun dia seorang pendiam, malah sempat memakaikan dua anak saudaranya jubah majlis konvokesyennya sebelum merakam gambar mereka.

“Saya tidak mengesyaki sebarang perubahan cuma hairan dengan sikapnya itu,” kata Norhafizah Abdul Karim, 28, kakak kepada Norazmi, 24, graduan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, penumpang bas ekspres Delima yang terbunuh.

Allahyarham bakal guru bercuti dua bulan, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk bertemu rakan dan menguruskan hal berkaitan majlis konvokesyennya di UPSI Jumaat ini.

Menurutnya, Norazmi seolah-olah keberatan menaiki bas itu pada jam 6 petang kelmarin, tetapi tiada pilihan kerana tiket kehabisan walaupun mengikut perancangan mahu menaiki bas pada jam 5 petang. Katanya, mereka sekeluarga sangat sedih kerana Norazmi tidak sempat menggenggam segulung ijazah seterusnya menjadi seorang guru pendidikan seni.

“Semua persiapan majlis konvokesyen sudah dibuat. Malah, baju konvokesyen juga diambil dan bawa balik ke rumah pada 7 Oktober lalu.

“Paling kami sekeluarga sedih, arwah sempat merakam gambar dengan memakaikan baju konvo kepada dua anak saya, Haidi Azely Rashid, 7, dan Puteri Irdina Zuyyin, 3. Dia nampak gembira dan ceria bakal menjadi guru.

“Namun takdir menentukan Norazmi tidak sempat mengambil ijazahnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), di sini, semalam.

Katanya, dia bersama suaminya, Rashid Hashim, 34, dan anak serta anak saudara menghantar adiknya menaiki bas di Terminal Melaka Sentral, tetapi sebelum itu arwah sempat mengandam pengantin di Batu Berendam, di sini.

“Arwah berjiwa seni dan berbakat dalam bidang mengandam pengantin. Jadi selepas menemani dia mengandam pengantin di Batu Berendam, barulah saya menghantarnya ke Terminal Melaka Sentral kira-kira jam 3 petang.

“Sebelum arwah beli tiket, kami sekeluarga sempat makan bersama. Kemudian kami datang semula ke kereta untuk ambil beg arwah. Tak sangka, selalunya kami tunggu sehingga dia naik bas, namun semalam (kelmarin) terus balik dan tidak rasa nak tunggu,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Abd Karim Jamaludin, 64, yang menetap di Felda Chemomoi, Triang, Pahang, berkata pada mulanya dia tidak mengetahui kejadian sebenar yang menimpa anak keenam daripada tujuh beradik itu kerana tidak dimaklumkan perkara sebenar.

Menurutnya, dia dimaklumkan agar bersiap bersama isterinya, Salamah Ismail, 57, pada awal pagi kerana perlu pergi ke Melaka kerana mempunyai urusan.

“Sebelum itu rakan ada menghubungi kira-kira jam 3 pagi tetapi tidak memberitahu mengenai kemalangan (menimpa anak) tetapi dalam perjalanan ke Melaka, Norhafizah memberitahu kejadian menimpa Norazmi.

“Norazmi adalah anak harapan, malah dia juga masih belum menerima gaji berkhidmat sebagai guru sandaran di sebuah sekolah di Damansara sebelum Aidilfitri lalu,” katanya.

Jenazah Norazmi dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Pondok Kempas, Selandar, Jasin, petang semalam.

Harian Metro
12 Okt 2010


Tercampak merata tempat

SEREMBAN: “Saya nampak ada beberapa penumpang tercampak di merata tempat dalam bas yang bergolek selain jeritan penumpang yang cedera dan ketakutan,” kata seorang penumpang bas ekspres yang cedera dalam kemalangan mengorbankan 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Pedas, dekat sini, petang kelmarin.

Pelajar kolej, Tew Chi Ling, 18, berkata keadaan dalam bas ketika itu amat kelam kabut selepas penumpang yang cedera menjerit kesakitan manakala beberapa yang lain tidak bergerak dipercayai sudah mati.

“Sebelum kemalangan, saya terasa bas yang dipandu seorang lelaki terhoyong-hayang hingga ia gagal dikawal lalu terbalik beberapa kali dan masuk ke laluan bertentangan di sebelah.

“Sejurus selepas kemalangan, saya dapati tangan berdarah dan menggagahkan diri keluar dari bas yang terbalik,” katanya yang ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, semalam.

Menurut Tew, dia dan seorang rakan yang menaiki bas berkenaan merangkak keluar untuk menyelamatkan diri kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

Dia yang menuntut di sebuah kolej di ibu kota, menaiki bas berkenaan dari Terminal Melaka Sentral kira-kira jam 6 petang selepas pulang bercuti hujung minggu di rumah keluarganya.

