September 30, 2010

Sambut pembebasan dengan air mata

SHAH ALAM: Dua wanita warga Iran hanya mampu menangis teresak-esak selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada tuduhan mengedar hampir 40 kilogram (kg) syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Februari lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan terhadap Mazieh Azimzadehtabriz, 32, dan Hajar Fakri Lasbo, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mazieh, jurulatih pendidikan jasmani dan Hajar yang masih belajar dituduh mengedarkan dadah berkenaan dengan jumlah berat 38.96kg di Balai Ketibaan KLIA, kira-kira 10.40 malam, pada 5 Februari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama. Sabit kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman mati mandatori.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Naziah Mokhtar manakala Mazieh dan Hajar diwakili peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik.

myMetro
30 Sep 2010

0 comments:

Post a Comment