Harian Metro
12 Okt 2010


Bukan sebab keadaan jalan

PETALING JAYA: Faktor keadaan jalan bukanlah punca berlaku kemalangan yang meragut 12 nyawa di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, dekat Rembau petang kelmarin.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor berkata, dari segi keadaan jalan, ia mempunyai tiga lorong, iaitu tiga ke utara dan tiga lagi ke selatan selain tembok penghadang jalan yang dibina sememangnya memenuhi piawaian ditetapkan.

“Kemalangan ngeri itu berkemungkinan disebabkan kecuaian pemandu yang dikatakan memandu secara laju sehingga gagal mengawal kenderaan dan bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Jika keadaan jalan itu sempit dan cerun, ia kemungkinan menjadi punca berlaku kemalangan tragis berkenaan,” katanya selepas sidang media selepas merasmikan persidangan Jalan SeMalaysia 2010 ke-8 di Pusat Persidangan Sunway Piramid, di sini, semalam.

Menurutnya, kementeriannya sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja menaik taraf jalan baru dan sedia ada untuk keselamatan pengguna, namun tumpuan juga perlu diberikan kepada pengguna jalan raya. “Pada tahun ini, kerja menambah baik jalan dilakukan di 30 kawasan ‘bahaya’ yang sering berlaku kemalangan di jalan persekutuan, termasuk 10 lagi di lebuh raya.

“Walaupun kerja menaik taraf membabitkan kos minimum, namun ia memberikan impak tinggi pada keselamatan pengguna apabila sikap pengguna yang enggan mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kadar tol akan dapat dikurangkan sekiranya pihak perbankan dapat menyediakan kaedah pembiayaan yang lebih fleksibel kepada syarikat konsesi lebuh raya.

Harian Metro
12 Okt 2010


Keluar ikut tingkap

MELAKA: Bas ekspres Delima dipandu laju sebaik melepasi Plaza Tol Ayer Keroh dan sentiasa berada sama ada di laluan tengah atau paling kanan lebuh raya sebaik keluar dari plaza tol itu.

Seorang jurutera, Nur Shahila Abdullah, 25, iaitu penumpang bas ekspres berkata ketika melalui Batu Berendam sebelum itu, bas berkenaan bergerak perlahan kerana banyak kenderaan.

“Saya yang duduk di kerusi nombor 23 dekat tingkap sebelah kanan, tidak tidur sepanjang perjalanan dan menyedari bas dipandu laju serta sentiasa berada sama ada di laluan tengah atau paling kanan lebuh raya sebaik keluar dari plaza tol itu.

“Tiba-tiba bas melanggar pembahagi lebuh raya dan hilang kawalan lalu berpusing menyebabkan saya terpelanting dari tempat duduk.

“Dalam keadaan sakit pinggang dan luka kecil, saya berjaya keluar dari tingkap yang pecah dibantu orang ramai sebelum menyeberang lebuh raya. Ketika itulah saya dapat lihat keadaan bas serta kawasan kemalangan yang begitu teruk.

“Sebelum keluar saya lihat penumpang di sebelah cedera dan berdarah serta tidak bergerak. Ada dua perempuan tersepit dan saya dengar suara orang menjerit,” katanya yang bekerja dengan syarikat kejuruteraan di Batu Caves dan datang ke Melaka untuk bertemu rakan.

Menurutnya, itulah kali pertama dia menggunakan perkhidmatan bas ekspres Delima kerana biasanya dia menggunakan bas Transnasional. “Memang saya akan trauma nak naik bas selepas ini,” katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, pemandu bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Umar Yusop, 31, berkata dia nampak bagaikan satu lintasan datang menyambarnya sebelum dia pengsan.

Lintasan dilihat Umar itu sebenarnya bas ekspres Delima yang terbabas memasuki laluannya di Kilometer 222.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan berhampiran Pedas, di sini, petang kelmarin.

Umar yang kini dirawat di Hospital Melaka (HM), dalam perjalanan pulang ke Melaka membawa 36 penumpang, iaitu veteran tentera bersama ahli keluarga mereka selepas menghadiri perjumpaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dia tidak dapat memastikan masa kejadian, sama ada petang atau malam, tetapi amat bersyukur kerana semua penumpang selamat.

“Saya tidak memandu laju, ikut had laju serta berada di lorong yang betul. Tiba-tiba nampak lintasan datang kepada saya. Lintasan itu sebenarnya bas daripada laluan bertentangan yang memasuki laluan saya. “Alhamdullilah, saya tidak pandu laju, mungkin sebab itu semua penumpang saya selamat.

“Ketika itu saya tidak menjerit atau cuba mengelak tetapi sempat menekan brek. Namun, jarak dengan bas itu terlalu dekat menyebabkan bas saya tetap merempuh bas itu. Namun saya amat bersyukur kepada Tuhan,” katanya yang patah tangan kanan, tulang rusuk dan bahu.

Sementara itu, ibunya, Milah Sulaiman, 65, berkata dia tidak berhenti menangis apabila dimaklumkan pihak hospital bahawa Umar cedera dalam kemalangan itu kira-kira kira-kira jam 6 pagi semalam.

Harian Metro
12 Okt 2010


Sedia talian hotline dalam bas ekspres

KUALA LUMPUR: Pengusaha bas ekspres perlu tahu pergerakan serta perkembangan pemandu umpama mereka berada di hujung jari pengusaha bagi memastikan kemalangan membabitkan kenderaan itu dapat dielak.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa), Tajuddin Mohd Yunus berkata, pengusaha perlu sentiasa memantau pemanduan pemandu mereka menerusi sistem navigasi GPS yang ada.

“Mungkin juga mereka boleh meletakkan talian hotline di dalam bas, supaya penumpang yang risau dengan cara pemanduan terus menghubungi pengurusan bagi memudahkan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu bas juga manusia biasa yang boleh melakukan kesilapan tetapi mereka menanggung risiko lebih tinggi kerana membawa ramai penumpang.

“Pengusaha perlu awasi pemandu mereka ketika menjalankan pekerjaan umpama pergerakan mereka berada di hujung jari,” katanya.

Harian Metro
12 Okt 2010


Panik tak dapat tarik keluar cucu

REMBAU: “Saya panik kerana tidak dapat menarik keluar cucu, Mohd Aidil Mohd Riduan, 3, yang terperosok di bawah kerusi selepas bas kami naiki merempuh bas yang terbalik dan merintangi jalan.

“Saya cuba bangun namun gagal kerana kesakitan amat sangat di pinggang. Nasib baik ada orang datang tolong tarik saya dan cucu keluar,” kata Siti Mariam Osman, 51.

Siti Mariam bersama cucu dan suaminya, Mohd Yusof Hashim, 55, menaiki bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari Stadium Bukit Jalil untuk pulang ke Bukit Rambai, Melaka, selepas menghadiri program Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera.

“Saya duduk di kerusi depan dan sempat melihat bas yang berada di laluan menghala ke Kuala Lumpur, hilang kawalan lalu terhoyong-hayang sebelum terbabas dan menghempap kenderaan di laluan bertentangan.

“Pemandu bas yang kami naiki berusaha sedaya upaya cuba mengelak daripada melanggar bas yang terbalik itu namun gagal lalu merempuhnya. Saya dan penumpang lain menjerit ketakutan,” katanya.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, dia tercampak dari kerusi manakala cucunya yang sedang tidur, terperosok ke bawah tempat duduk.

“Cucu menangis dan saya nampak kaca memenuhi ruang dalam bas serta turut mengenai badan cucu. Saya cuba menariknya keluar dari bawah kerusi kerana bimbang bas akan terbakar, namun gagal dan terpaksa meminta bantuan penumpang lain,” katanya.

Sementara itu Mohd Yusof berkata, keadaan sungguh menyayat hati kerana mayat bergelimpangan di sana sini manakala yang cedera menjerit kesakitan. “Saya bersama orang ramai cuba memberikan bantuan yang terdaya kerana tidak sampai hati melihat keadaan mayat dan mereka yang cedera,” katanya.

Harian Metro
12 Okt 2010


Lokasi terdedah angin lintang

MELAKA: Syarikat bas ekspres Delima mendakwa lokasi kemalangan yang meragut 12 nyawa sering terdedah kepada tiupan angin lintang hingga mungkin menyebabkan bas berkenaan bergoyang sebelum terbalik ke laluan bertentangan di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran Pedas, kelmarin.

Pengurusnya, Vincent Mah, 56, berkata ketika kejadian bas berkenaan dipandu R Ramachandra, 52, yang memiliki empat tahun pengalaman tanpa sebarang kemalangan dan membawa 40 penumpang dari Terminal Melaka Sentral menuju Hentian Sementara di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kira-kira jam 6 petang.

Malah, katanya, bas terbabit juga adalah jenis biasa, bukannya dua tingkat dan baru berusia dua tahun selain masih dalam tempoh jaminan penjual.

Harian Metro
12 Okt 2010


Tanggung kos urus jenazah

MELAKA: Kerajaan negeri menanggung semua kos pengurusan jenazah mangsa kemalangan maut membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan berhampiran Pedas, petang kelmarin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, setiap keluarga mangsa terkorban diberi bantuan kewangan RM1,000 bagi tujuan itu.

Menurutnya, selain itu mangsa cedera teruk akan diberi bantuan RM1,000 manakala bagi mereka cedera ringan menerima RM500.

“Saya sudah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Wira Omar Kaseh) untuk menguruskannya. Sebaik proses pengecaman (mayat) selesai dijalankan, kita akan salurkan bantuan ini,” katanya di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka, awal pagi semalam.

Mohd Ali yang tiba selepas tengah malam berikutan terperangkap tiga jam dalam kesesakan akibat kemalangan itu turut menemui beberapa keluarga magsa sambil mententeramkan mereka yang hiba dan amat tertekan.

Sambil melahirkan rasa simpati, Mohd Ali menyifatkan kemalangan itu adalah paling dahsyat kerana mengorbankan banyak nyawa khususnya penduduk negeri ini.

Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa memperhalusi semula peraturan jalan raya termasuk menghadkan kelajuan kenderaan tidak melebihi 90 kilometer sejam bagi mengelak kecelakaan berlaku.

“Saya berharap semua ahli keluarga mangsa dapat bersabar dengan kecelakaan ini,” katanya. Terdahulu, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Mohamad; Omar; Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Datuk Norpipah Abdol; Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Azmi Hashim turut meluangkan masa melawat mangsa.

Harian Metro
12 Okt 2010


'Pergi kerja macam biasa'

MELAKA: Pemandu bas ekspres Delima yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran Pedas, langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika keluar bekerja kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Isteri kepada pemandu bas ekspres terbabit, M Jayarani, 47, berkata suaminya, R Ramachandra, 52, kelihatan seperti biasa dan dia pada mulanya tidak percaya suaminya terbabit dalam nahas itu.

“Saya dihubungi kakak kira-kira jam 9.20 malam (kelmarin) memaklumkan suami terbabit dalam kemalangan selepas dia dihubungi polis,” katanya.

“Kami sekeluarga bergegas ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka (HM) untuk mengetahui kebenaran berita itu,” katanya.

Harian Metro
12 Okt 2010


Periksa kotak hitam

KUALA LUMPUR: Polis akan meneliti kotak hitam bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan ngeri petang kelmarin bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, kes itu perlu disiasat dari setiap sudut secara terperinci untuk mengetahui sama ada kemalangan itu berpunca daripada masalah teknikal atau faktor lain.

“Siasatan awal dengan menyemak rekod pemandu dan syarikat pengangkutan, kedua-duanya tiada rekod kesalahan dan rekod saman. Bagaimanapun kita akan siasat dari semua sudut termasuk meneliti kotak hitam bas itu.

“Mengikut rekod pihak lebuh raya, maklumat kemalangan diterima kira-kira jam 6.47 petang dan bas itu didapati baru 45 minit berlepas dari stesen Melaka Sentral. Ketika itu cuaca juga masih terang dan baik.

“Pemandu bas itu pula berusia 52 tahun dan saya rasa mempunyai cukup pengalaman memandu bas ekspres. Jadi beri kita masa untuk menyiasat punca sebenar,” katanya yang menyifatkan kemalangan itu sebagai yang terburuk pernah berlaku sepanjang tahun ini,” katanya.

Harian Metro
12 Okt 2010


LPKP sudah kumpul maklumat

MELAKA: Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sudah mengumpulkan beberapa dokumen dan maklumat daripada pengurusan syarikat bas ekspres Delima di Malim di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Ariffin Samsudin berkata, maklumat diperolehi daripada beberapa pegawai kanan syarikat itu akan diserah kepada Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Kemalangan Maut diketuai Datuk Halimah Sadique.

“Kami juga sudah membuat audit beberapa perkara dan setakat ini mendapati syarikat ini belum pernah terbabit dalam kemalangan maut,’’ katanya yang ditemui selepas mengadakan audit di pejabat syarikat itu, di sini.

Ariffin bersama lima pegawainya dilihat berada di pejabat itu hampir tiga jam.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama diberi lembaga pengarah syarikat terbabit, namun enggan mendedahkan butiran siasatan kerana maklumat yang diperoleh dianggap sulit dan perlu diserah kepada Halimah terlebih dahulu.

Harian Metro
12 Okt 2010


Lorong kecemasan tersekat

SEREMBAN: Sikap segelintir pengguna jalan raya yang sewenang-wenangnya menggunakan lorong kecemasan menjadi penyebab pasukan bantuan dan penyelamat lewat tiba di lokasi kemalangan maut yang mengorbankan 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan di Pedas, dekat sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Saleh berkata, perbuatan segelintir pemandu menyebabkan berlakunya kesesakan teruk hingga menyebabkan pasukan penyelamat sukar tiba di lokasi kejadian.

“Antara tujuan lorong kecemasan termasuk supaya kenderaan bantuan dan penyelamat dapat menggunakannya ketika kesesakan lalu lintas dalam usaha membantu mangsa kemalangan,” katanya.

myMetro
13 Okt 2010


'Telefon tak berjawab'

MELAKA: “Kami sekeluarga mula tidak sedap hati apabila telefon bimbit abang tidak berjawab ketika menghubunginya kira-kira jam 12 tengah malam (kelmarin).

Sejam kemudian, panggilan seorang rakan yang menghubungi telefon bimbitnya dijawab seseorang (anggota polis) yang meminta datang segera ke hospital (Hospital Melaka),” kata Azian Ajis, 18, adik seorang mangsa, Azizi, 20, yang maut dalam kemalangan bas Delima Ekspres di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Pedas, di sini, pada Ahad lalu.

Azian dari Batu 27 Kampung Gapis, Nyalas, Jasin, berkata sebelum itu, kakaknya, Amelia, 25, yang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan kereta dari Shah Alam, Selangor, melalui kawasan kemalangan.

Menurutnya, kakak menelefon rumah kerana mengesyaki sesuatu sambil bertanya bas yang dinaiki Azizi tetapi Azian memberitahu dia tidak tahu.

“Saya cuba menghubungi abang (Azizi) beberapa kali, tetapi gagal seolah-olah tiada liputan dan terus berusaha walaupun tidak berjaya.

“Pada masa itu, kami sekeluarga mulai resah kerana mengesyaki mungkin berlaku kejadian buruk disebabkan panggilan masih tiada jawapan.

“Seorang rakan yang menghubungi telefon bimbit Azizi kira-kira jam 1 pagi (Isnin) kemudian memberitahu kami panggilannya dijawab anggota polis yang meminta datang ke hospital dengan segera untuk membuat pengecaman,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah, Jasin, itu berkata Azizi baru bekerja kira-kira 10 hari di sebuah agensi pelancongan di ibu kota, meminta sepupu menghantarnya ke Terminal Melaka Sentral, kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurutnya, sebelum itu secara kebetulan rumah bapa saudara, Hashim Hassan, 61, pada hari sama membuat kenduri doa selamat sempena pemergiannya ke Tanah Suci tetapi Azizi hanya makan mi dan kuih.

myMetro
13 Okt 2010


Tukar tempat duduk penyelamat anak

MELAKA: Permintaan mahu menukar tempat duduk mungkin menyelamatkan Syarifah Norasmirah Syed Sallehuddin, 21, daripada maut tetapi pelajar Institut Perguruan Guru Malaysia di Kuala Lumpur itu kini koma di Hospital Melaka (HM).

Menurut ibunya, Zaleha Zainudin, 48, dia diberitahu doktor keadaan anak bongsunya itu kini 50-50 dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat gegaran kuat di otak.

Menurutnya, dia sempat menghubungi telefon bimbit anaknya itu dan Syarifah Norasmirah antara penumpang bas Delima Ekspres yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur, memberitahu seorang wanita Cina meminta menukar tempat duduk dengannya.

“Wanita berkenaan mahu duduk di tengah dan anak saya pula mengambil tempat duduknya di sebelah kiri, sebaris dengan pemandu.

“Itu panggilan terakhir kepadanya dan kira-kira jam 10 malam, saya cuba menghubungi semula tetapi tidak berjawab sebelum menerima panggilan telefon bimbitnya daripada seorang lelaki mengatakan anak saya terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Menurutnya, dia yakin Syarifah Norasmirah, anak bongsu daripada tiga beradik akan sembuh kerana melihatnya menggerakkan kelopak mata, tetapi masih belum sedar dan bercakap.

“Saya berdoa sepanjang masa agar dia selamat kerana tidak menyangka pemergiannya ke Melaka, Khamis lalu mencari kawan baiknya, berakhir begini. Namun, saya reda dengan apa jua takdir Tuhan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Datuk Norpipah Abdol sempat meluangkan masa melawat mangsa yang masih dirawat di Hospital Melaka.

myMetro
13 Okt 2010


Guna ambulans udara

KUALA LUMPUR: Isu kelewatan ambulans yang didakwa tiba selepas tiga jam nahas ngeri di Kilometer 223 Projek Utara-Selatan (PLUS) Ahad lalu perlu dilihat secara serius kewajaran Malaysia menggunakan helikopter.

Selain dapat mengatasi masalah kelewatan berikutan kesesakan lalu lintas, penggunaan ambulans udara cara terbaik menyelamatkan mangsa terutama terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan kadar lebih pantas.

Dengan peralatan yang lengkap, seperti hospital bergerak, pastinya kerja menyelamat awal dapat dilakukan dengan lebih sempurna sebelum sampai ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Komander Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Chuah Ghee Lye berkata, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai ambulans udara sendiri seperti yang dimiliki negara maju antaranya Amerika Syarikat.

myMetro
13 Okt 2010


Seorang lagi penumpang bas Delima meninggal dunia

MELAKA 15 Okt. - Tempoh lima hari dilalui penuh tabah oleh seorang ibu Zaliha Zainordin, 48, sepanjang tempoh 24 jam mendoakan anaknya Sharifah Norasmirah Syed Sallehuddin, 20, agar sembuh sejak dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sejak Ahad lalu.

Namun harapan Zaliha untuk melihat anak bongsunya daripada tiga beradik itu pulih tidak kesampaian apabila kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi, Sharifah Norasmirah menghembuskan nafas terakhir di wad berkenaan.

Tiada ungkapan yang mampu diluahkan oleh Zaliha melainkan menitis air mata apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa anak bongsunya telah meninggal dunia.

Sharifah Norasmirah, penuntut tahun keempat Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur adalah salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah di sini.

Kematian pelajar yang berasal dari Kampung Bukit Payung, Marang, Terengganu itu menjadikan dia adalah mangsa yang ke-13 terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua buah bas dan empat kenderaan lain yang berlaku kira-kira pukul 6.50 petang Ahad lalu.

Sharifah Norasmirah adalah penumpang bas ekspres Delima yang terbabit dalam kemalangan itu.

Zaliha ketika dihubungi hari ini berkata, dia reda dengan pemergian anak bongsunya.

"Apa yang makcik boleh katakan. Makcik reda menerima ketentuan Ilahi bahawa anak makcik dah tidak ada lagi.

"Sepanjang menjaga Sharifah Norasmirah di ICU, makcik memang tidak putus-putus berdoa semoga dia cepat sembuh tetapi akhirnya terpaksa menerima hakikat dia sudah meninggalkan makcik selama-lamanya," katanya sebak.

Dia reda dengan pemergian Sharifah Norasmirah setelah diberitahu oleh doktor bahawa anaknya mengalami kecederaan parah di kepala.

"Semalam, doktor berjumpa makcik memberitahu otak anak makcik sudah tidak berfungsi dan denyutan jantungnya pula semakin perlahan," ujarnya.

Katanya, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya kira-kira pukul 3 pagi.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Payung, Marang, Terengganu hari ini.

Utusan
16 Okt 2010


Bas ekspres Delima dipandu laju hingga sebabkan kematian

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Bas ekpres yang terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 13 nyawa di Km 223 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat 10 Oktober lepas, didapati dipandu 120 kilometer sejam (km/j) selepas memasuki lebuh raya itu dari tol Alor Gajah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, itu adalah antara penemuan kajian dan analisis saintifik mengenai kemalangan itu yang dikendalikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Beliau berkata, berikutan kemalangan itu satu mesyuarat membabitkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Puspakom, polis dan Lembaga Lebuhraya Malaysia diadakan pada 14 Oktober.

Laporan mesyuarat itu dikumpul dan dianalisis oleh satu pasukan berkaitan kemalangan Miros, katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, berdasarkan laporan analisis kesan tenaga kemalangan, kemungkinan kelajuan bas Delima yang membawa 36 penumpang itu, sebelum berhenti ialah antara 94 dan 109km/j.

"Selain itu, terdapat kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu yang mungkin dipandu dengan kelajuan 160km/j pada masa kejadian,” katanya. – Bernama

24 Okt 2010


'Tribute' kepada pemandu, penumpang bas ekspres Delima

Sunday, October 17, 2010
Posted by Lanh Sr. at 1:48 PM
http://lanh14.blogspot.com/2010/10/tribute-kepada-pemandu-penumpang-bas.html

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang keluar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya) kerana takut mati; maka Allah berkata kepada mereka: "Matilah kamu", kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai karunia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Al-Baqarah 2:243)

***
KIRA-KIRA 15 minit melepasi persimpangan bertingkat Pedas-Linggi, dari jarak 200 meter, saya yang sedang memandu di lebuh raya PLUS menghala selatan pada kira-kira jam 6.45 petang, 10.10.10 (10 Oktober 2010), sudah nampak sebuah bas terhumban, melintang di atas lebuh raya. Dalam jarak 100 meter kemudiannya, saya boleh lihat perkataan DELIMA pada dinding badan bas berwarna merah itu. Sahlah bas itu milik Delima Express yang mana bas-basnya hampir setiap hari saya tumpangi untuk perjalanan pergi balik Melaka-Kuala Lumpur.

Hati berdebar, dan apabila keluar daripada kenderaan, saya melihat seorang wanita India yang berada di luar kereta dalam laluan ke utara yang kemek-kemek di sebelah kanan dipercayai bergesel dengan besi pembahagi jalan, membebel menceritakan bagaimana kemalangan berlaku. Saya tidak mempedulikannya sebaliknya bersama seorang anak lelaki bergegas ke tempat bas terhempas. Namun sempat juga saya mendengar wanita India itu berkata bahawa bas ekspres Delima yang melintang di laluan ke selatan itu sebenarnya dalam perjalanan ke utara (Kuala Lumpur). Ini mengejutkan kerana bas itu pasti merempuh penghadang dan parit pembahagi lebuh raya.

Saya lihat sebuah kereta Myvi terperosok di bawah bas. Keadaan dalam kereta tiada pergerakan, tetapi orang ramai menjerit menyatakan ada mangsa masih hidup dalamnya. Ada yang berusaha menarik kereta dan mengangkat bas tetapi mustahil bas dapat digerakkan. Dari perut bas ekspres yang terbalik, seorang demi seorang mangsa dikeluarkan oleh orang ramai melalui tingkap yang pecah. Saya melihat minyak mengalir di jalan raya dari bahagian bawah bas, seorang dua menjerit melarang orang merokok daripada menghampiri tempat kejadian.

Mangsa yang selamat diangkat dan diletakkan di tepi lebuh raya, tetapi mereka yang dipercayai sudah mati ada dibiarkan. Saya ke bahagian depan, melepasi badan bas ekspres dan alangkah terperanjat saya menyaksikan keadaan di situ. Sebuah kenderaan kelihatan macam sudah terbakar manakala mayat-mayat bergelimpangan; ada dengan muka pecah, di sisi bawah bas ekspres ada dua tiga mangsa terhimpit, ada tangan terkapai manakala muka pecah. Ketika itu orang ramai tidak mempedulikannya kerana menyangka mereka sudah mati. Saya pun pasti mereka sudah mati, jadi tidaklah saya berbuat apa-apa sebaliknya saya ke tengah-tengah pembahagi lebuh raya, kemudian melaungkan azan.

Ketika azan, saya sedar seseorang berjalan di sisi saya membawa sebelah tangan seorang mangsa. Dia menjerit, bertanya siapa tahu tangan siapakah itu. Selepas azan, saya kembali ke tempat Myvi terperosok, ketika itu asap berkepul-kepul di udara yang berpunca daripada tempat minyak bas yang mengalir. Apa lagi orang ramai termasuk saya 'cabutlah', mana berani kerana takut-takut bas itu meletup.

Namun, apabila asap reda, orang ramai kembali untuk membantu. Saya cuba mengajar seorang pemuda yang cedera mengucap kalimah tauhid, namun nampaknya dia merayu-rayu meminta saya menolongnya. Apa boleh saya buat selain memintanya bersabar. Saat itu saya sedar bahawa setiap orang bertanggungjawab kepada dirinya sendiri - baik amalnya baiklah yang akan diterimanya dan jika buruk amal maka buruklah nasibnya menghadapi saat kritikal itu. Disebabkan kemalangan itu membabitkan ramai orang, tumpuan tidak dapat diberikan kepada seseorang kerana ada orang lain yang memerlukan pertolongan.

Demikianlah gambaran kemalangan dahsyat yang saya saksikan membabitkan bas ekspres Delima, sebuah bas jabatan kerajaan dan beberapa kenderaan lain beberapa kilometer dari persimpangan bertingkat Simpang Ampat-Alor Gajah-Tampin sejurus sebelum maghrib hari penuh makna 10.10.10, hari yang mana angkasawan Sheikh Muszaphar Shukur dan ramai lagi pasangan melangsungkan perkahwinan.

Pada hari keesokannya, tahulah saya bahawa antara 12 orang yang terbunuh itu adalah pemandu bas ekspres Delima, bernama R Ramachandra, berusia 52 tahun. Rama adalah sahabat saya, setidak-tidaknya teman perbualan sekali sekala sama ada ketika dalam bas atau di stesen. Sayalah yang menunjukkan dia jalan ke Hentian Bas Sementara Bukit Jalil ketika dia mula-mula berkhidmat dengan syarikat itu tiga tahun lalu. Mungkin sebelum itu dia tidak biasa dengan jalan ke stesen bas berkenaan yang beroperasi pada setiap kali musim Aidilfitri, kerana dia dulunya pemandu bas henti-henti di Melaka.

Adalah biasa, saya dengan dia kerap bergurau ketika berjumpa, dalam salah satu pertemuan, saya ada memberinya sehelai risalah dakwah bertajuk 'It all began with Read - A Jewish computer programmer accepts Islam'. Selepas menunaikan umrah tidak lama dulu, saya ada menghadiahnya sebungkus cenderahati kecil yang mengandungi sedikit buah kurma dan kekacang dari Tanah Suci.

Rama fasih bercakap bahasa Melayu malah ada yang menyangkanya orang Melayu. Orangnya baik sekali, daripada pemerhatian saya dia antara pemandu paling berhemah dalam syarikat Delima, membawa bas dengan kelajuan sederhana, mungkin antara yang 'slow'. Oleh demikian saya amat tersinggung apabila membaca dan mendengar komentar selepas kemalangan yang menyebut pemandu bas ekspres itu mungkin mabuk, di bawah pengaruh dadah dan juga memandu terlalu laju. Malah seorang menteri tergamak berkata kemalangan tidak akan berlaku jika bas tidak dipandu laju. Adalah biasa untuk pemandu dari Melaka Sentral mengambil masa setengah jam ke Plaza Tol Ayer Keroh dan 15 minit lagi ke lokasi di mana bas itu berlanggar. Maka tepatlah kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6.45 petang.

Ada satu peristiwa yang membuatkan saya mempunyai tanggapan tinggi terhadap Rama. Suatu malam, saya terlambat, lantas menaiki basnya tanpa tiket. Selepas sampai di Melaka Sentral saya pun menyerahkan wang harga tiket secukupnya (RM12.20) kepadanya, tetapi alangkah terperanjatnya saya dia tidak mahukan duit itu. Kerap berlaku, pemandu bas akan mengambil wang berkenaan walaupun jumlah yang diserahkan kurang daripada harga tiket seperti RM10 dan tidaklah saya tahu dimasukkan dalam poket sendiri atau diserahkan kepada syarikat.

Rama yang ada harga diri tidak mahukan wang itu, maka pada hari keesokannya untuk ke Kuala Lumpur, saya membeli dua tiket - satu untuk perjalanan hari itu dan satu lagi untuk membayar tiket hari semalam walaupun hakikatnya saya perlukan satu tempat duduk saja. Apabila mengikuti berita yang melaporkan penyiasat mendapati Rama mempunyai rekod bersih, demikian juga dengan syarikat majikannya, hati saya rasa lega, sekurang-kurangnya tidak benarlah tanggapan stereotaip kebanyakan pihak bahawa pemandu bas ekspres adalah individu bermasalah. Kasihani mereka, ramai yang jujur dalam mencari sesuap nasi demi anak isteri.

Jauh di sudut hati, saya dapat rasakan Rama sudah melakukan yang terbaik, tetapi apabila malang menimpa, ia tidak mengenal siapa. Ditakdirkan Rama mati, jadi tertutuplah peluang untuk menyalah dan menghukumnya. Jika dia hidup, akan bertambah pedih hati ini jika melihat orang sebaik Rama digari tangannya dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memandu secara bahaya dan boleh dihukum penjara. Namun terpulanglah kepada penyiasat bagi mengesan apa sebenar yang berlaku pada ketika kemalangan.

Akhir sekali, kepada keluarga pemandu bas dan semua keluarga mangsa nahas terutama penumpang bas awam yang menggambarkan kesusahan rakyat (orang kebanyakan) diucapkan takziah dan bersabarlah menghadapi dugaan ini. Kepada keluarga Rama, anda semua perlu berbangga kerana Rama seorang berprinisp tinggi dan itulah yang dapat saya katakan sebagai seorang penumpang setia, melihat hemahnya secara zahir!

Saya begitu trauma dengan kejadian itu. Isnin itu (11.10.10) saya tidak pergi kerja di Kuala Lumpur walaupun dalam dompet saya ada tiket bas Dilema, yang akan saya naiki jam 7.00 pagi. Saya tidak mahu bayangkan apa perasan saya apabila melalui lokasi kemalangan di kilometer 223 lebuh raya itu. Lagi pun, bas lain seperti dipandu Rama yang berlepas jam 6.00 petang di Melaka Sentral biasanya akan tiba di Stesen Bas Bukit Jalil jam 8.00 malam dan pada setiap malam saya akan menaiki bas syarikat ini pulang ke Melaka pada jam 9.00 atau 9.30 malam.

Pagi-pagi hari Selasa (12.10.10), ketika mahu membeli tiket bas di kaunter Delima, saya melihat sekeping nota mempelawa pemandu menyumbang bantuan untuk keluarga Rama. Dengan hati pilu, saya menyeluk poket, menyerah sekeping not lantas ditanya oleh si kerani kaunter: “Nama pak haji?” “Tulis saja Hamba Allah,” kata saya.
http://lanh14.blogspot.com/2010/10/tribute-kepada-pemandu-penumpang-bas.html



Waris dakwa hak mangsa kemalangan maut terabai

MELAKA 27 Nov. - Waris mangsa kemalangan maut membabitkan bas Ekspres Delima di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat pada 10 Oktober 2010 memohon kerajaan mengkaji semula Akta Undang-Undang Sivil 1957 bagi menjamin hak mangsa yang terlibat.

Bapa kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan itu, Fadzry Tan Abdullah (gambar), 47, berkata, Seksyen 7(3A) dan (3B) akta itu sudah tidak relevan lagi kerana digubal pada 1984 dan pampasannya juga tidak setimpal dengan kesan yang dialami oleh mangsa dan keluarga.

Menurutnya, kedua-dua seksyen itu menyatakan penumpang bas ekspres berusia 18 tahun ke bawah hanya boleh mendapat pampasan RM13,000 iaitu RM10,000 sebagai ganti rugi kesedihan dan RM3,000 pengkebumian.

"Mangsa yang berusia 18 tahun ke atas pula, tidak berkahwin dan tidak bekerja hanya dibayar RM3,000 sebagai kos pengkebumian.

Utusan 28 Nov 2012



0 comments:

Post a Comment